Ramai ibu berpantang yang mengalami rasa gatal-gatal pada kawasan jahitan bersalin. Nak garu takut pula, bimbang kalau rasa merenyam tu menandakan ada masalah lain.
Sebenarnya, tempoh pemulihan setiap ibu tak sama. Ada yang cepat sembuh dalam dua minggu, dan ada yang perlukan masa lebih lama bergantung pada cara penjagaan.
Jom fahami apa yang berlaku pada luka ibu, tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh serta bila ibu patut dapatkan pemeriksaan doktor.
Berapa Lama Sebenarnya Luka Jahitan Bersalin Boleh Pulih?
Ramai ibu berpantang tertanya-tanya bila kawasan jahitan bersalin akan betul-betul sembuh agar ibu boleh bergerak seperti biasa. Hakikatnya, tempoh pemulihan luka tak sama untuk semua orang.
Kebiasaannya, proses penyembuhan luka selepas bersalin ni mengikut jenis jahitan:
- Jahitan episiotomi (perineum) biasanya mengambil masa sekitar 2 hingga 4 minggu untuk bercantum, tapi rasa nyut-nyut tu mungkin berlarutan sehingga 6 minggu.
- Jahitan czer (pembedahan). Luka luaran pada perut selalunya nampak kering dalam 2 minggu, namun tisu dalaman perlukan 6 hingga 8 minggu untuk pulih sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, ini sekadar garis panduan umum. Ada ibu yang pulih lebih cepat dan ada juga yang makan masa, bergantung pada faktor seperti penjagaan kebersihan, tahap nutrisi harian atau pemakanan dan ketebalan jahitan tersebut.
Sebab itu penting untuk ibu baharu tahu fasa penyembuhan ini supaya tak tergesa-gesa buat kerja berat dan dapat elakkan jahitan terbuka semula.

Tempoh Luka Jahitan Bersalin Sembuh
Ramai ibu fikir luka hanya ambil masa beberapa minggu untuk pulih. Hakikatnya, walaupun luka luaran nampak baik tapi dalaman mungkin masih dalam proses pemulihan.
- Minggu pertama: Luka masih baru, biasanya rasa pedih, sakit dan ada bengkak.
- Minggu kedua hingga keempat: Sakit semakin berkurang, bengkak mula surut dan jahitan mula bercantum.
- Minggu kelima hingga kelapan: Kebanyakan luka bersalin sudah kering dan sembuh sepenuhnya jika dijaga dengan baik.
- Selepas 2 bulan: Ibu biasanya boleh kembali aktif sepenuhnya.
Jadi, walaupun tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh dapat dilihat lebih awal, tapi ibu tetap perlu berjaga-jaga sehingga doktor mengesahkan semuanya baik.
Tanda Luka Bersalin Normal Dah Mula Pulih
Nak tahu tanda kawasan jahitan anda makin sembuh? Antara petanda yang biasa nampak pada luka normal:
- Sakit makin reda cuma tinggal rasa ngilu sikit-sikit kalau ibu duduk terlalu lama.
- Bengkak dah surut. Bahagian jahitan mula rata dan tak rasa tegang macam awal-awal dulu.
- Kulit bercantum rapat. Tiada bahagian yang nampak meregang atau ternganga.
- Tiada cecair pelik. Tiada nanah atau darah yang keluar kecuali lelehan nifas biasa atau keputihan normal.
- Gatal-gatal halus. Rasa merenyam ringan biasa berlaku sebab tisu kulit sedang membina semula.
Proses Penyembuhan Untuk Luka Czer
Untuk ibu yang bersalin czer, tempohnya memakan masa sikit sebab pembedahan ini melibatkan lapisan otot dan tisu dalaman:
- Minggu 1-2: Tempat potong masih pedih. Fokus utama waktu ni ibu memang kena banyak rehat dan elak membongkok atau angkat benda berat.
- Minggu 3-4: Luka luar nampak makin kering dan rasa sengal-sengal mula berkurang.
- Minggu 6-8: Rata-rata tisu dah bercantum elok dalam tempoh ni.
Walaupun bahagian luar nampak dah kering selepas dua bulan, seeloknya tunggu pengesahan doktor dulu sebelum anda mula buat senaman atau kerja rumah yang berat.
Beza Tanda Luka Jahitan Bersalin Sudah Sembuh & Bermasalah
Kami dah kongsikan tanda luka bersalin sudah sembuh, jadi kita kita lihat pula bagaimana tanda jika luka bersalin bermasalah.
Tanda Luka Jahitan Bersalin Terbuka
Kadang-kadang, luka boleh terbuka semula kerana pergerakan berlebihan atau penjagaan yang kurang rapi. Antara tanda luka jahitan bersalin terbuka ialah:
- Rasa pedih yang semakin kuat.
- Jahitan nampak terlerai.
- Ada sedikit darah keluar semula.
- Luka kelihatan basah.
Kalau berlaku, jangan panik. Segera dapatkan nasihat doktor untuk rawatan lanjut.
Tanda Luka Jahitan Bersalin Bernanah
Kalau ada nanah, itu tanda jangkitan. Jangan tunggu lama kerana ia boleh membahayakan kesihatan ibu. Tanda tanda luka jahitan bersalin bernanah termasuklah:
- Luka berbau busuk.
- Ada cecair kuning atau hijau keluar.
- Sakit makin teruk walaupun dah lebih seminggu.
- Demam atau badan rasa lemah.
Sekiranya berlaku, cepat berjumpa doktor. Luka yang bernanah perlu dibersihkan dan mungkin memerlukan antibiotik.
Mengapa Luka Jahitan Bersalin Masih Sakit?
Rasa sakit selepas bersalin memang normal tapi kalau masih sakit kuat selepas beberapa minggu, itu mungkin tanda masalah. Antara sebab luka jahitan bersalin masih sakit termasuklah:
- Luka belum bercantum sepenuhnya.
- Ada keradangan.
- Ibu aktif terlalu awal.
Sekiranya sakit berterusan lebih daripada 6 minggu, sebaiknya buat pemeriksaan.
Luka Jahitan Bersalin Tidak Bercantum
Kadangkala, luka kelihatan tidak bercantum walaupun masa sudah lama berlalu. Ini boleh berlaku kerana jangkitan atau ibu melakukan aktiviti berat terlalu awal. Jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan parut tidak cantik dan rasa sakit berpanjangan.
Doktor mungkin akan sarankan rawatan lanjut untuk membantu penyembuhan.
Jahitan Bersalin Terbuka Tapi Tidak Sakit

Ada juga keadaan di mana jahitan terbuka tapi ibu tidak rasa sakit. Walaupun nampak macam tidak berbahaya, tetapi ia tetap perlu diberi perhatian kerana luka yang terbuka boleh mudah dijangkiti. Jangan tunggu sakit baru nak bertindak, lebih baik terus rujuk doktor.
Luka Jahitan Bersalin Gatal Tanda Sembuh?
Ramai ibu risau bila luka jahitan mula gatal. Hakikatnya, gatal ringan adalah tanda positif bahawa luka sedang sembuh.
Ia berlaku kerana kulit mula menumbuhkan sel baru. Namun, kalau gatal disertai dengan bengkak, nanah atau sakit kuat, itu mungkin tanda jangkitan.
Jadual Perbandingan Luka Jahitan Bersalin Normal vs Bermasalah
| Keadaan Luka | Luka Normal (Tanda Sembuh) | Luka Bermasalah (Perlu Perhatian Doktor) |
|---|---|---|
| Rasa sakit | Sakit ringan beransur hilang selepas 1-2 minggu | Sakit semakin kuat atau berpanjangan lebih 4 minggu |
| Bengkak | Bengkak kecil, surut selepas beberapa hari | Bengkak bertambah, merah & panas apabila disentuh |
| Pendarahan/cecair | Tiada darah, hanya sedikit keputihan normal | Keluar darah berlebihan, nanah kuning/ hijau, berbau busuk |
| Keadaan jahitan | Jahitan bercantum dengan baik, kulit kering | Jahitan terbuka, luka basah atau tidak bercantum |
| Rasa gatal | Gatal ringan menandakan kulit sedang pulih | Gatal kuat disertai sakit, bengkak atau bernanah |
| Suhu badan | Normal, tiada demam | Demam, badan lemah, tanda jangkitan dalaman |
Cara Menjaga Luka Jahitan Supaya Cepat Sembuh

Selain peka pada tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh, ibu juga perlu tahu cara menjaganya supaya cepat pulih:
- Jaga kebersihan. Sentiasa pastikan kawasan jahitan kering dan bersih.
- Tukar pad dengan kerap. Elakkan kelembapan berlebihan.
- Makan makanan berkhasiat seperti sayur, buah, protein dan air secukupnya.
- Elakkan duduk terlalu lama. Rehatkan badan dengan baring.
- Jangan angkat benda berat untuk elak tekanan pada luka.
Pengalaman Ibu Berdepan Jahitan Bersalin Terbuka
Komplikasi jahitan terbuka semasa pantang bukanlah perkara asing. Pengalaman beberapa orang ibu ini membuktikan pelbagai faktor boleh menjadi punca, daripada teknik jahitan hingga tindak balas badan sendiri:
- Sengsara Jahitan Terbuka Sejak Hari Pertama. “Pedih dan menangis, tapi tetap kena jaga luka. Pengalaman anak kedua bersalin normal, jahitan terbuka sebab yang menjahit bukan profesional tapi pelatih. Bukan sebab tak jaga luka, berjalan laju atau langgar pantang. Jahitan mula putus sejak hari pertama lagi. Memang sengsara menahan sakit tiap kali ke klinik untuk bersihkan luka. Bekas luka pun tak cantik, tapi cuma mampu bersabar. Kalau ingat balik, memang terus trauma nak beranak lagi.”
- Kena Jahit Semula Dalam Bilik Bedah. “Saya pernah mengalami jahitan terbuka dan kena jahit semula di bilik bedah. Kena jahit dua lapisan di dalam dan satu lapisan pada kulit luar. Semuanya 24 jahitan. Sakitnya sampai sekarang saya masih ingat.”
- Alahan Benang Dan Perut ‘Terbuka’ Semasa Pantang. “Masa berpantang anak pertama, jururawat datang check luka czer dan dapati keadaannya tak cantik. Ada cecair povidone keluar dari celah jahitan. Selepas kerap ke klinik kerajaan tapi tak membaik, saya ke klinik swasta. Doktor buka semula sebahagian jahitan dan letak serbuk khas untuk keringkan luka, sebelum buat perkara sama pada sebahagian lagi. Rupanya badan saya alah dengan jenis benang jahitan tersebut, sebab itu luka lambat bercantum.”

Kesimpulan
Mengetahui tanda luka jahitan bersalin sudah sembuh sangat penting untuk memastikan ibu boleh kembali aktif dengan selamat. Proses sembuh setiap wanita berbeza, jadi jangan bandingkan diri dengan orang lain.
Paling utama, jaga kebersihan luka, elakkan aktiviti berat dan sentiasa peka pada tanda-tanda bahaya seperti luka bernanah atau terbuka. Ingat, proses ini memang ambil masa.
Jangan terlalu risau kalau belum pulih sepenuhnya dalam beberapa minggu. Yang penting, ibu kena sabar, jaga diri dan dapatkan rawatan segera jika ada tanda tidak normal. Kalau ibu rasa ragu atau nampak tanda pelik pada jahitan, jangan tunggu lama. Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan!
6 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.