Pernah tak tengah berpantang, tiba-tiba badan rasa menggigil, demam, atau pening? Haa, orang tua-tua panggil ni bentan.

Bentan ni sebenarnya isyarat badan ibu dah overload. Yelah, mana nak jaga bayi baru lahir lagi, kurang tidur, pastu tersilap buat kerja berat atau terlanggar pantang.

Walaupun ada kata bentan ni mitos, hakikatnya tubuh kita memang penat, luka dalaman belum sembuh, dan imun badan tengah drop. Bila kena angin sejuk sikit, terus tumbang.

Apa Itu Bentan Selepas Bersalin?

Bentan selepas bersalin adalah istilah Melayu yang merujuk kepada keadaan ibu dalam pantang mengalami masalah kesihatan atau kesakitan secara tiba-tiba.

Dari sudut perubatan moden, bentan bukanlah satu penyakit khusus, melainkan gejala fizikal atau komplikasi selepas melahirkan anak yang berpunca daripada jangkitan, kelesuan melampau, kecederaan fizikal atau perubahan hormon.

Jenis Bentan Selepas Bersalin

Ramai ingat bila demam menggigil tu terus cop sebagai “bentan”, tapi sebenarnya bergantung juga pada punca dan bahagian mana yang terkesan.

Ibu yang bersalin c-section atau pernah ada komplikasi biasanya lagi senang kena. Tambah pula kalau ibu berpantang jenis yang tak reti duduk diam dan terlalu aktif.

Berikut 5 jenis bentan selepas bersalin yang kerap berlaku pada ibu ketika berpantang:

  • Bentan Sejuk: Jenis bental ini dikaitkanna dengan badan kena angin sejuk atau air sejuk. Tiba-tiba menggigil kesejukan walaupun cuaca tengah panas terik.
  • Bentan Urat: Urat tegang sebab buat kerja berat awal sangat. Kesannya, sengal pinggang, sakit sendi, rasa tegang dekat kawasan peranakan.
  • Bentan Angin: Perut rasa kembung, asyik nak sendawa, dan satu badan rasa bisa-bisa sebab angin.
  • Bentan Luka: Paling risau kalau luka jahitan (sama ada c-sect atau episiotomy) masih lembap sampai kena jangkitan kuman.
  • Bentan Rahim: Terjadi bila rahim lambat mengecut, jadi bawah perut rasa sengal melampau. Bertungku secara konsisten dan amalkan jamu pengecut rahim yang selamat untuk ibu menyusu.
bentan selepas bersalin

Bentan sejuk dan bentan urat sering dialami oleh kebanyakan ibu selepas bersalin.

Punca Bentan Ketika Berpantang

Ramai ibu anggap bentan perkara biasa, padahal ia petanda badan sedang memberi amaran. Tanpa disedari, tabiat kecil dan persekitaran harian ibu boleh mengundang bentan.

Antara puncanya adalah:

1. Langgar Pantang Bersalin

Ibu yang tidak mematuhi pantang larang makanan pantang bersalin seperti ambil makanan sejuk atau berangin, boleh berlaku bentan.

Makanan seperti timun, tebu, atau kelapa muda boleh menurunkan suhu badan, menyebabkan tubuh lebih mudah diserang rasa sejuk dan demam.

2. Terdedah Angin atau Cuaca Sejuk

Tidur tanpa berstoking, mandi lewat malam, atau duduk di bawah kipas secara langsung boleh membuat tubuh ibu yang masih lemah dimasuki angin. Ini sekali gus mencetuskan bentan selepas bersalin.

3. Buat Kerja Berat Terlalu Awal

Mengangkat beban berat, menyapu lantai, atau membongkok lama boleh menjejaskan luka bersalin (normal atau pembedahan) dan menyebabkan ia terbuka semula.

Ibu yang terlalu aktif selepas bersalin juga berisiko tinggi mengalami bentan, jadi elakkan melakukan aktiviti fizikal yang berlebihan semasa tempoh berpantang. Keadaan ini mengakibatkan sakit, demam dan memperlahankan proses penyembuhan.

4. Kurang Rehat dan Tidur

Ibu yang kurang tidur kerana menjaga bayi akan mengalami keletihan melampau. Ini menjejaskan sistem imun tubuh, menjadikan mereka lebih mudah jatuh sakit dan mengalami bentan selepas bersalin.

5. Jangkitan Luka Bersalin

Luka bersalin yang tidak dijaga dengan baik boleh dijangkiti bakteria. Jangkitan ini boleh menyebabkan demam panas, nanah pada luka, dan rasa sakit yang melampau.

Tanda Bentan Selepas Bersalin

Bentan selepas bersalin ni selalunya tak bagi tanda awal. Tiba-tiba je badan rasa tak sedap dan sejuk menggigil. Tapi kalau ibu perhati betul-betul, ada beberapa tanda jelas yang menunjukkan badan terkena bentan.

Antara tanda bentan yang paling biasa berlaku:

  • Menggigil & Sejuk Melampau: Badan rasa sejuk dari dalam tulang sampai menggigil-gigil, walaupun cuaca kat luar tengah panas terik.
  • Demam Mengejut: Suhu badan mendadak naik, rasa pening atau kepala berdenyut.
  • Sakit & Lenguh Satu Badan: Pinggang rasa sengal, sakit sendi dan otot rasa sangat lemah nak bergerak.
  • Perut Kembung: Bahagian bawah perut (kawasan rahim) rasa kejang atau sengal, selain perut dipenuhi angin sampai ibu kerap sendawa.
  • Luka Bersalin Sakit atau Berdarah: Bahagian jahitan (c-section atau episiotomy) rasa berdenyut, membengkak, atau mula keluar nanah dan berbau.
  • Rasa Nak Pengsan: Tiba-tiba pandangan jadi kabur, badan rasa melayang, dan tak bermaya langsung nak berdiri.

Kalau ibu mula rasa simptom ni, tolong selimut tebal-tebal, rehat sepenuhnya, dan terus maklumkan pada suami. Kalau demam berlarutan, luka mula berair atau berdarah, terus jumpa doktor ya!

bentan selepas bersalin

Tanda bentan selepas bersalin yang perlu ibu waspada.

Cara Hilangkan Bentan Selepas Bersalin

Apabila tanda-tanda bentan terasa, langkah awal yang pantas dan betul amat penting untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Berikut adalah beberapa cara yang boleh ibu buat bagi mengurangkan rasa bentan:

1. Rehat Secukupnya

Rehat adalah cara menghilangkan bentan selepas bersalin yang paling utama. Bagi wanita, rehat secukupnya sangat penting untuk membantu tubuh pulih dan mengurangkan risiko komplikasi bentan selepas melahirkan.

Tubuh ibu memerlukan masa untuk pulih selepas melalui proses kelahiran.

  • Tidur ketika bayi tidur untuk mendapatkan waktu rehat tambahan.
  • Elakkan kerja rumah yang berat seperti menyapu atau mengangkat barang.
  • Berbaring dengan posisi selesa dan gunakan bantal tambahan untuk sokongan.

2. Amalkan Pemakanan Berpantang Berkhasiat

Pemakanan yang betul membantu memulihkan tenaga ibu dan mempercepatkan penyembuhan.

  • Ambil makanan panas seperti sup ayam halia, ikan haruan atau sayuran yang dimasak secara rebus atau kukus.
  • Elakkan makanan berangin, atau mentah yang boleh menjejaskan suhu badan dan pencernaan.
  • Minum air suam secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.

3. Bertungku Untuk Mengeluarkan Angin

Cara menghilangkan bentan selepas bersalin adalah dengan bertungku.

Bertungku adalah amalan tradisional yang berkesan untuk menghilangkan rasa lenguh, sakit badan, dan angin dalam tubuh.

  • Gunakan tungku panas (batu atau besi yang dibalut kain) dan letakkan di bahagian perut, di bahagian pinggang, atau di bahagian kaki.
  • Lakukan bertungku 2–3 kali sehari selama 10–15 minit setiap sesi.
  • Pastikan suhu tungku sesuai agar tidak melecurkan kulit.

4. Urutan Selepas Bersalin

Urutan membantu melancarkan darah, mengurangkan ketegangan otot, dan mengeluarkan angin dalam badan.

  • Gunakan minyak panas seperti minyak serai wangi atau minyak kayu putih.
  • Urutan harus dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman.
  • Fokus pada bahagian pinggang, belakang badan, kaki yang sering terasa lenguh ketika bentan, serta urutan di bahagian urat peranakan untuk membantu melegakan ketegangan dan sakit berkaitan punca bentan dalam pantang.

5. Jaga Suhu Tubuh

Menjaga tubuh agar sentiasa hangat adalah langkah penting untuk menghilangkan bentan selepas bersalin.

  • Pakai stoking dan pakaian tebal terutama pada waktu malam.
  • Elakkan duduk atau tidur di bawah kipas angin secara langsung.
  • Gunakan minyak panas atau param untuk menghangatkan tubuh.

6. Minum Air Herba Tradisional (Jika Sesuai)

Cara menghilangkan bentan selepas bersalin yang lain adalah minum air herba.

Air herba boleh membantu membuang angin, menghangatkan tubuh, dan memulihkan tenaga.

  • Air rebusan halia, serai, dan lada hitam baik untuk memanaskan badan.
  • Minum dalam kuantiti sederhana (1–2 cawan sehari).
  • Pastikan ia sesuai dengan keadaan kesihatan dan tidak berinteraksi dengan ubat moden.

7. Rawatan Perubatan Jika Perlu

Jika ibu mengalami bentan selepas bersalin disertai demam tinggi, luka bernanah, atau badan sangat lemah, segera dapatkan rawatan doktor. Komplikasi serius seperti tumpah darah juga memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan risiko yang lebih buruk.

Pemeriksaan lanjut dapat memastikan tiada komplikasi seperti jangkitan rahim atau masalah lain.

Doktor mungkin akan memberikan ubat demam atau antibiotik jika terdapat jangkitan.

Tip Elak Bentan

Tak susah sebenarnya nak jaga badan masa berpantang, asalkan anda tahu ‘pantang larang’ kecil yang selalu terlepas pandang. Mencegah ni kan jauh lebih baik daripada merawat, lagi-lagi untuk ibu baru yang badan tengah penat dan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Berikut beberapa tips untuk elak bentan terjadi:

1. Ikut Amalan Berpantang Selama 40 Hari

Pantang ini penting bagi memberi masa tubuh untuk pulih sepenuhnya daripada proses kehamilan dan kelahiran, terutamanya dalam tempoh 40 hari.

2. Elakkan Terdedah kepada Cuaca Sejuk

Gunakan selimut, pakaian tebal dan stoking untuk mengekalkan haba tubuh.

3. Minum Air Suam Secukupnya

Air membantu mengelakkan dehidrasi dan mempercepatkan pemulihan luka bersalin.

4. Dapatkan Bantuan Keluarga

Jangan segan meminta bantuan suami atau keluarga dalam menjaga bayi atau kerja rumah supaya ibu dapat berehat secukupnya.

5. Gunakan Minyak Panas atau Param

Sapuan minyak panas tradisional dapat membantu menghangatkan badan dan mengelakkan dimasuki angin.

Ubat Bentan Selepas Bersalin

Selain amalan tradisional, terdapat juga ubat moden yang boleh membantu merawat bentan selepas bersalin, bergantung pada tahap keseriusan keadaan:

  • Ubat tahan sakit ringan (paracetamol) untuk mengurangkan demam dan lenguh badan.
  • Antibiotik (jika bentan berpunca dari jangkitan luka bersalin atau rahim).
  • Minyak urut herba seperti minyak serai atau minyak kayu putih untuk menghangatkan badan.
  • Suplemen pemulihan selepas bersalin seperti vitamin C, zat besi dan multivitamin untuk mengembalikan tenaga.
  • Rawatan alternatif seperti fisioterapi atau akupuntur juga boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Penting: Sebelum mengambil sebarang ubat moden, pastikan ia sesuai untuk ibu menyusu bayi dan dapatkan nasihat doktor. Walaupun sudah mengambil ubat, komplikasi masih boleh berlaku dan perlu dipantau dengan teliti.

bentan selepas bersalin

Ubat bentan selepas bersalin seperti Paracetamol atau antibiotik dapat mengurangkan gejala.

Perlu Ke Berpantang Sampai 44 Hari?

Menurut Dr. Nisa Khalil, amalan berpantang bukanlah sesuatu yang outdated, sebaliknya kita perlu menapis dengan mengambil aspek yang baik untuk proses pemulihan (recovery) dan mengetepikan perkara yang boleh memudaratkan.

bentan bersalin

Antara aspek berasaskan sains (evidence-based) yang kekal relevan ialah mendapatkan rehat secukupnya, mengamalkan pemakanan seimbang untuk penyembuhan dan susu badan, serta melakukan pergerakan lembut bagi mengelakkan darah beku.

Sementara itu, amalan tradisional seperti mandi air suam, mengambil jamu, bertungku, dan memakai bengkung boleh diteruskan mengikut keselesaan selagi ia selamat serta tidak memudaratkan.

Mitos Pantang Bersalin

Menurut Dr. Say Shazril, amalan berpantang tidak harus terlalu ekstrem sehingga memudaratkan kerana ia sepatutnya dilalui secara santai dan menyeronokkan demi kesihatan ibu dan bayi.

bentan bersalin

Beliau turut menyangkal tiga mitos popular tentang pantang bersalin iaitu:

  • Ibu bersalin wajib minum air secukupnya (6 hingga 8 gelas sehari) untuk penghasilan susu dan tenaga, bukannya menyebabkan urat saraf kembang
  • Sumber protein seperti telur, ayam, dan ikan tidak menyebabkan gatal atau bentan melainkan ibu mempunyai alahan, malah penting untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mencegah anemia
  • Rasa menggigil selepas bersalin adalah perkara biasa yang bukan disebabkan oleh puerperal pyrexia, sebaliknya berlaku secara normal apabila darah yang sebelum ini disalurkan ke rahim dialirkan semula secara beransur-ansur ke organ penting seperti jantung dan otak, manakala makanan “sejuk” seperti bayam, timun, dan tembikai sebenarnya sangat diperlukan untuk mencegah sembelit kerana kaya dengan serat.

Kesimpulan

Badan ibu adalah aset paling berharga selepas melahirkan cahaya mata. Jangan pandang ringan tanda-tanda bentan kerana ia isyarat tubuh meminta pertolongan.

Tempoh berpantang bukan masa untuk menyiksa diri dengan pantang-larang yang tidak berasas, tetapi masa untuk ibu berehat, merawat diri, dan kembali sihat bertenaga.

Ingat, ibu yang gembira dan sihat adalah kunci kepada bayi yang ceria. Jika tubuh mula memberi “amaran” atau tanda-tanda meragukan, segera rujuk kepada doktor atau pakar kesihatan.

Kongsikan artikel ini kepada ibu-ibu lain supaya lebih ramai tahu cara mencegah dan merawat bentan selepas bersalin dengan selamat.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Postpartum complications: What you need to know
  2. 5 Things to Know About the Postpartum Period and MS
  3. Warning Signs of Serious Health Problems after Childbirth
  4. 3 Conditions to Watch for After Childbirth
  5. 6 Health Problems New Moms Should Watch for After Giving Birth
  6. 9 Tips Penjagaan Selepas Bersalin untuk Cepat Sembuh
  7. Penjagaan Selepas Bersalin
  8. Panduan Penjagaan Selepas Bersalin

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.