Darah yang keluar sebenarnya darah haid biasa atau darah keguguran? Soalan ni memang selalu buat ramai ibu rasa panik, sebab sekali pandang nampak lebih kurang sama je.

Hakikatnya, badan anda sedang tunjukkan isyarat berbeza untuk kedua-dua pendarahan ni cuma ramai yang tak pasti perkara yang perlu diperhatikan.

Kalau ibu rasa ragu-ragu dengan pendarahan yang dialami, anda tak berseorangan. Ramai wanita tersalah anggap haid ‘datang lambat’ atau ‘sengugut berat’, padahal ada perkara lain yang tengah berlaku.

Perbezaan dari segi warna, corak aliran darah sehinggalah ke tahap rasa sakit sebenarnya boleh jadi petunjuk utama. Justeru adalah penting untuk tahu sama ada pendarahan tu sekadar kitaran bulanan biasa atau isyarat kecemasan yang perlukan perhatian doktor.

Punca Darah Keguguran

Darah keguguran biasanya terjadi apabila janin berhenti berkembang atau rahim gagal menyokong kehamilan. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan keadaan ini antaranya:

1. Masalah Kromosom Pada Janin

Kebanyakan kes keguguran awal berpunca daripada masalah genetik yang berlaku secara semula jadi ketika proses persenyawaan. Apabila sel janin mempunyai kecacatan kromosom, tubuh secara automatik akan menghentikan perkembangan kandungan.

2. Gangguan Hormon

Tahap hormon progesteron yang rendah boleh mengganggu proses penempelan janin di dinding rahim sekali gus menyebabkan darah keguguran.

3. Masalah Rahim Atau Serviks

Bentuk rahim yang tidak normal, kewujudan fibroid atau kelemahan serviks boleh menyebabkan kandungan tidak mampu bertahan.

4. Jangkitan dan Penyakit Kronik

Penyakit seperti diabetes tidak terkawal, tiroid atau jangkitan serius boleh meningkatkan risiko keguguran.

5. Gaya Hidup Tidak Sihat

Merokok, pengambilan alkohol, penggunaan dadah atau tekanan berlebihan juga menyumbang kepada berlakunya keguguran.

darah keguguran
Darah keguguran warna apa?

Pendarahan Ringan Tidak Semestinya Keguguran

Menurut Dr Raihana Ismail, pendarahan ringan atau spotting pada awal kehamilan tidak semestinya bermaksud keguguran kerana alirannya sangat sedikit seperti beberapa titik sahaja pada pakaian dalam atau tisu.

Darah yang keluar ini biasanya berwarna pink, merah muda atau coklat pekat dan berbeza daripada darah haid yang mengalir banyak.

Keadaan ni selalunya jadi sebab pangkal rahim lebih sensitif selepas hubungan intim, pemeriksaan klinik atau kesan penempelan janin (implantation). Kalau darah tu sikit dan cepat berhenti tanpa sakit teruk, kehamilan biasanya masih selamat.

Namun Dr Raihana menegaskan supaya anda tidak mengambil mudah. Segera jumpa doktor jika pendarahan makin banyak, keluar ketulan tisu atau disertai sakit perut, pening dan sakit bahu.

Beliau turut menasihati ibu untuk catat warna, jumlah dan tempoh pendarahan supaya senang nak jelaskan kat doktor nanti.

Ciri-Ciri Darah Keguguran Hamil 1 Minggu

Keguguran pada usia kehamilan 1 minggu sangat awal dan biasanya tidak disedari kerana ia menyerupai darah haid biasa. Namun, ciri khas darah keguguran termasuk:

  • Pendarahan lebih banyak daripada pendarahan implantasi.
  • Warna darah coklat gelap atau merah pekat.
  • Mungkin terdapat ketulan darah kecil atau lendir.
  • Disertai dengan sakit perut atau kekejangan ringan hingga sederhana.

Biasanya, darah keguguran hamil 1 minggu ini dianggap sebagai keguguran kimia (chemical pregnancy) iaitu keguguran yang berlaku sebelum kantung janin terbentuk.

Tanda Keguguran Yang Perlu Diperhatikan

Pendarahan masa tengah pregnant memang buat mana-mana ibu rasa sangat risau. Tapi bertenang dulu, tak semua bleeding membawa khabar duka. Cuma kalau ia darah keguguran ada beberapa tanda yang anda patut perhatikan.

Darah keguguran biasanya nampak merah pekat atau pekat gelap dan ada gumpalan tisu sekali yang keluar. Alirannya pun bukan sikit sampai kena tukar tuala wanita setiap jam.

Sakitnya pula bukan sengugut biasa tapi kejang perut yang kuat macam kontraksi. Kadang-kadang, ibu perasan simptom hamil tiba-tiba ‘ghaib’ senyap-senyap. Payudara dah tak tegang, rasa loya pun hilang terus.

Kalau anda ada mengalami beberapa tanda ini, jangan bertangguh dan terus ke klinik atau hospital terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

Darah Keguguran Warna Apa?

Darah keguguran biasanya berwarna merah terang, merah pekat atau coklat gelap. Warna darah ni sebenarnya bergantung pada berapa cepat darah tu keluar dari badan:

  • Merah terang: Menunjukkan pendarahan aktif yang baru berlaku dan keluar dengan cepat.
  • Merah pekat/ Coklat gelap: Darah yang dah lama terkumpul dalam rahim sebelum keluar. Selalunya nampak macam spotting atau ketulan darah pekat.

Selain warna, darah keguguran biasanya keluar bersekali dengan gumpalan darah pekat atau ketulan tisu.

Kalau pendarahan tu makin banyak, merah menyala dan datang sekali dengan sakit perut atau sengugut yang teruk, terus jumpa doktor untuk pemeriksaan segera.

Darah Keguguran Berapa Lama?

Berapa lama darah keguguran ni akan keluar sebenarnya bergantung pada tahap keguguran dan sama ada rahim anda dah betul-betul bersih atau belum.

Kalau berlaku kat awal kehamilan (bawah 4 minggu), pendarahan biasanya ambil masa dalam 5 hingga 10 hari, lebih kurang macam tempoh haid biasa je.

Tapi kalau keguguran berlaku bila kandungan dah makin besar, pendarahan boleh sampai 2 minggu atau lebih terutamanya bila ada lagi sisa janin atau plasenta yang masih tertinggal.

Perbezaan Darah Keguguran dan Darah Haid

PerkaraDarah KeguguranDarah Haid
Masa BerlakuBerlaku di luar kitaran haid biasa dan sering disertai tanda-tanda kehamilan sebelum pendarahan bermula.Berlaku mengikut kitaran bulanan (setiap 21-35 hari) secara teratur.
Kuantiti DarahBiasanya lebih banyak, boleh keluar dalam jumlah besar secara tiba-tiba.Kuantiti stabil dan berperingkat dari hari pertama hingga akhir haid.
Warna DarahMerah pekat, coklat gelap atau merah terang bercampur ketulan atau tisu janin.Merah segar pada awalnya, kemudian menjadi merah gelap atau coklat pada akhir haid.
Kehadiran TisuSelalunya terdapat ketulan darah atau tisu (produk kehamilan).Tiada tisu janin, hanya darah dan lapisan dinding rahim yang luruh.
KesakitanSakit perut atau kekejangan lebih kuat daripada senggugut biasa, kadangkala berterusan.Sakit senggugut biasanya sederhana dan berkurang selepas hari ke-2 atau ke-3.
Simptom LainKehilangan tanda-tanda kehamilan seperti mual, payudara membengkak dan keletihan.Tiada kaitan dengan simptom kehamilan.
Tempoh PendarahanBoleh berlangsung 5-14 hari atau lebih jika rahim tidak bersih sepenuhnya.Biasanya 3-7 hari.
darah keguguran
Darah keguguran dan darah haid berbeza simptomnya.

Darah Keguguran Boleh Solat ke?

Darah keguguran dikategorikan sebagai darah nifas jika ia berlaku selepas janin terbentuk atau menunjukkan tanda pembentukan (biasanya selepas 80 hari kehamilan). Dalam kes ini, wanita tidak dibenarkan solat dan beribadah seperti biasa sehingga darah berhenti dan mandi wajib dilakukan.

Namun, jika keguguran berlaku pada peringkat awal kehamilan (contohnya hamil 1-4 minggu) di mana janin belum terbentuk, darah tersebut boleh dianggap sebagai darah haid jika ia menyerupai darah haid dari segi warna dan tempoh.

Jika tidak memenuhi ciri darah haid, ia dikira sebagai darah istihadah dan wanita masih boleh solat serta berpuasa seperti biasa, tetapi perlu menjaga kebersihan diri dan berwuduk setiap kali masuk waktu solat.

Cara Menghadapi Tanda Keguguran

Jika anda mengalami beberapa tanda keguguran, lakukan perkara ini:

1. Segera Ke Hospital

Pemeriksaan ultrabunyi dan ujian darah HCG akan dilakukan untuk mengesahkan keadaan janin.

2. Pantau Jumlah Pendarahan

Catat berapa kerap anda menukar tuala wanita dan warna darah yang keluar.

3. Rehat Secukupnya

Elakkan aktiviti berat dan berikan masa tubuh untuk pulih.

4. Ikuti Rawatan Yang Disarankan Doktor

Doktor mungkin memberikan ubat untuk mengosongkan rahim atau melakukan prosedur D&C jika masih ada sisa kandungan.

5. Dapatkan Sokongan Emosi

Kehilangan kandungan boleh memberi kesan psikologi. Sokongan suami, keluarga atau kaunselor sangat membantu.

darah keguguran
Darah keguguran berapa lama bergantung pada usia kandungan.

Cara Mencegah Keguguran Berulang

Berikut beberapa cara mencegah keguguran ketika hamil daripada berulang:

1. Amalkan Gaya Hidup Sihat

Berhenti merokok, elakkan alkohol dan pastikan pemakanan seimbang.

2. Kawal Penyakit Kronik

Pastikan tekanan darah, diabetes dan tiroid berada dalam kawalan sebelum merancang kehamilan.

3. Ambil Asid Folik dan Vitamin Pranatal

Asid folik dan vitamin pranatal ini membantu perkembangan janin yang sihat dan mengurangkan risiko kecacatan.

4. Jalani Pemeriksaan Kesuburan

Jika pernah mengalami keguguran berulang, pemeriksaan lanjut dapat mengesan masalah rahim atau hormon.

Selepas mengalami darah keguguran, penting untuk memberi masa kepada tubuh untuk pulih sebelum mencuba hamil semula, biasanya antara 3-6 bulan bergantung kepada nasihat doktor.

Keguguran Terbahagi Kepada Beberapa Jenis

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, keguguran sebenarnya ada beberapa jenis. Ada yang dipanggil threatened miscarriage, di mana pendarahan baru bermula tapi bayi masih ada degupan jantung dan boleh diselamatkan dengan ubat penguat rahim.

Namun kalau pendarahan makin banyak dan pangkal rahim dah terbuka, ia dipanggil inevitable miscarriage kerana kandungan memang tak dapat diselamatkan lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa ada keguguran yang keluar habis secara semula jadi (complete miscarriage), dan ada juga yang masih meninggalkan saki-baki tisu dalam rahim (incomplete miscarriage) hingga menyebabkan sakit berterusan. Jika rahim dijangkiti kuman semasa keguguran, keadaan ini dikenali sebagai septic miscarriage.

Dr Zubaidi menambah bahawa keguguran boleh berlaku tanpa sebarang rasa sakit atau pendarahan. Contohnya missed miscarriage (jantung bayi terhenti) atau blighted ovum (kantung kehamilan kosong tanpa janin). Sebab itulah imbasan ultrasound kat klinik amat penting untuk doktor sahkan keadaan sebenar rahim anda.

Kesimpulan

Darah keguguran ni sememangnya petanda serius yang memerlukan tindakan pantas sebab ia boleh jadi tanda kehamilan terganggu. Bila anda faham puncanya, tahu bezakan dengan pendarahan biasa dan kenal tanda awal, sekurang-kurangnya anda tahu bila waktu tepat nak bertindak.

Kalau nampak sebarang bleeding masa tengah pregnant terus ke klinik atau hospital tanpa berlengah untuk selamatkan ibu dan jaga peluang untuk kehamilan akan datang.

Kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan wanita anda agar mereka juga faham tentang ciri keguguran dengan lebih jelas.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Symptoms -Miscarriage
  2. Confirming a miscarriage
  3. Symptoms & Signs of Miscarriage
  4. What you should know about miscarriage signs, early miscarriage and more
  5. Bleeding During Pregnancy
  6. Keguguran: Faktor Risiko
  7. https://gleneagles.com.my/ms/medical-specialties/obstetrics-and-gynaecology-og/miscarriages-risk-factors
  8. Keguguran

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.