Bila tengah merancang cahaya mata, tiba-tiba keluar tompokan darah, mesti anda rasa berdebar dan risau. Nak-nak pula kalau kandungan baru mencecah usia seminggu, fasa di mana ramai wanita sendiri tak sedar mereka sebenarnya sedang berbadan dua!
Bila “haid” datang lewat dan alirannya rasa lain macam, mulalah minda berteka-teki sama ada itu darah period biasa atau tanda keguguran awal.
Kalau nak tahu sama ada pendarahan yang anda alami itu normal atau memerlukan perhatian doktor, jom fahami dulu ciri-ciri darah keguguran hamil 1 minggu yang membezakannya dengan haid biasa.
Keguguran Hamil 1 Minggu
Dalam dunia perubatan, keguguran pada minggu pertama dikenali sebagai chemical pregnancy, selalunya berlaku sebab embrio gagal menempel dengan sempurna pada dinding rahim.
Kadang-kadang, struktur kromosom itu sendiri yang ada masalah sejak awal lagi. Sebab itu, tanda yang paling ketara selalunya adalah pendarahan.
Tapi, macam mana nak tahu itu bukan darah period biasa?
- Senggugut luar biasa: Rasa memulas dan kejang kat bahagian ari-ari atau bawah pinggang yang jauh lebih sakit daripada biasa.
- Darah keluar berketul: Aliran darah nampak lebih pekat, merah terang, dan ada masanya keluar ketulan tisu kecil berwarna kelabu atau coklat.
- Sifat pendarahan: Kuat di awal hari, sampai kena tukar tuala wanita dengan kerap, sebelum ia beransur kering dalam beberapa hari.
Ciri-Ciri Darah Keguguran
Bila sebut pasal keguguran awal, benda pertama yang buat kita panik mestilah bila nampak darah. Tapi masalahnya, macam mana nak bezakan sama ada itu darah haid biasa, darah penempelan (implantation bleeding), atau memang sah tanda keguguran?
Berikut beberapa perbezaan ketara yang boleh anda perhatikan pada tubuh sendiri:
- Warna darah berubah: Awalnya, darah yang keluar selalunya berwarna merah terang menyala. Bila kuantiti darah dah makin berkurang dan nak habis, warnanya akan bertukar jadi coklat gelap atau kehitaman.
- Aliran terlalu deras: Bezanya dengan haid biasa, pendarahan keguguran ni kuantitinya banyak luar biasa. Bayangkan sampai anda terpaksa tukar tuala wanita setiap satu hingga dua jam sebab dah lencun.
- Keluar ketulan tisu: Ibu bukan sekadar nampak darah pekat, tapi akan perasan ada ketulan darah besar atau serpihan tisu yang keluar sekali. Warnanya boleh jadi merah gelap, coklat, atau ada tompokan kelabu.
- Memulas dan kejang rahim: Pendarahan ni datang sekali dengan pakej sakit yang amat sangat. Rasa memulas dan kejang dekat bawah perut (ari-ari) serta lenguh pinggang yang jauh lebih kuat berbanding senggugut biasa.
- Berlarutan beberapa hari: Pendarahan ini selalunya tak stop terus. Ia akan berlanjutan selama beberapa hari sebelum aliran darah tu beransur-ansur kering dan sedikit.
Perbezaan Darah Keguguran Hamil 1 Minggu Dengan Haid
Bagi wanita yang sedang merancang untuk hamil, turun darah pada awal bulan memang boleh buat hati berdegup kencang. Nak-nak pula kalau “haid” kali ni rasa macam lain sikit.
Maklum sajalah, pada usia kandungan satu minggu (atau sebenarnya sekitar 3–4 minggu dari hari pertama haid terakhir), sangat sukar untuk kita bezakan secara mata kasar.
Tapi jangan panik dulu. Jom kita tengok apa beza ketara antara darah haid biasa dengan darah keguguran awal:
| Darah Keguguran Hamil 1 Minggu | Darah Haid |
|---|---|
| Warna merah terang, merah gelap atau coklat | Bermula merah terang, kemudian bertukar merah gelap atau coklat pada hari terakhir |
| Pendarahan banyak atau tidak menentu | Aliran darah konsisten mengikut hari haid |
| Keluar ketulan darah atau tisu berwarna kelabu atau putih | Ketulan darah kecil boleh berlaku tetapi tiada tisu kehamilan |
| Cramp perut yang kuat | Senggugut ringan hingga sederhana |
| Sakit di bahagian bawah perut dan belakang yang berterusan | Sakit biasanya berkurang selepas 1–2 hari |
| Pendarahan boleh berlanjutan beberapa hari bergantung kepada proses keguguran | Boleh terjadi selama 3–7 hari |
| Disertai hilang simptom kehamilan seperti payudara kurang tegang atau loya berkurangan | Tiada simptom kehamilan |

Gumpalan Darah Keguguran Hamil 1 Minggu
Bila keguguran berlaku pada awal kehamilan, ramai yang keliru bila nampak ketulan darah yang keluar. Walaupun saiz janin masa ni tersangatlah kecil, badan tetap mengeluarkan lapisan dinding rahim yang dah menebal.
Berikut perbezaan gumpalan darah keguguran awal dengan darah period yang biasa:
- Tekstur lebih padat: Bukan sekadar darah beku yang cair, tapi ketulan ini biasanya berbentuk lebih besar, kenyal, dan terasa padat kalau disentuh.
- Warna yang pelik: Warnanya lebih gelap, adakalanya kelihatan seakan-akan hitam atau kelabu.
- Ada cebisan tisu: Anda mungkin perasan ada serpihan lendir putih yang lembut atau cebisan tisu kecil embrionik yang keluar sekali bersama darah.
- Tiada bau busuk: Gumpalan darah keguguran ini biasanya tidak berbau busuk yang melampau, melainkan jika sudah berlaku jangkitan kuman pada faraj.
- Keluar mengejut: Pendarahan dan ketulan ini selalunya turun secara tiba-tiba, serta berlarutan selama beberapa hari bersama rasa memulas yang kuat.
Gambar Darah Keguguran Hamil 1 Minggu
Pada minggu ini, embrio masih terlalu kecil. Yang keluar biasanya darah dan tisu halus, sering disangka darah haid.
Berikut ialah contoh gambar darah keguguran 1 minggu untuk rujukan anda dan pasangan. Namun perlu ingat, setiap wanita mengalami keadaan yang berbeza.

Apa Yang Keluar Bersama Darah Keguguran Hamil 1 Minggu?
Pada fasa seawal satu minggu ini, ramai wanita sebenarnya tak sedar pun mereka sedang hamil. Bila turun darah, ramai yang ingat itu cuma haid biasa yang datang lewat.
Kalau betul berlaku keguguran, ini antara rupa darah yang biasa keluar:
- Warna darah: Boleh jadi merah terang menyala atau coklat gelap pekat.
- Lendir misteri: Darah yang keluar selalunya bercampur sekali dengan lendir faraj yang banyak.
- Ketulan kecil: Anda mungkin perasan ada gumpalan tisu yang tersangat kecil atau teksturnya seakan-akan jeli. Ini sebenarnya tisu embrio yang belum pun sempat terbentuk dengan sempurna.
Hakikatnya, disebabkan saiz embrio pada minggu pertama ini tersangatlah halus (malah lebih kecil daripada sebutir pasir), memang agak mustahil untuk kita bezakan dengan darah period biasa kalau setakat tengok dengan mata kasar.
Sakit Perut Keguguran
Bila keguguran awal berlaku, sakit perut yang datang tu memang lain macam. Bezanya dengan senggugut biasa, sakitnya rasa lebih mencucuk, memulas, dan kadang-kadang buat kita rasa tak selesa nak duduk atau berdiri.
Selalunya, ini antara rasa sakit yang wanita akan alami:
- Kejang di bawah perut: Rasa memulas yang kuat dekat ari-ari, sama ada betul-betul di tengah, sebelah kiri, atau kanan rahim. Anda juga akan rasa macam ada tekanan yang berat pada bahagian pelvis.
- Sakit sampai ke pinggang: Lenguh dan sengal tu tak duduk diam kat perut saja. Dia punya lengur selalunya akan menjalar sampai ke bawah belakang badan (pinggang) hingga ke peha.
Rasa sakit ni sebenarnya datang sebab rahim kita sedang mengecut secara semula jadi untuk mengeluarkan sisa tisu kehamilan.

Faktor Keguguran Hamil 1 Minggu
Bila keguguran berlaku, ramai ibu yang menyalahkan diri sendiri. Mula lah fikir, “Ada tersalah makan ke?” atau “Sebab angkat benda berat ke hari tu?”
Sebenarnya, keguguran pada fasa tersangat awal ini jarang sekali disebabkan oleh aktiviti harian anda. Kalau ikut perkongsian pakar perubatan, ini antara faktor utama yang selalu terjadi:
- Masalah Kromosom Embrio: Ini punca paling kerap berlaku (hampir 50% hingga 70% kes). Semasa proses persenyawaan, sel sperma dan ovum tidak bergabung dengan sempurna. Bila ada ‘error’ pada DNA embrio, badan secara semula jadi akan menghentikan kehamilan tersebut daripada berkembang.
- Gagal Menempel (Implantation Failure): Dinding rahim mungkin belum cukup sedia, atau ada masalah pada lapisan endometrium yang membuatkan embrio gagal melekat dengan kuat lalu luruh bersama darah.
- Masalah Hormon: Tahap hormon progesteron yang terlalu rendah dalam badan ibu boleh menjejaskan sokongan awal yang diperlukan oleh kandungan baru.
- Faktor Usia Ibu: Risiko keguguran awal ini didapati lebih tinggi bagi wanita yang hamil pada usia 35 tahun ke atas disebabkan kualiti sel telur yang semakin menurun.
Pendek kata, keguguran di peringkat ini selalunya adalah cara semula jadi badan menolak kandungan yang memang tidak dapat berkembang dengan sihat. Jadi, jangan terlalu menyalahkan diri sendiri, ya?
Apa Perlu Buat Jika Keguguran
Jika anda mengesyaki atau telah disahkan mengalami keguguran, berikut adalah langkah penting yang perlu anda lakukan demi menjaga kesihatan diri:
- Jumpa doktor dengan segera: Walaupun pendarahan nampak dah kurang, anda tetap wajib buat pemeriksaan ultrasound. Doktor perlu sahkan rahim dah bersih sepenuhnya bagi mengelakkan komplikasi lain.
- Guna pad, pantang tampon: Sepanjang darah keluar, guna tuala wanita biasa sahaja. Jangan guna tampon atau cawan haid kerana pintu rahim yang sedang terbuka terdedah kepada risiko jangkitan kuman.
- Pantau tanda-tanda bahaya: Alert dengan signal badan. Kalau darah keluar terlalu lebat (lencun pad setiap jam), sakit perut melampau, atau badan mula demam, terus ke bahagian kecemasan hospital.
- Rehatkan fizikal dan rahim: Ambil masa beberapa hari untuk berehat. Elakkan juga hubungan intim bersama suami selama sekurang-kurangnya 2 minggu atau sehingga pendarahan benar-benar kering sepenuhnya.
- Beri ruang untuk emosi pulih: Keguguran bukan perkara mudah. Jangan pendam rasa sedih atau bersalah seorang diri. Kongsi perasaan anda dengan suami atau orang terdekat untuk ringankan beban di minda.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, ciri-ciri darah keguguran hamil 1 minggu adalah aspek penting yang perlu difahami oleh semua wanita, terutamanya yang sedang dalam fasa awal kehamilan atau merancang untuk hamil.
Pengetahuan ini juga memberi keyakinan kepada wanita bahawa mereka tidak bersendirian, dan bantuan tersedia sekiranya diperlukan.
Jika anda mengalami sebarang ciri-ciri darah keguguran, jangan abaikan. Dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk memastikan kesihatan anda tidak terjejas.
Kongsikan artikel ini dengan wanita lain agar mereka juga mendapat maklumat ciri-ciri keguguran hamil 1 minggu.
5 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.