Bila bercakap pasal mengandung, kita selalu bayangkan benda yang indah-indah saja. Tapi hakikatnya, masuk trimester ketiga, ramai ibu hamil yang menderita masalah buasir.
Masa nak duduk pun rasa serba salah, bila masuk tandas pula mulalah rasa berdebar sebab takut pedih. Urat membengkak kat bahagian bawah ni memang nampak remeh, tapi sakit dan gatalnya boleh ganggu mood seharian. Sebenarnya benda ni biasa sangat jadi bila rahim makin membesar dan tekan urat darah.
Ibu tak perlu bimbang, jom kita tengok tips dan petua atasi buasir semasa mengandung, dengan langkah mudah yang ibu boleh amalkan terus kat rumah.
Punca Buasir Semasa Mengandung
Buasir berlaku apabila tekanan dalam saluran darah sekitar dubur meningkat. Semasa mengandung, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini lebih mudah berlaku, antaranya:
- Tekanan Rahim Membesar
Rahim yang semakin membesar akan menekan saluran darah di kawasan pelvis. Tekanan ini melambatkan aliran darah balik ke jantung, menyebabkan pembengkakan vena di kawasan dubur. - Perubahan Hormon
Hormon progesteron meningkat semasa hamil. Hormon ini melemahkan dinding saluran darah, menjadikannya lebih mudah membengkak. - Sembelit
Ibu hamil sering mengalami sembelit kerana perubahan hormon dan pengambilan zat besi. Ketika meneran kuat, tekanan pada vena dubur meningkat lalu menyebabkan buasir timbul. - Kurang Aktiviti Fizikal
Kurang bergerak atau duduk terlalu lama boleh menyebabkan aliran darah tidak lancar seterusnya meningkatkan risiko buasir.
Tanda-Tanda Ibu Hamil Kena Buasir

Kadang-kadang rasa tak selesa dan sakit kat bahagian punggung tu kita ingatkan cuma gatal biasa. Tapi kalau ibu mula alami petanda kat bawah ni, ini mungkin petunjuk buasir mula menyerang ibu hamil:
- Rasa gatal dan pedih yang merenyam. Bahagian bawah rasa tak selesa, gatal serba tak kena dan ada masa rasa panas macam terbakar.
- Ada ketulan kecil bila disentuh. Masa basuh punggung lepas buang air, ibu rasa macam ada benjolan atau bengkak lembut kat kawasan dubur.
- Darah merah terang kat tisu atau mangkuk tandas. Biasanya ia melekat pada tisu lepas lap atau nampak kat permukaan najis.
- Sakit bila duduk lama atau masa meneran. Nak duduk atas kerusi keras pun kena sengetkan badan. Masa dalam tandas pula rasa mencabar betul sebab dubur pedih bila najis nak keluar.
Buasir Berdarah Ketika Mengandung
Jika ibu perasan ada darah ketika buang air besar, jangan terlalu panik. Ini mungkin tanda buasir berdarah ketika mengandung tapi ia bukan sesuatu yang berbahaya.
Namun, jika pendarahan terlalu banyak atau berpanjangan, ibu perlu segera berjumpa doktor bagi mengelakkan kekurangan darah (anemia).
Bahaya Buasir Semasa Mengandung
Nampak macam masalah kecil, tapi kalau dah hari-hari menanggung rasa pedih, memang boleh kacau emosi dan fizikal ibu hamil:
- Rasa sakit dan gatal yang berpanjangan buat ibu serba tak kena. Nak dapatkan tidur yang nyenyak pun susah sebab hilang rasa selesa pada badan.
- Badan cepat penat sebab pendarahan berulang. Kalau setiap kali masuk tandas asyik keluar darah, ibu berisiko kena anemia (kurang darah merah). Kesannya, badan rasa makin lemah dan tak bermaya.
- Bukan rasa sakit fizikal sahaja, emosi pun terganggu. Ada ibu hamil rasa segan nak cerita kat orang lain, sampai terpaksa tahan sakit dan stres sorang-sorang.
- Efek masa bersalin. Bila fasa ‘push’ kat bilik bersalin nanti, tekanan yang kuat boleh buat buasir yang sedia ada terkuak lebih besar atau terkeluar makin teruk.
Cara Atasi Buasir Semasa Mengandung

Jangan risau, buasir boleh dirawat dengan cara semula jadi atau dengan ubat selamat untuk ibu hamil. Berikut antara cara yang boleh membantu:
1. Ubah Pemakanan
- Banyakkan makanan berserat seperti sayur, buah, oat, bijirin penuh.
- Minum air secukupnya (8 hingga 10 gelas sehari).
- Elakkan makanan pedas dan berlemak yang boleh melambatkan sistem pencernaan.
2. Amalkan Tabiat Buang Air Besar yang Sihat
- Jangan tahan bila rasa nak membuang.
- Jangan duduk terlalu lama di tandas.
- Elakkan meneran kuat.
3. Senaman Ringan
Berjalan kaki atau buat senaman ringan untuk ibu hamil dapat melancarkan aliran darah dan mengurangkan tekanan pada dubur.
4. Rawatan di Rumah
- Rendam suam (sitz bath): Duduk dalam air suam 10 hingga 15 minit beberapa kali sehari.
- Gunakan bantal lembut: Duduk di atas bantal empuk supaya kurang tekanan.
- Kompres sejuk: Letakkan ais yang dibalut tuala pada kawasan buasir untuk kurangkan bengkak.
Rawatan Buasir Semasa Mengandung Semula Jadi vs Rawatan Moden

Berikut kami sediakan jadual ringkas rawatan buasir semasa mengandung secara semula jadi dengan rawatan moden.
| Rawatan Semula Jadi | Rawatan Moden (Farmasi / Doktor) |
|---|---|
| Banyakkan makan makanan berserat (sayur, buah, oat) untuk elak sembelit | Krim buasir (selamat untuk ibu hamil, kurangkan sakit & gatal) |
| Minum air 8 hingga 10 gelas sehari untuk lembutkan najis | Suppositori membantu kurangkan keradangan dalam dubur |
| Rendam punggung dalam air suam (sitz bath) 10 ke 15 minit | Ubat oral seperti Daflon (perlu preskripsi & nasihat doktor) |
| Kompres sejuk pada kawasan buasir untuk kurangkan bengkak | Rawatan hospital (contoh: suntikan atau pembedahan kecil jika buasir terlalu teruk) |
| Senaman ringan seperti berjalan kaki untuk lancarkan darah | Ubat tahan sakit ringan yang disarankan doktor jika perlu |
| Amalkan minyak zaitun/ kelapa dalam masakan untuk melancarkan pencernaan | Pemantauan doktor pakar untuk buasir berdarah teruk semasa hamil |
Petua & Rawatan Buasir Semasa Mengandung
Selain rawatan moden, ramai ibu cuba petua tradisional untuk kurangkan rasa sakit buasir. Antaranya:
Petua Kecutkan Buasir Ketika Hamil
- Minum air kelapa untuk elak sembelit.
- Amalkan minyak zaitun dalam masakan.
- Makan kurma atau buah tin yang tinggi serat.
Cara Nak Kecutkan Buasir Luar
Jika buasir terkeluar di luar, ibu boleh:
- Gunakan kompres sejuk untuk mengecutkan bengkak.
- Pastikan kawasan dubur bersih dan kering.
- Jangan duduk atau berdiri terlalu lama.
Berapa Lama Buasir Akan Kecut?
Biasanya, buasir kecil boleh kecut dalam masa beberapa hari hingga 2 minggu jika dijaga dengan baik. Namun, buasir yang besar mungkin ambil masa lebih lama atau perlukan rawatan lanjut.
Ubat Buasir di Farmasi Untuk Ibu Mengandung
Ada beberapa krim dan suppositori yang selamat digunakan oleh ibu mengandung untuk kurangkan sakit buasir. Namun, sebaiknya dapatkan nasihat doktor sebelum guna.
- Krim buasir biasanya mengandungi bahan untuk kurangkan sakit dan gatal.
- Suppositori dimasukkan ke dalam dubur untuk kurangkan keradangan.
Daflon Untuk Ibu Mengandung
Daflon ialah sejenis ubat tablet yang membantu menguatkan saluran darah. Ia kadang-kadang disyorkan doktor untuk kes buasir teruk. Namun, jangan ambil tanpa nasihat doktor kerana dos dan keselamatan perlu dipantau.
Pengalaman Ibu Hamil Kena Buasir
Ibu hamil tak bersendirian bila kena hadap buasir ni. Dalam komuniti Facebook Diari Mak Mak, ramai ibu hamil yang berkongsi fasa risau bila mengalami buasir masa mengandung. Ibu hamil ini bertanyakan pendapat ibu-ibu lain tentang masalah buasirnya.
Assalamualaikum. Saya dah 37 minggu 4 hari, mengandung anak kedua. Cuma nak bertanya pengalaman ibu-ibu semua yang menghadapi masalah buasir ketika mengandung. Ada apa-apa tips untuk kurangkan rasa pedih buasir tu tak? Saya dah refer doktor dan apply cream tapi masih rasa tak selesa dan bengkak pada buasir tu. Ada tak ibu-ibu yang mengandung buasir tapi bersalin normal dan takde buasir?
Nasib baik, ramai ibu lain yang pernah lalui pengalaman sama sudi berkongsi petua yang betul-betul menjadi untuk legakan kesakitan ni:
- Sapu krim khas dari farmasi (Proctosedyl Ointment). Ada ibu yang mengalami buasir teruk hingga KK bagi surat rujukan hospital. Tapi lepas guna krim Proctosedyl Ointment yang dibeli dari farmasi, bengkak yang besar terus cepat kecut sampai jururawat pun hairan dengan kesannya.
- Petua sit-bath untuk redakan radang. Bila rasa pedih, cuba isi air campur ais dalam besen dan duduk rendam kawasan dubur. Cara ni sangat membantu bekukan rasa sakit, melegakan radang dan mengecutkan buasir dengan pantas.
- Teknik membuang air. Doktor sarankan buang air besar dalam keadaan berdiri sedikit bagi elak darah berkumpul kat kawasan dubur yang boleh buat radang makin teruk. Selain itu, ibu boleh dapatkan ubat makan khas untuk buasir (seperti Hemorid) di farmasi atas nasihat pegawai farmasi.
- Jaga pemakanan. Elakkan mengangkat benda berat yang boleh memberi tekanan kat kawasan bengkak. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk elak sembelit, serta kurangkan makanan segera.
Adakah Buasir Akan Berlarutan Selepas Bersalin?
Ramai ibu ingat buasir akan terus hilang selepas melahirkan tapi sebenarnya tidak semestinya. Buasir semasa mengandung kadang-kadang akan kecut dengan sendiri dalam beberapa minggu selepas bersalin kerana tekanan pada rahim sudah berkurang.
Namun, ada juga kes di mana buasir berlarutan hingga berbulan-bulan selepas kelahiran terutama jika:
- Ibu alami sembelit berpanjangan selepas bersalin.
- Pernah mengalami buasir teruk atau kronik semasa hamil.
- Masih kerap meneran kuat ketika buang air besar.
Berita baiknya, dengan penjagaan pemakanan, senaman ringan serta rawatan yang betul, buasir selepas bersalin boleh dirawat. Jika ia tidak hilang selepas 2 hingga 3 bulan atau makin teruk, sebaiknya dapatkan nasihat doktor untuk rawatan lanjut.
Buasir Ketika Bersalin
Semasa proses bersalin normal, ibu perlu meneran dengan kuat. Hal ini boleh menyebabkan buasir semakin teruk atau timbul selepas bersalin. Namun, keadaan ini biasanya sementara dan akan pulih dalam beberapa minggu dengan rawatan yang betul.
Kesimpulan
Masalah buasir semasa mengandung memang tidak menyenangkan tetapi ia adalah perkara biasa dan boleh diatasi. Dengan menjaga pemakanan, mengelakkan sembelit, melakukan senaman ringan serta mendapatkan rawatan yang sesuai, ibu boleh mengurangkan risiko buasir menjadi lebih teruk.
Jika buasir menyebabkan pendarahan banyak, sakit melampau atau tidak kecut walaupun sudah dirawat di rumah, segera dapatkan nasihat doktor.
Ibu hamil tidak perlu malu untuk bercakap tentang buasir. Semakin awal dirawat, semakin cepat ia pulih.
Jika anda sedang alami buasir semasa mengandung, jangan tunggu hingga ia teruk. Cuba langkah pencegahan dari sekarang dan berjumpalah dengan doktor untuk rawatan yang selamat.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.