Bila dengar doktor cakap ibu hamil ada masalah uri di bawah, mana-mana bakal ibu pun mesti akan rasa panik. Bahaya ke, macam mana dengan kandungan nanti?

Dah tentu persoalan-persoalan ni akan bermain dalam fikiran ibu hamil. Selain risaukan komplikasi yang akan berlaku semasa mengandung dan bersalin, mesti ibu juga bimbang akan risiko pada kandungan kan?

Tapi tahu tak, tak semua kes uri rendah atau plasenta previa ni bahaya? Malah, ada yang akan ‘bergerak’ naik sendiri menjelang trimester ketiga.

Sebab tu penting untuk ibu faham keadaan tubuh sendiri. Artikel ni akan kupas lengkap mengenai punca, tanda awal, hinggalah soalan lazim yang ramai mak buyung malu nak tanya doktor, seperti boleh ke bersama suami bila uri kat bawah?

Jom baca!

Sebenarnya, Apa Itu Uri Rendah (Plasenta Previa)?

Uri, atau dalam istilah perubatan dipanggil plasenta, ialah organ sementara yang terbentuk dalam rahim semasa kehamilan. Uri bertugas untuk salurkan oksigen dan nutrien kepada bayi.

Dalam keadaan normal, uri akan melekat di bahagian atas atau tepi rahim. Tapi dalam kes uri di bawah, uri melekat terlalu rendah, dekat dengan serviks (pintu rahim).Bila uri menutupi sebahagian atau keseluruhan serviks, ia dipanggil placenta previa.

Ada empat kategori plasenta previa:

  1. Uri penuh (complete previa): Menutupi sepenuhnya serviks.
  2. Uri separa (partial previa): Menutupi sebahagian serviks.
  3. Uri tepi (marginal previa): Uri terletak di bahagian tepi serviks.
  4. Uri rendah (low-lying): Uri berada dekat dengan serviks, tapi tidak menutupinya.

Kebanyakan kes uri rendah dikesan semasa awal kehamilan, dan berita baiknya, uri biasanya akan naik ke atas bila rahim makin membesar.

Sebab Uri di Bawah

uri di bawah
Risiko uri bawah.

Ramai tertanya-tanya kenapa uri boleh melekat di bawah?

Hakikatnya, doktor sendiri pun tak boleh jamin 100 peratus puncanya.

Tapi ada beberapa faktor risiko yang buat seorang ibu hamil lebih cenderung mengalami plasenta previa, antaranya:

  • Pernah bersalin caesarean sebelum ini. Luka pada rahim boleh menyebabkan uri melekat lebih rendah.
  • Pernah mengalami plasenta previa dalam kehamilan lepas.
  • Mengandung kembar atau lebih.
  • Ibu berusia lebih 35 tahun.
  • Merokok semasa hamil.
  • Rahim yang mempunyai bentuk luar biasa (abnormal uterus).

Walaupun begitu, masalah uri rendah ni boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa faktor risiko jelas.

Jadi jangan salahkan diri anda ya, ia bukan salah ibu!

Tanda Plasenta Previa

Salah satu tanda utama plasenta previa ialah pendarahan tanpa sakit pada trimester kedua atau ketiga.

Darah biasanya berwarna merah terang.

Kadang-kadang pendarahan berlaku selepas aktiviti tertentu seperti hubungan suami isteri.

Selain itu, tanda-tanda uri di bawah lain yang mungkin berlaku termasuk:

  • Sakit perut atau kontraksi ringan.
  • Bayi dalam kedudukan songsang atau melintang.
  • Rasa tidak selesa di bahagian bawah perut.

Namun, ada juga ibu yang tidak mengalami sebarang tanda. Mereka hanya tahu uri berada kat bahagian bawah apabila buat imbasan ultrasound.

Uri di Bawah Awal Kehamilan

Kalau doktor bagitahu ibu ada uri di bawah awal kehamilan, jangan cepat panik. Sebab masa kandungan masih kecil, rahim pun belum cukup besar.

Bila rahim makin membesar, uri boleh “ditarik” ke atas secara semula jadi.

Kebanyakan uri rendah yang dikesan pada usia kandungan 20 minggu akan naik semula bila masuk trimester ketiga.

Jadi biasanya doktor akan buat follow-up scan pada usia kandungan 28 minggu atau lebih untuk pastikan kedudukan uri.

Risiko Plasenta Previa

Walaupun ada kes uri rendah yang naik sendiri, tapi ada juga yang kekal di bawah sampai hujung kehamilan.

Ini boleh mendatangkan beberapa risiko, antaranya:

  • Pendarahan serius semasa hamil atau ketika bersalin.
  • Perlu bersalin secara pembedahan (caesarean).
  • Risiko bayi pramatang.
  • Masalah pertumbuhan bayi jika uri tak berfungsi dengan baik.

Sebab itu, doktor akan pantau ibu dengan uri di bawah lebih kerap, untuk elakkan komplikasi.

Boleh Ke Bersama Suami Kalau Uri Kat Bawah?

Ini memang soalan hot yang ramai pasangan segan nak tanya doktor.

Bila uri terletak kat bawah terutamanya kalau jenis yang menutup pintu rahim, sebarang penetrasi atau orgasme boleh merangsang kecutan rahim. Hal ni berisiko tinggi dan boleh mencetuskan pendarahan yang membahayakan ibu dan bayi.

Sebab tu majoriti doktor akan nasihatkan untuk berhenti sementara aktiviti bersama suami sampai kedudukan uri berubah ke tempat selamat.

Tapi kalau kes uri ibu cuma low-lying (rendah sikit je) dan tak pernah ada sejarah spotting atau berdarah, mungkin tiada halangan daripada doktor untuk hubungan seks suami isteri. Apapun, jangan memandai-mandai ya. Kena bertanyakan terus pada doktor masa check-up sebab keadaan badan setiap ibu tak sama!

Uri di Bawah Boleh Diurut?

Dalam budaya kita, ada sesetengah orang percaya mengurut boleh “naikkan uri”. Sebenarnya, uri di bawah tidak boleh diurut.

Uri ialah organ dalam rahim, bukan benda yang boleh digerakkan dengan tangan dari luar. Urutan malah boleh membahayakan sebab boleh mencetuskan pendarahan atau kontraksi.

Kalau nak cuba cara menaikkan uri di bawah, satu-satunya cara selamat ialah tunggu rahim membesar. Uri akan bergerak ke atas secara semula jadi.

Jadi jangan mudah percaya pada mitos urut uri.

Cara Menaikkan Uri

uri di bawah
Cara menaikkan uri semasa hamil.

Jadi, macam mana cara nak naikkan uri bawah?

Sejujurnya, tiada rawatan khas atau senaman yang terbukti boleh naikkan uri. Tapi ibu boleh bantu rahim membesar dengan sihat melalui gaya hidup sihat. Antaranya:

  • Rehat secukupnya. Elakkan berdiri terlalu lama.
  • Kurangkan aktiviti berat. Jangan angkat benda berat.
  • Makan makanan berkhasiat. Nutrisi baik bantu perkembangan rahim dan uri.
  • Pantau pendarahan. Jika ada darah keluar, segera ke hospital.

Ingat, uri biasanya naik sendiri tanpa ibu perlu buat apa-apa. Jadi, banyakkan doa dan ikut nasihat doktor.

Jadual Perbezaan Uri Normal vs Uri di Bawah

AspekUri NormalUri di Bawah (Placenta Previa)
Kedudukan uriMelekat di bahagian atas atau tepi rahim.Melekat rendah, dekat atau menutupi serviks.
Risiko pendarahanJarang berlaku pendarahan.Boleh berlaku pendarahan, terutama trimester 2 & 3.
Kedudukan bayiBiasanya kepala di bawah (kedudukan normal).Lebih cenderung songsang atau melintang.
Jenis bersalinBoleh bersalin normal melalui vagina.Selalunya perlu pembedahan caesarean.
Pantang aktivitiBoleh lakukan aktiviti biasa dengan sederhana.Perlu lebih berhati-hati, elak aktiviti berat & hubungan intim jika doktor nasihat.
PrognosisTiada masalah besar.Ada risiko komplikasi, tapi boleh dipantau dengan pemeriksaan doktor.

Kekal Positif

uri di bawah
Pastikan ibu hamil mendapat rehat secukupnya.

Berita tentang uri rendah memang boleh buat ibu risau, tapi jangan biarkan ia mengganggu emosi sepanjang kehamilan. Sokongan suami dan keluarga sangat penting.

Tip untuk kekal positif:

  • Berbincang dengan doktor setiap kali ada persoalan.
  • Sertai komuniti ibu hamil supaya ibu tak rasa keseorangan.
  • Fokus pada perkara yang boleh dikawal seperti pemakanan dan rehat.

Kesimpulan

Masalah uri di bawah bukan perkara luar biasa, malah ramai ibu pernah melaluinya. Selagi doktor pantau keadaan, insyaAllah semuanya boleh diuruskan dengan baik.

Ingat, kebanyakan uri rendah awal kehamilan akan naik sendiri bila rahim membesar.Kalau uri masih di bawah sehingga trimester ketiga, mungkin ibu perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk pembedahan caesarean.

Yang penting, jangan cuba rawatan pelik-pelik seperti urut uri.

Jika anda ibu hamil yang baru saja dapat tahu ada uri di bawah, jangan panik. Terus ikut temujanji doktor, rehat secukupnya, dan dapatkan sokongan daripada pasangan serta keluarga.

Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan ibu hamil lain supaya mereka juga lebih faham dan tak mudah percaya dengan mitos yang boleh membahayakan.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Placenta Previa
  2. Placenta Previa
  3. Low-lying placenta (placenta praevia)
  4. Placenta previa
  5. Placenta praevia, placenta accreta and vasa praevia
  6. What complications can affect the placenta?
  7. Uri Menghalang Kehamilan
  8. Plasenta Previa

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.