Masuk minggu ke-37, spotting kecil atau lendir kat panty liner pun boleh buat ibu berdebar. Mana taknya, ibu mesti tertanya-tanya, ini ke tanda dah nak bersalin atau lendir ni sekadar keputihan biasa?

Semakin hampir tarikh jangkaan (EDD), pangkal rahim memang akan mula melembut dan melepaskan mucus plug. Ada yang jernih, kuning pekat, malah bercampur darah coklat atau kemerahan. Bezanya, sesetengah warna menandakan badan sedang buka laluan, manakala sesetengah lagi petanda ibu kena terus ke hospital.

Jom kenali perbezaannya supaya ibu kekal tenang dan bersedia!

Macam Mana Nak ‘Cam’ Tanda Lendir Bersalin?

Bila mucus plug mula tercabut, lendir yang keluar memang lain sikit rupanya berbanding keputihan harian. Ibu boleh perhatikan beberapa petunjuk ini:

  1. Tekstur Lebih Melekit & Likat. Lendir tanda bersalin rasa kenyal macam agar-agar atau hingus pekat. Beza sangat dengan keputihan biasa yang selalunya lebih cair atau berair.
  2. Keluar Berketul Sekali Gus. Ibu mungkin nampak ketulan lendir yang agak besar jatuh kat mangkuk tandas atau panty liner. Bila ini berlaku, bermakna laluan pangkal rahim (serviks) dah mula terbuka.
  3. Disusuli Memulas Atau Kontraksi. Bila lendir dah keluar, cuba perhati perut ibu. Kalau mula rasa memulas mengikut sela masa yang teratur, sama ada selang 10 atau 15 minit, ini maksudnya proses bersalin dah makin dekat.
  4. Perut Rasa Berat & Sakit Pinggang. Bukan lendir saja, ibu juga akan rasa tekanan melampau kat bahagian pelvis atau senggugut kuat di pinggang bawah. Ini tanda kepala bayi makin turun ke bawah.
warna lendir tanda bersalin
Jika lendir keluar berserta sakit bawah perut dan belakang, ini mungkin tanda bersalin makin dekat.

Contoh Warna Lendir Tanda Bersalin: Mana Normal, Mana Perlu Risau?

Perubahan warna lendir pada hujung kehamilan sebenarnya petunjuk untuk apa yang tengah berlaku dalam rahim. Ini gambaran ringkas yang ibu kena tahu:

Jernih Atau Putih Pekat.

Selalunya tak ada apa yang perlu dirisaukan. Kalau keluar banyak dan teksturnya kenyal, itu tandanya serviks mula melembut dan melepaskan sebahagian daripada mucus plug.

Kekuningan Pekat Atau Kehijauan.

Warna macam ni berisiko menandakan ada jangkitan, terutamanya kalau disertai bau kurang menyenangkan atau rasa gatal. Jangan tunggu lagi, terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Coklat Pudar Atau Gelap.

Biasanya ini cuma darah lama yang mengambil masa untuk keluar. Perkara ini kerap berlaku beberapa hari sebelum proses bersalin bermula sebab laluan pangkal rahim dah mula mengembang sedikit demi sedikit.

Merah Jambu Atau Urat Darah Segar (Bloody Show).

Tanda klasik bersalin makin hampir! Bila lendir bercampur titisan darah segar atau berwarna merah jambu, maksudnya kapilari darah pada serviks dah mula pecah. Biasanya hari kelahiran cuma tinggal beberapa jam atau beberapa hari saja lagi.

Macam Mana Nak Bezakan Keputihan & Warna Lendir Tanda Bersalin?

Ramai ibu hamil keliru antara keputihan dan warna lendir tanda bersalin. Jom kita tengok perbezaan utama antara dua keadaan ini:

Ciri-ciriKeputihanLendir Tanda Bersalin
WarnaPutih susu atau jernihJernih, putih pekat, coklat, merah jambu atau berdarah
TeksturCair atau berairPekat, likat, kadang bercampur darah
BauTiada atau sedikit masamTiada bau atau bau darah ringan
Waktu keluarSepanjang kehamilanHujung kehamilan, biasanya 37 minggu ke atas
Tanda bersalin?TiadaYa, jika disertai kontraksi atau perubahan lain

Jika lendir yang keluar lebih kepada lendir jernih tebal atau sedikit coklat dan berlaku pada akhir kehamilan, kemungkinan besar itu warna lendir tanda bersalin. Tapi kalau lendir berbau, kehijauan atau disertai gatal, itu lebih kepada jangkitan.

Tanda Bersalin Lendir Coklat: Adakah Ini Permulaan?

warna lendir tanda bersalin
Warna lendir coklat tanda bersalin makin dekat?

Bila keluar tanda bersalin lendir coklat, ramai ibu risau sebab warnanya macam darah kotor. Tapi jangan panik dulu ya Mommies!

1. Kenapa Warna Coklat?

Warna coklat biasanya datang dari darah lama yang sudah kering dalam rahim atau serviks. Apabila serviks mula terbuka, darah lama ini ikut keluar bersama lendir.

2. Bahaya Ke?

Kalau lendir warna coklat keluar sedikit sahaja, dan tiada bau atau sakit kuat, ia biasanya normal. Tapi kalau lendir itu banyak dan disertai pendarahan segar, ibu diminta cepat-cepat ke hospital.

3. Bila Perlu Sedia ke Hospital?

Jika lendir coklat keluar dan dalam masa 24-48 jam anda mula rasa kontraksi, besar kemungkinan itu tanda badan ibu sedang bersedia untuk bersalin.

Keluar Lendir Darah Tanda Bersalin: Ini Yang Anda Kena Tahu

warna lendir tanda bersalin
Jika sudah keluar lendir merah, ibu boleh bersiap ke hospital untuk bersalin.

Salah satu tanda paling klasik dalam proses nak bersalin ialah keluar lendir darah tanda bersalin. Ia juga dipanggil sebagai bloody show dalam istilah perubatan.

Bloody show ialah lendir pekat yang keluar daripada serviks dan mengandungi darah segar atau warna merah jambu. Ini menandakan bahawa mucus plug sudah terkeluar dan serviks mula membuka. Selalunya, lendir darah ini berlaku antara minggu ke-37 hingga 40 kehamilan. Ia boleh keluar beberapa hari sebelum bersalin atau hanya beberapa jam sebelum kontraksi aktif bermula.

Apa nak buat jika nampak keluar lendir darah tanda bersalin?

Sekiranya anda keluar lendir berdarah dan rasa kontraksi makin kerap, ambil beg hospital dan bersiap. Kalau masih awal dan tiada kontraksi, perhatikan dan awasi dulu tanda lendir tersebut. Jika darah banyak keluar macam haid, terus pergi hospital segera!

Pengalaman Ibu Turun Lendir Darah Tapi Tak Rasa Sakit

Bila tanda darah dan lendir dah mula keluar, setiap ibu ada pengalaman yang berbeza. Ada yang terus rasa sakit, tapi tak kurang juga yang langsung tak ada rasa kontraksi.

Melalui perkongsian ibu-ibu di media sosial, ini antara situasi sebenar yang berlaku bila lendir darah mula keluar:

  • Terus Ke PAC Walau Tanpa Rasa Sakit. Seorang ibu berkongsi pengalaman keluar tanda lendir darah pada waktu Subuh. Walaupun perut tak rasa sakit langsung, dia terus ke PAC untuk pemeriksaan. Bila disemak, rupanya bukaan serviks dah pun 3cm. Sakit kontraksi hanya mula terasa selepas Asar, dan dia selamat melahirkan bayi pada Subuh keesokan harinya.
  • Jangan Tunggu Lama, Terus Buat Saringan! Pengalaman seorang lagi ibu menjadi peringatan penting buat kita. Apabila turun tanda darah dan lendir, dia memilih untuk tunggu sehingga 3 hari sebab langsung tak ada rasa sakit. Namun, dia tak sedap hati, jadi terus ke hospital pada malam hari ke-3.Setibanya di sana, doktor dapati air ketuban dah kering dan bayi dah terberak di dalam perut. Dia terpaksa diinduce dan dimasukkan ke Labour Room malam itu juga. Akibatnya, bayi perlu ditahan di wad selama 4 hari disebabkan jangkitan kuman.

Nasihat penting untuk para ibu! Walau belum rasa sakit perut, bila tanda lendir bercampur darah dah keluar, elok terus ke hospital untuk buat saringan. Jangan tunggu sampai timbul komplikasi yang tak diingini!

Kesimpulan

Warna lendir tanda bersalin adalah satu petunjuk semula jadi bahawa badan sedang bersedia untuk melahirkan bayi. Tapi penting untuk anda tahu beza antara lendir biasa, lendir bersalin dan juga lendir yang mungkin disebabkan jangkitan.

Kalau ibu perasan lendir warna coklat, merah jambu atau berdarah, teksturnya pekat dan melekit, keluar dalam kuantiti banyak serta disertai kontraksi atau sakit belakang, maka besar kemungkinan ibu sudah mula memasuki fasa awal bersalin!

    Tapi jika ibu ragu-ragu atau lendir keluar bersama simptom yang pelik (contohnya gatal, bau busuk atau demam), jangan teragak-agak untuk dapatkan pemeriksaan doktor!

    Author

    • nazrah

      Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

    7 Sumber Rujukan

    Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

    1. Bloody Show
    2. Mucus Plug
    3. Mucus Plug – What Is It & What Does It Look Like?
    4. Mucus plug – what is it and what does it look like?
    5. Labor and delivery, postpartum care
    6. What does it mean to lose your mucus plug?
    7. Tanda-tanda Bersalin

    Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.