Bila tarikh due date dah terlepas tapi anak masih dalam perut, doktor selalunya akan cadangkan prosedur induce. Masa inilah pelbagai persoalan dan rasa risau datang dalam fikiran ibu-ibu.
Tiba-tiba rasa berdebar, kan? Ramai ibu terus tertanya-tanya sama ada induce guna ubat ni sakit sangat ke, berapa lama ubat tu nak berkesan dan apa pula bezanya kalau doktor guna kaedah belon.
Sebenarnya, anda tak perlu panik atau terus bayangkan yang menakutkan. Bila faham tujuan dan cara induce ubat ini dilakukan, ibu akan rasa jauh lebih yakin bila melangkah ke dewan bersalin nanti.
Apa Itu Induce Ubat Bersalin?
Induce ubat bersalin ialah satu prosedur perubatan yang digunakan untuk merangsang kontraksi rahim apabila proses bersalin tidak bermula secara semula jadi. Biasanya doktor akan mulakan induce bila:
- Kandungan sudah melebihi 40 atau 41 minggu.
- Air ketuban dah pecah tapi kontraksi belum bermula.
- Bayi kurang bergerak atau ada risiko kesihatan.
- Ibu ada tekanan darah tinggi atau kencing manis.
Induce adalah untuk lembutkan pintu rahim dan memulakan kontraksi demi keselamatan ibu dan bayi. Prosedur ini hanya dilakukan di hospital dan dipantau sepenuhnya oleh doktor dan jururawat.

Jenis-Jenis Induce
Ramai ibu keliru tentang perbezaan antara induce ubat dan belon. Walaupun tujuannya sama iaitu membantu pintu rahim terbuka, cara ia berfungsi adalah berbeza. Dua kaedah utama yang biasa digunakan di hospital adalah:
1. Induce Ubat (Prostaglandin Gel atau Insert)
Ini cara paling popular dan lembut untuk memulakan proses. Doktor akan masukkan ubat berbentuk gel atau tablet kecil ke dalam faraj berhampiran serviks.
Tugas induce bersalin ni ialah melembutkan serviks supaya lebih mudah terbuka dan mula berkontraksi. Selepas dimasukkan, ibu biasanya diminta baring 30 hingga 60 minit sebelum boleh berjalan atau berehat. Dalam tempoh ni, kontraksi mungkin mula datang perlahan-lahan.
2. Belon (Foley Catheter)
Kalau ubat tak berkesan atau serviks masih keras, doktor mungkin gunakan belon kecil yang dimasukkan ke serviks dan diisi sedikit air. Tekanan daripada belon ini bantu buka serviks secara fizikal.
Jadi bila doktor sebut induce ubat atau belon, maksudnya mereka akan pilih kaedah mana yang paling sesuai berdasarkan keadaan rahim dan kesihatan ibu. Kadang-kadang belon digunakan dulu, kemudian disambung dengan ubat bila serviks dah mula terbuka.
Proses Cara Induce di Hospital
Setiap hospital ada prosedur tersendiri, tapi secara umum inilah langkah-langkah utama cara induce:
1. Pemeriksaan Awal
Doktor akan periksa bukaan serviks, tekanan darah dan keadaan bayi. Kalau serviks masih keras, doktor akan pilih sama ada nak gunakan induce ubat atau belon.
2. Masukkan Ubat Induce
Ubat akan dimasukkan melalui faraj, berhampiran serviks. Lepas tu ibu perlu baring dan rehat sekejap supaya ubat boleh diserap dengan baik.
3. Pantau Kontraksi
Jururawat akan sambungkan mesin CTG untuk pantau degupan bayi dan kekuatan kontraksi. Kalau ubat pertama belum berkesan, dos kedua mungkin diberikan selepas 6 jam.
4. Pecahkan Air Ketuban
Bila serviks dah mula terbuka (biasanya 2 hingga 3cm), doktor akan bantu pecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin.
5. Sambung Dengan Drip Oksitosin
Jika kontraksi masih lemah selepas induce, doktor akan tambah ubat oksitosin melalui drip untuk bantu rahim mengecut dengan lebih kuat. Inilah sebabnya ibu yang melalui induce bersalin perlu dipantau sepanjang masa.

Induce Ubat Berapa Lama Nak Berkesan?
Bila bercakap pasal berapa lama induce nak berkesan, jawapannya memang berbeza ikut badan masing masing. Ada ibu seawal 2 jam dah mula rasa kontraksi, tapi ada juga yang kena tunggu lebih 12 jam baru rasa sakit bersalin.
Semua ini bergantung pada beberapa faktor seperti:
- Tahap kelembutan dan bukaan awal pintu rahim ibu.
- Cara badan ibu bertindak balas dengan ubat tersebut.
- Sama ada doktor guna kaedah belon dulu atau terus masukkan ubat.
- Pengalaman bersalin sama ada ini anak pertama atau anak seterusnya.
Secara purata, keseluruhan proses induce ini boleh makan masa antara 6 hingga 24 jam. Kalau selepas dua dos ubat pun pintu rahim masih belum terbuka, doktor biasanya cadangkan alternatif lain seperti ubat titis oksitosin atau pembedahan C section demi keselamatan ibu dan bayi.
Rasa Sakit Lepas Induce Ubat
Sebenarnya, kontraksi selepas induce ubat boleh jadi lebih kuat dan kerap berbanding bersalin secara semula jadi. Ini sebab ubat merangsang bukaan rahim dengan lebih cepat.
Tapi jangan risau, hospital ada banyak cara untuk bantu kurangkan kesakitan:
- Gas entonox untuk bantu ibu relaks semasa contraction.
- Epidural pula adalah ubat bius separa untuk hilangkan sakit dari pinggang ke bawah.
- Teknik pernafasan dan urutan ringan dapat bantu kawal rasa sakit dan tekanan.
Kalau ibu faham cara induce ubat berfungsi dan bersedia secara mental, pengalaman ini boleh dilalui dengan lebih tenang dan positif.
Cara Cepatkan Bukaan Selepas Induce Ubat
Kadang-kadang selepas induce bersalin, serviks masih lambat nak terbuka. Jadi ramai ibu tertanya-tanya apa cara cepatkan bukaan selepas induce ubat?
Bila dah induce, ibu jangan baring je tau (kalau doktor izinkan bergerak). Boleh cuba buat beberapa aktiviti ini dekat wad untuk bantu jalan cepat buka:
- Banyakkan Berjalan: Berjalan santai keliling wad. Daya graviti bantu kepala bayi turun dan tekan pintu rahim.
- Main Gym Ball: Duduk atas bola gym, goyang pinggul perlahan-lahan untuk longgarkan otot pinggul.
- Kerap Buang Air Kecil: Pundi kencing yang penuh boleh menghalang kepala bayi turun. Jadi, rajin-rajin ke tandas ya.
- Kekal Rileks & Tarik Nafas: Bila panik, badan jadi tegang dan bukaan jadi lambat. Tarik nafas dalam-dalam setiap kali rasa sakit.
- Posisi Bersila (Butterfly Stretch): Temukan tapak kaki dan duduk bersila untuk beri ruang pada bahagian pinggul.
Risiko dan Kesan Sampingan
Walaupun induce bersalin selamat di bawah pengawasan doktor, masih ada risiko kecil yang patut ibu tahu:
- Kontraksi terlalu kuat menyebabkan bayi stres (degupan jantung menurun).
- Rahim terlampau aktif (hiperstimulasi).
- Serviks tak terbuka walaupun dah induce.
- Sakit datang terlalu cepat dan kuat.
- Risiko jangkitan bila air ketuban pecah lama.
Sebab tu doktor hanya akan cadangkan induce bersalin bila keadaan benar-benar memerlukan bukan suka-suka.
Induce Ubat Akan Bersalin Czer Ke?
Tidak semua ibu yang melalui proses induce akan berakhir dengan pembedahan caesarean. Matlamat utamanya tetap ke arah kelahiran secara normal.
Menurut Dr. Azwa Hasny, beliau biasanya mencadangkan prosedur ini hanya jika yakin kaedah tersebut dapat membantu ibu mengelakkan caesarean.

Sebagai contoh, jika dibiarkan menunggu bersalin secara semula jadi, bayi mungkin akan menjadi semakin besar dan risiko untuk ibu bersalin secara caesarean akan meningkat.
Perbandingan Induce Ubat atau Belon
Induce ubat atau induce belon ada kelebihan dan kekurangannya.
| Kaedah | Kelebihan | Kekurangan |
|---|---|---|
| Induce ubat | Lembut, sesuai untuk rahim belum bersedia | Kadang ambil masa lama |
| Belon (Foley) | Tak libatkan ubat, lebih mekanikal | Sedikit tidak selesa semasa dimasukkan |
| Kombinasi ubat + belon | Lebih cepat berkesan | Perlu pemantauan rapi |
Jadi bila doktor tanya sama ada nak induce ubat atau belon, jangan risau sebab mereka akan pilih berdasarkan keadaan semasa anda dan bayi.

Sakit Ke Induce Ubat?
Pengalaman nak bersalin secara induce ni memang selalu buat ibu rasa takut lagi-lagi kalau ia adalah pengalaman kali pertama.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr. Imelda ketika nak masukkan ubat induce, pesakitnya sempat lagi bertanya sama ada proses itu akan menyakitkan atau tidak,

Beliau mengatakan bahawa ibu sendiri yang merasai dan perlu memberitahu kesakitannya. Tanpa disedari, doktor dah siap masukkan ubat induce ketika dia sedang sibuk bertanyakan soalan tadi.
Hal ini sekali gus membuatkan ibu berkenaan terkejut kerana semuanya berlaku begitu cepat. Walau bagaimanapun, ada ibu lain mengatakan bahawa proses memasukkan ubat itu sebenarnya tidak sakit langsung.
Tapi saat yang paling menguji adalah apabila kesan ubat itu mula muncul sehingga membuatkan mereka rasa boleh hilang pedoman hidup seketika.
Kesimpulan
Secara ringkas, induce ubat bersalin ialah cara moden dan selamat untuk bantu proses kelahiran bila tubuh belum bersedia secara semula jadi. Walaupun mungkin lebih sakit dan panjang sedikit, tujuan utamanya ialah untuk pastikan ibu dan bayi selamat.
Sama ada induce ubat atau belon, kedua-duanya berfungsi untuk lembutkan serviks dan rangsang kontraksi supaya proses kelahiran boleh bermula.
Yang penting, ibu kekal tenang, banyakkan doa, dan ikut nasihat doktor. Kalau nak tahu cara cepatkan bukaan selepas induce, teruskan bergerak aktif dan kawal emosi dengan positif.
Kalau anda bakal ibu yang mungkin akan melalui proses induce, jangan takut ya! Fahami prosesnya, buat persediaan diri dan mental.
9 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.