Bila tarikh due makin dekat tapi tiada tanda kontraksi, mesti ramai bakal ibu rasa risau kan? Tambah pula bila doktor ada sebut, “Kalau baby tak keluar minggu ni juga, kita paksa bersalin ya.”
Mendengar perkataan ‘paksa’ atau induce saja dah cukup buat ramai bakal ibu gelisah. Sebenarnya, paksa bersalin bukanlah sesuatu yang menakutkan jika anda faham caranya.
Artikel ini menghimpunkan kaedah atau jenis induce bersalin yang biasa digunakan di hospital supaya ibu lebih bersedia dan tenang melangkah ke bilik bersalin.
Apa Sebenarnya Maksud ‘Paksa Bersalin’ Atau Induce Ini?
Sebenarnya, induce ialah kaedah perubatan untuk bantu rahim mula merasai kontraksi secara buatan bila badan masih belum ‘ready’ nak bersalin secara semula jadi. Doktor biasanya takkan buat prosedur ini tanpa sebab kukuh.
Antara punca utama doktor cadangkan induce bersalin termasuklah usia kandungan dah melepasi due date, air ketuban makin berkurangan atau ada komplikasi kesihatan yang merisikokan ibu dan bayi. Jadi ubat atau kaedah fizikal khas akan digunakan untuk picu laluan rahim supaya proses kelahiran bermula.
Satu perkara yang ibu kena tahu, kesan induce pada setiap wanita takkan pernah sama. Ada yang rahimnya bertindak balas seawal beberapa jam sahaja, dan ada juga yang memakan masa seharian untuk pintu bukaan serviks betul-betul bersedia.
Kalau respon agak lambat, ibu tenang sahaja dan jangan panik.
Kenapa Perlu Induce Bersalin?

Sebelum doktor mencadangkan mana-mana jenis induce bersalin, mereka akan lihat sebab dan keperluannya dahulu. Antara situasi yang biasa berlaku ialah:
- Kandungan melebihi tarikh jangkaan (overdue)
Bila usia kandungan melebihi 41 atau 42 minggu, risiko komplikasi seperti kekurangan air ketuban atau bayi stres dalam rahim boleh meningkat. Maka induce dilakukan bagi memastikan bayi dilahirkan dengan selamat. - Air ketuban pecah tapi tiada kontraksi
Apabila air ketuban dah keluar, tapi rahim tak mula mengecut dalam tempoh tertentu, risiko jangkitan boleh berlaku. Jadi, induce dilakukan untuk mempercepatkan proses kelahiran. - Masalah kesihatan ibu atau bayi
Jika ibu ada darah tinggi (preeclampsia), kencing manis, atau bayi menunjukkan tanda tidak sihat dalam rahim, doktor akan cadangkan induce untuk elakkan risiko. - Kematangan bayi dalam rahim
Kadang-kadang bayi dah cukup matang untuk lahir, tapi rahim belum ‘bersedia’. Induce membantu mencetuskan kontraksi supaya proses kelahiran boleh bermula.
Pendek kata, tujuan induce bukan suka-suka. Ia dilakukan demi keselamatan ibu dan bayi.
Jenis Ubat Induce Bersalin
Bila sebut tentang jenis induce bersalin, ramai ibu mula tertanya-tanya “Ubat tu masuk macam mana?” atau “Sakit ke?” Jangan risau, sebab semuanya dikawal dan dipantau oleh doktor dengan teliti. Berikut antara jenis ubat dan kaedah induce yang biasa digunakan di hospital:
- Prostaglandin (Ubat untuk lembutkan serviks)
Prostaglandin digunakan untuk mematangkan serviks (pangkal rahim). Ia boleh dalam bentuk gel, tablet atau pessary (macam ubat supositori) yang dimasukkan ke dalam faraj.
Tujuannya supaya rahim lembut dan mula terbuka secara semula jadi. Kaedah jenis induce bersalin ini biasanya langkah pertama sebelum doktor beri ubat lain. - Oxytocin (Drip induce atau Jenis induce bersalin drip)
Jika serviks dah mula terbuka tapi kontraksi belum kuat, doktor akan beri oxytocin melalui drip (IV). Ubat ni bantu rahim mengecut dengan lebih kerap dan kuat, sama seperti kontraksi semula jadi.
Ibu akan dipantau dengan mesin CTG untuk tengok degupan jantung bayi dan kekuatan kontraksi. - Membrane sweep (Cucian selaput)
Kaedah ni tak melibatkan ubat, tapi lebih kepada rangsangan fizikal. Doktor akan masukkan jari ke dalam faraj dan pusing perlahan-lahan pada pangkal rahim untuk memisahkan selaput ketuban dari dinding rahim.
Ia boleh mencetuskan kontraksi dalam masa beberapa jam. Sedikit tidak selesa, tapi cepat dan kadang-kadang berkesan. - Pecahkan air ketuban (Jenis induce bersalin Amniotomy)
Dalam sesetengah kes, doktor akan guna alat kecil untuk pecahkan air ketuban bagi merangsang kontraksi. Jenis induce bersalin ni biasanya dilakukan bila serviks dah terbuka sedikit dan kepala bayi dah turun.
Selepas air ketuban dipecahkan, kebanyakan ibu mula rasa kontraksi kuat dalam masa beberapa jam. - Campuran beberapa jenis induce bersalin
Kadang-kadang doktor akan gabungkan beberapa kaedah. Contohnya beri prostaglandin dulu, kemudian drip oxytocin jika belum ada kontraksi. Ini normal dan disesuaikan mengikut tindak balas badan ibu.
Berapa Lama Masa Diambil Lepas Ubat Induce Mula Masuk?

Soalan ini memang selalu buat bakal ibu tertanya-tanya. Jawapannya bergantung pada tindak balas tubuh ibu itu sendiri.
Bila ubat jenis prostaglandin dimasukkan, biasanya laluan rahim akan mula melembut atau menunjukkan reaksi awal sekitar 6 hingga 12 jam. Tapi kalau pintu rahim masih ‘kuncup’ dan keras, tak pelik kalau doktor perlu tambah dos seterusnya atau sambung dengan drip oxytocin untuk bantu kontraksi makin kuat.
Ada ibu bertuah yang terus rasa kontraksi aktif selepas beberapa jam, tak kurang juga yang terpaksa bertapa dalam bilik bersalin melebihi 24 jam.
Laju atau lambat proses ini sebenarnya dipengaruhi beberapa perkara:
- Keadaan asal serviks sama ada dah mula melembut atau masih belum bersedia.
- Pengalaman bersalin. Ibu yang pernah lahirkan anak sebelum ini biasanya respon lebih cepat berbanding first-time mom.
- Jenis ubat atau kaedah yang doktor pilih mengikut keadaan semasa.
- Pecutan hormon badan sendiri dalam merespon rangsangan tersebut.
Jadi kalau nampak jiran sebelah labour room dah selamat bersalin tapi anda masih menunggu kontraksi kuat, jangan stres. Pasukan perubatan akan sentiasa ada untuk pantau denyutan jantung bayi dan keadaan ibu dari semasa ke semasa.
Berapa Lama Bersalin Selepas Induce?
Soalan ni pun selalu bermain dalam kepala ibu hamil. Selepas doktor buat induce, bila agaknya waktu bersalin sebenar?
Secara purata, kebanyakan ibu bersalin dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas induce dimulakan. Tapi sekali lagi, ini bergantung pada tahap kesediaan badan dan serviks.
Bagi ibu yang baru pertama kali bersalin, biasanya ambil masa sedikit panjang berbanding ibu yang pernah bersalin sebelum ni. Ada juga kes di mana induce tak berkesan langsung! Dalam situasi begitu, doktor akan berbincang untuk buat pembedahan caesarean (C-section).
Yang penting, jangan terlalu stres atau risau. Emosi yang tenang dan badan yang rehat membantu proses bukaan serviks berjalan dengan lebih baik.
Cara Cepatkan Bukaan Selepas Induce Ubat

Ramai ibu yang dah mula induce tertanya-tanya, “Ada tak cara nak cepatkan bukaan selepas induce ubat?” Jawapannya ada tapi semuanya mesti dilakukan dengan selamat.
Berikut antara cara semula jadi yang boleh bantu:
- Bergerak dan berjalan perlahan-lahan
Bila badan bergerak, bayi akan turun ke bawah dan tekanan pada serviks meningkat. Ini bantu percepatkan bukaan rahim. - Gunakan birthing ball
Duduk atau goyang perlahan atas bola ni boleh bantu bayi berada dalam posisi betul dan bantu bukaan. - Tenangkan diri dan kawal pernafasan
Stres boleh buat hormon oxytocin semula jadi menurun. Cuba tarik nafas panjang, relaks dan fokus pada setiap kontraksi. - Sokongan pasangan
Sentuhan lembut, urutan belakang atau sekadar genggaman tangan suami boleh bantu ibu rasa tenang dan lebih kuat. - Posisi bersalin yang aktif
Cuba berdiri, mencangkung atau duduk bersandar. Posisi aktif bantu graviti bekerja dan mempercepatkan bayi turun.
Namun, penting untuk sentiasa berbincang dengan jururawat atau doktor sebelum mencuba apa-apa posisi supaya tidak menjejaskan pemantauan atau keselamatan ibu dan bayi.
5 Jam Lawan Contraction, Ibu Ini Kongsi Pengalaman Induce Kerana Ada GDM

Setiap ibu ada kisah bersalin tersendiri, dan bagi seorang ibu di ruangan Diari Mak Mak dalam Facebook, dia berkongsi pengalamannya terpaksa induce bersalin pada usia kandungan 38 minggu akibat masalah kencing manis ketika hamil (GDM).
Menurutnya, proses bersalinnya bermula agak perlahan selepas ubat pertama dimasukkan lewat malam, bukaan pintu rahim masih kekal 2cm sehingga ke pagi. Namun, situasi mula berubah sebaik sahaja doktor memecahkan air ketuban dan memasukkan drip ubat kira-kira jam 10 pagi. Bila bukaan mencecah 7cm ke 8cm, sakit contraction datang bertali-tali hingga dia terasa mahu meminta pembedahan czer kerana tak tahan. Perjuangan selama 5 jam itu akhirnya terbayar jua sebaik bayi selamat dilahirkan.
Perkongsian ini turut mendapat pelbagai respons dan sokongan daripada ibu-ibu lain yang pernah melalui situasi serupa:
- Rela induce dari czer.“Betul, bersalin normal memang sakit waktu nak keluarkan baby saja. Saya pun rela induce daripada kena belah rahim…”
- Sakit induce berganda.“Sakit kena induce ni berganda tak sama macam sakit bersalin natural. Tapi bila baby dah keluar, terus rasa puas dan lega sangat.”
- Lain anak, lain pengalaman.“Lain anak, lain ujiannya… Ada yang sekejap, ada yang terpaksa masuk ubat 2 kali dan guna belon sebab bukaan slow. Yang penting ibu dan baby selamat.”
Kesimpulan
Induce bersalin bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Ia adalah satu cara perubatan moden untuk bantu ibu dan bayi melalui proses kelahiran dengan selamat bila keadaan memerlukan. Sama ada melalui ubat atau prosedur, setiap jenis induce bersalin ada kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung pada keadaan individu.
Yang penting, ibu perlu faham apa yang bakal dilakukan, tanya doktor jika ada keraguan dan kekalkan mindset positif.
Proses bersalin mungkin mencabar, tapi setiap kontraksi membawa ibu semakin dekat dengan saat kelahiran si kecil yang dinanti-nantikan. Kalau ibu sekarang dah menghampiri tarikh due dan mula risau tentang induce, berbincanglah dengan doktor untuk tahu jenis induce bersalin yang paling sesuai dengan keadaan ibu dan bayi.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.