Bila muncul garis dua dekat UPT, tiada kata yang boleh gambarkan rasa gembira dalam hati. Buat ibu yang baru pertama kali alami pengalaman ini, pasti tertanya-tanya bila boleh buka buku pink?
Untuk pengetahuan anda, buku pink sangat penting sebab ia menyimpan dan merekodkan kesihatan ibu serta perkembangan janin sepanjang tempoh kehamilan. Tiap kali datang check up, maklumat seperti tekanan darah, berat badan, keputusan darah akan dicatat dalam buku ini.
Apa Itu Buku Pink dan Kenapa Ia Penting?
Buku pink atau dikenali sebagai “Rekod Kesihatan Ibu” adalah buku kecil berwarna merah jambu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk semua ibu mengandung.
Buku pink ini mengandungi maklumat seperti:
- Tarikh jangkaan bersalin (EDD).
- Rekod kesihatan ibu.
- Sejarah kehamilan terdahulu.
- Bacaan tekanan darah, Hb, berat badan.
- Perkembangan janin.
- Temujanji klinik seterusnya.
Bila Boleh Buka Buku Pink?
Ada yang kata tunggu perut nampak dulu, ada pula cakap kalau buka awal sangat pun klinik tak terima.
Sebenarnya waktu paling ideal adalah minggu ke-8 hingga ke-12 kehamilan. Tapi kalau ibu jenis period tak teratur, sebaik sahaja sah mengandung, teruslah ke klinik kesihatan terdekat.
Sebab misi dan doktor nak kena check macam-macam, daripada ujian darah, air kencing, sampailah ke ultrasound pertama untuk tengok adanya kantung dan janin bayi.
Bukan itu sahaja, pemeriksaan awal ni juga penting untuk mengesan kalau ibu ada masalah seperti kencing manis, darah tinggi, atau Hb rendah. Kalau lambat daftar, risikonya kita mungkin terlepas fasa kritikal untuk pantau tumbesaran awal bayi.
Proses Buka Buku Pink di Klinik Kesihatan
Bila nak daftar kehamilan buat kali pertama dekat klinik, memang normal kalau anda rasa berdebar dan agak blur nak kena bawa dokumen apa. Tapi jangan risau sebab proses tidaklah rumit macam yang ramai ibu sangkakan. Berikut turutan proses yang ibu akan lalui nanti:
- Daftar di kaunter: Datang awal pagi, bagitahu misi nak buka buku pink. Sediakan siap-siap MyKad, bil utiliti (untuk sahkan alamat rumah), dan salinan imbasan pengesahan kehamilan kalau ada.
- Saringan awal: Nama dipanggil untuk timbang berat, check tekanan darah, dan ambil sampel air kencing. Misi juga akan tanya tarikh haid terakhir untuk kira due date.
- Ujian darah: Wajib masuk makmal untuk ambil darah bagi check tahap Hb (elak anemia), kumpulan darah, dan saringan penyakit macam HIV atau Hepatitis B.
- Temu bual & jumpa doktor: Nurse akan bertanyakan tentang sejarah kesihatan, latar belakang kesihatan keluarga dan diikuti pemeriksaan doktor untuk scan kandungan.
Dah setel semua, barulah buku pink diserahkan berserta bekalan vitamin dan tarikh next check-up.

Boleh Ke Buka Buku Pink Di Klinik Swasta?
Jika ibu nak lebih selesa dengan suasana privasi dan servis lebih cepat, boleh lah mulakan proses pemeriksaan kehamilan di klinik swasta.
Namun, penting untuk tahu bahawa buku pink adalah dokumen rasmi terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi klinik swasta tak boleh keluarkan buku pink rasmi KKM, tapi mereka akan buka buku rekod atau kad kehamilan swasta sendiri untuk catat berat badan, tekanan darah, dan tumbesaran janin.
Kalau anda plan nak bersalin di hospital kerajaan nanti, wajib juga pergi buka buku pink dekat KK. Hospital kerajaan perlukan rekod rasmi daripada KK tu untuk mudahkan urusan masuk wad bersalin nanti.
Berapa Bayaran?
Dekat Klinik Kesihatan (KK), proses buka buku pink dan semua pemeriksaan kehamilan sepanjang sembilan bulan adalah percuma. Paling-paling pun, anda cuma perlu bayar RM1 sahaja untuk pendaftaran kali pertama.
Memang sangat menjimatkan poket, terutamanya untuk pasangan muda yang baru nak mulakan hidup berkeluarga.
Sementara itu, dekat klinik swasta pula, kosnya bergantung kepada caj klinik masing-masing. Walaupun mereka tak keluarkan buku pink rasmi KKM dan hanya menggunakan buku rekod swasta sendiri, anda boleh jangkakan anggaran kos sekitar RM80 hingga RM200 untuk lawatan pertama.
Bayaran ini biasanya dah sekali dengan kos pendaftaran, kad rekod, konsultasi doktor, ujian air kencing, dan juga scan 2D untuk tengok kedudukan janin.

Pengalaman Buka Buku Pink
Bila double line je kat UPT, perasaan tu bercampur baur. Happy ada, tapi yang paling banyak sebenarnya rasa cuak dan blur sebab langsung tak ada pengalaman. Sama macam kisah saya beberapa tahun lepas.
Lepas sepupu nasihatkan untuk kepastian, saya check sekali lagi guna pregnancy test digital. Naik keputusan 3+ weeks. Seterusnya, saya ke klinik swasta terdekat untuk scan pengesahan. Masa tu doktor dah nampak kantung dan janin kecil berusia 5 minggu.
Bila balik rumah, saya terus telefon Klinik Kesihatan (KK) berdekatan, dan misi kat talian nasihatkan supaya datang buka buku pink sebelum kandungan masuk 12 minggu.
Hari yang ditunggu, saya pergi ke KK dengan bawa sekali IC dan salinan kertas scan swasta tadi sebagai rujukan. Mula-mula misi suruh isi butiran peribadi dekat muka depan buku pink. Lepas tu timbang berat, ukur tinggi, dan ambil darah.
Dia ada juga tanya tentang sejarah penyakit keluarga macam kencing manis atau darah tinggi. Proses ni sekejap je, yang buat lama sikit sebab kena tunggu keputusan makmal untuk darah.
Kemuncak hari tu ialah sesi berjumpa doktor buat kali pertama. Doktor tanya tarikh hari pertama haid terakhir (LMP). Masa ni saya tak dapat pastikan sebab sebelum tu saya alami heavy bleeding yang teruk.
Nasib baik doktor sangat membantu, dia tolong anggarkan due date bersalin berdasarkan tarikh hari terakhir darah saya berhenti tu. Sebelum balik, misi bagi buku pink, vitamin ibu mengandung dan tetapkan tarikh temu janji seterusnya.
Apa Yang Ada Dalam Buku Pink?
Bila belek helaian dalam buku pink, ibu akan nampak banyak ruangan yang ada. Sebenarnya buku pink ni macam diari kesihatan menyeluruh untuk pantau diri ibu dan baby.
Ini antara bahagian penting yang ada kat dalam buku tu:
1. Profil & Sejarah Kandungan
Kat bahagian awal, misi akan catat umur ibu, bilangan anak (gravida/para), dan sejarah komplikasi kehamilan yang lepas kalau ada. Ini penting untuk tahu sama ada kes ibu berisiko atau tak.
2. Pemeriksaan Berkala Bulanan
Ruangan ni akan penuh dengan graf dan jadual setiap kali ibu datang check-up. Misi akan rekod bacaan tekanan darah, berat badan, keputusan ujian air kencing, dan juga keputusan ujian minum air gula (MGTT).
3. Keputusan Ujian Darah & Saringan
Semua hasil ujian makmal masa mula-mula daftar dulu ada kat sini. Ini termasuklah tahap hemoglobin (Hb) darah, kumpulan darah, serta keputusan saringan penyakit macam HIV, Hepatitis B, dan Sifilis.
4. Carta Pertumbuhan Janin
Bila kandungan dah masuk trimester kedua dan ketiga, misi atau doktor akan mula ukur tinggi rahim (tinggi fundus). Maklumat ni akan diplot pada carta untuk pastikan tumbesaran janin on-track dan tak terlalu kecil atau besar.

Bolehkah Buka Buku Pink Tanpa Sijil Nikah?
Jangan sebab tak ada sijil nikah atau belum berkahwin, ibu rasa takut sampai sanggup sorok kehamilan. Pihak Klinik Kesihatan tak akan sesekali halau atau tolak ibu mengandung yang datang nak minta rawatan.
Prinsip hospital atau klinik kerajaan ni mudah iaitu kesihatan ibu dan bayi sentiasa jadi keutamaan nombor satu. Misi dan doktor bertindak sebagai medical team, bukannya polis yang nak tangkap atau hukum anda.
Ini beberapa perkara penting yang ibu kena tahu:
- Bukan kesalahan undang-undang perubatan: Tak ada satu pun undang-undang kat Malaysia ni yang menghalang wanita bujang untuk dapatkan pemeriksaan kehamilan.
- Segalanya rahsia: Maklumat peribadi dan status ibu akan dilindungi sebagai rahsia perubatan. Mereka tak akan sewenang-wenangnya kongsi cerita anda dekat orang luar tanpa keizinan.
- Bantuan sokongan (kaunseling): Biasanya, pihak klinik akan rujuk anda ke pegawai kebajikan masyarakat atau kaunseling sosial. Jangan risau, ini bukan nak menghukum, tapi lebih kepada nak beri sokongan emosi dan bantuan persediaan, terutamanya kalau ibu tu masih bawah umur.
- Dokumentasi: Misi mungkin akan tanya beberapa maklumat tambahan untuk rekod fail-fail dalaman mereka, jawab je dengan jujur.
Jadi, tolong jangan bertindak melulu dengan skip check-up. Saringan awal macam ujian darah dan air kencing tu teramatlah penting untuk pastikan diri ibu dan baby dalam kandungan selamat.
Buku Pink Adalah Privasi Anda
Baru-baru ini, tular mengenai pekerja pasar raya yang menuduh wanita mengandung 38 minggu mencuri barangan disebabkan oleh perutnya kelihatan begitu sarat. Disebabkan itu dia meminta wanita berkenaan menunjukkan buku pink sebagai bukti mengandung.
Dr. Malar menegaskan bahawa buku pink ialah dokumen peribadi yang sangat sulit ibarat kad pengenalan kedua untuk ibu hamil, dan ia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA). Oleh itu, orang awam atau pekerja premis seperti pasar raya langsung tiada hak untuk meminta, melihat, apatah lagi merampas buku tersebut.
Berikut fakta penting yang ibu perlu tahu:
- Data Sangat Sulit: Ia mengandungi rekod sensitif anda dan bayi, termasuk ujian darah (seperti HIV), sejarah penyakit, dan alahan.
- Hak Privasi Anda: Ibu berhak sepenuhnya untuk tidak menunjukkan buku ini kepada sesiapa yang tiada kaitan dengan urusan perubatan anda.
- Hanya Untuk Pakar: Kecuali ada waran sah, hanya petugas kesihatan bertauliah sahaja yang dibenarkan melihat dan memeriksa buku ini.
Kesimpulan
Buka buku pink adalah langkah penting yang tidak boleh dipandang ringan oleh ibu mengandung. Ia membuka pintu kepada penjagaan pranatal yang selamat, teratur dan sistematik.
Dengan pemantauan kesihatan yang rapi, risiko komplikasi boleh dikurangkan dan ibu lebih bersedia sehingga tibanya tanda bersalin.
Jangan lupa untuk baca artikel lain seperti alahan mengandung bermula minggu ke berapa, vitamin untuk ibu hamil trimester 1 dan stroller baby terbaik.
5 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.