Pernah tak doktor atau jururawat sebut pasal pre-eklampsia masa anda buat pemeriksaan buku pink? Istilah perubatan ni memang selalu buat ibu-ibu runsing. Ramai terfikir, “Pre-eklampsia tu apa? Bahaya sangat ke dekat baby?”

Apa Itu Pre Eclampsia?

Preeklamsia ialah komplikasi serius semasa hamil yang kerap berlaku selepas minggu ke-20. Ia dikesan menerusi bacaan tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing. Rawatan perubatan segera amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya kepada ibu dan kandungan.

Puncanya biasa sebab uri tak dapat aliran darah seimbang. Bila jadi macam ni, tekanan darah ibu automatik mendadak naik dan buah pinggang mula bocor protein (sebab tu kena check kencing tiap kali pergi klinik). Organ macam hati pun boleh terkesan sekali.

Kalau terlepas pandang, bahaya tau sebab boleh melarat jadi eklampsia sampai ibu diserang sawan.

Kenapa Pre Eclampsia Berlaku?

Kenapa isu pre-eklampsia ni sering jadi kerisauan doktor. Walaupun punca pastinya masih jadi tanda tanya, pakar berpendapat ia bermula daripada masalah salur darah pada uri (plasenta) yang tidak berkembang dengan sempurna.

Bila uri gagal dapat aliran darah yang cukup, oksigen serta nutrisi ke bayi akan terjejas. Akibatnya, badan ibu bertindak balas dengan menaikkan tekanan darah secara mendadak.

Ibu berisiko lebih tinggi untuk mengalaminya jika ada kriteria berikut:

  • Kehamilan Pertama atau Kembar: Risiko secara automatik meningkat.
  • Faktor Umur: Hamil pada usia bawah 20 tahun atau melebihi 35 tahun.
  • Sejarah Keluarga: Pernah ada ahli keluarga terdekat (ibu atau adik-beradik) yang mengalaminya.
  • Penyakit Sedia Ada: Mengidap darah tinggi, kencing manis, atau masalah buah pinggang sebelum hamil.

Inilah sebabnya jururawat kat klinik beria semak bacaan darah dan ujian air kencing korang setiap kali temujanji. Pemantauan awal ni sangat vital untuk elak komplikasi buruk berlaku

Punca Darah Tinggi Ketika Hamil

Teori utama tetap berkisar tentang masalah salur darah pada uri (plasenta) yang tak berkembang dengan elok, buatkan aliran darah ke bayi jadi terganggu dan tekanan darah ibu terus melonjak naik.

Selain masalah uri tadi, ada beberapa faktor risiko yang selalu doktor perhatikan:

  • Masalah Kesihatan Sedia Ada: Kalau sebelum hamil lagi dah ada darah tinggi, kencing manis, obesiti, atau sakit buah pinggang, risikonya memang lagi besar.
  • Genetik / Keturunan: Ada mak atau adik-beradik perempuan pernah kena? Risiko korang pun automatik naik sama.
  • Hamil Anak First atau Kembar: Badan terpaksa “work extra hard”, jadi peluang untuk dapat komplikasi ni lebih tinggi.
  • Faktor Umur: Hamil terlalu awal (bawah 20 tahun) atau dah masuk umur 35 tahun ke atas.

Tanda Preeklampsia

Tanda pre-eklampsia kerap tidak disedari pada awal kehamilan. tanda pertama yang doktor selalu nampak ialah bacaan darah tinggi (140/90mmHg ke atas) dan kehadiran protein dalam air kencing (petanda buah pinggang mula terjejas).

Selain dua benda wajib ni, korang kena alert kalau tiba-tiba rasa:

  • Tiba-tiba rasa loya, muntah, atau badan melayang tanpa sebab.
  • Sakit kepala kuat yang tak hilang walaupun dah rehat atau makan ubat.
  • Bengkak pada muka, tangan, atau sekeliling mata (kalau bengkak kaki tu biasa, tapi kalau muka sembab tiba-tiba, kena berhati-hati).
  • Mata berpinar, kabur, atau nampak kilatan cahaya.
  • Sakit di bawah rusuk sebelah kanan (tanda fungsi hati mula terganggu).

Petua Hilangkan Darah Tinggi

Bila cerita pasal nak turunkan darah tinggi time hamil, ramai ibu cari petua semula jadi. Memang betul, gaya hidup sihat sangat membantu, tapi kena ingat tau, benda ni cuma langkah sokongan. Kalau doktor dah bekalkan ubat darah tinggi, please makan ikut dos yang ditetapkan.

Antara petua amalan harian yang korang boleh cuba:

  • Jaga Makan: Ni paling kritikal. Kurangkan garam, kicap, dan makanan bergoreng. Banyakkan sayur hijau, buah-buahan segar, serta ikan yang kaya Omega-3.
  • Minum Air Masak Cukup: Minimum 8 gelas sehari supaya aliran darah lancar dan badan tak dehydrated.
  • Rehat & Tidur Cukup: Bila penat, tekanan darah memang gatal nak naik. Kalau sempat, senyap-senyap curi masa power nap dalam 20–30 minit bila waktu tengah hari.
  • Gerak Sikit-Sikit: Tak payah senam berat. Cukup sekadar berjalan santai kat luar rumah atau buat regangan prenatal yoga ringan-ringan.
  • Atasi Stres: Bila rasa otak dah serabut, cuba tarik nafas dalam-dalam, dengar zikir atau muzik tenang.

Ingat ya, petua ni untuk bantu stabilkan badan. Tapi kalau bacaan BP still pacu naik, terus ke klinik.

Pilihan Rawatan

Bila bercakap pasal rawatan pre-eklampsia, keputusannya banyak bergantung pada usia kandungan dan sejauh mana tahap keseriusannya. Matlamat utama doktor nak pastikan tekanan darah ibu terkawal dan elak komplikasi buruk pada bayi.

Antara langkah rawatan yang biasa doktor buat:

  • Pemantauan Rapi: Kena kerap ulang-alik klinik atau hospital untuk check bacaan BP, ujian darah, dan ultrasound bayi.
  • Ubat Darah Tinggi: Doktor akan bagi ubat yang selamat untuk ibu hamil (seperti Labetalol) bagi turunkan tekanan darah.
  • Suntikan Cegah Sawan (Magnesium Sulfate): Kalau keadaan nampak makin berisiko, ubat ni akan diberi melalui cecair IV untuk elak ibu diserang sawan (eklampsia).
  • Rehat & Bedrest: Kurangkan aktiviti harian. Sesetengah ibu mungkin kena tahan kat wad supaya jururawat boleh pantau 24 jam.
  • Proses Kelahiran: Sebenarnya, satu-satunya cara nak “ubat” pre-eklampsia sampai sembuh sepenuhnya adalah dengan melahirkan bayi. Kalau kandungan dah cecah 37 minggu atau keadaan makin bahaya, doktor akan sarankan induce atau pembedahan czer. Tapi kalau masih awal, doktor akan cuba bertahan sambil kawal gejala supaya bayi sempat matang dalam perut.

Risiko Jika Tidak Dirawat

Risiko pre-eklampsia ni bukan benda yang boleh buat main-main. Walaupun pada awalnya ibu rasa badan “okey je”, hakikatnya dalam diam organ dalaman tengah bergelut. Sebab tu kalau terlepas pandang, padahnya sangat besar pada ibu dan baby.

Antara bahaya utama kalau tak dirawat dari awal:

  • Sawan: Ini komplikasi paling ditakuti. Bila tekanan darah terlalu tinggi, ibu boleh diserang sawan, hilang sedar, dan bekalan oksigen ke bayi terputus serta-merta.
  • Organ Rosak: Buah pinggang dan hati boleh gagal berfungsi. Kes teruk, ibu mungkin perlu dialisis atau alami pendarahan dalaman hati.
  • Uri Tertanggal (Placental Abruption): Uri terpisah dari dinding rahim sebelum waktunya. Kesannya? Pendarahan hebat pada ibu dan bayi terputus bekalan nyawa—memang situasi cemas yang perlukan pembedahan terus!
  • Pertumbuhan Bayi Terbantut (IUGR): Bila uri tak dapat darah cukup, baby tak dapat nutrisi secukupnya. Akhirnya berat baby jadi terlampau kecil berbanding usia kandungan.
  • Bersalin Pramatang: Demi selamatkan nyawa dua-dua, doktor terpaksa keluarkan baby lebih awal. Baby pramatang ni selalunya berisiko ada masalah paru-paru dan perlukan penjagaan rapi kat NICU.

Pengalaman Darah Tinggi Ketika Mengandung

Tiap wanita ada pengalaman mengandung yang berbeza. Menurut perkongsian seorang ibu, Zana, dia mendapat tahu dirinya mengalami tekanan darah tinggi bila kandungan dah 37 minggu.

Pengalaman saya kena darah tinggi masa mengandung ni memang tak terfikir langsung. Masa hamil awal-awal dulu, bacaan BP elok je cantik. Tapi bila masuk minggu ke-37, tiba-tiba gerakan baby rasa berkurang.

Tak fikir panjang, malam tu terus serah diri pergi hospital. Bila doktor check, rupanya tekanan darah saya dah melambung tinggi! Disebabkan kes tu, saya terus ditahan wad dan dikehendaki makan ubat darah tinggi hari-hari. Akhirnya pada minggu ke-38 2 hari, saya selamat bersalin bulan Januari.

Masa keluar wad, doktor bekalkan ubat untuk bawa balik. Nasib baik saya dah beli mesin BP monitor sendiri kat rumah, tak ada lah pening nak ulang-alik pergi Klinik Kesihatan (KK) dengan badan tengah berparut bersalin tu.

Dalam dua minggu awal pantang, jururawat KK mmg akan call hari-hari minta bacaan BP. Saya cuma monitor dari rumah, catat, dan laporkan. Kunci utama masa pantang ni—jangan stress, relax, enjoy masa berpantang, dan jaga makan.

Bila masuk sebulan berpantang untuk follow-up jumpa pakar, alhamdulillah bacaan darah dah kembali normal dan doktor benarkan stop ubat. Mungkin sebab faktor hormon hujung kehamilan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pre-eklampsia bukanlah komplikasi yang boleh dibuat main. Keadaan ini selalunya berlaku secara senyap, tapi impaknya pada keselamatan ibu dan bayi amat besar jika terlepas pandang.

Sebab itulah pentingnya untuk ibu-ibu berdisiplin hadir setiap temujanji pemeriksaan buku pink. Pengesanan awal di klinik adalah kunci utama untuk mengawal tekanan darah sebelum ia menjadi lebih parah.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Preeclampsia
  2. Pre-eclampsia
  3. Preeclampsia
  4. Pre-eclampsia
  5. Pre-eclampsia
  6. Hipertensi dalam Kehamilan
  7. Pre-Eclampsia : Amaran bahaya sebelum sawan ketika hamil
  8. Pra-Eklampsia Ancam Nyawa Ibu Hamil dan Kandungan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.