Tengah seronok layan fasa kehamilan, tiba-tiba perut ibu rasa kurang selesa dan terpaksa berulang ke tandas? Mesti cemas dan terfikir sama ada ini perkara biasa atau ada sesuatu yang tak kena dengan baby dalam kandungan, kan?

Perubahan hormon dan corak pemakanan waktu mengandung memang kerap buat sistem penghadaman kita terkejut, kalau bukan kena sembelit, mesti cirit-birit. Walaupun selalunya tak serius, masalah perut memulas ni kalau dibiar boleh buat badan ibu cepat lembik dan dehidrasi.

Jom kita fahamkan punca sebenar, tanda-tanda amaran yang kena waspada dan langkah selamat untuk legakan perut ibu tanpa beri kesan pada kandungan.

Bahaya Ke Kalau Ibu Mengandung Cirit-Birit?

Mana-mana wanita hamil pun akan terus rasa cemas bila perut tiba-tiba memulas waktu hamil. Terus terbayang keadaan si manja kat dalam, kan?

Secara umumnya, cirit-birit ni tak sentiasa bermaksud ada masalah serius pada kandungan. Selalunya ia cuma reaksi badan terhadap apa yang kita makan atau kesan pergerakan hormon. Tapi, situasi boleh bertukar bahaya kalau ibu mula abaikan beberapa perkara ni:

  • Berapa lama berlaku? Najis cair berlanjutan melebihi dua atau tiga hari tanpa tanda nak surut.
  • Badan mula kurang air. Tanda dehidrasi makin ketara sebab cecair hilang terlalu cepat.
  • Simptom disertai demam panas, muntah-muntah, sakit perut yang melampau atau ada kesan darah pada najis.

Kalau sekadar sekali dua dan ibu masih ada tenaga, insya-Allah bayi masih selamat. Risiko utama sebenarnya datang daripada dehidrasi iaitu bila cecair badan drop teruk, aliran darah dan nutrien ke plasenta pun boleh terjejas.

Sebab tu usus kita cepat meragam waktu hamil. Kadang-kadang ia disebabkan perubahan hormon progesteron, perut ‘terkejut’ dengan vitamin pranatal (terutamanya iron), atau sekadar perut makin sensitif dengan makanan pedas dan berminyak. Malah, risiko keracunan makanan pun boleh berlaku.

Selagi ibu masih kekal hidrat, tiada demam dan najis nampak biasa, cubalah rehat di rumah dulu. Tapi kalau badan rasa makin longlai, jangan tunggu lagi! Terus dapatkan pemeriksaan doktor ya.

ibu mengandung cirit birit
Segera jumpa doktor jika ibu mengalami tanda pelik cirit birit.

Cirit Birit Ketika Hamil Trimester Pertama

Trimester pertama adalah fasa paling mencabar sebab badan tengah beradaptasi dengan perubahan hormon. Ramai ibu hamil biasa dapat simptom muntah (morning sickness), tapi ada juga yang alami cirit-birit ketika hamil trimester pertama.

Kenapa boleh jadi begitu?

  • Perubahan hormon progesteron & estrogen.
  • Selera makan berubah, tiba-tiba suka makanan pedas atau masam.
  • Badan lebih sensitif dengan kafein atau makanan berminyak.

Walaupun biasanya tak bahaya, namun cirit-birit yang berterusan boleh buat ibu penat, lesu dan susah nak makan. Jadi penting untuk ibu kawal diet, elakkan makanan terlalu pedas dan banyakkan air masak.

Cirit Birit Ketika Hamil 6 Minggu

Minggu ke-6 selalunya fasa “drama hormon”. Masa ni, badan mula tunjuk banyak tanda awal kehamilan. Ada ibu rasa letih, ada yang mual, ada pula kena cirit birit ketika hamil 6 minggu.

Cirit-birit masa ni biasanya berpunca dari:

  • Adaptasi hormon.
  • Pemilihan makanan. Ramai ibu mula craving benda pelik.
  • Suplemen baru, kadang-kadang perut belum biasa.

Kalau kondisi cirit-birit masih ringan, ibu cuma perlu kawal pemakanan dan pastikan minum cukup air. Tapi kalau cirit-birit terlalu kerap, jumpa doktor untuk pastikan ia bukan tanda jangkitan.

Ibu Mengandung Cirit Birit Masa Trimester 2

Ramai kata trimester kedua ni fasa honeymoon sebab alahan awal dah makin berkurang dan tenaga pun dah mula balik. Tapi, jangan terkejut kalau tiba-tiba perut pula buat hal. Cirit birit ketika hamil trimester 2 ni selalunya berpunca daripada beberapa hal biasa:

  • Selera makan bertukar. Masa ni selera dah mula datang balik, jadi kita cenderung cuba macam-macam makanan baru yang usus tak biasa.
  • Makan kat kedai yang kebersihannya agak meragukan atau kurang dimasak sempurna.
  • Jangkitan kuman ringan. Perut memulas akibat jangkitan kuman persekitaran yang buat sistem penghadaman terkejut.

Hal yang paling kita risaukan masa fasa ni sebenarnya dehidrasi. Bila kerap berulang ke tandas, badan cepat hilang air dan ini boleh beri kesan pada aliran cecair dalam badan untuk bayi.

Kalau perut mula rasa tak sedap, perlahankan aktiviti dan banyakkan rehat. Selang-selikan minum air masak dengan minuman isotonik untuk ganti semula garam mineral yang hilang. Buat masa ni, elakkan dulu beli makanan luar yang diragui kebersihannya ya.

Cirit Birit Ketika Hamil Trimester 3

Masuk trimester ketiga, badan ibu makin sarat. Kadang-kadang ibu mengandung cirit birit masa ni disebabkan tekanan fizikal pada perut. Ada juga ibu yang mengalami cirit-birit sebagai tanda awal nak bersalin.

Beberapa sebab biasa cirit birit ketika hamil trimester 3 adalah:

  • Tekanan rahim pada usus.
  • Perubahan diet akhir kehamilan.
  • Tanda awal bersalin di mana usus mula aktif sebelum kontraksi.

Kalau cirit-birit datang bersama kontraksi, lendir darah atau pecah air ketuban itu adalah tanda bersalin, bukannya sekadar masalah perut biasa.

Cirit Birit Ketika Hamil 37 Minggu

Minggu ke-37 adalah “full term”. Jadi bila cirit birit ketika hamil 37 minggu berlaku, ramai doktor anggap ia tanda badan sedang bersedia untuk proses kelahiran. Usus jadi lebih aktif dan badan cuba kosongkan perut sebelum bersalin.

Kalau berlaku sekali-sekala, ibu tak perlu risau. Tapi kalau cirit-birit berterusan dengan tanda lain macam contraction, itu mungkin “signal” baby dah nak keluar.

Pengalaman Ibu Hamil Kena Cirit-Birit (Real Story Dari FB Info Ibu Hamil Official)

Bila baca luahan seorang ibu di FB Info Ibu Hamil Official yang kandungannya dah masuk 33 minggu (perut asyik memulas, kerap membuang air besar tapi keluar sikit-sikit) ramai rupanya ibu lain yang pernah lalui situasi sama.

Ini antara perkongsian dan pandangan berguna daripada ibu-ibu dalam komuniti tersebut:

  • “Normal rasanya. Saya pun jadi macam itu juga, sekarang ini pun kandungan dah masuk 33 minggu lebih.”
  • “Sebab bayi makin besar, jadi dia makin menekan bahagian abdomen kita. Macam saya pula sampai kena buasir dibuatnya, memang tak boleh nak buat apa. Baru 37 minggu tapi seksanya rasa bila buasir datang.”
  • “Saya pernah kena cirit-birit sampai lembik habis badan. Bila jadi macam itu, gerakan bayi pun mula berkurang. Terus saya pergi hospital dan kena tahan wad 3 hari. Sebanyak 8 botol air dimasukkan sebab badan dah terlalu kekurangan cecair.”
  • “Cuba makan buah naga warna ungu. Kalau saya, lepas makan buah itu Alhamdulillah membuang jadi lebih lancar dan elok sahaja.”

Ubat Cirit Birit Ibu Mengandung

ibu mengandung cirit birit
Tips cepat atasi cirit birit ibu mengandung.

Ramai ibu risau nak ambil ubat masa mengandung, takut beri kesan pada bayi. Memang betul, tak semua ubat selamat diambil oleh ibu hamil. Untuk ubat cirit birit ibu mengandung, biasanya doktor akan pilih ubat yang selamat seperti:

  • Oral rehydration salts (ORS) untuk elak dehidrasi.
  • Probiotik bantu seimbangkan bakteria usus.
  • Ubat antidiarrheal tertentu hanya diambil jika perlu, ikut nasihat doktor.

Elakkan beli ubat sembarangan di farmasi tanpa rujuk doktor. Kadang-kadang rawatan paling mudah cuma rehat, minum air banyak dan makan makanan lembut.

Punca & Cara Atasi Ibu Mengandung Cirit Birit

Berikut merupakan punca cirit-birit dan rawatan selamat jika ibu mengandung cirit birit:

Punca Cirit-BiritCara Atasi Selamat untuk Ibu Hamil
Perubahan hormon semasa mengandungRehat secukupnya, makan makanan lembut dan mudah hadam
Makanan tercemar atau tidak bersihElakkan makan di luar yang tidak terjamin kebersihannya
Diet berlebihan pedas, berlemak, manisPilih makanan sihat seperti bubur, sup, pisang atau roti
Suplemen (contoh zat besi)Rujuk doktor untuk tukar jenis suplemen lebih sesuai
Jangkitan perut (virus/ bakteria)Banyakkan minum air, ambil ORS, jumpa doktor jika berlarutan
Tekanan rahim pada usus (akhir kehamilan)Minum air cukup, rehat lebih, kawal pemakanan

Cara Atasi Ibu Mengandung Cirit Birit di Rumah

ibu mengandung cirit birit
Banyakkan minum air kosong bagi mengelakkan ibu mengandung cirit birit mengalami dehidrasi.

Selain ubat, ibu boleh cuba rawatan mudah di rumah:

  • Minum air masak secukupnya.
  • Elakkan makanan pedas, berminyak dan terlalu manis.
  • Pilih makanan lembut macam bubur, sup, pisang atau roti.
  • Rehat cukup, jangan terlalu penat.

Kadang-kadang perubahan kecil pada diet pun dah cukup untuk redakan masalah ni.

Kesimpulan

Masalah ibu mengandung cirit birit memang boleh buat risau, tapi tak semua kes bahaya. Selagi tak ada tanda serius macam dehidrasi teruk, darah dalam najis atau demam tinggi, biasanya ia cuma sementara.

Kalau ibu alami cirit-birit berlarutan, jangan tangguh! Jumpa doktor untuk pastikan semuanya selamat. Yang paling penting, kekal hidrat dan makan makanan yang bersih.

Kalau anda atau kawan sedang alami masalah ibu mengandung cirit birit, jangan risau berlebihan. Amalkan tips yang dikongsi, banyakkan minum air dan kalau ada tanda pelik, terus dapatkan nasihat doktor.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Diarrhea During Pregnancy
  2. Gastrointestinal Issues During Pregnancy
  3. Diarrhoea and vomiting in pregnancy
  4. 4 common pregnancy-related GI issues, and when to call the doctor
  5. Effect of Diarrheal Illness During Pregnancy on Adverse Birth Outcomes in Nepal
  6. Diarrhea and pregnancy. Can diarrhea be a symptom of pregnancy and what to use for diarrhea in pregnancy?
  7. Cirit-birit Semasa Hamil
  8. Ibu mengandung tiba-tiba cirit-birit?

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.