Bila usia kandungan makin menghampiri tempoh bersalin, rasa memulas atau perut mengeras secara tiba-tiba memang kerap buat ibu berdebar. Yalah, untuk yang first time mom terutamanya, susah nak bezakan sama ada ini tanda bayi dah bersedia nak keluar atau sekadar ‘latihan’ untuk rahim.

Situasi macam ni selalu sangat buat kita panik, kan? Tapi jangan risau, kontraksi palsu (false contraction) atau Braxton Hicks ni sebenarnya perkara biasa sahaja sepanjang kehamilan.

Jom kita fahami ciri-ciri Braxton Hicks, apa puncanya dan langkah mudah yang ibu boleh buat untuk kurangkan rasa tak selesa ni.

Bagaimana Rasa Kontraksi Palsu Ni Sebenarnya?

Bagi ibu yang baru pertama kali pregnant, selalunya payah sikit nak gambarkan false contraction ni. Senang kata, rasa dia macam rahim atau perut kita tiba-tiba tegang dan mengeras, tapi coraknya tak menentu langsung.

Beza paling ketara dengan kontraksi nak bersalin sebenar adalah sifatnya yang main ‘sembunyi-sembunyi’. Contohnya:

  • Datang tak diundang, hilang tiba-tiba. Ibu mungkin rasa perut mengeras dalam 30 saat, lepas tu terus hilang begitu sahaja.
  • Jeda masa yang berterabur. Lepas sakit sekejap tadi, barulah selang sejam atau dua jam kemudian rasa balik.
  • Sakitnya tak bertambah kuat dari semasa ke semasa dan biasanya akan reda kalau kita ubah posisi duduk atau baring.

Kalau kontraksi betul, jarak sakitnya makin rapat dan makin memulas. Jadi kalau perasan corak perut mengeras tu tak konsisten. Kadang bila ibu hembus nafas, rasa sakit tu lega. Itu tandanya rahim tengah ‘buat latihan’ persediaan sahaja.

Ciri & Tanda Kontraksi Palsu Yang Ibu Kena Ambil Tahu

kontraksi palsu
Bila rasa sakit sekejap-sekejap, itu mungkin false contraction.

Bila perut mula rasa tegang, cuba bertenang dan semak beberapa tanda false contraction yang biasa berlaku ni:

  • Perut tegang tapi tak ada la sampai terguling menahan sakit. Rasa dia lebih kurang macam senggugut ringan yang datang waktu period.
  • Dia boleh muncul waktu tengah kemas rumah, lepas tu hilang. Tiba-tiba malam nanti rasa balik.
  • Hilang bila ubah posisi. Cuba bangun berjalan perlahan, baring mengiring ke kiri atau minum air masak. Kalau rasa tegang tu makin reda, sah itu cuma latihan rahim.
  • Masa singkat & tak konsisten. Selalunya berlaku tak sampai seminit pun. Berbeza dengan contraction nak bersalin yang ada sela masa makin rapat dan makin kerap.
  • Bukaan rahim tak berubah. Walaupun perut rasa tegang, kontraksi jenis ni takkan menyebabkan laluan bayi (serviks) mula membuka.

Bila dah faham ciri-ciri ni, sekurang-kurangnya kurang sikit rasa panik bila perut tiba-tiba mengeras, kan?

Penyebab Kontraksi Palsu

kontraksi palsu
Bayi aktif dalam perut antara penyebab ibu mengalami contraction palsu.

Ramai ibu tertanya, kenapa kontraksi palsu boleh berlaku? Berikut antara penyebabnya:

  • Rahim sedang ‘berlatih’. Kontraksi ini sebenarnya latihan rahim untuk bersalin nanti.
  • Aktiviti fizikal berlebihan. Bila ibu terlalu aktif, rahim boleh jadi tegang.
  • Dehidrasi. Kekurangan air dalam badan boleh merangsang false contraction.
  • Perubahan hormon. Hormon kehamilan boleh menyebabkan rahim kadang-kadang mengecut.
  • Pergerakan bayi. Bayi yang aktif boleh merangsang rahim menjadi keras seketika.

Berapa Lama False Contraction?

@kliniknova24jam

Jom share dengan dr mimi, korang tak alami contraction palsu waktu nak bersalin dulu? #sharingwithdrmimi #fy #foryoupage #fypシ゚viral #detailscandungun #satuharisatupenyakit #fypシ #foryourpage

♬ Cupid – Rulydows

Durasi kontraksi palsu biasanya singkat, sekitar 30 ke 60 saat dan tidak berulang secara tetap. Ada ibu rasa sekali sehari, ada pula yang rasa beberapa kali sehari.

Bezanya dengan kontraksi sebenar, ia tidak makin lama makin kerap. Jadi kalau ibu perasan sakit contraction makin rapat jaraknya, itu mungkin tanda bersalin sebenar.

Kontraksi Terus Menerus

Ada juga ibu mengandung yang mengadu Braxton Hicks yang dialami terus menerus, seolah-olah berlarutan sepanjang hari. Jangan panik sebab ini mungkin berlaku bila ibu terlalu letih atau kurang minum air.

Cara paling baik adalah rehat secukupnya, banyakkan minum air putih dan elakkan terlalu aktif. Kalau rasa terlalu kerap dan sakit, segera rujuk doktor untuk kepastian.

Kontraksi Pada Trimester 3

Kebanyakan ibu mula rasa kontraksi palsu trimester 3, sekitar minggu ke-28 dan ke atas. Masa ni rahim makin besar dan bayi pun semakin aktif. Jadi rasa tegang pada perut akan lebih kerap berlaku.

Kadang-kadang ia juga dipanggil Braxton Hicks contraction, sempena nama doktor yang pertama kali menerangkannya.

Kontraksi Pada 8 Bulan

Bila kandungan dah masuk 8 bulan, Braxton Hicks ni biasanya makin kerap. Ramai ibu akan keliru sebab jaraknya dah terasa lebih dekat. Tapi jangan risau selagi ia tak konsisten, tak terlalu sakit dan hilang bila rehat, itu masih contraction palsu.

Ibu Ni Alami Sakit Perut Sampai Pinggang Masa Minggu ke-35

Kadang-kadang, bila baca teori sahaja rasa ragu-ragu lagi, kan? Jom kita tengok persoalan yang pernah diutarakan oleh seorang first time pregnant mom di Facebook Info Ibu Hamil Official. Ibu ini keliru bila usia kandungan masuk 35 minggu, dia mula rasa sakit di bahagian bawah perut membawa ke pinggang.

Berdasarkan pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya, ini reaksi dan nasihat mereka:

  • Pemeriksaan awal di hospital. Ada ibu yang mengalami situasi sama seawal usia kandungan 34 minggu. Walaupun hanya kontraksi palsu, langkah paling selamat adalah terus ke hospital untuk pemeriksaan doktor bagi memastikan tiada risiko bersalin awal.
  • Perhati tahap kesakitan. Kalau kontraksi sebenar, selalunya ibu memang dah tak senang duduk dan tak mampu nak layan telefon bimbit lagi sebab rasa sakit yang sangat memulas.
  • Pengalaman dimasukkan ke wad. Ada juga ibu yang ditahan wad selama dua hari sebab sakit di bahagian pinggang pada minggu ke-35. Apabila tiada sebarang bukaan rahim, doktor akan berikan ubat tahan sakit dan dibenarkan pulang bila keadaan mula stabil.
  • Kekerapan sela masa. Selagi jarak sakit itu tidak konsisten (contohnya selang 15, 10 atau 5 minit secara berulang), ia berkemungkinan besar adalah false contraction. Walau bagaimanapun, ingat bahawa tanda bersalin bagi setiap ibu adalah berbeza-beza.

Cara Mengatasi

kontraksi palsu
Cara atasi contraction palsu.

Walaupun normal, tapi false contraction boleh buat ibu rasa tak selesa. Berikut beberapa cara mengatasi kontraksi palsu:

  1. Banyakkan minum air. Kekal hidrasi supaya rahim kurang terangsang.
  2. Rehat secukupnya. Elakkan berdiri terlalu lama atau berjalan jauh.
  3. Tukar posisi. Kalau baring, cuba bangun dan berjalan perlahan. Kalau berdiri, cuba duduk atau baring.
  4. Mandi air suam. Air suam boleh bantu otot rahim jadi lebih relaks.
  5. Urutan lembut. Mintalah pasangan tolong urut belakang atau pinggang.
  6. Tarik nafas dalam-dalam. Teknik pernafasan boleh bantu ibu rasa lebih tenang.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, false contraction adalah sesuatu yang normal dan sebahagian daripada perjalanan kehamilan. Ia adalah tanda rahim sedang bersedia untuk proses kelahiran. Bezanya dengan kontraksi sebenar ialah ia tidak konsisten, tidak terlalu sakit dan mudah hilang bila ibu rehat.

Walaupun begitu, kalau ibu rasa contraction terlalu kerap, kuat, atau disertai tanda lain seperti keluar darah atau air ketuban, segera jumpa doktor untuk pemeriksaan.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Braxton Hicks Contractions
  2. False Labor
  3. Braxton Hicks Contractions
  4. False alarm: Braxton Hicks contractions vs. true labor
  5. Is it normal to feel fake contractions?
  6. Tanda-tanda Bersalin
  7. How to Recognise Labour Signs

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.