Bila doktor beritahu kena induce ubat, ibu mungkin rasa takut dan fikir macam-macam. “Sakit sangat ke nanti?” atau “Lama ke nak kena tunggu jalan buka ni?”

Memang tak nafikan, perasaan berdebar tu normal sangat, terutamanya buat ibu yang pertama kali nak bersalin. Proses ubat prostaglandin ni sebenarnya bertujuan nak lembutkan serviks.

Tapi tulah, setiap respon badan wanita berbeza. Ada yang sekejap je dah 4cm, ada pula yang kena tunggu berjam-jam menahan rasa sakit.

Bersalin Induce Ubat

Jika ibu kena induce ubat, maksudnya proses bersalin anda terpaksa dimulakan dengan bantuan luaran atas sebab-sebab kesihatan. Doktor atau jururawat akan masukkan sejenis ubat berbentuk pil kecil atau gel (prostaglandin) terus ke dalam faraj.

Tugas utama ubat ni adalah untuk meniru hormon semula jadi badan bagi mematangkan, melembutkan, dan menipiskan pintu rahim (serviks).

Selepas ubat dimasukkan, ibu biasanya diminta baring selama 30 minit hingga sejam supaya ubat tu diserap elok dan tak keluar balik. Selang beberapa ketika, ubat ni akan mula trigger kontraksi rahim.

Ibu akan rasa memulas macam senggugut kuat kat bawah perut dan pinggang, tanda rahim dah mula bekerja untuk tolak bayi ke bawah.

Cara Cepatkan Bukaan Selepas Induce Ubat

Sementara tunggu bukaan, ibu boleh cuba beberapa cara cepatkan bukaan selepas induce secara semula jadi:

1. Jangan Baring Melentang, Banyakkan Berjalan

Kalau tak ada wayar mesin monitoring (CTG) kat perut, sila bangun. Berjalan perlahan-lahan di sekitar katil atau koridor wad. Gaya graviti masa kita berdiri dan berjalan ni sangat membantu kepala bayi turun dan memberi tekanan terus pada serviks untuk cepat buka.

2. Main Bola Bersalin

Duduk di atas bola bersalin dengan kaki terbuka luas. Goyang pinggul dalam bulatan kecil atau gerak ke kiri dan ke kanan. Teknik ini bukan sahaja bantu longgarkan otot panggul, tapi juga bagi ruang untuk kepala bayi ‘menggelongsor’ turun dengan betul.

3. Cuba Jalan Itik (Squatting)

Mencangkung secara perlahan-lahan dengan sokongan penuh daripada suami atau berpaut pada katil hospital. Posisi squatting ni secara anatominya membuka ruang panggul anda ke tahap maksimum, sekali gus memberi tekanan kuat untuk serviks menipis.

4. Amalkan Posisi Satu Kaki Tinggi

Kalau penat berdiri, ibu boleh berdiri sebelah kaki di atas lantai dan sebelah lagi dipijak atas kerusi kecil (posisi macam nak naik tangga). Posisi senget sebegini membantu mengubah kedudukan tulang panggul supaya bayi lebih mudah pusing dan turun ke laluan lahir.

5. Duduk Bersila di Atas Katil

Kalau terpaksa duduk di atas katil hospital, elakkan duduk bersandar malas. Sebaliknya, duduk tegak dan temukan kedua-dua tapak kaki (posisi bersila atau butterfly stretch). Ini cara terbaik untuk ibu meregangkan otot peha dalam dan membuka kawasan pelvis.

6. Kerap Kencing

Jangan tahan kencing! Pundi kencing yang penuh akan membengkak dan mengambil ruang di dalam perut, seolah-olah ‘menolak’ rahim ke atas.

Bila ibu kerap kosongkan pundi kencing (setiap 1-2 jam), rahim ada lebih ruang untuk mengecut dan kepala bayi pun tak tersekat nak turun.

7. Mandi Air Suam (Jika Dibenarkan)

Kalau wad bersalin ada kemudahan water heater, pergilah mandi atau lalukan air suam pada bahagian belakang pinggang. Suhu suam ni sangat magik untuk kurangkan ketegangan otot dan buat badan anda fasa relaks. Bila badan relaks, hormon oksitosin (hormon bersalin) akan merembes lebih laju.

8. Urutan dan Sentuhan Suami

Minta suami tolong urut lembut di bahagian bahu, belakang leher, atau kawasan pinggang. Sentuhan fizikal, belaian, dan kata-kata semangat daripada suami akan merangsang hormon cinta (oksitosin). Hormon inilah yang bertugas membuatkan kontraksi induce tadi jadi lebih efektif, teratur, dan cepat buka jalan.

9. Buat Deep Breathing

Bila ubat induce mula bekerja, sakit dia memang datang mengejut. Ramai ibu automatik akan tahan nafas dan keraskan badan sebab tahan sakit. Silap tu! Bila ibu buat macam tu, oksitosin akan drop dan serviks jadi tegang. Tarik nafas dalam-dalam ikut hidung, dan hembus perlahan melalui mulut macam tiup lilin. Kekalkan otot muka dan rahim dalam keadaan tenang.

10. Ambil Makanan Atau Minuman Manis

Proses menunggu bukaan selepas induce ni boleh makan masa berjam-jam dan amat memenatkan. Kalau hospital benarkan, jamu sikit kurma, air milo suam, atau madu. Rahim tu otot yang besar, jadi ia perlukan tenaga (glukosa) yang cukup untuk terus buat kerja-kerja mengecut dan membuka serviks.

cara cepatkan bukaan selepas induce ubat
Berapa cm untuk baby keluar?

Pengalaman Bersalin Induce Ubat

Pengalaman saya kena induce ubat hari tu, alhamdulillah dipermudahkan sangat-sangat. Masa mula-mula ubat dimasukkan, saya mula rasa sakit kontraksi dalam masa lebih kurang 3 jam macam tu.

Tiba-tiba midwife datang offer suntikan ubat tahan sakit. Nasihat saya untuk ibu-ibu lain, kalau korang ditawarkan suntikan ni, tolonglah minta atau ambil ya!

Sebabnya lepas kena suntik tu, saya terus tertidur lena. Bila tersedar je, saya terus bangun pergi toilet sebab rasa ngilu sangat nak kencing. Lepas siap-siap urusan kat tandas, check punya check rupanya bukaan bersalin dah 8cm!

Memang terus bergegas masuk ke labour room. Sebaik sahaja doktor sampai, dalam masa 20 minit macam tu saya dah selamat bersalin.

Bagaimana Kalau Induce Ubat Tak Berkesan?

Bila induce ubat (prostaglandin) pertama tak berkesan iaitu jalan masih tak buka atau kontraksi tak datang-datang, doktor selalunya takkan terus suruh ibu masuk bilik bedah.

Proses ni dalam dunia perubatan dinamakan failed induction, tapi Ibu jangan panik dulu tau, sebab pihak hospital memang ada pelan kontingensi mereka sendiri. Biasanya doktor akan buat beberapa perkara mengikut keadaan anda:

1. Masuk Dos Kedua Atau Ketiga

Ubat induce ni biasanya ada had masa, contohnya selang 6 jam atau selepas 24 jam bergantung pada jenis ubat yang digunakan. Kalau dos pertama rahim ibu masih ‘tidur’ dan tak memberi respon, doktor akan masukkan dos kedua untuk hantar signal yang lebih kuat pada serviks.

Ramai je ibu yang dos pertama tenang tidur lena, tapi bila masuk dos kedua baru ubat tu mula bertindak balas.

2. Tukar Kaedah Induce Belon

Kalau pintu rahim ibu masih tegar tak nak lembut walaupun dah letak ubat, doktor mungkin akan tukar strategi menggunakan kaedah mekanikal.

Mereka akan masukkan tiub belon kecil ke dalam serviks ibu dan pam air suam untuk merenggangkan pintu rahim secara fizikal dari dalam. Kaedah ni selalunya sangat efektif untuk paksa bukaan awal (daripada 1cm ke 3cm).

3. Pecah Air Ketuban & Drip Ubat

Kalau pintu rahim ibu dah mula lembut atau dah terbuka sikit (sekitar 2-3cm) tapi kontraksi masih perlahan, doktor akan buat prosedur pecahkan air ketuban secara manual.

Selepas itu, mereka akan pasang drip ubat (pitocin/oksitosin) pada tangan ibu untuk merangsang rahim mengecut secara konsisten dan teratur.

4. Pembedahan C-Section

Ini adalah jalan terakhir sekiranya semua cara di atas dah cuba, tetapi bukaan tetap tidak bertambah, air ketuban dah pecah terlalu lama (berisiko jangkitan kuman), atau grafik jantung bayi pada mesin CTG menunjukkan tanda-tanda bayi stres (fetal distress).

Demi keselamatan ibu dan anak dalam kandungan, doktor akan terus buat keputusan untuk bersalin czer.

Kesimpulan

Kesimpulannya, proses induce ubat adalah bantuan awal yang selamat untuk merangsang kelahiran. Respons badan setiap ibu memang tak sama.

Ada yang bukaan jalannya meluncur laju dalam beberapa jam, dan ada juga yang memerlukan dos tambahan atau pertukaran kaedah lain demi keselamatan.

Kongsikan juga dengan suami atau kawan yang sedang tunggu hari bersalin, supaya mereka tahu bagaimana cara cepatkan bukaan selepas induce ubat.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

6 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Induced Labor
  2. Cervical ripening methods when induction is part of the birth plan
  3. Labor induction
  4. Methods for Cervical Ripening and Induction of Labor
  5. Inducing labor
  6. Induction of labour

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.