Masuk sahaja minggu-minggu terakhir kehamilan, rasa berdebar tu lain macam, kan? Setiap kali perut memulas atau rasa senggugut halus, fikiran terus terfikir, “Eh, dah nak bersalin ke aku ni?” Perasaan risau dan tertanya-tanya ini sebenarnya perkara biasa, terutamanya untuk ibu yang pertama kali bakal melahirkan.

Tubuh kita sebenarnya sangat ajaib. Ia akan bagi pelbagai petunjuk kecil sebelum detik sebenar bermula. Jom kita fahami tanda-tanda awal ini supaya ibu tak panik dan tahu masa sesuai untuk terus ke hospital.

12 Tanda Tanda Bersalin Semakin Hampir

Menjelang minggu-minggu akhir kehamilan, tubuh ibu akan mula menunjukkan pelbagai isyarat bahawa masa untuk bersalin semakin hampir. Berikut adalah 12 tanda-tanda bersalin semakin hampir yang perlu bakal ibu kenal pasti bagi membuat persediaan awal.

tanda bersalin semakin hampir
5 tanda tanda bersalin yang paling biasa dialami bakal ibu.

Tanda Bersalin Semakin Hampir #1. Keluar Lendir

Tanda anda hampir nak bersalin ialah apabila lendiran tebal yang dikenali sebagai mucus plug keluar dari faraj. Lendir ini berfungsi sebagai pelindung serviks sepanjang kehamilan dan akan tertanggal apabila serviks mula melembut dan menipis.

Bagaimana cara mengenalinya?

  • Keluar lendir pekat berwarna jernih, kekuningan atau bercampur darah.
  • Mungkin berlaku sekali gus atau sedikit demi sedikit dalam beberapa hari.
  • Tidak menyakitkan tetapi boleh mengejutkan jika tidak dijangka.

Perlu diingatkan bahawa selepas mucus plug keluar, anda mungkin akan bersalin dalam masa beberapa jam, hari atau minggu. Namun, ia adalah petanda awal bahawa tubuh sedang membuat persediaan untuk kelahiran.

#2. Bayi Turun ke Bawah (Engagement)

Salah satu tanda bersalin semakin hampir yang paling awal ialah apabila bayi mula turun ke bahagian bawah pelvis, satu proses yang dikenali sebagai “lightening” atau “engagement”. Keadaan ini biasanya berlaku beberapa minggu sebelum bersalin, terutamanya bagi wanita yang pertama kali hamil.

Apa yang berlaku?

  • Ibu mungkin rasa seperti pernafasan menjadi lebih mudah kerana tekanan pada diafragma berkurang.
  • Namun akan ada rasa tekanan tambahan di bahagian bawah perut dan pundi kencing.
  • Ibu mungkin terasa seperti sering ingin ke tandas kerana kepala bayi menekan pundi kencing.

Turunnya bayi ke bawah pelvis ialah isyarat bahawa tubuh sedang bersedia untuk proses kelahiran. Walaupun ia bukanlah tanda bersalin akan berlaku dalam masa terdekat akan tetapi, ia tetap petanda bahawa masa tersebut semakin hampir.

#3. Kontraksi yang Lebih Konsisten dan Kuat

Kontraksi adalah tanda bersalin semakin hampir yang paling ketara dan penting. Namun, bukan semua kontraksi bermaksud anda sedang dalam fasa bersalin aktif. Kontraksi palsu atau “Braxton Hicks” biasanya tidak teratur dan tidak terlalu menyakitkan.

Ciri kontraksi sebenar:

  • Berlaku secara berkala dan menjadi semakin kerap serta kuat.
  • Setiap kontraksi berlangsung selama 30 hingga 70 saat.
  • Sakit bermula di bahagian bawah belakang dan bergerak ke hadapan.
  • Tidak hilang dengan perubahan posisi atau berehat.

Jika anda mengalami kontraksi seperti ini, anda mungkin sedang melalui peringkat awal proses bersalin. Catat masa antara setiap kontraksi untuk membantu mengenal pasti bila waktu sesuai untuk ke hospital.

#4. Pecah Air Ketuban

Pecahnya kantung air ketuban adalah antara tanda-tanda bersalin 37 minggu, yang biasanya berlaku tidak lama sebelum kontraksi kuat bermula. Cecair ini melindungi bayi sepanjang kehamilan dan apabila ia pecah, ia menandakan bahawa tubuh sudah bersedia untuk kelahiran.

Bagaimana untuk membezakan pecah air ketuban dengan kebocoran biasa?

  • Cecair keluar secara tiba-tiba dan berterusan (bukan setitis dua).
  • Tidak dapat dikawal seperti air kencing.
  • Cecair tidak berwarna atau sedikit kekuningan dan tidak berbau.

Sekiranya air ketuban pecah walaupun tanpa kontraksi, anda perlu segera ke hospital! Ini kerana bayi lebih mudah terdedah kepada jangkitan selepas kantung air ketuban pecah.

Tanda Bersalin Semakin Hampir #5. Perubahan Emosi dan Tenaga

tanda bersalin semakin hampir
Perubahan emosi boleh jadi tanda-tanda bersalin 37 minggu.

Perubahan hormon juga boleh jadi tanda tanda bersalin yang biasa dialami, terutamanya apabila ibu mengalami perubahan emosi secara mendadak atau tiba-tiba rasa sangat bertenaga. Ada ibu yang tiba-tiba rajin mengemas rumah. Ini satu fenomena dikenali sebagai “nesting instinct“.

Antara tanda-tanda emosi dan tenaga:

  • Ibu rasa gelisah tanpa sebab.
  • Nafsu makan menurun atau meningkat secara drastik.
  • Tenaga memuncak secara tiba-tiba walaupun sebelum ini cepat letih.
  • Emosi tidak stabil. Ibu mudah marah, menangis atau terlalu teruja.

Walaupun ini bukan tanda fizikal seperti kontraksi atau lendir namun ia masih dianggap petunjuk bahawa tubuh anda sedang bersedia untuk proses bersalin.

#6. Perubahan pada Serviks

Serviks atau pintu rahim akan mula berubah beberapa minggu sebelum bersalin. Ia boleh jadi tanda-tanda bersalin 37 minggu atau tanda tanda bersalin 38 minggu. Serviks ibu akan menjadi lembut, menipis dan mula terbuka (dilation).

Walaupun tanda bersalin semakin hampir ini hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan doktor namun ia sangat penting dalam menilai tahap bersedia ibu untuk bersalin. Tahap perubahan serviks:

  • “Effacement”. Penipisan serviks sebagai persediaan untuk membuka.
  • “Dilation”. Bukaan serviks dari 0 hingga 10 sentimeter.
  • Semakin besar bukaan dan penipisan, semakin hampir masa bersalin.

Doktor atau bidan biasanya akan memeriksa keadaan serviks pada pemeriksaan antenatal akhir terutamanya jika anda sudah melepasi minggu ke-37.

#7. Cirit-birit

Ramai ibu mengalami cirit-birit ringan atau lebih kerap membuang air besar beberapa hari sebelum bersalin. Ini adalah tanda bersalin semakin hampir yang disebabkan oleh tubuh cuba membersihkan usus sebagai persediaan untuk kelahiran. Mengapa ia berlaku?

  • Hormon prostaglandin meningkat menjelang kelahiran.
  • Hormon ini juga merangsang usus, menyebabkan pergerakan lebih aktif.
  • Mungkin disertai dengan kekejangan ringan di perut.

Walaupun cirit-birit ringan adalah normal tetapi pastikan anda kekal terhidrat dan beritahu doktor jika ia berlaku terlalu kerap atau disertai tanda dehidrasi.

#8. Sakit Belakang Bahagian Bawah

Sakit belakang yang berterusan terutamanya di bahagian bawah juga merupakan tanda bersalin semakin hampir. Kesakitan ini berbeza daripada sakit biasa kerana ia berulang dalam corak yang konsisten dan tidak hilang walaupun selepas berehat.

Apa yang membezakannya?

  • Sakit lebih tertumpu di bahagian pinggang atau tulang belakang bawah.
  • Datang bersama kontraksi atau berdiri lama.
  • Kadangkala merebak hingga ke kaki atau perut bawah.

Jika anda mengalami kesakitan ini disertai dengan tanda-tanda lain seperti kontraksi dan lendiran darah, kemungkinan besar anda berada dalam fasa awal bersalin.

#9. Tanda Tanda Bersalin Perut Mengeras

Salah satu tanda bersalin semakin hampir yang kerap dialami oleh ibu hamil ialah perut terasa mengeras secara berkala. Keadaan ini berlaku akibat kontraksi rahim yang menandakan tubuh sedang bersedia untuk kelahiran.

Perut mengeras boleh bermula dengan rasa tidak selesa dan kurang sakit tetapi lama-kelamaan menjadi semakin kerap, kuat dan berterusan. Ia biasanya berlaku setiap 5 hingga 10 minit, berlangsung selama 30 hingga 70 saat setiap kali dan tidak hilang walaupun anda mengubah posisi atau berehat.

Perut yang mengeras secara teratur berbeza dengan kontraksi palsu (Braxton Hicks) yang berlaku tidak menentu dan akan reda dengan rehat. Jika anda merasakan perut semakin kerap mengeras terutama disertai tanda lain seperti sakit pinggang atau keluar lendiran, segeralah bersiap untuk ke hospital.

Memahami isyarat tubuh seperti ini sangat penting untuk memastikan kelahiran berlaku dengan selamat dan terkawal.

Berat Badan Turun, Tanda Bersalin Semakin Hampir #10

Menjelang kelahiran sesetengah ibu mungkin mendapati berat badan mereka tidak lagi bertambah malah sedikit menurun. Ini adalah tanda bersalin semakin hampir yang jarang disedari tetapi cukup signifikan.

Apa yang menyebabkan penurunan berat?

  • Penurunan cecair amniotik: Cecair ketuban mungkin mula berkurang apabila bersalin hampir tiba.
  • Penurunan selera makan: Ibu mungkin tidak selera makan kerana tekanan di bahagian perut.
  • Aktiviti tubuh meningkat: Termasuk proses ‘pembersihan’ semula jadi seperti cirit-birit ringan.

Walaupun penurunan ini tidak besar (sekitar 0.5-1 kg), namun ia menandakan tubuh sedang bersedia untuk fasa akhir kehamilan. Pun begitu, teruskan pemantauan dengan doktor jika terdapat penurunan mendadak.

#11. Serviks Menjadi Lebih Lembut dan Nipis

Perubahan pada serviks bukan sahaja membabitkan bukaan (dilation), tetapi juga kelembutan dan ketebalannya. Proses ini dinamakan effacement dan ia merupakan tanda tanda bersalin yang menunjukkan tubuh sedang ‘melonggarkan’ laluan kelahiran.

Ciri-ciri effacement:

  • Serviks mula menjadi lebih pendek dan nipis.
  • Biasanya diukur dalam peratusan (contoh: 50% effaced).
  • Lebih mudah berlaku pada kehamilan kedua dan seterusnya.

Effacement perlu disertai dengan dilation sebelum bayi boleh dilahirkan secara normal. Pemeriksaan dalaman oleh doktor akan membantu mengesahkan tahap effacement ibu hamil.

#12. Naluri Ibu Meningkat

tanda bersalin semakin hampir
Percaya dengan instinct ibu jika anda rasa tanda bersalin anda makin hampir.

Sebilangan wanita hamil melaporkan bahawa mereka dapat ‘rasa’ bahawa saat bersalin hampir tiba. Naluri semula jadi ini juga boleh dianggap sebagai tanda bersalin semakin hampir walaupun tidak ada penjelasan saintifik yang khusus.

Contoh tanda naluri ibu:

  • Rasa sangat yakin bayi akan lahir dalam masa terdekat.
  • Ingin segera menyelesaikan urusan rumah atau beg hospital.
  • Rasa ‘berpisah’ dengan kandungan seperti tubuh bersedia untuk melepaskan.

Walaupun naluri tidak boleh dijadikan petunjuk perubatan akan tetapi ramai ibu hamil yang melaporkan naluri mereka ternyata betul. Jika anda merasai sesuatu yang berbeza atau “luar biasa”, percayalah pada gerak hati anda dan lakukan pemeriksaan segera.

Kenapa Ibu Wajib Ambil TahuTanda Bersalin Semakin Hampir?

Bila kandungan dah sarat, rasa berdebar tu memang tak boleh nak sorok. Bagi ibu yang pertama kali nak melahirkan, lagi lah cepat rasa cemas. Tahu dan peka dengan perubahan tubuh bukan setakat untuk bersedia, tapi banyak membantu dari segi emosi dan keselamatan.

Ini sebabnya kenapa ibu kena ambil tahu:

  • Sedia bagasi, emosi tak panik: Bila nampak isyarat awal, ibu dan pasangan sempat semak balik barang hospital tanpa tergesa-gesa atau kelam-kabut di atas jalan raya.
  • Elak komplikasi yang tak disangka: Peka dengan waktu sebenar tubuh sedia melahirkan dapat bantu doktor buat tindakan tepat sekali gus mengurangkan risiko prosedur kecemasan yang tidak diingini.
  • Nyawa ibu dan bayi lebih terjamin: Ada sesetengah tanda perlukan pemerhatian doktor dengan kadar segera. Bila cepat bertindak, keselamatan kedua-duanya lebih terpelihara.
  • Minda lebih tenang dan yakin: Rasa takut selalunya datang sebab kita tak tahu apa bakal berlaku. Bila ada ilmu, ibu akan rasa lebih berani dan bersedia hadapi detik perjuangan nanti.

Pengalaman Ibu-Ibu Di Facebook Kongsi Tanda Bersalin Dah Dekat

Bila usia kandungan dah masuk minggu ke-39, memang wajar sangat kalau ibu rasa buntu dan tertanya-tanya. Tambah-tambah lagi bila keluar lendir jernih berair macam keputihan, tapi perut cuma mengeras sekali-sekala. Nak terus ke hospital takut belum ada bukaan dan kena tahan, tapi kalau tunggu kat rumah risau pula membahayakan kandungan.

Untuk beri gambaran yang lebih jelas, jom ikuti pengalaman sebenar ibu-ibu dari komuniti Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) tentang bagaimana detik awal kelahiran mereka bermula:

  • Ibu 1: Keluar Lendir Coklat & Sakit Senggugut Ringan (Lahir 39 Minggu 6 Hari) “Saya baru sahaja melahirkan semalam. Bermula dengan keluar lendir dan sedikit darah berwarna coklat. Selepas itu rasa macam nak senggugut tapi tak kuat, malah gerakan bayi pun biasa-biasa sahaja, tak mengeras sangat. Bila ke hospital untuk pemeriksaan, doktor beritahu dah ada bukaan 2 cm dan terus dimasukkan ke wad. Walaupun dah mula sakit senggugut yang kuat, saya masih mampu tersenyum dan gelak-gelak. Saya tetap solat macam biasa sambil berdoa minta dipermudahkan bukaan. Di wad, saya cuba pujuk bayi, menggentel puting dada dan sentiasa baring mengiring ke kiri. Pukul 8:00 malam jururawat periksa bukaan dah 3 cm, dan jam 10:00 malam naik ke 4 cm lalu terus dibawa ke bilik bersalin. Pukul 10:30 malam doktor bantu pecahkan ketuban dan alhamdulillah tepat jam 11:59 malam bayi saya selamat dilahirkan.”
  • Ibu 2: Keluar Lendir Jernih & Kerap Rasa Nak Kencing (Lahir 39 Minggu 5 Hari)“Saya pula mengalami keluar lendir jernih berhari-hari tanpa rasa sakit yang kerap. Sehinggalah masuk waktu subuh, saya mula rasa terdesak nak kencing setiap satu jam.. sampai rasa tak ada air pun masih rasa nak membuang. Bila makin dekat waktu subuh, rasa sakit kontraksi mula datang dan makin rapat jaraknya. Pukul 7:30 pagi kami bertolak ke hospital. Sempat juga singgah makan roti canai dekat kedai sebab risau tak ada tenaga kat bilik bersalin nanti! Sampai sahaja di hospital pukul 8:30 pagi, doktor periksa bukaan rupanya dah 7 cm. Masa tengah pasang mesin ctg, saya dah rasa nak meneran. Doktor minta saya tahan kejap. Elok sahaja sampai di pintu bilik bersalin jam 9:15 pagi, bukaan dah 10 cm penuh. Tepat 9:28 pagi, alhamdulillah lahir seorang bayi comel seberat 3.76 kg secara normal.”

Dengarlah Isyarat Tubuh Anda

Tanda bersalin semakin hampir boleh muncul dalam pelbagai bentuk dari kontraksi kuat, pecah air ketuban hingga perubahan emosi. Setiap ibu akan mengalami pengalaman yang unik namun memahami tanda-tanda ini membantu anda bersedia secara fizikal dan mental.

Jika anda mula merasakan beberapa tanda bersalin semakin hampir seperti yang dibincangkan, segeralah berbincang dengan doktor anda. Sentiasa amalkan sikap tenang, bersedia dan jangan lupa sediakan beg hospital anda lebih awal!

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Signs that labour has begun
  2. Pregnancy – labour
  3. Giving birth - early signs of labour
  4. Signs of going into labour
  5. 10 Signs Labor May Be Beginning
  6. Stages of labour
  7. Tanda-tanda Bersalin
  8. Cara Mengenali Tanda-Tanda Bersalin

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.