Darah nifas itu normal. Tapi kalau sampai perlu tukar 2 ke 3 keping pad dalam sejam, hah itu bukan nifas biasa ya ibu! Situasi ni dipanggil tumpah darah selepas bersalin, dan ia boleh membahayakan nyawa kalau anda ambil mudah.
Kadang-kadang rahim lambat mengecut atau ada sisa uri tertinggal. Bila ini berlaku, darah akan keluar terlalu banyak. Ibu dan suami kena cepat peka. Kalau rasa kepala melayang, muka pucat atau darah keluar berketul-ketul terus ke hospital berdekatan. Jangan bertangguh walau seminit!
Maksud Tumpah Darah Selepas Bersalin
Tumpah darah selepas bersalin atau postpartum hemorrhage adalah komplikasi serius yang memerlukan perhatian segera. Secara perubatan, keadaan ini merujuk kepada kehilangan darah melebihi 500ml bagi kelahiran normal atau melebihi 1,000ml jika bersalin secara pembedahan (czer).
Pendarahan berlebihan ini boleh berlaku serta-merta selepas bayi dilahirkan atau dalam tempoh 24 jam pertama. Apabila tubuh kehilangan terlalu banyak darah, tekanan darah akan merosot dengan cepat. Keadaan ini menyebabkan ibu mengalami pening, pitam dan berisiko menjejaskan nyawa sekiranya rawatan lambat diberikan.
Punca Tumpah Darah Selepas Bersalin
Punca tumpah darah selepas bersalin boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang berkait dengan keadaan rahim, plasenta dan kesihatan ibu. Secara umum, doktor merujuk keadaan ini sebagai postpartum hemorrhage (PPH). Berikut punca tumpah darah selepas bersalin:
1. Rahim Tidak Mengecut (Uterine Atony)
Selepas bayi dilahirkan, rahim sepatutnya mengecut dengan kuat untuk menutup saluran darah pada tempat plasenta melekat. Jika rahim gagal mengecut (atony), darah akan terus keluar dengan banyak. Ini adalah punca paling kerap berlaku.
2. Sisa Plasenta Tertinggal Dalam Rahim
Kadangkala tidak semua bahagian plasenta keluar semasa proses bersalin. Jika ada serpihan plasenta atau selaput ketuban tertinggal, rahim tidak dapat mengecut dengan baik lalu menyebabkan pendarahan berterusan.

3. Luka atau Koyakan pada Jalan Kelahiran
Koyakan besar pada faraj, serviks atau perineum boleh mengakibatkan kehilangan darah yang banyak terutamanya jika jahitan tidak dilakukan segera.
4. Masalah Pembekuan Darah
Ada ibu yang mempunyai gangguan pembekuan darah (coagulopathy) sama ada sejak lahir atau berpunca daripada komplikasi semasa hamil seperti pra-eklampsia dan abrupsi plasenta. Keadaan ini menyebabkan darah susah berhenti walaupun rahim sudah mengecut.
5. Rahim Terkoyak atau Tertembus (Uterine Rupture)
Walaupun jarang, ia boleh berlaku terutama pada ibu yang pernah menjalani pembedahan caesarean (czer) atau pembedahan rahim sebelum ini. Apabila rahim terkoyak, darah akan keluar dengan sangat banyak dan boleh mengancam nyawa.
6. Inversi Rahim (Rahim Terbalik)
Ini keadaan serius tetapi jarang berlaku di mana rahim tertarik keluar bersama plasenta. Ia biasanya berpunca daripada menarik tali pusat terlalu kuat sebelum plasenta tertanggal sepenuhnya.
Ibu Jari Kaki Tersadung Boleh Jadi Tumpah Darah?
Dr Imelda kongsikan bahawa tersadung ibu jari langsung tiada kaitan dengan pendarahan rahim. Tumpah darah selepas bersalin ini ada punca perubatan yang jelas.

Biasanya pendarahan berlaku sebab rahim tak mengecut (atonic uterus) jadi doktor beri ubat pengecut rahim untuk hentikan darah. Kalau ada cebisan uri tertinggal, kita kena cuci dan keluarkan sisa tu. Jika ada koyakan pada laluan bersalin, penyelesaiannya adalah jahit kawasan tersebut. Kes jangkitan kuman (endometritis) pula dirawat guna antibiotik.
Ada juga kes pendarahan disebabkan darah terlalu cair atau masalah pembekuan darah, yang mana pesakit perlu pemindahan platelet atau coagulation factors. Kalau pembuluh darah bermasalah (AVM), pakar radiologi akan sekat pengaliran darah tersebut. Paling serius bila uri melekat terlalu dalam (placenta accreta), pembedahan buang rahim terpaksa dibuat demi selamatkan nyawa.
”Semua ini dirawat dengan ilmu perubatan di hospital, bukannya dengan balut atau ikat ibu jari. Stop sebar mitos merapu dan elakkan menyeksa ibu-ibu yang baru bersalin dengan pantang larang yang tidak masuk akal,” tegasnya.
Tanda Tumpah Darah Selepas Bersalin
Tumpah darah selepas bersalin ni memang boleh buat ibu rasa risau. Tapi macam mana nak tahu darah yang keluar tu masih normal atau dah jadi tanda bahaya?
Ibu kena alert kalau ada tanda-tanda ni:
- Pad cepat penuh: Darah keluar terlalu banyak dalam masa yang singkat sampai kena kerap tukar pad.
- Darah berketul besar: Ada ketulan darah saiz besar yang keluar secara berterusan.
- Rasa nak pengsan: Badan rasa sangat lemah, pening, berpeluh sejuk atau rasa melayang.
- Jantung berdegup laju: Rasa degupan dada makin pantas sebab badan anda tengah cuba imbang balik darah yang hilang.
- Pucat dan lesu: Tekanan darah makin drop, muka nampak pucat dan bibir mula rasa kering.
Kalau anda perasan ada tanda-tanda macam ni, jangan bertangguh lagi. Terus beritahu jururawat atau doktor bertugas dengan segera.
Apa Perlu Buat Jika Alami Tumpah Darah?
Bila berlaku tumpah darah selepas bersalin, langkah pantas perlu diambil serta-merta. Jangan tunggu atau anggap pendarahan akan berhenti sendiri. Tindakan penting yang ibu perlu buat:
- Panggil Bantuan Segera: Jika di wad, tekan butang kecemasan atau panggil jururawat/ doktor terus. Kalau di rumah, minta bantuan suami atau keluarga untuk hubungi 999 atau terus ke hospital.
- Baring dan Tinggikan Kaki: Baring terlentang dan letak bantal di bawah kaki. Ini membantu aliran darah kembali ke organ penting seperti otak dan jantung.
- Jangan Duduk Sendiri: Pastikan sentiasa ada orang menemani untuk pantau keadaan dan tahap kesedaran ibu.
- Simpan Pad atau Kain: Jangan buang pad atau kain yang basah dengan darah. Ini penting supaya doktor dapat menganggarkan jumlah darah yang hilang.
- Jangan Bangun atau Berjalan: Kekal baring dan kawal pernafasan. Bangun secara tiba-tiba boleh buat ibu cepat pengsan dan jatuh.
- Elakkan Makan atau Minum: Jangan ambil sebarang makanan atau minuman sebab ada kemungkinan prosedur pembedahan atau bius kecemasan perlu dilakukan.

Pengalaman Tumpah Darah
Usahawan Anes Ayunie (@ayunieso_) mengalami komplikasi pendarahan kritikal akibat placenta accreta (uri melekat terlalu dalam) selepas melahirkan anak ketiganya.

Akibat kehilangan darah 5 liter iaitu keseluruhan darah badan manusia dan diisi semula dengan 12 beg darah. Dia ditidurkan dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan membuang rahim (histerektomi) pada usia 24 tahun demi menyelamatkan nyawanya.
Komplikasi ini dipercayai berpunca daripada sejarah pembedahan caesarean dan jarak kehamilan yang terlalu dekat. Selepas pulih daripada fasa kritikal di ICU, Ayunie berkongsi pengalamannya di Threads serta memuat naik imej imbasan rahim sebelum dan selepas pembedahan untuk memberi kesedaran kepada ibu-ibu lain.
Dia turut mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali yang disertai masalah tumpah darah, sista dan fibroid. Biarpun sedih tidak lagi mampu memberikan zuriat, Ayunie reda dan bersyukur kerana dia dan bayinya selamat.
Tumpah Darah Selepas Bersalin Czer
Ramai fikir bersalin secara caesarean lebih selamat sebab semuanya dilakukan dalam bilik bedah. Tapi hakikatnya, tumpah darah selepas bersalin czer juga boleh berlaku. Antara sebabnya ialah:
- Luka pembedahan tidak berhenti berdarah.
- Rahim tidak mengecut dengan baik selepas bayi dikeluarkan.
- Salur darah di rahim sukar dikawal.
Itulah sebabnya selepas czer, ibu akan dipantau rapi di wad. Jururawat akan periksa tekanan darah, jumlah darah keluar dan doktor akan pastikan ubat kecut rahim berfungsi.
Jika ada tanda pendarahan berlebihan, rawatan segera akan dilakukan.
Kesan Tumpah Darah Selepas Bersalin
Kesan tumpah darah selepas bersalin boleh jadi ringan atau sangat serius bergantung pada jumlah darah yang hilang dan seberapa cepat rawatan diberikan. Berikut beberapa kesan yang biasa berlaku:
1. Anemia & Badan Lemah
Bila darah keluar terlalu banyak, ibu boleh jadi anemia. Akibatnya badan rasa sangat letih, pening, pucat, jantung berdebar dan sukar nak buat kerja harian.
2. Tekanan Darah Turun (Hypotension)
Kehilangan darah yang banyak menyebabkan tekanan darah jatuh mendadak. Ini boleh buat ibu rasa pitam, pandangan kabur malah ada risiko pengsan.
3. Risiko Jangkitan
Bila tubuh lemah dan darah banyak hilang, sistem imun jadi rendah. Ibu lebih mudah kena jangkitan, contohnya pada rahim atau luka bersalin.
4. Kegagalan Organ
Kalau pendarahan tak dikawal dengan cepat, organ penting seperti buah pinggang, jantung dan hati boleh terjejas akibat kekurangan oksigen dalam darah.
5. Trauma Emosi
Selain fizikal, kesan psikologi juga kuat. Ibu mungkin rasa takut, tertekan atau alami post-partum anxiety kerana pengalaman tumpah darah yang menakutkan.
6. Risiko Kematian
Dalam kes yang paling teruk, tumpah darah boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera. Sebab itu rawatan pantas di hospital sangat penting.

Kesimpulan
Kesimpulannya, tumpah darah selepas bersalin ialah komplikasi serius yang memerlukan tindakan pantas. Ibu dan ahli keluarga perlu peka dengan tanda bahaya seperti pendarahan berlebihan, badan rasa terlalu lemah atau pengsan supaya bantuan perubatan dapat dipanggil segera.
Sokongan suami dan keluarga amat penting untuk memastikan ibu tidak panik, kekal baring dan terus dibawa ke hospital. Pemantauan rapi sepanjang tempoh berpantang adalah demi keselamatan.
Kongsi artikel ini dengan ibu-ibu lain supaya lebih ramai tahu tentang komplikasi bahaya ini.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.