Bila dapat tahu diri mengandung, benda pertama yang lalu kat fikiran mesti bab makan, kan? “Boleh ke makan ini? Nanti bahaya kat bayi tak?” Memang bakal ibu terus rasa gementar, lagi-lagi kalau baru fasa trimester pertama.

Mana taknya, perut tengah nak membentuk “rumah” untuk si manja. Silap makan, padahnya boleh kena kat ibu dengan kandungan sekali. Sebab tu penting sangat untuk ibu-ibu alert bab pemakanan dari awal lagi.

Jom semak senarai dan pantang larang makanan awal kehamilan yang wajib dielakkan supaya fasa mengandung ibu kekal selamat dan tenang!

Kenapa Ada Pantang Larang Makanan Awal Kehamilan?

Ketika masuk trimester pertama, sebenarnya tubuh kita tengah sibuk membina ‘foundation’ untuk si manja. Otak, jantung dengan sistem saraf organ bayi baru nak mula berkembang. Jadi, tersilap pilih menu harian memang boleh bawa kesan tak baik pada perkembangan bayi.

Sebab tu penting sangat untuk ibu-ibu tahu apa yang selamat dan apa yang patut dielakkan makan sewaktu hamil. Ketika hamil:

  • Imun badan ibu drop: Sistem pertahanan badan ibu mengandung memang automatik jadi makin lemah, jadi mudah sangat terdedah pada kuman atau bakteria makanan tercemar.
  • Janin masih rapuh: Kandungan kat dalam tu cukup sensitif dengan toksin, bahan kimia mahupun racun daripada pemakanan yang tak betul.
  • Risiko kehamilan: Ambil makanan sembarangan boleh meningkatkan risiko keguguran, terutamanya pada minggu-minggu awal.

Lagipun, kebanyakan panduan pemakanan ni dibuat untuk elak jangkitan berbahaya macam listeriosis, salmonella atau toksoplasmosis. Kena jangkitan ni bukan setakat keracunan biasa, tapi boleh trigger komplikasi serius sampai bayi cacat atau berisiko gugur.

Lebih baik beringat awal, kan?

Senarai Makanan yang Dilarang Awal Kehamilan

pantang larang makanan awal kehamilan
Ibu hamil digalakkan mengambil makanan secara bersederhana.

Terdapat beberapa jenis makanan yang tergolong dalam kategori berisiko dan perlu dielakkan sepanjang awal kehamilan. Berikut ialah senarai pantang larang makanan awal kehamilan yang wajib diketahui:

1. Makanan Mentah atau Separuh Masak

  • Contoh: sushi, telur separuh masak, daging mentah.
  • Risiko: Mengandungi bakteria seperti Salmonella dan Listeria yang boleh menyebabkan keguguran.

2. Susu Tidak Dipasteur dan Keju Lembut

  • Contoh: brie, feta, camembert.
  • Risiko: Listeria boleh menembusi uri dan menjangkiti janin.

3. Ikan Bermerkuri Tinggi

  • Contoh: ikan todak, jerung, marlin.
  • Risiko: Merkuri mengganggu perkembangan otak janin.

4. Hati dan Produk Hati

  • Hati mengandungi vitamin A dalam jumlah tinggi yang boleh membahayakan janin jika diambil berlebihan.

5. Kafein Berlebihan, makanan yang dilarang untuk ibu hamil trimester pertama

  • Pengambilan lebih 200mg kafein sehari boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang dan berat bayi rendah.

Pantang larang makanan awal kehamilan ini perlu dipatuhi dengan konsisten sepanjang trimester pertama bagi mengelakkan komplikasi tidak diingini.

Buah yang Dilarang untuk Ibu Hamil Awal Trimester

Dalam menjaga pantang larang makanan awal kehamilan, ibu hamil juga perlu berhati-hati dalam memilih buah-buahan.

Walaupun buah secara umumnya kaya vitamin dan serat, namun terdapat beberapa jenis buah-buahan yang boleh mendatangkan risiko jika diambil secara berlebihan dalam trimester pertama.

pantang larang makanan awal kehamilan
Buah nanas mengandungi bromelain yang bahaya untuk ibu hamil jika diambil secara berlebihan.

1. Nanas

Nanas mengandungi enzim bromelain yang boleh melembutkan serviks dan merangsang pengecutan rahim. Pengambilan berlebihan, terutamanya pada awal kehamilan boleh meningkatkan risiko keguguran.

2. Betik Muda

Betik yang belum masak sepenuhnya mengandungi lateks yang boleh mencetuskan kontraksi rahim. Ia juga boleh menyebabkan ketidakselesaan perut dan masalah pencernaan bagi sesetengah wanita hamil.

3. Anggur (dalam kuantiti berlebihan)

Walaupun kaya antioksidan, namun anggur terutama jenis hitam mengandungi resveratrol yang boleh mengganggu keseimbangan hormon jika diambil berlebihan. Selain itu, kulit anggur sukar dihadam dan boleh menyebabkan sembelit.

Sebagai langkah selamat, ibu hamil digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil sebarang jenis buah secara kerap dalam diet harian. Pastikan juga buah dicuci bersih dan diambil dalam jumlah sederhana.

Makanan Kat Bawah Ni Boleh Makan, Tapi Jangan Berlebihan!

Bukan semua benda ibu kena potong terus dari menu harian. Ada sesetengah makanan masih boleh masuk mulut, cuma kena pandai tahan diri supaya tak makan berlebihan. Maklumlah, fasa awal ni kadang-kadang tekak rasa teringin macam-macam, kan?

Boleh nak layan craving, tapi beragak-agak sebab kesan dia tetap ada pada kesihatan ibu dan bayi:

  • Makanan bergula tinggi: Kek, biskut manis atau air bergas memang sedap. Tapi kalau terlebih, risiko kena kencing manis masa hamil (GDM) memang tinggi.
  • Makanan terlalu masin: Jeruk dengan ikan masin memang penawar rasa mual. Cuma kena ingat, garam berlebihan boleh jadi punca tekanan darah naik sampai berisiko terkena preeclampsia.
  • Makanan segera dan diproses: Sosej, nuget atau burger tu mudah nak masak. Cuma nutrisinya kurang, malah padat dengan lemak trans, garam dan bahan pengawet.
  • Minuman berkafein: Peminat kopi, teh tarik, atau energy drink kena mula catu pengambilan harian. Cukup sekadar satu cawan sehari saja untuk elak risiko pada janin.

Tak ada lah sampai kena pantang ketat sampai stres, cuma kuncinya bersederhana. Asalkan ibu utamakan makanan bernutrisi dulu, nak selit sikit-sikit makanan favourite tu tak ada masalah.

Makanan Alternatif yang Selamat dan Digalakkan Awal Kehamilan

pantang larang makanan awal kehamilan
Pastikan pemakanan ibu hamil seimbang untuk kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.

Untuk menggantikan makanan berisiko, ibu mengandung boleh memilih makanan yang lebih selamat dan berkhasiat. Berikut antara cadangan makanan selamat untuk trimester pertama:

1. Sayur-sayuran Hijau

  • Contoh: bayam, brokoli, sawi.
  • Khasiat: Kaya asid folik, zat besi, vitamin K.

2. Buah-buahan Segar

  • Contoh: epal, oren, pisang.
  • Khasiat: Tinggi serat dan antioksidan, bantu cegah sembelit dan tingkat imun badan.

3. Sumber Protein Sihat

  • Contoh: ayam rebus, ikan bakar (rendah merkuri), telur masak penuh.
  • Khasiat: Menyokong pembinaan sel dan organ bayi.

4. Susu Pasteur dan Yogurt

  • Sumber kalsium dan probiotik yang penting untuk pertumbuhan tulang janin dan pencernaan ibu.

5. Karbohidrat Kompleks

  • Contoh: roti gandum penuh, beras perang, oat.
  • Khasiat: Membekalkan tenaga berpanjangan dan elak kenaikan gula mendadak.

Mengamalkan pemakanan seimbang bukan sahaja membantu perkembangan janin, malah mengurangkan risiko morning sickness dan keletihan melampau.

Mitos Pantang Larang Makanan Awal Kehamilan

Bila sah mengandung saja, mula lah macam-macam ‘nasihat’ petua turun-temurun lalu kat telinga kita. Kadang-kadang sampai naik pusing fikiran nak bezakan yang mana betul-betul fakta dan yang mana sekadar mitos masyarakat.

Memang niat orang tua-tua tu baik nak jaga kita, tapi jom check balik antara mitos popular yang selalu kita dengar:

  • Kena makan untuk dua orang (eat for two): Sebenarnya trimester pertama tak perlukan kalori berganda pun. Makan berlebihan cuma buat berat badan ibu naik mendadak tanpa bagi manfaat kat bayi.
  • Makan tembikai dan nanas boleh buat gugur: Tembikai elok sangat untuk elak dehidrasi. Nanas pula cuma bahaya kalau ibu makan berkilo-kilo sebab ada enzim bromelain. Makan sepotong dua tak ada masalah.
  • Minum air soya bagi kulit bayi putih: Genetik mak ayah yang tentukan warna kulit si manja, bukannya sebab soya. Soya cuma bekalkan protein, bukan tukar pigmen kulit.
  • Makan pedas nanti anak panas baran: Cili cuma bagi perut ibu rasa senak atau heartburn, langsung tak ada kena-mengena dengan personaliti anak bila besar nanti.
  • Air kelapa buat janin ‘sejuk’: Air kelapa sebenarnya bagus untuk ganti elektrolit dalam badan, cuma elakkan kalau perut korang jenis sensitif atau mudah masuk angin.

Tak salah nak dengar petua lama, tapi biarlah berpada-pada. Kalau ragu-ragu dengan sesuatu makanan tu, jalan paling selamat ialah bertanyakan terus pada doktor atau pakar pemakanan bertauliah.

Ibu Pregnant Ni Makan Nasi Dagang, Tapi Kenapa Lepas Makan Badan Rasa Berangin?

Dilema masa mengandung ni kadang-kadang pelik tapi benar. Ada seorang ibu kat Threads ni meluahkan rasa bingung bila setiap kali dia makan nasi dagang, badan terus rasa tak sedap dan tak selesa. Persoalannya simple: “Ibu pregnant memang tak boleh makan nasi dagang ke?”

Posting tu terus dapat perhatian ramai netizen, terutamanya ibu-ibu yang dah ada pengalaman. Ruangan komen terus dibanjiri dengan pelbagai jawapan dan perkongsian yang cukup menarik:

  • Santan pekat punca angin: Ramai ibu setuju nasi dagang guna santan yang agak pekat dan beras pulut/ nasi yang berat. Untuk ibu yang ada alahan atau morning sickness, santan tinggi lemak ni senang sangat buat perut rasa kembung, angin dan mual.
  • Ikan tongkol dan rempah ratus: Ada yang tegur pasal lauk gulai ikan tongkol. Sesetengah ibu sensitif dengan rempah gulai yang tajam atau jenis ikan tertentu yang boleh ‘trigger’ rasa berangin dalam badan.
  • “Bukan tak boleh, cuma tak serasi”: Komen paling popular menekankan yang nasi dagang bukannya ibu hamil tak boleh makan. Cuma penerimaan badan setiap ibu berbeza.
  • Petua ibu-ibu: Antara nasihat yang dikongsi termasuklah jangan makan waktu malam, kurangkan kuah santan atau makan dalam porsi kecil saja sekadar nak lepaskan teringin (craving).

Kesimpulannya, tak ada pantang khusus yang kata nasi dagang tu berbahaya untuk kandungan. Cuma kalau badan anda jenis cepat berangin atau tengah alahan teruk masa awal kehamilan, lebih baik rehatkan dulu hidangan berat macam ni demi keselesaan sendiri!

Kesimpulan

Pantang larang makanan awal kehamilan bukan sekadar adat, tetapi satu keperluan demi menjamin keselamatan ibu dan perkembangan bayi. Dengan memilih makanan yang betul, ibu dapat mengurangkan risiko komplikasi seperti keguguran, kecacatan kelahiran dan jangkitan.

Ingatlah, setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh ibu juga akan mempengaruhi perkembangan dan kesihatan janin dalam kandungan. Maka, pemakanan sihat adalah pelaburan terbaik untuk masa depan bayi anda.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Foods to avoid in pregnancy
  2. Pregnancy nutrition: Foods to avoid during pregnancy
  3. Foods to avoid when pregnant
  4. Safer Food Choices for Pregnant Women
  5. Nutrition During Pregnancy
  6. Have a healthy diet in pregnancy
  7. Eat Healthy During Pregnancy: Quick Tips
  8. Mitos vs Fakta Pemakanan Ibu Hamil

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.