Masuk je trimester kedua atau ketiga, badan mula rasa cepat letih, pening dan kaki pulak makin bengkak. Kadang kita ingat ini cuma pembawaan budak atau penat biasa. Tapi sebenarnya, rasa tak sedap badan macam ni boleh jadi tanda awal preeklampsia ringan.
Sebab tu penting untuk bakal ibu peka dengan perubahan kecil pada badan sendiri. Bukan nak menakutkan tapi supaya kita boleh bertindak awal sebelum benda ni jadi makin serius.
Jom fahami apa yang berlaku dan bagaimana nak jaga diri serta bayi dalam kandungan.
Apa Maksud Preeklampsia?
Secara mudahnya, maksud preeklampsia ialah komplikasi yang khusus menyerang ibu hamil, lazimnya dikesan bila usia kandungan masuk minggu ke-20 dan ke atas.
Ibu berdepan masalah ini biasanya menunjukkan tanda utama seperti tekanan darah tiba-tiba naik dan ada kandungan protein dalam kencing. Sebahagian ibu pula akan perasan muka atau tangan mula sembab, kepala rasa mencucuk-cucuk atau penglihatan jadi makin kabur.
Ingat ya ibu-ibu, ini bukan sekadar penat mengandung biasa atau bengkak kaki sebab terlebih berjalan. Preeklampsia kalau dibiarkan boleh merosakkan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang, malah berisiko menjejaskan tumbesaran bayi dalam kandungan.
Bila badan mula rasa pelik, cepat-cepat jumpa doktor. Mencegah dari awal jauh lebih baik untuk keselamatan ibu dan bayi.
5 Tanda Preeklampsia Ringan Yang Selalu Ibu Terlepas Pandang

Berikut antara tanda preeklampsia ringan yang ibu hamil perlu ambil tahu:
1. Bengkak luar biasa tanda preeklampsia ringan
Kalau bengkak kaki atau tangan semakin teruk, terutama apabila bangun tidur dan bengkak tak surut-surut, ini boleh jadi petanda awal preeklampsia.
2. Sakit kepala yang tak hilang-hilang
Kalau sakit kepala berpanjangan dan tak lega walaupun ibu dah rehat atau makan ubat biasa, ini bukan sekadar keletihan. Ini tanda preeklampsia ringan ibu hamil!
Tanda preeklampsia ringan #3. Mata jadi kabur atau nampak bintik-bintik
Ibu mengalami masalah penglihatan, nampak kilauan cahaya atau kabur secara tiba-tiba? Jangan abaikan! Ia boleh menandakan tekanan darah terlalu tinggi atau tanda preeklampsia ringan!
4. Rasa tidak selesa di bahagian atas abdomen
Terutamanya di bawah tulang rusuk kanan, jika ibu rasa macam ditekan atau senak, ini boleh dikaitkan dengan masalah hati akibat tanda preeklampsia ringan.
Tanda preeklampsia ringan #5. Berat badan naik mendadak
Jika berat naik lebih dari biasa dalam masa singkat (contohnya 2-3 kg dalam seminggu), mungkin disebabkan oleh pengekalan air, bukan makanan semata-mata. Semua ini ialah tanda preeklampsia ringan yang wajib diberi perhatian.
Walaupun nampak remeh, namun ia boleh menjadi tanda bahaya preeklampsia jika dibiarkan.
Siapa Yang Paling Berisiko Kena Preeklampsia?
Tak semua wanita mengandung akan alami preeklampsia. Tapi ada sesetengah ibu yang berdepan risiko lebih tinggi untuk alaminya berbanding orang lain:
- Ibu mengandung anak sulung. Kehamilan pertama selalunya buat badan rasa ‘terkejut’ dengan perubahan hormon dan sistem aliran darah baru.
- Ada ahli keluarga pernah kena. Kalau emak atau adik-beradik perempuan pernah ada sejarah ini, kebarangkalian kita untuk kena pun lebih tinggi.
- Hamil kembar. Beban pada uri dan badan ibu berlipat ganda bila bawa lebih daripada seorang bayi.
- Masalah berat badan (BMI tinggi). Lebih-lebih lagi kalau ibu ada berat badan berlebihan sebelum hamil lagi.
- Ibu ada penyakit sedia ada. Contohnya sejarah darah tinggi, kencing manis atau masalah imun seperti lupus.
Kalau ibu ada mana-mana faktor di atas, jangan lupa untuk check BP secara konsisten setiap kali pergi check-up. Kadang-kadang tanda preeklampsia ringan tak nampak langsung pada fizikal, tapi bacaan tekanan darah kat klinik tu lah yang jadi pemutusnya.
Tanda Bahaya Preeklampsia

Kalau tanda preeklampsia ringan tak dirawat, ia boleh bertukar kepada preeklampsia teruk. Apabila sampai tahap ini, nyawa ibu dan bayi mungkin dalam risiko. Antara tanda bahaya preeklampsia termasuk:
- Tekanan darah terlalu tinggi (lebih 160/110 mmHg).
- Kejang (seizure).
- Kurang air ketuban.
- Pergerakan bayi berkurang.
- Masalah pernafasan
Kalau ibu alami mana-mana tanda ni, jangan tunggu, terus ke hospital. Lebih cepat dapat rawatan, lebih selamat.
Cara Mengatasi Preeklampsia
Walaupun tiada ubat khusus untuk preeklampsia, namun ada cara untuk mengawal dan mengurangkan risiko.
1. Pantau tekanan darah
Rajin cek BP untuk ibu mengandung sama ada di klinik atau guna mesin sendiri di rumah.
2. Pemakanan seimbang
Kurangkan makanan tinggi garam dan gula. Lebihkan sayur, buah dan makanan berprotein seperti ikan dan kekacang.
3. Cukup rehat & kurangkan stress

Emosi ibu sangat mempengaruhi kesihatan kehamilan. Cari masa untuk rehat dan buat aktiviti santai seperti yoga ibu hamil atau berjalan perlahan-lahan.
4. Pengambilan ubat dari doktor
Kalau tekanan darah anda tinggi, doktor mungkin akan beri ubat. Jangan hentikan pengambilan ubat tanpa arahan walaupun ibu dah rasa sihat.
Cara mengatasi preeklampsia tak rumit. Kuncinya ibu perlu konsisten dan ikut nasihat pakar.
Petua Untuk Hilangkan Darah Tinggi Semasa Hamil (Secara Semula Jadi)
Untuk ibu-ibu yang suka pendekatan semula jadi, ini antara petua untuk hilangkan darah tinggi semasa hamil:
- Air kelapa muda membantu kawal tekanan darah dan segarkan badan.
- Bawang putih mentah dikatakan boleh bantu kurangkan tekanan darah.
- Kurma tinggi zat besi dan tenaga, sesuai untuk ibu hamil.
- Senaman ringan seperti berjalan kaki 30 minit sehari.
Tapi ingat, petua tradisional bukan pengganti rawatan doktor. Guna petua ini sebagai sokongan tambahan sahaja.
Pengalaman Ibu Alami Preeklampsia
Membaca perkongsian daripada ibu-ibu daripada page Caesarean Mums Malaysia dalam Facebook, kita dapat lihat betapa cabaran preeklampsia ini sangat nyata. Pengalaman yang dilalui setiap ibu memang berbeza, namun pengajarannya tetap sama iaitu pentingnya pemantauan awal.
Berikut pengalaman real ibu-ibu alami preeklampsia semasa hamil:
“Masa kehamilan pertama saya dijangkiti preeklampsia sehingga perlu jalani pembedahan caesarean secara kecemasan pada September 2021. Baby selamat dilahirkan secara pramatang, tetapi tak dapat bertahan lama disebabkan jangkitan kuman. Sekarang saya cuba jarakkan kehamilan dalam setahun lebih sebelum kembali ikhtiar hamil (TTC). Setakat yang saya baca daripada pengalaman ibu-ibu lain, untuk kehamilan seterusnya nanti doktor akan pantau dengan lebih ketat untuk kawal risiko ini. Insya-Allah, semoga Allah memudahkan urusan dan doakan yang baik-baik buat saya.”
“Saya pernah kena preeklampsia masa mengandung anak pertama. Masa tu anak terpaksa dilahirkan seawal minggu ke-28 dengan berat cuma 800 gram. Tapi alhamdulillah, sekarang anak dah berumur 9 tahun dan dapat bersekolah macam biasa, cuma ada sedikit masalah lambat bercakap (speech delay). Masa kehamilan kedua pula, alhamdulillah semuanya dipermudahkan tanpa sebarang komplikasi.“
“Yang penting kita kena sentiasa semak tekanan darah dan peka dengan sebarang perubahan pada badan. Sekarang saya tengah mengandungkan anak ketiga dan cuma tinggal 6 minggu lagi sebelum tarikh bersalin. Pada ibu-ibu di luar sana, jangan trauma ya. Bila usia semakin meningkat, risiko tu memang ada. Cuma kalau ada sejarah preeklampsia sebelum ni, doktor akan pantau dua minggu sekali sejak awal buka buku pink lagi.”
Preeklampsia Selepas Bersalin
Ramai yang ingat preeklampsia hanya berlaku masa mengandung. Tapi sebenarnya, preeklampsia selepas bersalin pun boleh berlaku! Ia dikenali sebagai postpartum preeclampsia.
Ia biasanya berlaku dalam 48 jam pertama selepas bersalin tapi kadang-kadang boleh muncul hingga 6 minggu selepas itu.
Antara tandanya:
- Tekanan darah tinggi tiba-tiba.
- Sakit kepala teruk.
- Penglihatan kabur.
- Bengkak melampau.
Jika selepas bersalin ibu mengalami rasa tak sedap badan, jangan abaikan tanda-tanda ini. Terus ke hospital untuk pemeriksaan.
Sayangi Diri, Kenali Tanda Preeklampsia Ringan
Tanda preeklampsia ringan mungkin nampak macam perkara biasa masa mengandung seperti bengkak, pening atau kabur mata.Tapi apabila digabung dengan tekanan darah tinggi dan sejarah kesihatan tertentu, ia boleh jadi tanda awal sesuatu yang lebih serius. Jadi jangan ambil mudah.
Semak tanda-tanda yang ibu alami, beritahu doktor dan buat cek BP untuk ibu mengandung secara berkala. Lagi cepat kita tahu, lagi mudah rawatannya.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.