Masa doktor cakap “puan dah ada bukaan 1cm ya”, terus jantung berdegup dan perasaan bercampur baur. Gelabah, takut dan teruja semua datang serentak sebab tahu anak dalam kandungan tu dah tak lama nak keluar tengok dunia!

Tapi itulah realitinya, bab bukaan serviks ni memang selalu buat bakal ibu rasa risau dan emosi tak menentu. Mana tidaknya, badan setiap orang tak sama.

Ada ibu yang jenis mudah bersalin dan bukaan 10cm dengan cepat, ada juga yang perlu tahan sakit kontraksi selama berjam-jam di wad sebab bukaan lambat.

Apa Itu Bukaan Serviks?

Bukaan serviks adalah proses semula jadi di mana pintu rahim mula membuka supaya bayi boleh keluar melalui faraj semasa bersalin. Dalam keadaan biasa, serviks tertutup rapat.

Bila kontraksi berlaku, serviks mula menipis dan terbuka sedikit demi sedikit iaitu daripada 1 cm hingga 10 cm. Tapi perjalanan dari proses bersalin dengan bukaan serviks 1 cm ke 10 cm bukan sekejap ya, boleh ambil masa berjam-jam.

Bagi sesetengah wanita, bukaan serviks lambat disebabkan oleh faktor fizikal, emosi atau posisi bayi dalam rahim. Tapi jangan risau, itu normal sebab setiap ibu ada rentaknya sendiri.

bukaan serviks
Berapa cm bukaan untuk bersalin?

Berapa Cm Bukaan Untuk Bersalin?

Soalan berapa cm bukaan untuk bersalin ini penting sebab ia tentukan bila ibu boleh mula meneran.

  • 1-3 cm: Fasa awal, belum perlu meneran.
  • 4-7 cm: Fasa aktif, kontraksi makin kerap.
  • 8-10 cm: Fasa akhir, bersedia untuk bersalin.

Jadi bila doktor kata dah cukup 10 cm, itu bermakna serviks terbuka sepenuhnya dan bayi sedia dilahirkan. Kalau masih bukaan serviks lambat pada 4 cm contohnya, biasanya doktor akan bantu percepatkan dengan teknik semula jadi atau induce.

Tahap Bukaan Serviks Dari 1 cm Hingga 10 cm

Bila bercakap bab bukaan serviks dari 1cm sampai 10cm, tipulah kalau tak ada rasa takut, kan? Tapi percaya lah, bila ibu dah faham apa sebenarnya yang badan tengah buat kat setiap fasa, rasa takut itu automatik bertukar jadi lebih yakin dan tenang.

Berikut perjalanan proses bukaan bersalin normal:

Bukaan 1cm hingga 3cm (Fasa Awal)

Pada peringkat awal bukaan 1cm, rasa sakitnya sangat ringan, lebih kurang macam senggugut biasa. Waktu ini, badan baharu nak berjinak-jinak bersedia, jadi contraction pun masih tak menentu.

Mungkin akan ada sikit lendir bercampur darah sebagai tanda laluan mula terbuka. Kalau bukaan masih lambat, ibu perlu bertenang, minum air secukupnya dan berjalan santai di sekitar wad untuk bantu proses semula jadi.

Bukaan 4cm hingga 7cm (Fasa Aktif)

Bila masuk fasa ini, contraction akan datang lebih teratur dan terasa sikit tekanan di bahagian bawah perut serta pinggang. Pada tahap ini bukaan biasanya berjalan lebih lancar.

Kebanyakan ibu mengambil masa sekitar 6 hingga 12 jam untuk fasa ini bergantung pada badan masing-masing. Inilah masa yang sesuai untuk praktis pernafasan perlahan dan minta suami bantu urut bahagian belakang untuk beri keselesaan.

Bukaan 8cm hingga 10cm (Fasa Pelengkap)

Ini fasa terpenting di mana badan bekerja keras untuk melengkapkan bukaan laluan. Kekerapan contraction akan rasa makin dekat antara satu sama lain tanda badan makin dekat dengan detik kelahiran.

Fasa ini selalunya paling singkat. Apabila doktor sahkan bukaan sudah mencecah 10cm maknanya laluan sudah sedia sepenuhnya dan ibu cuma tunggu isyarat untuk mula meneran.

bukaan serviks
Bukaan serviks lambat membuatkan tempoh bersalin lebih lama.

Cara Bersalin Tanpa Koyakan

Bagi bakal ibu, impian nak melahirkan bayi secara normal tanpa sebarang koyakan memang keinginan utama. Koyakan berlaku bila tisu di sekitar vagina dan dubur diregangkan secara mendadak semasa kepala bayi keluar.

Walaupun tahap keanjalan kulit setiap ibu berbeza, ada beberapa langkah berkesan yang ibu boleh amalkan sejak mengandung lagi:

1.Urutan Perineum (Masa Hamil)

Bila masuk minggu ke-34, amalkan urut kawasan perineum guna minyak zaitun atau minyak kelapa dara selama 5 hingga 10 minit sehari. Ini bantu melembutkan dan merenggangkan tisu supaya lebih anjal bila kepala bayi keluar.

2. Kawal Meneran Ikut Arahan

Koyakan teruk selalunya berlaku bila ibu meneran terlalu laju atau terlalu terdesak semasa kepala bayi belum betul-betul melepasi laluan.

Justeru ibu hanya boleh meneran apabila ada contraction dan dengan arahan doktor. Bila kepala bayi dah mula nampak (crowning), tiup nafas perlahan dan jangan meneran mengejut supaya kulit sempat meregang secara semula jadi.

3. Amalkan Senaman Kegel

Rutin kemut otot pelvis dari awal kehamilan bantu menguatkan otot dasar rahim. Bila otot pelvis fleksibel dan mampu dikawal, ibu lebih mudah melepaskan tekanan pada laluan lahir sewaktu bersalin.

4. Cuba Posisi Mengiring atau Merangkak

Jika hospital membenarkan, elakkan baring terlentang sepenuhnya. Posisi mengiring ke tepi (side-lying) atau merangkak bantu kurangkan tekanan berat bayi secara terus pada kawasan perineum.

5. Pastikan Punggung Rapat ke Katil

Kalau bersalin dalam posisi terlentang, pastikan punggung sentiasa melekap rapat pada katil dan jangan angkat pinggul waktu sedang meneran. Bila punggung terangkat, tekanan berlebihan akan terus tertumpu pada bahagian perineum.

Kenapa Bukaan Serviks Lambat?

Bila bukaan serviks lambat, ibu akan mula risau dan tertanya-tanya apa yang tak kena. Tapi sebenarnya, ada banyak sebab semula jadi kenapa proses ini boleh perlahan:

  1. Bayi Belum Betul-Betul Turun Ke Pelvis. Kalau kepala bayi belum menekan serviks, bukaan memang susah nak berkembang. Bila ini berlaku, doktor akan bantu ubah posisi atau minta ibu banyakkan bergerak.
  2. Ibu Terlalu Stres dan Tak Tenang Bila stres, hormon oksitosin akan berkurang. Jadi, jangan panik bila bukaan bersalin lambat, cuba tarik nafas dalam dan bertenang.
  3. Kurang Aktiviti Fizikal Ringan. Duduk terlalu lama buat bayi sukar turun. Cuba berjalan atau gunakan gym ball supaya bukaan lebih cepat.
  4. Bentuk Serviks yang Tebal. Kadang-kadang, serviks masih keras atau tebal menyebabkan proses pembukaan ambil masa.

Kalau doktor periksa dan dapati bukaan serviks lambat walaupun kontraksi dah kuat, mereka mungkin akan bantu dengan cara cepat pembukaan bersalin seperti ubat hormon atau teknik semula jadi seperti stimulasi puting.

Cara Cepat Pembukaan Bersalin

Bila masuk fasa awal bersalin, ramai ibu akan cari cara cepat pembukaan bersalin untuk elak proses panjang dan memenatkan. Antara cara cepat pembukaan bersalin semula jadi yang boleh anda cuba adalah:

1. Banyakkan Bergerak

Pergerakan ringan seperti berjalan, mencangkung atau goyang pinggul bantu bayi tekan serviks dari dalam. Bila tekanan meningkat, bukaan rahim lambat pun jadi lebih cepat.

Kalau masih bukaan serviks 1 cm, ini masa terbaik untuk kekal aktif.

2. Urutan Lembut

Minta suami tolong urut belakang pinggang atau bahagian punggung bawah. Urutan merangsang hormon oksitosin yang bantu kontraksi. Ia juga bantu ibu lebih tenang walaupun bukaan serviks lambat.

3. Mandi Air Suam

Cara cepat pembukaan bersalin adalah dengan mandi air suam. Air suam bantu otot rahim relaks dan kurangkan rasa tegang. Ramai ibu yang kata teknik ini antara cara cepat pembukaan bersalin yang paling selesa.

4. Aromaterapi & Muzik Tenang

Bau lavender atau muzik lembut bantu emosi ibu stabil. Bila tenang, hormon bersalin jadi lebih aktif dan bukaan selepas air ketuban pecah lebih cepat berkembang.

5. Makanan Tenaga Ringan

Cara cepat pembukaan bersalin yang lain adalah ambil makanan tenaga ringan. Kurma, madu dan air kelapa muda bantu kekal bertenaga dan elak dehidrasi semasa contraction datang.

Tanda Badan Dah Bersedia Untuk Bersalin

Secara fizikal, badan ibu sebenarnya akan hantar beberapa isyarat awal yang menandakan proses bersalin sudah tidak lama lagi. Ini antara tanda utama yang ibu perlu tahu:

1. Cirit-Birit Ringan

Ramai ibu panik bila tiba-tiba kena cirit-birit. Tapi adakah cirit birit tanda nak bersalin? Jawapannya ya. Cirit birit boleh berlaku sebab hormon prostaglandin sedang aktif, bantu serviks melembutkan diri.

2. Kontraksi Datang Teratur

Bila jarak contraction makin rapat (setiap 5 minit sekali) dan makin lama makin kuat tandanya bukaan dah mula meningkat. Ibu mungkin mula tertanya “Berapa lama contraction sebelum bersalin?”

Biasanya dalam fasa aktif, ia boleh ambil masa 4 hingga 8 jam sebelum bukaan penuh.

3. Keluar Lendir Berdarah (Bloody Show)

Lendir ini tanda serviks sedang menipis dan terbuka. Ia juga petanda bukaan rahim lambat mula bergerak ke fasa seterusnya.

bukaan serviks
Berapa lama contraction sebelum bersalin?

Kesan Bukaan Serviks Lambat

Bila bukaan serviks lambat sangat atau dalam istilah perubatan dipanggil prolonged labor / failure to progress, ia bukan sahaja penat dari segi fizikal tapi juga boleh memberi tekanan emosi pada ibu.

Antara kesan yang boleh berlaku apabila proses bukaan ini mengambil masa terlalu lama:

1. Proses Bersalin Jadi Lebih Lama

Apabila bukaan serviks lambat, ibu akan mengalami tempoh bersalin yang panjang. Ini boleh menyebabkan rasa letih, stres dan sukar untuk kekal fokus semasa meneran.

Kadang-kadang, proses ini boleh mengambil masa berjam-jam terutamanya bagi ibu pertama.

2. Risiko Air Ketuban Pecah Awal

Jika bukaan bersalin lambat tetapi air ketuban sudah pecah, risiko jangkitan meningkat. Doktor biasanya akan pantau tempoh selepas air ketuban pecah dan mungkin mencadangkan induce untuk mempercepatkan bukaan.

3. Keletihan dan Stres Emosi

Bila bukaan lambat, kontraksi akan berterusan dalam tempoh lama tanpa kemajuan jelas. Keadaan ini menyebabkan ibu keletihan, emosi terganggu dan lebih sukar mengawal pernafasan atau fokus semasa bersalin.

4. Perlu Bantuan Ubat Induce

Dalam situasi tertentu, bukaan rahim lambat membuatkan doktor mempertimbangkan penggunaan ubat seperti Pitocin (oksitosin sintetik) untuk merangsang kontraksi. Langkah ini membantu mempercepatkan bukaan supaya proses kelahiran tidak terlalu lama atau berisiko.

5. Kemungkinan Perlu Pembedahan (Czer)

Jika selepas beberapa jam bukaan bersalin lambat walaupun sudah diinduce, doktor mungkin mencadangkan pembedahan caesarean. Tujuannya adalah untuk mengelakkan bayi mengalami tekanan (fetal distress) akibat proses bersalin yang terlalu lama.

Boleh Ke Bersalin Secara Mengiring?

Menurut Dr. Azwa Hasny, ibu bebas memilih posisi bersalin yang paling selesa untuk meneran walaupun hospital biasanya menggunakan posisi baring melentang (lithotomy) demi keselamatan.

Di hospital swasta, posisi mengiring menjadi pilihan ramai ibu kerana ia dikatakan lebih senang, cepat, fokus dan mengurangkan risiko koyakan.

Bagi ibu yang berminat, anda perlu merujuk dan bertanya kepada doktor yang menyambut kelahiran terlebih dahulu sebelum melakukannya.

Posisi ini boleh dilakukan secara mengiring ke kiri atau ke kanan mengikut keselesaan dengan bantuan suami untuk memegang sebelah lagi kaki anda.

Fakta Menarik Tentang Bayi Baru Lahir

Rupanya ada banyak benda “unik” tentang newborn yang first-time parents kena tahu menurut Dr. Adli Hidayat. Antaranya, jangan terkejut kalau berat baby turun sikit pada hari pertama sebab dia buang air asalkan tak lebih 7% dari berat asal.

Satu lagi, ibu ayah tak payah nak senyap dan sunyi sangat sampai terkencing pun perlahan-lahan. Baby sebenarnya suka suasana “bising” macam dalam rahim ibu yang ada bunyi jantung, usus dan suara. Jangan hairan kalau rentak jaga baby ni berubah-ubah setiap hari sampai pening kepala ibu nak faham.

Jangan pelik kalau tiba-tiba anda rasa semua orang macam musuh dan terlalu protektif dengan baby, sebab itu hanyalah maternal survival instinct yang sedang aktif. Ibu cuma tarik nafas dan bertenang

Last sekali, tak usah nak sental kuat-kuat nak buang lendir pada badan bayi masa lahir tu. Mandikannya juga tidak perlukan sebarang sabun sehingga umur empat minggu.

Kesimpulan

Bukaan serviks adalah proses semula jadi dan penting dalam perjalanan melahirkan anak. Dari bukaan serviks 1 cm hingga bukaan 2cm dan seterusnya, setiap tahap membawa anda semakin hampir kepada kelahiran si comel yang dinanti.

Ingat setiap wanita berbeza. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Yang penting, kekal tenang, ikut nasihat doktor dan percaya pada kekuatan tubuh anda.

Jika anda sedang menunggu hari bersalin, jangan lupa baca artikel kami tentang cara cepatkan bukaan rahim secara semula jadi dan tips elak stres semasa contraction.

Kongsi artikel ini dengan ibu-ibu lain supaya lebih ramai dapat faham apa yang berlaku semasa proses bersalin!

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Cervical effacement and dilation
  2. Cervix
  3. First stage: Thinning and opening of the cervix
  4. Anatomy of pregnancy and birth - cervix
  5. Labor
  6. Tanda-tanda Bersalin
  7. Doktor Kongsi 12 Tips Meneran Masa Bersalin
  8. Cara Teran Bersalin & Elak Koyak

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.