Bila ujian kehamilan tunjuk double line, ramai wanita yang teruja nak tahu berapa minggu sebenarnya usia kandungan.

Sebenarnya, tahu usia kandungan yang betul ni penting bukan sekadar nak agak bila tarikh bersalin (EDD) je. Tapi ia juga bantu kita bersedia dari segi pemakanan, vitamin dan pantau perkembangan si manja setiap minggu.

Sama ada guna tarikh haid terakhir (LMP) atau imbasan ultrasound, jom fahami cara kira usia kandungan yang biasa doktor guna supaya bakal ibu tak keliru lagi.

Fahami Maksud Sebenar Usia Kandungan

Sebelum pening kepala nak mengira, jom fahami dulu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan usia kehamilan. Secara ringkasnya, ia merujuk kepada tempoh bermula dari hari pertama haid terakhir anda (LMP). Ramai bakal ibu yang keliru dan menganggap usia kehamilan ni dikira dari tarikh persenyawaan berlaku. TIDAK!

Kenapa kira dari LMP? Sebabnya mudah saja:

  • Sukar kesan tarikh ovulasi: Kebanyakan wanita memang tak tahu bila persenyawaan sebenar berlaku, tapi tarikh haid terakhir biasanya lebih senang diingat.
  • Pengiraan standard 40 minggu: Kehamilan normal biasanya mengambil masa kira-kira 40 minggu (280 hari) yang dihitung terus dari LMP tersebut.

Sebab itu bila doktor sahkan anda hamil, usia kandungan selalunya dah cecah minggu ke-4 atau ke-5. Hakikatnya, persenyawaan cuma berlaku lebih kurang dua minggu selepas haid terakhir. Jadi jangan pelik pula bila kiraan doktor lebih awal beberapa minggu daripada apa yang anda jangkakan!

4 Kaedah / Cara Kira Usia Kandungan

cara kira usia kandungan
Suami menemani isteri berjumpa dengan doktor untuk melakukan imbasan bunyi bagi mengetahui perkembangan janin.

Terdapat 4 kaedah yang sering digunakan untuk cara kira minggu kehamilan. Anda juga boleh gunakan kalkulator di bawah:

Kira Usia Kandungan & EDD

*Keputusan adalah berdasarkan purata kitaran 28 hari. Sila rujuk doktor untuk pengesahan lanjut.

Cara Kira Usia Kandungan Menggunakan Tarikh Haid Terakhir (LMP)

Cara kira usia kandungan yang paling biasa digunakan oleh doktor adalah berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir. Kaedah ini mudah dan tidak memerlukan sebarang peralatan.

Langkah tepat guna LMP untuk cara kira minggu kehamilan:

  1. Ambil tarikh hari pertama haid terakhir.
  2. Kira bilangan minggu dari tarikh tersebut hingga ke tarikh semasa.
  3. Setiap 7 hari dikira sebagai 1 minggu kehamilan.

Contoh:

  • Tarikh haid terakhir: 1 Januari
  • Tarikh semasa: 1 Mac
  • Jumlah hari = 60 hari
  • Usia kandungan = 60 ÷ 7 = ~8 minggu 4 hari

Walaupun kaedah ini mudah, namun kiraan ini hanya tepat jika kitaran haid wanita adalah teratur (28–30 hari). Jika haid tidak tetap, LMP mungkin tidak memberikan pengiraan yang tepat.

Kiraan Usia Kandungan Berdasarkan Tarikh Persenyawaan (Conception Date)

Sekiranya anda tahu tarikh ovulasi atau waktu bersama suami yang berkemungkinan menyebabkan kehamilan, anda juga boleh mengira usia kandungan dari tarikh persenyawaan. Namun, kaedah ini jarang sekali tepat kerana ovulasi tidak berlaku pada hari yang sama setiap bulan, terutama bagi wanita dengan kitaran haid tidak tetap.

Cara kira usia kandungan ikut tarikh bersama:

  1. Ambil tarikh persenyawaan (jika diketahui).
  2. Tambah 14 hari untuk dapatkan usia kandungan yang selaras dengan LMP.

Contoh:

  • Tarikh persenyawaan: 15 Januari
  • Usia kandungan pada 22 Januari: (7 hari + 14) = 3 minggu

Kaedah ini hanya sesuai jika anda menggunakan alat ovulasi atau rawatan kesuburan yang menjejaki waktu ovulasi secara tepat.

Cara Kira Usia Kandungan Menggunakan Ultrasound (Imbasan)

Satu lagi cara kira usia kandungan yang sangat tepat ialah melalui ultrasound (scan). Doktor biasanya akan membuat imbasan pada trimester pertama (6-12 minggu) untuk mengesahkan usia kandungan secara klinikal.

Ultrasound dapat mengukur panjang janin (Crown-Rump Length) yang membolehkan usia kehamilan ditentukan secara lebih tepat berbanding hanya menggunakan LMP.

Jenis imbasan:

  • Vaginal scan (6-8 minggu). Kaedah ini lebih tepat untuk usia kandungan awal.
  • Abdominal scan (10-12 minggu dan seterusnya). Kaedah ini digunakan sepanjang kehamilan untuk memantau pertumbuhan bayi.

Keputusan imbasan akan memberikan tarikh jangkaan bersalin (EDD atau Estimated Due Date) berdasarkan usia sebenar janin.

Aplikasi & Kalkulator Kehamilan Di Hujung Jari

Zaman sekarang semuanya di hujung jari, jadi tak perlulah pening-pening nak mengira manual pada kalendar. Menggunakan kalkulator kehamilan online atau aplikasi di telefon pintar memang jauh lebih praktikal untuk ibu-ibu yang sibuk.

Masukkan saja tarikh haid terakhir (LMP), sistem akan terus tolong kirakan usia kandungan serta anggaran tarikh bersalin (EDD).

Antara aplikasi popular yang ramai ibu guna termasuklah:

  • BabyCenter & What to Expect: Sangat berguna untuk ikuti perkembangan saiz janin dari minggu ke minggu berserta visual yang menarik.
  • Ovia Pregnancy Tracker: Memudahkan anda menjejak simptom harian, perubahan berat badan dan jadual kesihatan.
  • BukuPink.my: Pilihan versi tempatan yang lebih mesra budaya kita dan senang nak rujuk maklumat berkaitan pemeriksaan klinik kerajaan.

Selain bantu tahu usia kandungan, aplikasi sebegini amat memudahkan ibu memantau perkembangan bayi serta ingat jadual temujanji doktor supaya tiada yang terlepas.

Susah Nak Kira Kalau Haid Tak Teratur? Ini Solusinya

Bagi wanita yang kitaran haidnya tak menentu, nak guna kaedah tarikh haid terakhir (LMP) memang boleh buat pusing kepala. Tarikh tak tepat, jadi kiraan pun boleh tersasar jauh.

Tapi jangan risau, ada beberapa cara lain yang doktor selalu guna:

  • Imbasan Ultrasound Awal: Ini cara paling accurate. Selalunya antara minggu ke-6 hingga ke-12, doktor akan ukur panjang janin dari kepala ke punggung (Crown-Rump Length). Memandangkan kadar pembesaran bayi pada trimester pertama agak seragam, ukuran ni sangat membantu tentukan usia kandungan yang sebenar.
  • Jejak Tarikh Ovulasi: Kalau anda ada buat rawatan kesuburan atau guna ovulation kit, tarikh persenyawaan biasanya lebih jelas. Cara nak dapatkan usia kehamilan cuma perlu tambah 14 hari dari tarikh ovulasi tersebut.

Pendek kata, kalau haid memang tak teratur dan tak pasti bila ovulasi berlaku, langkah terbaik adalah terus jumpa doktor untuk scan. Selain dapat tahu usia kandungan dengan tepat, ibu pun boleh rasa lebih tenang bila tahu perkembangan si manja berjalan lancar.

Nak lebih kepastian berapa minggu usia kandungan anda, boleh gunakan kit ujian kehamilan ni.

Perbezaan Usia Gestasi dan Usia Janin

Dalam memahami cara mengira usia kandungan dengan betul, penting untuk kita membezakan dua istilah utama:

  • Usia Gestasi (Gestational Age): Dikira dari tarikh haid terakhir. Ini adalah kiraan biasa digunakan oleh doktor.
  • Usia Janin (Fetal Age): Dikira dari tarikh sebenar persenyawaan. Biasanya lebih muda 2 minggu dari usia gestasi.

Contohnya, jika anda berada dalam minggu ke-10 kehamilan secara gestasi, usia janin anda sebenarnya sekitar 8 minggu.

cara kira usia kandungan
Dapatkan konsultasi doktor untuk tahu lebih tepat cara kira usia kandungan.

Cara Mengira Usia Kandungan Dalam Bulan

Ramai ibu mengandung tertanya-tanya cara kira usia kandungan dalam bulan kerana doktor dan aplikasi kehamilan biasanya menggunakan minggu. Untuk menukarnya kepada bulan, anda perlu faham bahawa kehamilan biasanya berlangsung selama 40 minggu, iaitu kira-kira 9 bulan 10 hari.

Berikut ialah panduan umum penukaran minggu ke bulan:

  • Minggu 1-4 = 1 Bulan
  • Minggu 5-8 = 2 Bulan
  • Minggu 9-13 = 3 Bulan
  • Minggu 14-17 = 4 Bulan
  • Minggu 18-22 = 5 Bulan
  • Minggu 23-27 = 6 Bulan
  • Minggu 28-31 = 7 Bulan
  • Minggu 32-35 = 8 Bulan
  • Minggu 36-40 = 9 Bulan

Namun begitu, cara kira usia kandungan dalam bulan hanya memberi anggaran kerana bilangan minggu setiap bulan tidak tetap. Oleh itu, doktor lebih suka menggunakan minggu supaya lebih spesifik dalam menentukan perkembangan janin dan jadual pemeriksaan.

Walaupun begitu, anda boleh gunakan kedua-dua sistem iaitu minggu untuk rujukan klinikal dan bulan untuk komunikasi harian dengan keluarga dan rakan.

Kepentingan Tahu Usia Kandungan Yang Tepat

cara kira usia kandungan
Mengapa bakal ibu perlu tahu cara kira usia kandungan?

Mengetahui cara kira minggu kehamilan bukan hanya untuk tahu tarikh bersalin, tetapi juga penting untuk:

  • Menjadualkan pemeriksaan antenatal: Pemeriksaan pertama biasanya berlaku antara minggu ke-8 hingga ke-12.
  • Memantau perkembangan bayi: Setiap minggu mempunyai perkembangan kritikal janin.
  • Menentukan tarikh ujian penting: Seperti Ujian NIPT, ujian darah trimester pertama, ujian air ketuban dan sebagainya.
  • Merancang cuti bersalin dan persediaan kelahiran.

Faktor Yang Mempengaruhi Ketepatan Kiraan Usia Kandungan

Walaupun banyak kaedah untuk kira usia kandungan, namun terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi ketepatannya:

  • Kitaran haid tidak tetap.
  • Masalah ovulasi.
  • Persenyawaan hasil rawatan kesuburan (IVF).
  • Tidak ingat tarikh haid terakhir.
  • Kehamilan berganda (kembar/triplet).

Dalam kes ini, imbasan ultrasound adalah kaedah terbaik untuk kira usia kehamilan dengan lebih tepat.

Cara Kira Due Date (Tarikh Jangkaan Bersalin)

Cara kira due date atau tarikh jangkaan bersalin juga penting untuk merancang perjalanan kehamilan dengan lebih teratur. Kaedah paling biasa digunakan ialah kaedah Naegele, iaitu berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir (LMP).

Formula Naegele:

  • Tambah 7 hari kepada tarikh hari pertama haid terakhir.
  • Tambah 9 bulan.

Contoh:

  • Haid terakhir: 10 Januari
  • Tambah 7 hari = 17 Januari
  • Tambah 9 bulan = 17 Oktober
  • Due date = 17 Oktober

Jika kitaran haid anda lebih panjang atau lebih pendek daripada 28 hari, pengiraan ini mungkin perlu disesuaikan. Bagi wanita yang tidak pasti tarikh haid terakhir, cara kira usia kandungan melalui ultrasound adalah kaedah terbaik. Imbasan awal trimester boleh memberikan anggaran due date yang lebih tepat berdasarkan saiz janin.

Selain kaedah manual, anda juga boleh menggunakan kalkulator kehamilan di laman kesihatan atau aplikasi kehamilan untuk mendapatkan tarikh jangkaan bersalin secara automatik. Ketepatan due date membantu merancang pemeriksaan, cuti bersalin dan persediaan kelahiran dengan lebih baik.

Kesimpulan

Cara kira usia kandungan adalah ilmu asas yang penting untuk setiap wanita yang sedang atau merancang kehamilan. Anda boleh mengiranya sendiri menggunakan LMP, aplikasi, atau melalui imbasan doktor. Namun, sebarang perubahan, ketidaktepatan haid atau kehamilan tidak normal memerlukan pengesahan perubatan.

Usia kandungan yang tepat membantu anda bersedia dari aspek kesihatan fizikal, mental dan perancangan masa depan keluarga. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anda keliru atau tidak pasti mengenai usia kandungan anda.

Ingin tahu dengan lebih tepat usia kehamilan anda? Gunakan kalkulator kehamilan interaktif kami di BukuPink.my dan dapatkan panduan setiap minggu kehamilan anda. Jangan lupa daftar pemeriksaan antenatal awal untuk pemantauan yang lebih selamat buat anda dan bayi!

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

6 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Pregnancy - week by week
  2. Due date calculator
  3. Calculating a Due Date
  4. Pregnancy Due Date Calculator
  5. Due Date Calculator
  6. Cara Betul Kira Usia Kandungan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.