Bila due date makin hampir tapi tanda bersalin masih tak muncul, doktor biasanya akan mula sebut pasal induce. Memang ramai bakal ibu akan mula rasa gementar bila dengar perkataan ni, sekali gus terbayang sakit yang melampau atau proses yang rumit.

Padahal, induce ni cuma bantuan perubatan untuk ‘memancing’ kontraksi bila badan perlukan sedikit dorongan.

Jadi mak-mak semua tak perlu panik bila doktor cakap nak induce. Jom kita fahamkan jenis ubat yang digunakan, cara ia berfungsi dan apa yang akan berlaku sepanjang proses ini supaya ibu-ibu lebih bersedia.

Induce Bersalin Tu Apa?

Secara ringkasnya, induce bersalin (atau induction of labour) merujuk kepada prosedur perubatan untuk memancing kontraksi rahim secara tiruan supaya proses melahirkan anak dapat dimulakan.

Kebiasaannya, doktor bukan sengaja nak induce tanpa sebab yang kukuh. Prosedur ini lazimnya dicadangkan atas beberapa faktor kesihatan bakal ibu:

  • Usia kandungan terlajak (post-date): Usia kehamilan dah melepasi 41 minggu tapi belum ada tanda nak bersalin.
  • Pecah ketuban awal: Air ketuban dah keluar, cuma sakit kontraksi masih tak kunjung tiba.
  • Risiko komplikasi: Ibu mengalami tekanan darah tinggi atau diabetes semasa hamil (gdm), ataupun tumbesaran bayi dalam kandungan agak terencat.

Bagi menjayakan proses ini, doktor boleh guna kaedah mekanikal atau ubatan. Namun di hospital Malaysia, penggunaan ubat induce sama ada ubat makan, gel mahupun drip merupakan pilihan utama yang paling kerap dipakai.

    Jenis Ubat Induce Bersalin Yang Digunakan di Hospital

    jenis ubat induce bersalin
    Jenis ubat induce bersalin yang digunakan di hospital.

    Bila bercakap tentang jenis ubat induce bersalin, sebenarnya ada beberapa pilihan yang doktor boleh guna bergantung pada keadaan rahim ibu, tahap bukaan serviks dan reaksi badan terhadap ubat.

    Berikut adalah antara jenis induce yang paling biasa digunakan:

    1. Jenis Ubat Induce Bersalin Prostaglandin (Vaginal Gel / Insert)

    Ini antara jenis ubat induce bersalin yang paling popular. Ia dalam bentuk gel atau tablet kecil yang dimasukkan ke dalam faraj (vagina).

    Fungsi ubat ni adalah untuk melembutkan dan menipiskan serviks (pintu rahim) supaya lebih mudah terbuka. Biasanya, ubat ni digunakan bila bukaan serviks masih belum lembut atau terbuka.

    Kelebihan:

    • Cara semula jadi bantu tubuh mula kontraksi.
    • Tak perlu terus pasang drip oksitosin.

    Kekurangan:

    • Proses boleh ambil masa beberapa jam.
    • Kadang-kadang boleh menyebabkan kontraksi terlalu kuat.

    2. Oksitosin (Drip Induce)

    Kalau selepas prostaglandin dimasukkan tapi kontraksi masih lemah, doktor mungkin akan guna drip oksitosin iaitu sejenis hormon yang bantu rahim mengecut.

    Ubat ni dimasukkan melalui salur darah (IV line) dan dosnya akan disesuaikan ikut reaksi badan ibu. Biasanya ibu akan dipantau rapi menggunakan mesin CTG untuk tengok degupan jantung bayi dan kekuatan kontraksi.

    Kelebihan:

    • Kontraksi boleh bermula dengan cepat.
    • Mudah dikawal. Dos boleh disesuaikan oleh jururawat.

    Kekurangan:

    • Kontraksi lebih kuat berbanding semula jadi, jadi ibu mungkin perlukan ubat tahan sakit.
    • Ibu perlu sentiasa berada di katil sebab disambungkan ke mesin drip dan monitor.

    Jenis Ubat Induce Bersalin 3. Misoprostol (Oral atau Vaginal Tablet)

    Satu lagi jenis ubat induce bersalin ialah misoprostol iaitu ubat yang asalnya digunakan untuk rawatan ulser. Jika diberikan dalam dos kecil ia boleh bantu rangsang kontraksi rahim.

    Ubat ni boleh diambil melalui mulut atau dimasukkan ke dalam faraj bergantung pada arahan doktor.

    Kelebihan:

    • Mudah diberi dan tak memerlukan alat khas.
    • Boleh membantu bukaan serviks dan kontraksi serentak.

    Kekurangan:

    • Kadang boleh menyebabkan kontraksi terlalu kerap.
    • Tak semua hospital guna misoprostol sebab dos perlu sangat berhati-hati.

    4. Jenis Ubat Induce Bersalin Foley Catheter (Kaedah Mekanikal)

    Walaupun bukan ubat secara langsung, Foley catheter kadang digunakan bersama jenis ubat induce bersalin. Ia adalah tiub kecil dengan belon di hujung yang dimasukkan ke dalam serviks dan diisi dengan air garam. Tujuannya untuk memberi tekanan supaya pintu rahim terbuka.

    Kelebihan:

    • Tiada kesan ubat dalam darah, jadi lebih “natural”.
    • Sesuai untuk ibu yang tak boleh ambil prostaglandin.

    Kekurangan:

    • Boleh rasa tak selesa masa prosedur.
    • Kadang ambil masa lama untuk berkesan.

    Bagaimana Prosedur Induce Ubat Dijalankan?

    jenis ubat induce bersalin
    Cara induce ubat.

    Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku dalam bilik bersalin bila doktor kata mahu mulakan ubat induce? Sejujurnya, proses ini dilakukan secara berperingkat dan memerlukan sedikit kesabaran daripada bakal ibu.

    Secara amnya, begini aliran proses yang akan ibu-ibu lalui nanti:

    1. Pemeriksaan pangkal rahim. Doktor buat pemeriksaan bawah (vaginal examination) dulu untuk tengok bukaan serviks sama ada sudah bersedia atau masih tebal.
    2. Ubat mula dimasukkan. Jika laluan belum buka, ubat jenis prostaglandin atau misoprostol akan dimasukkan ke bahagian serviks atau diberi secara lisan.
    3. Masa pemantauan. Ibu perlu berehat sementara jururawat dan doktor memantau bacaan jantung bayi serta kemunculan rasa sakit kontraksi.
    4. Tindakan susulan. Sekiranya tindak balas masih lambat, dos tambahan akan diberi selepas beberapa jam, ataupun doktor teruskan dengan drip oksitosin.

    Kesimpulannya, ibu tak perlu risau berlebihan. Setiap langkah dikawal rapi oleh pasukan perubatan demi keselamatan ibu dan bayi.

    Berapa Lama Ubat Induce Berkesan?

    Tempoh keberkesanan jenis ubat induce bersalin ni berbeza untuk setiap ibu. Ada yang cepat bertindak balas, ada juga yang ambil masa lebih lama.

    Secara umum:

    • Prostaglandin gel ambil masa 6-12 jam untuk mula berkesan.
    • Misoprostol biasanya beri kesan dalam 2-4 jam.
    • Drip oksitosin. Kontraksi boleh bermula dalam masa sejam.
    • Foley catheter mungkin ambil masa 12-24 jam untuk capai bukaan yang sesuai.

    Tapi ingat, tak semua induce akan berjaya dengan cepat. Kadang rahim masih belum bersedia, jadi doktor mungkin akan ulang proses atau cadangkan pembedahan caesarean (czer) jika keselamatan bayi terjejas.

    Pengalaman Sepanjang Prosedur: Apa Yang Bakal Ibu Lalui?

    jenis ubat induce bersalin
    Sokongan pasangan membantu bakal ibu bertenang sebelum masuk ke bilik bersalin.

    Bila proses ini bermula, keadaan mungkin sedikit berbeza berbanding persediaan bersalin secara semula jadi. Agar fizikal dan mental ibu lebih bersedia, ini antara gambaran awal yang perlu dijangkakan:

    • Corak sakit perut berbeza. Kekerapan sakit kontraksi biasanya lebih rapat dan terasa lebih padat berbanding gelombang sakit biasa.
    • Wayar pemantauan dipasang. Alat CTG akan sentiasa berada di perut bagi memantau degupan jantung bayi dan corak kontraksi ibu.
    • Duduk atau baring di katil. Pergerakan jadi agak terbatas sebab badannya terikat dengan wayar monitor atau tiub drip.
    • Peranan pasangan. Kehadiran suami untuk urut belakang badan atau beri kata semangat memang sangat membantu kurangkan tekanan bakal ibu.

    Pesanan mesra untuk bakal ibu, jangan tahan sakit sorang-sorang. Kalau rasa dah tak tertanggung, terus beritahu jururawat bertugas untuk minta ubat tahan sakit yang sesuai.

    Kelebihan dan Risiko Induce Bersalin

    Setiap jenis ubat induce bersalin ada kelebihan dan risikonya tersendiri. Berikut ringkasan mudah untuk ibu mudah faham:

    Kelebihan:

    • Memastikan bayi lahir pada masa yang selamat.
    • Elak risiko bayi terlalu besar atau air ketuban kering.
    • Kawal proses bersalin lebih mudah di hospital.

    Risiko:

    • Kontraksi terlalu kuat (hiperstimulasi rahim).
    • Kadar denyutan jantung bayi turun.
    • Kadang proses tak berjaya dan perlu pembedahan.

    Namun, semua ni dipantau rapi oleh pasukan perubatan, jadi risiko dapat dikurangkan dengan baik.

    Ibu-ibu Kongsi Pengalaman Lalui Induce Bersalin

    Menerusi satu perkongsian di laman Facebook 9 Bulan 10 Hari, ramai ibu menceritakan pelbagai kisah unik semasa di induce bersalin. Pengalaman mereka membuktikan tindak balas tubuh dan tempoh masa bersalin bagi setiap wanita memang berbeza:

    • Perlu kombinasi ubat dan belon. Ada ibu yang perlu melalui beberapa peringkat sebelum bukaan serviks bertambah. Salah seorang ibu berkongsi kronologinya:

    “Anak first induce ubat jam 12.30 tengah hari. Pukul 5.30 petang induce ubat ke-2. Jalan bukak baru 2cm. Pukul 7.30 petang start contraction & doktor induce belon. 8.30 malam jalan bukak 4cm. Layan contraction sampai pukul 12 lebih. Tepat 12.46 malam selamat bersalin.”

    • Kesan pantas seawal dos pertama. Tak semua proses bersalin memakan masa lama. Ada ibu yang berkongsi rezeki bersalin cepat hanya dengan sekali ubat:

    “Saya induce ubat pertama pukul 8 pagi, pukul 11 pagi dah start sakit sangat. Pukul 2 petang masuk labor room dan terus bersalin. Alhamdulillah dipermudahkan.”

    • Pengalaman gabung ubat dan drip. Sebahagian ibu pula memerlukan bantuan drip untuk memantapkan lagi gelombang kontraksi:

    “Masuk ubat sebiji dekat bawah tapi bukaan lambat. Bila doktor tambah drip terus sakit makin kerap, tapi berbaloi sebab tak sampai beberapa jam lepas tu dah boleh terus meneran.”

    Kesimpulan

    Secara ringkasnya, jenis ubat induce bersalin digunakan untuk bantu tubuh ibu memulakan proses kelahiran bila keadaan tak membenarkan tunggu secara semula jadi. Walaupun nampak menakutkan, sebenarnya proses ni sangat terkawal dan dijalankan dengan penuh hati-hati oleh doktor dan jururawat.

    Yang penting, ibu kena faham setiap langkah, tahu pilihan yang ada dan jangan segan untuk tanya doktor bila tak pasti. Setiap kehamilan berbeza, jadi proses induce pun boleh jadi unik untuk setiap ibu.

    Kalau anda bakal bersalin dan doktor dah mula bincang tentang jenis ubat induce bersalin, jangan panik ya! Ambil masa untuk faham prosesnya, bincang dengan pasangan dan dapatkan nasihat terus daripada doktor.

    Author

    • nazrah

      Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

    10 Sumber Rujukan

    Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

    1. Methods for the induction of labor: efficacy and safety
    2. Induction of labour
    3. Induction of Labor
    4. Induced Labor
    5. Labor induction
    6. Inducing labour
    7. Featured review: Low-dose misoprostol given by mouth for induction of labour
    8. Foley Bulb Induction
    9. 4 jenis induce bersalin
    10. Induksi Bersalin: Perkara Yang Anda Perlu Tahu

    Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.