Tanda keguguran awal kehamilan sering kali disalah anggap sebagai masalah haid atau ketidakseimbangan hormon biasa.
Namun, mengenali simptom ini seawal mungkin sangat penting bagi memastikan kesihatan ibu tidak terganggu dan rawatan segera dapat diberikan.
Ramai wanita mengalami keguguran tanpa menyedari mereka sedang hamil, dan ini boleh membawa kepada trauma fizikal serta emosi yang mendalam.
Keguguran awal biasanya berlaku sebelum kehamilan mencecah 12 minggu.
Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk masalah genetik, ketidakseimbangan hormon, jangkitan, dan gaya hidup tidak sihat.
Artikel ini akan membincangkan secara terperinci mengenai tanda keguguran awal kehamilan, punca-punca yang berkaitan serta langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk mencegahnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehamilan, anda boleh baca artikel ini.
Apa itu Keguguran?
Keguguran merujuk kepada kehilangan janin dalam kandungan sebelum usia kehamilan mencecah 20 minggu.
Ia merupakan salah satu komplikasi kehamilan yang paling biasa berlaku, terutama dalam trimester pertama.
Menurut kajian, kira-kira 10 hingga 20 peratus daripada kehamilan berakhir dengan keguguran.
Malahan, kebanyakannya berlaku tanpa disedari kerana ia terjadi di peringkat awal kandungan.
Punca utama keguguran adalah kelainan kromosom yang menyebabkan janin tidak dapat berkembang secara normal.
Selain itu, terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada risiko ini, seperti:
- masalah hormon.
- penyakit kronik (contohnya diabetes atau tiroid).
- jangkitan.
- keadaan rahim yang tidak normal.
- gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol.
Jom ketahui lebih lanjut tentang tanda gugur awal kehamilan.
5 Tanda Keguguran Awal Kehamilan

Terdapat 5 tanda-tanda keguguran di awal kehamilan yang setiap wanita perlu tahu.
Dengan mengetahui lebih awal tanda-tanda ini boleh membantu para wanita untuk bertindak segera mendapatkan rawatan perubatan.
#1. Pendarahan Faraj yang Tidak Normal
Tanda keguguran awal kehamilan yang paling lazim adalah pendarahan dari faraj.
Ia mungkin bermula sebagai spotting (tompokan darah ringan) yang beransur menjadi lebih banyak dan menyerupai haid.
Dalam kebanyakan kes, darah yang keluar ini berwarna coklat gelap atau merah terang.
Perlu diingat bahawa tidak semua pendarahan menandakan keguguran, tetapi jika ia diiringi dengan simptom lain seperti kekejangan perut yang kuat, sangat penting untuk anda segera mendapatkan pemeriksaan.
Pendarahan yang disertai dengan tisu yang keluar daripada faraj atau darah beku yang besar boleh menjadi petanda bahawa keguguran sedang berlaku.
Bagi wanita yang sudah mengetahui dirinya hamil, jangan ambil mudah jika anda mengalami sebarang bentuk pendarahan dalam tempoh trimester pertama!
Segera berjumpa dengan doktor jika pendarahan berlaku semasa hamil.
Namun kadangkala, pendarahan ringan juga boleh jadi sebahagian daripada proses implantasi, tetapi untuk mengesahkannya silalah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan.
#2. Kekejangan Perut yang Kuat dan Berterusan
Selain pendarahan, tanda keguguran awal kehamilan yang turut menjadi petanda awal adalah kekejangan perut yang tidak normal.
Kekejangan ini biasanya lebih menyakitkan berbanding kekejangan haid biasa dan berlaku secara berterusan atau berulang-ulang.
Kebanyakan wanita hamil akan merasakan ketidakselesaan ringan di awal kehamilan akibat regangan rahim.
Namun begitu, jika kesakitan terlalu kuat, menusuk, atau disertai dengan rasa seperti tekanan pada pelvis, ini boleh menjadi amaran awal keguguran.
Kekejangan yang teruk juga kadang-kadang merebak ke bahagian bawah belakang, yang menandakan proses keguguran sudah bermula atau berlaku.
Rasa sakit ini mungkin datang dan pergi, atau kekal berterusan selama beberapa jam hingga hari.
Tanda Keguguran Awal Kehamilan #3. Hilang Simptom Kehamilan Tiba-Tiba

Ramai wanita menyedari tanda gugur awal kehamilan apabila simptom hamil yang biasa seperti loya, muntah, bengkak payudara, atau keletihan tiba-tiba hilang.
Dalam situasi normal, hormon kehamilan seperti hCG akan menyebabkan simptom ini berlarutan sekurang-kurangnya sepanjang trimester pertama.
Namun, apabila tahap hormon ini menurun secara mendadak akibat keguguran, tubuh wanita akan mula berasa ‘normal’ semula.
Ini bukan petanda yang baik sekiranya berlaku sebelum usia kandungan 12 minggu.
Contohnya, jika sebelum ini anda mengalami morning sickness setiap pagi, tetapi tiba-tiba ia berhenti dalam tempoh sehari dua, anda perlu berjaga-jaga!
Ini terutama jika ia berlaku serentak dengan simptom lain seperti pendarahan atau kekejangan.
#4. Keluar Ketulan Tisu dari Faraj
Satu lagi tanda keguguran ialah pengeluaran ketulan tisu dari faraj.
Ini biasanya berlaku apabila janin atau kantung kehamilan keluar daripada rahim secara semula jadi akibat keguguran.
Tisu ini mungkin berwarna kelabu, merah jambu atau berdarah dan mempunyai bentuk yang berbeza daripada darah haid biasa.
Jika anda melihat ketulan seperti ini, jangan buang begitu sahaja!
Anda boleh menyimpan tisu tersebut dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Ini dapat membantu doktor menentukan sama ada keguguran telah berlaku sepenuhnya atau masih ada sisa kandungan dalam rahim.
Kadangkala, keguguran tidak lengkap boleh menyebabkan jangkitan jika tidak dibersihkan dengan betul melalui prosedur seperti D&C (dilation and curettage).
#5. Tiada Denyutan Jantung Janin
Bagi wanita yang sudah menjalani imbasan ultrasound, simptom keguguran juga boleh dikenalpasti apabila tiada denyutan jantung janin dapat dikesan.
Dalam kebanyakan kes, denyutan jantung boleh dikesan seawal minggu ke-6 hingga ke-7 kehamilan.
Jika anda sudah melepasi tempoh ini dan doktor masih tidak menemui degupan jantung, ia mungkin petanda janin tidak berkembang atau telah meninggal dunia dalam rahim.
Ini dikenali sebagai ‘missed miscarriage‘.
Dalam kes ini, wanita tidak mengalami sebarang simptom fizikal, menjadikan keguguran ini sukar dikesan tanpa bantuan imbasan ultrasound.
Oleh itu, pemeriksaan berkala sangat penting, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi.
Tanda Keguguran Awal Kehamilan 1 Minggu
Pada minggu pertama kehamilan, kebanyakan wanita belum menyedari bahawa mereka sedang hamil.
Namun, tanda keguguran awal kehamilan boleh berlaku seawal ini dan sering disalah anggap sebagai haid lewat atau tidak teratur.
Keguguran pada minggu pertama biasanya berpunca daripada kegagalan proses implantasi, iaitu apabila embrio tidak melekat dengan sempurna pada dinding rahim.
Simptom yang biasa termasuk pendarahan ringan atau sederhana yang datang lewat daripada tarikh haid, dengan warna darah lebih gelap atau coklat.
Kekejangan perut yang sedikit lebih kuat daripada senggugut biasa juga boleh berlaku.
Dalam masa yang sama, simptom awal kehamilan seperti loya, pening atau keletihan mungkin tiba-tiba hilang.
Walaupun sukar untuk mengesan kehamilan yang terlalu awal menggunakan ujian air kencing, namun ujian darah atau beta-hCG boleh membantu mengesahkan keadaan.
Paras hormon yang rendah atau menurun menunjukkan kemungkinan keguguran.
Oleh itu, wanita yang sedang merancang kehamilan digalakkan peka terhadap perubahan tubuh, walaupun kecil, kerana ia mungkin petanda awal gugur.
Baca juga:
Bagaimana Nak Mengenali Darah Keguguran?
Mengenali darah keguguran bukanlah sesuatu yang mudah, terutama jika kehamilan masih di peringkat awal.
Namun, terdapat beberapa ciri yang boleh membantu membezakan antara darah period biasa dan darah keguguran.
Darah keguguran selalunya:
- berwarna merah terang atau coklat gelap.
- keluar dalam jumlah yang banyak serta berterusan lebih lama daripada haid biasa.
- disertai dengan bekuan darah besar atau ketulan tisu lembut berwarna kelabu, merah jambu, atau kekuningan
Darah ini juga mungkin datang bersama kekejangan perut yang luar biasa kuat, terutama di bahagian bawah abdomen atau belakang pinggang.
Tanda Keguguran Awal Kehamilan 2 Minggu
Pada usia kehamilan 2 minggu, tanda keguguran awal kehamilan biasanya lebih ketara berbanding minggu pertama.
Ketika ini, implantasi telah berlaku dan sesetengah wanita mungkin sudah mendapat keputusan ujian kehamilan yang positif.
Namun, faktor seperti ketidakseimbangan hormon atau kelainan genetik boleh menyebabkan janin tidak berkembang dengan baik.
Tanda-tanda utama termasuk:
- pendarahan dari faraj yang lebih banyak daripada spotting biasa.
- darah berwarna merah terang.
- kadang kala mengandungi ketulan kecil tisu atau darah beku.
- selalunya disertai kekejangan perut yang kuat.
Selain itu, simptom kehamilan seperti loya, keletihan atau payudara sensitif mungkin hilang secara tiba-tiba.
Sesetengah wanita turut mengalami rasa berat di bahagian pelvis, menandakan rahim sedang mengecut untuk mengeluarkan kandungan.
Penurunan hormon hCG secara mendadak boleh disahkan melalui ujian darah, menandakan keguguran sedang berlaku.
Walaupun keguguran minggu ke-2 biasanya tidak memerlukan pembedahan, namun pemantauan doktor tetap penting.
Selain kesan fizikal, keguguran juga boleh menjejaskan emosi, maka sokongan moral dan rawatan yang sesuai amat diperlukan untuk proses pemulihan ibu.

Keguguran 5 Minggu Apa yang Keluar?
Apabila keguguran berlaku pada usia kehamilan 5 minggu, janin masih berada di peringkat awal perkembangan dan saiznya sangat kecil – lebih kurang sebesar biji bijan.
Oleh itu, ramai wanita tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami keguguran kerana apa yang keluar menyerupai darah haid yang lebih banyak atau luar biasa.
Apa yang biasanya keluar semasa keguguran 5 minggu termasuk:
- darah berwarna merah terang atau coklat gelap.
- bekuan darah kecil dan lendir pekat.
- kadangkala tisu lembut berwarna kelabu atau merah jambu.
Pendarahan ini boleh berlangsung selama beberapa hari hingga seminggu, bergantung kepada sama ada keguguran berlaku secara lengkap atau tidak.
Selain itu, wanita juga mungkin mengalami kekejangan perut seperti senggugut yang lebih kuat daripada biasa.
Tisu yang keluar biasanya merupakan gabungan daripada lapisan rahim dan kantung kehamilan.
Pada tahap ini, janin masih terlalu kecil untuk dilihat secara jelas dengan mata kasar.
Sekiranya wanita menyedari keluar tisu luar biasa atau pendarahan tidak berhenti, penting untuk mendapatkan rawatan segera.
Pemeriksaan ultrasound boleh mengesahkan sama ada rahim telah kosong sepenuhnya atau masih ada sisa yang memerlukan prosedur lanjutan.
Punca Keguguran Awal Kehamilan
Mengetahui tanda keguguran awal kehamilan perlu disertai dengan pemahaman tentang puncanya.
Antara faktor yang meningkatkan risiko keguguran termasuk:
- Kelainan genetik atau kromosom – paling biasa menyebabkan janin tidak berkembang dengan betul.
- Masalah hormon, seperti progesteron yang rendah.
- Keadaan rahim yang tidak normal, seperti fibroid atau septum rahim.
- Penyakit kronik – seperti diabetes, tiroid, SLE.
- Jangkitan, contohnya rubella atau toksoplasmosis.
- Gaya hidup tidak sihat, seperti merokok, pengambilan alkohol dan dadah.
- Umur ibu – risiko lebih tinggi jika hamil pada usia 35 tahun ke atas.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Mengalami Tanda Keguguran
Jika anda mengalami mana-mana tanda keguguran awal kehamilan, segera dapatkan rawatan.
Jangan tunggu sehingga simptom menjadi lebih teruk!
Antara langkah yang boleh diambil:
- Hubungi doktor secepat mungkin untuk rundingan.
- Buat pemeriksaan ultrasound untuk mengesahkan keadaan janin.
- Rehat secukupnya dan elakkan aktiviti berat.
- Elak pengambilan ubat tanpa preskripsi.
- Kekal positif, walaupun situasi menyedihkan, sokongan emosi sangat penting.
Kadangkala, keguguran tidak dapat dielakkan walaupun dengan rawatan terbaik.
Namun, mengenali simptom dan bertindak awal boleh mengurangkan risiko komplikasi yang serius terhadap kesihatan ibu.
Kesimpulan
Tanda keguguran awal kehamilan bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan.
Ia memberi amaran kepada ibu hamil bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan pemerhatian serta rawatan segera.
Pendarahan, kekejangan kuat, hilangnya simptom hamil dan pengeluaran tisu dari faraj antara tanda utama yang tidak boleh diabaikan.
Setiap wanita perlu peka dengan perubahan dalam tubuh sendiri terutama dalam tempoh kehamilan awal.
Pemeriksaan berkala, gaya hidup sihat, dan kesedaran tentang tanda-tanda ini akan membantu mencegah komplikasi yang lebih serius.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang mengalami tanda keguguran awal kehamilan, segera rujuk kepada pakar sakit puan atau klinik kesihatan berhampiran.
Kesihatan anda adalah keutamaan!




