Bila dapat tahu bakal timang cahaya mata, teruja tu lain macam. Tapi bila mula menjenguk ke kedai barangan bayi, terus rasa rambang mata sebab rasa semua benda macam wajib beli!
Hakikatnya, banyak barang baby yang comel akhirnya tersimpan dalam almari tanpa sempat disentuh. Nak-nak pula bila tarikh EDD makin dekat, kepala mula serabut bimbang ada benda asas yang terlepas pandang.
Supaya ibu ayah tak pusing kepala dan pembaziran tak berlaku, kami kumpulkan senarai semak barang keperluan asas bayi yang betul-betul praktikal. Tenang, jom kita semak satu persatu list barang baby ni!
Keperluan Asas Bayi Baru Lahir: Fokus Yang Penting Sahaja
Persiapan awal untuk si manja tak perlu sampai buat kita rasa tertekan. Fokuskan dulu pada tiga keperluan utama: pakaian, kebersihan dan keselesaan tidur.
- Baju & aksesori kecil: Sediakan rompers, baju lengan panjang, seluar, sarung tangan, sarung kaki dan topi. Petua penting: elak beli baju saiz newborn terlalu banyak sebab bayi membesar sangat cepat dalam masa sebulan dua ni.
- Urusan lampin: Bebas pilih sama ada lampin pakai buang atau lampin kain (cloth diaper). Yang penting, sentiasa pastikan stok mencukupi untuk beberapa hari awal.
- Barang mandian & penjagaan kulit: Sabun khas bayi yang lembut, syampu, losyen dan minyak telon untuk elakkan perut kembung. Jangan lupa tuala khas yang serap air dan tak kasar pada kulit sensitif bayi.
- Barang tidur: Bedung sangat membantu supaya bayi tak mudah terkejut (startle reflex) di samping selimut nipis untuk kekalkan rasa hangat umpama semasa berada dalam kandungan.
Senarai ringkas ini sekadar panduan asas untuk permulaan list barang baby. Yang penting, ibu ayah beli mengikut kemampuan dan keperluan, bukannya ikutan trend semata-mata.
List Barang Baby Ke Hospital

Bila tiba masa nak bersalin, ibu ayah kena bersedia dengan beg khas ke hospital. Ramai ibu bapa buat silap sebab hanya fokus pada barang ibu, sedangkan barang bayi pun sama penting. Jadi mari kita tengok apa yang patut ada dalam list barang baby ke hospital:
- 2ke 3 helai set baju newborn. Pilih yang butang snap lebih mudah pakai.
- Sarung tangan & sarung kaki untuk elak bayi tercakar muka sendiri.
- Selimut bayi atau bedung sesuai untuk balut bayi selepas lahir.
- Topi bayi penting untuk kekalkan haba badan.
- Lampin newborn sekurang-kurangnya 10 helai.
- Kain barut. Ada hospital yang masih gunakan barut, jadi elok sediakan.
- Tuala kecil untuk lap muntah atau air liur bayi.
Dengan adanya list barang baby ke hospital ni, ibu ayah akan lebih bersedia. Tak ada la nanti kelam-kabut bila jururawat minta pakaikan bayi baju atau tukar lampin.
List Barang Baby Ke Hospital Kerajaan
Kalau bersalin di hospital kerajaan, ada beberapa peraturan dan kelengkapan khusus yang perlu diambil kira. List barang baby ke hospital kerajaan biasanya lebih ringkas sebab kebanyakan hospital kerajaan sudah sediakan barang asas seperti kain bedung dan barut.
Tapi, untuk lebih selesa, ibu ayah boleh bawa barang bayi seperti:
- 2 pasang baju newborn.
- Lampin pakai buang.
- Topi & sarung tangan.
- Selimut nipis.
- Kain tuala kecil.
Ada hospital kerajaan yang lebih ketat dengan jumlah barang bayi yang boleh dibawa. Jadi sebaiknya semak dulu dengan hospital tempat bakal bersalin. Dengan cara ni, ibu ayah tak perlu bawa barang bayi berlebihan.
Tapi, jangan lupa juga untuk bawa buku pink bersama, ya!

List Barang Baby Yang Perlu Dibeli
Sebelum baby lahir, memang banyak barang yang menggoda di kedai bayi. Tapi, bukan semuanya perlu. Jadi apa sebenarnya list barang baby yang perlu dibeli?
Mari kita pecahkan ikut kategori:
1. Pakaian & aksesori
- Rompers & jumpsuit.
- Baju lengan panjang & seluar.
- Sarung tangan, sarung kaki & topi.
- Bedung & selimut.
2. Makan & minum
- Botol susu (walaupun ibu nak fully breastfeeding, tetap elok standby 1 ke 2 botol).
- Berus botol.
- Termos kecil untuk air panas.
3. Tidur & bilik bayi
- Tilam bayi & sarung tilam.
- Kelambu bayi.
- Baby cot atau baby crib (ikut bajet).
4. Mandi & penjagaan diri
- Mandian & syampu baby.
- Tuala mandi lembut.
- Minyak telon & lotion baby.
- Pengetip kuku bayi.
- Detergen/ sabun pencuci pakaian khas untuk baju bayi.
5. Kesihatan & keselamatan
- Termometer digital.
- Baby wipes.
- Minyak telon (optional tapi ramai ibu suka guna).
Boleh dapatkan minyak telon di sini.
Dengan senarai ni, ibu ayah boleh fokus beli barang yang betul-betul akan digunakan. Tak adalah nanti rumah penuh dengan barang yang akhirnya tersimpan sahaja.
Checklist List Barang Baby
| Kategori | Barang Bayi |
|---|---|
| Pakaian & Aksesori | Rompers, baju lengan panjang, seluar, sarung tangan, sarung kaki, topi bayi, bedung, selimut |
| Mandian & Penjagaan | Sabun mandi baby, syampu, losyen baby, minyak telon, tuala mandi, pengetip kuku bayi |
| Tidur & Bilik Bayi | Tilam bayi, sarung tilam, kelambu bayi, baby cot/crib (optional), bantal kecil |
| Makan & Minum | Botol susu, berus botol, termos air panas, susu formula (jika perlu) |
| Lampin & Kebersihan | Lampin pakai buang/ kain lampin, baby wipes, kain barut, tuala kecil, detergen khas untuk bayi |
| Kesihatan & Keselamatan | Termometer digital, cotton buds bayi, nasal aspirator (sedut hingus) |

Jadual ni boleh dijadikan sebagai checklist. Tick je bila dah beli. Senang nak nampak barang bayi mana yang dah ada dan mana yang masih perlu dicari.
Tips Jimat Beli List Barang Baby
Siapa saja tak teruja bila tengok barang comel untuk si kecil, kan? Tapi kalau main sauk saja, sedar-sedar bajet lari jauh. Nak jimat sebenarnya tak susah, janji kita tahu mana keperluan, mana kehendak.
- Beli ikut keperluan, bukannya sebab comel: Baju saiz newborn cukuplah sikit dulu. Percayalah, belum sempat lipat beberapa kali, bayi dah tak muat sebab membesar cepat sangat.
- Rajin buat perbandingan harga: Kedai online kadang ada promosi kilat atau set bundle, tapi jangan lupa jenguk kedai fizikal juga. Boleh dapat tawaran lagi berbaloi.
- Mana yang percuma, kita sambut: Kalau ada abang, kakak atau kawan nak bagi barang preloved seperti stroller atau katil bayi, ambil saja. Banyak jimatnya, janji masih selamat guna.
- Barang asas dulu, gajet canggih kemudian: Buaian elektrik, walker atau mainan canggih tu tak lari ke mana. Tunggu tengok kesesuaian bila bayi dah besar sikit.
- Beli secara berperingkat: Jangan nak selesaikan semua barang dalam satu hari. Beli perlahan-lahan ikut keperluan semasa, barulah aliran tunai keluarga tak tercekik.
Bila kita bijak mengurus perbelanjaan dari awal, baki duit yang ada boleh disimpan untuk keperluan imunisasi, lampin atau dana kecemasan kemudian hari.
Pengalaman Sendiri Terjebak Beli Banyak Baju Baby Kat Tiktok Live



Pengalaman saya sendiri masa sediakan barang bayi dulu, memang jadi pengajaran betul. Awalnya masuk trimester ketiga, rancang nak beli barang asas dan sikit-sikit saja. Sekali bila kerap melayan live di TikTok, habislah… terus terjebak!
Tengok baju comel sikit, lock dan tekan beg kuning. Kononnya nak bersedia awal, tapi tak sedar saya dah siap beli baju sampai ke saiz umur setahun padahal bayi dalam perut pun belum lahir lagi, haha. Sampai penuh lah almari baby. Baju saiz newborn dan 0-3 bulan pulak yang paling banyak borong sebab tak tahan tengok saiz dan designnya yang comel sangat.
Bila bayi dah lahir, barulah timbul ‘penyesalan’. Kebanyakan baju newborn tu sempat pakai sekali saja! Maklum la, hari-hari sibuk tukar baju sebab kotor atau nak pakaikan baju berbeza. Bila rasa nak pakaikan balik baju yang sama, sekali tengok badan bayi dah makin semangat dan tak muat dah nak pakai baju tu.
Jadi pesanan ikhlas daripada saya untuk ibu bapa baru: tolonglah jangan beli baju saiz newborn terlalu banyak. Beli sekadar cukup-cukup saja untuk minggu pertama dan kedua, sebab proses tumbesaran bayi baru lahir ni tersangatlah cepat!
Kesimpulan
Menyediakan list barang baby memang penting supaya ibu ayah tak pening kepala saat-saat akhir.
Sama ada barang bayi untuk ke hospital atau keperluan di rumah, semuanya berguna untuk panduan sebelum dan selepas bayi lahir.
Yang penting, beli ikut keperluan, jangan berlebihan, dan sentiasa fikirkan keselesaan bayi.
Kalau ibu hamil sedang buat persediaan menyambut cahaya mata, jadikan artikel ni sebagai checklist.
Boleh juga print dan tandakan barang bayi yang dah dibeli.
Jangan lupa kongsi artikel ni dengan bakal ibu ayah lain supaya mereka pun lebih bersedia.
Ingat, persediaan awal akan buat anda lebih tenang bila tiba masa menyambut si comel nanti.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.