Bila dah lepas due date tapi tanda bersalin masih tak muncul, doktor biasanya akan cadangkan induce belon. Mesti macam-macam soalan bermain kat fikiran kan? “Sakit tak indius belon?” atau “Berapa lama kena tunggu belon ni berkesan?”

Sebenarnya, belon (foley catheter) ni dipasang untuk bantu lebarkan bukaan rahim. Kesannya tak sama bagi semua orang, ada yang sekejap je belon dah jatuh, ada pula yang kena tunggu sampai 24 jam.

Jomkami kongsikan mengenai proses induce belon, apa yang perlu dijangka, dan tip senaman ringkas untuk bantu cepatkan bukaan rahim.

Apa Itu Induce Belon dan Kenapa Doktor Cadangkan?

Pernah dengar tentang ‘indius belon’? Bagi ibu-ibu yang dah melepasi tarikh jangkaan bersalin tapi bayi masih selesa di dalam, istilah ni mungkin agak menggerunkan.

Secara ringkasnya, induce belon atau Foley catheter merupakan kaedah fizikal untuk merangsang pintu rahim (serviks) supaya terbuka secara semula jadi.

Doktor selalunya akan syorkan alternatif ini sekiranya air ketuban ibu dah pecah tapi pintu rahim masih “terkunci” rapat. Ibu hamil yang ada komplikasi seperti kencing manis dan darah tinggi pun ada potensi perlu lakukan indius belon agar bayi segera lahir demi keselamatan.

Biasanya doktor akan cadangkan bila:

  • EDD ibu dah lebih 40 minggu tapi belum ada kontraksi.
  • Air ketuban pecah tapi tiada bukaan rahim.
  • Ibu ada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau diabetes.
  • Bayi menunjukkan tanda kurang aktif dalam kandungan.

Cara ia berfungsi sebenarnya ringkas saja. Doktor akan masukkan tiub silikon yang sangat halus ke dalam serviks, kemudian belon kecil di hujung tiub itu akan digelembungkan dengan air garam steril. Tekanan lembut daripada belon inilah yang akan memaksa serviks ibu menipis dan mula membuka secara perlahan-lahan.

Ramai ibu memilih kaedah ini sebab ia bebas daripada penggunaan ubat-ubatan hormon yang kuat. Ini pun antara pilihan yang lebih lembut untuk tubuh ibu dan juga bayi.

Induce Belon Berapa Lama Biasanya Berkesan?

Satu soalan yang selalu buat ibu-ibu berdebar bila nak kena seluk: “Berapa lama sebenarnya nak kena tunggu belon ni sangkut kat dalam?”

Jawapan jujur kepada soalan induce belon berapa lama adalah setiap badan bertindak balas berbeza. Tapi secara purata, belon ni biasanya dibiarkan dalam tempoh 12 hingga 24 jam.

Jadi, Induce Belon Berapa Lama?

induce belon berapa lama
Proses & tempoh induce belon di hospital.

Ada ibu yang bertuah, baru masuk beberapa jam, pintu rahim dah cepat-cepat terbuka dan belon pun terus ‘meletup’ keluar sendiri. Tapi ramai juga yang terpaksa ‘membawa’ belon tu ke hulu ke hilir dalam wad sampai genap sehari suntuk.

Belon ni automatik akan jatuh sendiri bila bukaan serviks ibu dah mencecah 3 hingga 4 cm. Ini tanda yang badan ibu dah sedia untuk fasa kontraksi seterusnya.

Macam mana kalau selepas 24 jam masih tak ada apa-apa perubahan?

Jangan panik. Kalau pintu rahim masih tak nak terbuka, doktor biasanya akan keluarkan belon dan beralih ke pelan B, sama ada masukkan ubat hormon (prostaglandin) ataupun pecahkan air ketuban secara manual.

Yang penting, jangan bandingkan diri dengan orang lain sebab proses bersalin setiap ibu memang takkan pernah sama.

Sakit Tak Pengalaman Induce Belon?

“Sakit ke letak belon kat bawah tu?” Ini memang soalan wajib yang semua ibu tanya bila kena induce. Jujurnya, jawapan bagi setiap orang takkan pernah sama sebab tahap ketahanan sakit (pain threshold) kita berbeza-beza.

Sebenarnya, proses doktor nak masukkan tiub kecil tu sekejap sangat, dalam 5 ke 10 minit saja. Masa mula-mula kena seluk tu, memang akan rasa senak, ngilu, dan rasa macam kena tarik di bahagian bawah perut. Tapi bukanlah sakit yang sampai tak boleh bawa bincang.

Bila belon dah selamat duduk di dalam, bersedialah dengan rasa kram macam senggugut atau rasa memulas di bahagian pinggang dan punggung. Kadang-kadang ada keluar lendir bercampur darah sikit. Tapi jangan takut, itu tanda serviks mula lembut dan nak membuka.

Menariknya, ada juga mak-mak yang relaks saja, langsung tak rasa sakit melainkan rasa ‘senak penuh‘ kat bawah tu. Jadi, tak perlu fobia sangat dengan cerita seram orang lain ya.

Tarik nafas dalam-dalam, jururawat dan doktor sentiasa ada untuk pantau keadaan ibu dan kandungan.

Macam mana pula dengan anda, ada yang pernah lalui pengalaman ini dan sudi kongsi di ruangan komen?

    Apa Nak Buat Semasa Tunggu Induce Belon Berkesan?

    induce belon berapa lama
    Sokongan pasangan amat penting sewaktu ibu hampir bersalin.

    Waktu menunggu belon nak jatuh ni memang boleh buat kita rasa macam masa berjalan sangat perlahan. Tak hairanlah ramai ibu yang tak senang duduk dan asyik terfikir cara nak cepatkan bukaan rahim.

    Sebenarnya, janganlah hanya baring menyerah kalah dekat katil wad tu. Sementara tengah menunggu badan mula ‘bekerja’, ada beberapa perkara mudah dan natural yang ibu boleh buat untuk bantu mudahkan proses bersalin nanti:

      1. Senaman Ringan

      Jangan asyik baring tegak je. Cuba bangun dan jalan-jalan perlahan keliling katil, atau kalau hospital ada sediakan birthing ball, boleh duduk dan gelek pinggul perlahan-lahan.

      Graviti dan pergerakan lembut ni sangat membantu kepala bayi turun ke bawah untuk beri tekanan pada pintu rahim.

      2. Banyakkan Rehat & Cuba Tenang

      Memanglah cakap senang daripada buat, tapi tolong jangan stres fikir bila belon nak jatuh. Bila minda gementar, hormon stres akan sekat hormon oksitosin yang sepatutnya bantu cetuskan kontraksi.

      Cuba pasang surah, dengar lagu yang boleh buat ibu bertenang, atau borak kosong dengan suami untuk alih perhatian.

      3. Makan Alas Perut

      Setengah hospital tak bagi makan makanan berat bila dah mula proses bersalin. Tapi kalau dibenarkan, ambil snek ringan macam kurma, biskut, atau sup suam untuk kumpul tenaga.

      Nak meneran nanti pakai banyak tenaga, tau!

      4. Jangan Lupa Minum Air

      Pastikan botol air sentiasa di sisi. Bila badan kurang air atau dehidrasi, rahim boleh jadi lesu dan buatkan proses bukaan serviks jadi makin lambat. Minum sikit-sikit tapi kerap.

      Jika Induce Belon Tak Berkesan, Apa Langkah Seterusnya?

      Kadang-kadang, dah tunggu dekat seharian pun belon masih belum keluar, atau bukaan pintu rahim langsung tak berganjak.

      Kalau ini berlaku pada ibu, relaks dulu. Jangan rasa diri gagal sebab respon badan setiap wanita memang tak sama.

      Bila induce belon tak mendatangkan hasil, doktor biasanya akan beralih ke pelan seterusnya selepas menilai keadaan ibu dan juga bayi:

      • Pecahkan Air Ketuban (ARM): Doktor akan gunakan alat khas yang halus untuk pecahkan ketuban secara manual supaya kepala bayi boleh turun rapat dan beri tekanan terus pada pintu rahim.
      • Ubat Hormon: Sama ada dalam bentuk gel, tiub, atau pil kecil yang dimasukkan ke dalam faraj untuk bantu melembutkan serviks.
      • Drip Oksitosin: Ubat akan dimasukkan melalui saluran darah untuk paksa rahim mulakan kontraksi secara konsisten.

      Tapi, sekiranya semua ikhtiar di atas masih belum berjaya atau degupan jantung bayi mula menunjukkan tanda-tanda stres, doktor takkan tunggu lama dan akan terus cadangkan pembedahan kecemasan (C-section).

      Ingat ya, apa pun cara melahirkan nanti, keselamatan ibu dan bayi adalah keutamaan paling besar.

      Tips Tenang & Persediaan Mental Sebelum Induce Belon

      induce belon berapa lama
      Ibu boleh menikmati muzik yang menenangkan sebelum tiba waktu bersalin.

      Selain fizikal, mental ibu pun sangat penting.

      Ramai ibu berkongsi, bila mereka lebih tenang, proses bersalin jadi lebih mudah dan cepat.

      Beberapa tips yang boleh bantu:

      • Bernafas secara terkawal – tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan. Ini bantu kurangkan rasa sakit bila kontraksi datang.
      • Bawa benda yang buat tenang – contohnya bantal kecil, selimut sendiri, atau fon kepala untuk dengar muzik.
      • Fokus pada tujuan akhir – ingat, setiap kram atau tekanan tu tanda bayi makin hampir lahir ke dunia!

      Dan kalau ibu risau tentang induce belon sakit tak, boleh terus bincang dengan doktor.

      Kadang-kadang mereka akan beri ubat tahan sakit ringan atau cadangkan posisi lebih selesa masa prosedur.

      Soalan Lazim Tentang Induce Belon

      Q: Kalau belon dah keluar, maksudnya dah nak bersalin ke?
      Ya! Biasanya bila belon keluar sendiri, itu tanda serviks dah buka 3-4 cm. Lepas tu, kontraksi akan mula datang dengan lebih kerap.

      Q: Boleh balik rumah ke masa tunggu belon berkesan?
      Kebanyakan hospital akan minta ibu kekal di wad supaya senang pantau keadaan bayi. Tapi ada juga yang benarkan balik kalau keadaan stabil.

      Q: Kalau induce belon tapi tak sakit langsung, normal ke?
      Sangat normal! Setiap badan berbeza. Ada yang cepat rasa kontraksi, ada yang perlahan. Tak semestinya bila tak sakit, belon tak berkesan.

      Q: Boleh buat senaman masa belon terpasang?
      Ya, boleh buat pergerakan ringan. Tapi elak terlalu lasak supaya belon tak teralih atau tercabut awal.

      Kesimpulan

      Secara ringkasnya, kalau nak tahu induce belon berapa lama sebenarnya tak ada satu jawapan yang tetap. Semuanya berbalik kepada respon badan masing-masing. Ada ibu yang sekejap saja pintu rahim dah buka 3cm, tapi ramai juga yang kena bersabar sampai genap 24 jam.

      Walau apa pun, janganlah terlalu bimbang. Kaedah belon ni dikira antara cara paling selamat dan ‘mesra’ untuk bantu rahim kita bersedia tanpa paksaan ubat yang mendadak.

      Sementara menunggu tu, cuba kekal aktif, buat senaman ringan dalam wad, dan paling penting, kawal emosi supaya hormon semula jadi badan boleh bekerja dengan tenang.

      Kalau doktor dah mula buka mulut bincang pasal indius belon ni untuk due date anda yang semakin dekat, jangan malu untuk tanya macam-macam soalan.

      Tanya saja pasal tahap kesakitan, tempoh jangkaan, atau apa saja kemusykilan yang terbuku di hati ibu. Sebagai ibu, anda berhak tahu dan rasa bersedia sepenuhnya demi menyambut si manja nanti.

      Semoga urusan bersalin ibu dipermudahkan dan berjalan dengan lancar!

      Author

      • nazrah

        Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

      7 Sumber Rujukan

      Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

      1. Induction of labour with a cervical balloon (Foley’s) catheter
      2. GUIDELINES ON INDUCTION OF LABOUR
      3. Foley Bulb Induction
      4. Induction of labour
      5. Induction of Labor
      6. Foley Catheter Induction
      7. Tugging the Foley catheter balloon every three hours in induction of labor after one previous cesarean: a randomized controlled trial

      Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.