Dapat tahu isteri mengandung memang berita yang paling membahagiakan, tapi dalam masa sama, timbul pulak pelbagai persoalan. Antara yang paling kerap buat pasangan suami isteri ragu-ragu ialah bab hubungan intim. Selamat ke seks awal kehamilan, atau ada risiko pada janin dalam kandungan?
Secara perubatan, hubungan seks sebenarnya selamat untuk kebanyakan ibu hamil. Namun, perubahan hormon dan rasa mual kadangkala boleh mempengaruhi kehendak fizikal anda.
Mari kita fahami risiko sebenar, posisi yang lebih selesa dan tips menjaga kemesraan sepanjang fasa ini.
Selamat Ke Seks Awal Kehamilan?
Secara amnya, anda dan pasangan tak perlu risau untuk berhubungan seks awal kehamilan. Hubungan intim di trimester pertama memang selamat untuk majoriti ibu hamil, asalkan doktor tak maklumkan kandungan anda berisiko tinggi.
Bayi dalam kandungan sebenarnya terlindung kemas di dalam kantung amniotik, dikelilingi otot rahim yang kuat serta ditutup oleh lapisan mukus serviks yang menghalang sebarang jangkitan. Jadi, aktiviti intim tidak akan ‘mengganggu’ atau mencederakan janin.
Walau bagaimanapun, doktor biasanya akan menasihatkan anda untuk berehat daripada melakukan hubungan intim sekiranya ada komplikasi seperti:
- Pernah mengalami pendarahan faraj yang tidak diketahui puncanya.
- Ada sejarah keguguran atau kelahiran pramatang sebelum ini.
- Masalah leher rahim lemah (incompetent cervix).
- Terdapat jangkitan aktif pada bahagian faraj atau serviks.
Jika anda ada sebarang keraguan atau sejarah kesihatan tertentu, tanya kepada doktor semasa pemeriksaan berkala. Setiap badan wanita berbeza, jadi kebenaran daripada pakar boleh menghilangkan kerunsingan anda dan pasangan.
Hormon Turun Naik Masa Trimester Pertama Ganggu Libido Isteri?

Bila pregnant, hormon estrogen dan progesteron dalam badan isteri memang mendadak naik. Benda ni secara tak langsung kacau mood dan keselesaan badan, yang akhirnya mempengaruhi keinginan isteri untuk bersama.
Antara kesan perubahan hormon yang selalu buat ibu hamil tak selesa:
- Payudara terasa tegang dan tersangat sensitif.
- Mood swing sekejap okay, sekejap mudah tersinggung.
- Badan rasa letih melampau walaupun tak buat kerja berat.
- Alahan, mual dan muntah (morning sickness).
Disebabkan perubahan ni, ada wanita rasa kehendak seks mereka makin bertambah, tapi ramai jugak yang langsung hilang minat pada trimester pertama. Dua-dua keadaan ni sebenarnya normal.
Suami kenalah faham dan banyakkan bersabar. Jangan anggap isteri sengaja menolak, sebaliknya cuba bawa berbincang secara tenang. Kemesraan bukannya terletak pada hubungan fizikal semata-mata. Sokongan emosi dan belaian mesra pun dah cukup buat isteri rasa dihargai dalam fasa ini.
Posisi Bersama ketika Hamil
Pemilihan posisi yang selesa adalah penting semasa melakukan seks awal kehamilan. Walaupun kandungan masih kecil dan belum membesar dengan ketara, akan tetapi beberapa posisi seks mungkin menyebabkan ketidakselesaan kepada si isteri.
Antara posisi bersama ketika hamil yang selamat dan selesa termasuk:
- Spooning (berpelukan dari belakang) boleh kurangkan tekanan pada perut dan membolehkan pasangan rasa lebih selesa.
- Woman on top (isteri di atas). Isteri boleh mengawal kedalaman dan kadar kemasukan zakar, sekali gus mengurangkan ketidakselesaan.
- Posisi side-by-side boleh mengurangkan tekanan pada bahagian bawah abdomen dan sesuai untuk isteri yang keletihan.
Posisi seks lain, yang menekan terus ke arah perut seperti missionary (suami di atas) boleh dipertimbangkan semula terutamanya jika isteri merasa tidak selesa atau mengalami sebarang kekejangan selepas itu.
Ingat, seks awal kehamilan bukan hanya soal fizikal tetapi juga soal emosi dan keselesaan pasangan. Komunikasi terbuka antara suami isteri akan membantu menjadikan pengalaman ini lebih selamat dan menyenangkan.
Bila Boleh Bersama Suami Ketika Hamil?

Ramai pasangan tertanya-tanya, bila boleh bersama suami ketika hamil tanpa menjejaskan kesihatan ibu dan bayi? Jawapannya bergantung kepada keadaan kehamilan itu sendiri!
Bagi kehamilan normal tanpa komplikasi, hubungan seksual boleh dilakukan sepanjang tempoh kehamilan termasuk pada trimester pertama, kedua dan juga ketiga. Ia selagi ibu merasa selesa dan tiada larangan daripada doktor.
Namun, pada trimester pertama, wanita hamil mungkin mengalami loya, keletihan atau perubahan hormon yang boleh menurunkan keinginan seksual. Oleh itu, adalah penting untuk suami memberi ruang dan memahami keadaan isteri.
Trimester kedua pula sering dianggap sebagai masa paling selesa untuk melakukan hubungan intim kerana gejala awal kehamilan sudah reda dan perut belum terlalu besar. Pun begitu, doktor mungkin akan menyarankan untuk menangguhkan hubungan seksual jika ibu mengandung mengalami keadaan seperti di bawah:
- pendarahan faraj,
- sakit perut,
- kontraksi awal,
- plasenta previa,
- pernah mengalami keguguran.
Komunikasi yang terbuka antara suami isteri dan pemeriksaan kesihatan berkala adalah kunci kepada keselamatan seks semasa hamil. Jangan teragak-agak untuk bertanya kepada pakar jika ada sebarang keraguan tentang bila boleh bersama suami ketika hamil.
Bolehkah Bersetubuh Ketika Hamil 1 Minggu?
Ya, anda boleh bersetubuh ketika hamil 1 minggu selagi tiada masalah kesihatan yang membahayakan kehamilan. Pada minggu pertama, kebanyakan wanita belum menyedari bahawa mereka sedang hamil kerana persenyawaan baru sahaja berlaku atau belum berlaku sepenuhnya. Oleh itu, hubungan intim pada waktu ini biasanya tidak memberi kesan kepada janin.
Namun, jika anda sedang merancang kehamilan atau baru menjalani rawatan kesuburan, berbincanglah dengan doktor tentang waktu yang sesuai untuk melakukan hubungan intim. Jika ada pendarahan atau ketidakselesaan selepas bersetubuh, segera dapatkan nasihat perubatan.
Tanda Amaran Lepas Bersama

Walaupun hubungan intim umumnya selamat, anda tetap perlu peka dengan isyarat yang ditunjukkan oleh tubuh. Ada beberapa simptom selepas bersama yang tak boleh dianggap remeh dan memerlukan perhatian perubatan segera:
- Pendarahan faraj. Walaupun sekadar spotting, jika pendarahan berterusan atau makin banyak bersama rasa sakit, terus jumpa doktor.
- Kram perut melampau. Rasa tegang atau memulas yang kuat pada bahagian bawah perut selepas seks bukanlah perkara normal.
- Lendir luar biasa atau berbau. Cecair faraj yang bertukar warna, terlalu banyak atau berbau hanyir mungkin petanda jangkitan.
- Rasa sakit yang tajam. Sekiranya isteri mengalami kesakitan luar biasa semasa atau selepas berhubungan, hentikan serta-merta.
Jangan tunggu atau bertangguh jika ada mana-mana tanda ini. Tindakan pantas mendapatkan pemeriksaan pakar penting bagi memastikan keselamatan janin serta mengelakkan sebarang komplikasi yang tak diingini.
Kebaikan Seks Awal Kehamilan untuk Hubungan Suami Isteri
Seks awal kehamilan bukan sahaja membantu mengekalkan keintiman antara pasangan, malah boleh memberi kesan positif terhadap kesihatan emosi dan fizikal.
Antara manfaat seks semasa hamil adalah:
- Mengurangkan stres. Hubungan seksual meningkatkan hormon endorfin yang membantu menenangkan fikiran.
- Menguatkan ikatan suami isteri. Meningkatkan rasa kasih sayang dan persefahaman.
- Meningkatkan kualiti tidur. Selepas hubungan seksual, tubuh menjadi lebih relaks, menjadikan tidur lebih lena.
- Melancarkan peredaran darah. Membantu membawa oksigen kepada janin dengan lebih baik.
Namun, semuanya bergantung kepada tahap keselesaan isteri. Seks awal kehamilan bukan satu kewajipan, tetapi boleh menjadi pengalaman positif jika dilakukan dengan pemahanan dan persetujuan bersama.
Kesimpulan
Seks awal kehamilan boleh menjadi satu pengalaman yang selamat dan positif jika pasangan memahami perubahan fizikal dan emosi yang berlaku. Kunci utama adalah komunikasi, hormat dan toleransi.
Jangan anggap kehamilan sebagai penghalang untuk terus menikmati keintiman dalam hubungan suami isteri. Sebaliknya, jadikan ia sebagai fasa baru untuk lebih mengenali dan menghargai pasangan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau mengalami tanda-tanda mencurigakan selepas hubungan intim, jangan berlengah untuk mendapatkan nasihat doktor.
Jika anda baru sahaja disahkan hamil dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang kesesuaian seks awal kehamilan, jangan ragu untuk berbincang dengan doktor anda. Untuk lebih banyak info kesihatan ibu mengandung, kehamilan dan hubungan suami isteri yang sihat, ikuti laman sesawang kami hari ini!
6 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.