Dah masuk minggu keempat berpantang, ingatkan darah nifas makin sikit tapi tiba-tiba keluar semula darah berketul-ketul. Mesti ramai ibu baru bersalin panik dan keliru. Adakah darah nifas masih belum habis atau ini tanda tumpah darah semasa berpantang? Takutnya!!
Memang betul, tubuh kita ambil masa untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Namun, penting untuk setiap ibu baru tahu untuk membezakan antara darah nifas biasa dan pendarahan berlebihan.
Mari kita fahami tanda amaran yang tak boleh diabaikan dan tindakan pantas yang perlu ibu-ibu ambil.
Jangan Ambil Mudah Tumpah Darah Lepas Bersalin!
Fasa pemulihan lepas bersalin selalunya makan masa sekitar 2 hingga 6 minggu. Sepanjang tempoh ini darah nifas sepatutnya makin berkurang dari hari ke hari.
Namun, ada sesetengah ibu baharu berdepan situasi di mana darah tiba-tiba keluar banyak dan berketul, hingga badan rasa lemah. Keadaan ini bukan lagi nifas biasa, sebaliknya petanda tumpah darah yang boleh membawa mengancam nyawa ibu jika dibiarkan.
Jadi, penting untuk ibu-ibu baru bersalin tahu tanda tumpah darah semasa berpantang! Ambil tahu perkara di bawah:
- Risiko komplikasi serius: Pendarahan berlebihan boleh sebabkan tekanan darah ibu merosot mendadak dan organ dalaman gagal berfungsi, seterusnya mengancam nyawa ibu.
- Pantau pad: Jangan sekadar agak-agak. Ibu digalakkan catat berapa kali tukar tuala wanita dan perhati saiz ketulan darah untuk rujukan doktor nanti.
- Waspada dengan pendarahan: Jangan terus andaikan pendarahan tu normal walaupun dah masuk minggu terakhir berpantang. Bila ada rasa tak sedap hati atau badan makin lemah, terus dapatkan pemeriksaan doktor.
Tanda Tumpah Darah Semasa Berpantang

Antara contoh tumpah darah semasa berpantang ialah:
- Pad penuh setiap jam.
- Darah keluar bersama ketulan besar.
- Badan lemah, pitam atau berpeluh dingin.
- Jantung berdebar laju dan nafas jadi pendek.
Jika ini berlaku, ia jelas bukan nifas biasa. Itu adalah tanda tumpah darah semasa berpantang.
Berikut penerangan lebih terperinci tentang contoh tumpah darah semasa berpantang:
Tanda tumpah darah semasa berpantang 1. Darah nifas keluar terlalu banyak
Biasanya, darah nifas akan berkurang sedikit demi sedikit selepas minggu pertama hingga kedua. Namun, jika ibu dapati darah keluar dengan banyak secara tiba-tiba walaupun sudah masuk minggu kedua atau ketiga, itu boleh jadi contoh tumpah darah.
Lebih-lebih lagi jika darah berwarna merah terang, keluar bergumpal besar atau memerlukan ibu tukar tuala wanita setiap jam. Keadaan ini tidak normal dan menandakan rahim ibu mungkin tidak mengecut dengan baik. Jangan abaikan, segera dapatkan rawatan kerana ia boleh membahayakan.
2. Pendarahan berterusan walaupun sudah habis tempoh pantang
Secara umum, tempoh nifas berakhir sekitar 6 minggu selepas bersalin. Jika selepas habis pantang ibu masih mengalami pendarahan yang banyak atau tidak berhenti langsung, ia jelas menunjukkan contoh tumpah darah.
Ramai ibu menganggap ini haid biasa, tetapi sebenarnya ia tanda bahaya. Pendarahan berterusan boleh menyebabkan tubuh kehilangan banyak darah, mengakibatkan anemia atau pitam.
Jika ibu perasan darah tidak juga berhenti, jangan tunggu lagi. Jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut supaya masalah dapat dikesan awal.
3. Tiba-tiba darah keluar banyak selepas aktiviti ringan
Ada juga kes ibu baru bersalin rasa sihat lalu melakukan kerja ringan seperti menyapu, mengangkat barang kecil atau berjalan agak jauh. Namun tiba-tiba keluar darah yang banyak seakan-akan baru lepas bersalin semula. Situasi ini juga antara contoh tumpah darah yang ramai tidak perasan.
Rahim yang masih lemah boleh berdarah semula apabila ibu melakukan aktiviti fizikal melebihi kemampuan. Jadi, sangat penting untuk elakkan kerja berat semasa berpantang kerana ia boleh memburukkan keadaan.
4. Luka bersalin czer berdarah tanpa henti, tanda tumpah darah semasa berpantang
Bagi ibu yang melahirkan secara pembedahan (czer) atau melalui episiotomi, luka sepatutnya sembuh secara berperingkat. Tetapi jika luka berdarah tanpa henti, bernanah atau disertai bau busuk, ia juga boleh dikategorikan sebagai contoh tumpah darah.
Luka yang tidak sembuh mungkin berpunca daripada jangkitan atau pergerakan berlebihan. Kadang-kadang darah keluar bukan sahaja dari rahim tetapi juga dari luka jahitan.
Jangan tunggu hingga luka membengkak teruk. Segera dapatkan rawatan kerana ia boleh membawa kepada komplikasi serius.
5. Darah disertai gejala lain seperti pening dan jantung berdebar
Contoh tumpah darah yang lebih bahaya adalah apabila darah keluar terlalu banyak disertai gejala tambahan seperti pening, pitam, jantung berdebar atau sesak nafas. Tanda-tanda ini menunjukkan tubuh ibu sudah kehilangan terlalu banyak darah sehingga fungsi organ terganggu.
Dalam keadaan sebegini, ia bukan lagi masalah ringan tetapi kecemasan perubatan. Segera ke hospital kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengancam nyawa. Jangan sesekali anggap ia perkara biasa atau tunggu darah berhenti sendiri.
Beza Tumpah Darah dan Haid
Kalau darah keluar luar biasa banyak hingga ganggu aktiviti harian, itu lebih kepada tanda tumpah darah semasa berpantang berbanding period.
Jom kenali perbezaan darah haid dengan tumpah darah:
| Perkara | Haid Biasa | Tumpah Darah |
|---|---|---|
| Jumlah darah | Sederhana | Sangat banyak & deras |
| Warna darah | Merah pekat / coklat | Merah terang segar |
| Tempoh | 5-7 hari | Panjang & tidak berhenti |
| Gejala lain | Senggugut ringan | Pening, pitam, lemah teruk |
Kenali Tanda Pendarahan Abnormal Semasa Bersalin Hingga Selesai Berpantang
Kes tumpah darah tak semestinya berlaku di atas katil bersalin sahaja. Dari fasa melahirkan, proses pemulihan selepas bersalin normal atau czer, hinggalah tempoh berpantang tamat, risiko pendarahan berlebihan ini masih boleh melanda para ibu baharu.
- Pendarahan ketika proses melahirkan: Selalunya berpunca daripada rahim yang gagal mengecut dengan baik, ada cebisan uri tertinggal atau koyakan laluan lahir. Walau dah dirawat awal di hospital, impaknya boleh berlarutan sehingga fasa berpantang.
- Tanda amaran untuk ibu bersalin pembedahan (czer): Pemulihan luka czer perlukan perhatian ekstra. Waspada jika terdapat cecair atau darah keluar tanpa henti dari tempat jahitan, bahagian dalam perut rasa berdenyut dan sangat sakit, darah nifas melimpah deras atau badan rasa lemah luar biasa.
- Gejala tumpah darah selepas tamat berpantang: Ingatkan dah lega lepas genap 40 hingga 60 hari berpantang, tapi pendarahan tiba-tiba datang semula dengan deras. Ini mungkin disebabkan sisa tisu rahim yang belum bersih sepenuhnya, jangkitan atau luka dalaman yang lambat sembuh. Jadi ibu jangan anggap ia sebagai haid biasa.

Pengalaman Tumpah Darah Selepas Bersalin
Ramai ibu berkongsi pengalaman tumpah darah selepas bersalin. Ada yang tiba-tiba pitam, ada yang terpaksa masuk wad semula.
Seorang ibu berkongsi pengalaman di komuniti Kelab Ibu Mengandung Malaysia di Facebook bahawa dia pernah mengalami tumpah darah sebanyak 1 liter sewaktu bersalin. Masuk hari ke-20 berpantang, darah nifasnya didapati mula berkurang dan semakin kering. Namun, selepas dia menjalani sesi berurut pada hari ke-26, darah merah pekat tiba-tiba keluar semula dalam jumlah yang sangat banyak terutamanya setiap kali dia membuang air kecil. Walaupun pendarahan melimpah itu berlaku sekali sehari, dia rasa musykil dan bimbang.
Berikut perkongsian pengalaman ibu-ibu lain terhadap persoalan ibu ini:
- Terus ke hospital: “Bila nampak tanda tumpah darah, terus ke hospital kecemasan tanpa perlu telefon klinik lagi. Kehilangan darah sebanyak 1 liter itu tergolong jumlah yang sangat banyak dan komplikasi pendarahan postpartum (PPH) boleh membawa maut jika berlengah.”
- Kesan bertungku & luka tertinggal: “Saya pernah kena pada hari ke-8 berpantang selepas bertungku. Tiba-tiba keluar darah segar bersama ketulan darah beku sebesar tapak tangan sebanyak dua kali. Bila ke hospital, baru tahu rupanya ada luka dalaman yang terlepas pandang sewaktu proses bersalin sebelum ini.”
- Langkah rawatan awal: “Ibu yang alami pendarahan semula lepas mengurut perlu terus jumpa doktor untuk periksa keadaan rahim. Biasanya doktor akan berikan ubat henti darah dan pantau perkembangan dalam tempoh beberapa hari.”

Punca vs Cara Atasi Tumpah Darah
| Punca Tumpah Darah | Cara Atasi |
|---|---|
| Uri tertinggal dalam rahim | Pemeriksaan & rawatan segera oleh doktor, mungkin perlu D&C |
| Rahim gagal mengecut | Ubat bantu pengecutan rahim, rehat sepenuhnya |
| Luka bersalin tidak sembuh | Rawatan luka, kawalan jangkitan, antibiotik jika perlu |
| Anemia (kurang darah) | Pengambilan makanan tinggi zat besi, suplemen atau transfusi darah |
| Jangkitan rahim | Antibiotik & pemantauan doktor |
| Aktiviti berat terlalu awal | Rehat secukupnya, elakkan kerja rumah & angkat berat |
Jadual ini boleh jadi panduan ringkas supaya ibu lebih jelas tentang punca dan langkah awal sebelum jumpa doktor.
Risiko
Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada:
- Anemia teruk.
- Pitam berulang.
- Jangkitan rahim.
- Tekanan darah rendah mendadak.
- Risiko kehilangan nyawa.
Apa Perlu Dibuat Bila Ada Tanda Tumpah Darah Semasa Berpantang?
Bila nampak tanda pendarahan tak normal, ibu tak boleh berlengah lagi. Keutamaan waktu ini adalah tindak balas cepat dan rehat secukupnya.
- Terus ke hospital: Segera ke unit kecemasan hospital berdekatan. Jangan tunggu hingga badan betul-betul lembik atau pengsan.
- Pantau corak pendarahan: Sebelum ke hospital, perhati dan kumpul maklumat penting seperti kekerapan tukar tuala wanita, bagaimana warna darah dan sebesar mana ketulan darah untuk dimaklumkan pada doktor.
- Rehat sepenuhnya & elak tekanan: Hentikan semua aktiviti fizikal terutamanya kerja rumah. Tubuh perlukan tenaga untuk pulih dan fasa ini perlukan makanan yang kaya zat besi untuk bantu tubuh bina semula sel darah merah.
- Sokongan emosi dari pasangan: Alami tumpah darah memang trauma buat ibu. Peranan suami dan keluarga terdekat amat diperlukan ketika ini. Suami atau keluarga terdekat boleh tolong ambil alih urusan rumah, bantu jaga bayi dan berikan ruang untuk ibu dapat rehat yang berkualiti.

Kesimpulan
Kesimpulannya, tanda tumpah darah semasa berpantang sangat penting untuk dikenali. Bezakan antara nifas, haid dan pendarahan luar biasa. Jangan sesekali abaikan tanda bahaya. Kalau ada gejala mencurigakan, jangan tunggu! Sila terus dapatkan rawatan. Kesihatan ibu selepas bersalin adalah hadiah paling besar buat keluarga.
Jika artikel ini bermanfaat, kongsikan dengan rakan atau saudara yang sedang berpantang. Pengetahuan ini boleh menyelamatkan nyawa. Dan jika anda sendiri alami tanda tumpah darah semasa berpantang, segera ke hospital.
10 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
- Postpartum Hemorrhage
- POSTPARTUM HAEMORRHAGE (PPH)
- Heavy bleeding after birth (postpartum haemorrhage)
- Lochia
- Your body after the birth
- 24 hours to 6 weeks after giving birth
- Late postpartum haemorrhage
- Postpartum complications: What you need to know
- Bleeding after birth and postpartum haemorrhage (PPH)
- Tumpah Darah Lepas Bersalin
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.