Pernah tak terfikir, lepas bersama dengan suami, berapa lama sebenarnya sperma mampu “bertahan” dalam badan kita?

Bagi pasangan yang tengah mencuba untuk hamil (TTC), soalan ni memang selalu berlegar kat fikiran. Tapi tahukah anda, perjalanan sperma ni bukannya mudah. Daripada mula dihasilkan dalam badan lelaki, nak tunggu matang, sampai lah kena berenang mengejar ovum!

Jom kita bincangkan mengenai jangka hayat sperma dan ovum, supaya peluang anda nak dapat double line tu makin cerah.

Berapa Lama Nak Menghasilkan Sperma?

Sebab tu bila pasangan tengah mencuba untuk hamil, persediaan dari belah suami pun sangat penting. Kena ingat, sperma yang keluar harini bukannya dihasilkan semalam tau.

Proses nak hasilkan benih lelaki ni, atau nama saintifiknya spermatogenesis berlaku secara senyap dalam testis dan mengambil masa yang agak lama, dalam 64 hingga 74 hari. Lebih kurang dua bulan lebih juga nak siap sepenuhnya!

Tapi jangan risau, kilang sperma ni beroperasi tanpa henti 24 jam sehari untuk hasilkan jutaan sel baharu.

Cuma, kualiti benih ni sensitif sikit. Gaya hidup seharian suami boleh beri kesan pada kilang sperma ni. Antara perkara yang selalu mengganggu kualiti sperma:

  • Tabiat merokok & stres: Boleh rosakkan DNA sperma dan kurangkan jumlahnya.
  • Suhu kawasan intim terlalu panas: Lelaki yang suka pakai seluar ketat, selalu sangat berendam air panas, atau duduk terlalu lama pun boleh menyebabkan sperma kurang aktif dan tak bermutu.

Berapa Lama Sperma Matang?

Selepas dihasilkan, tak bermakna sperma tu boleh terus berfungsi. Ada satu lagi fasa penting iaitu proses pematangan.

Lepas siap dibentuk, sperma akan dipindahkan ke satu saluran kecil di belakang testis yang dipanggil epididimis. Kat situlah sperma kena ‘berkampung’ lebih kurang 2 minggu untuk belajar berenang dan kumpul tenaga. Tanpa fasa ni, sperma memang takkan ada keupayaan nak menembus masuk ke dalam ovum.

Bila suami ejakulasi, benih yang betul-betul matang dan pandai berenang inilah yang akan dilepaskan.

Sebab tu kalau bab anak ni, jangan salahkan isteri seorang je kalau belum ada rezeki. Suami pun kena mula jaga makan minum, elak stres, dan amalkan gaya hidup sihat sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan awal sebelum mula trying to conceive (TTC).

Benih yang berkualiti hari ni sebenarnya hasil penjagaan sejak dua bulan lepas!

Berapa Lama Sperma Boleh Hidup?

berapa lama sperma hidup di rahim
Berapa lama sperma hidup di rahim? Ini kitaran hidup sperma dari penghasilan hingga persenyawaan.

Jadi, berapa lama sperma boleh hidup?

Secara umum, sperma boleh hidup antara 3 hingga 5 hari dalam tubuh wanita tapi bergantung pada keadaan.

Dalam keadaan optimum, ada sperma yang mampu bertahan sehingga 7 hari.

Namun, di luar tubuh wanita, jangka hayatnya jauh lebih pendek:

  • Dalam faraj: 1-2 jam jika tiada lendir subur.
  • Dalam rahim & tiub fallopio (waktu subur): 3-5 hari.
  • Dalam persekitaran tidak mesra sperma (kering, berasid): mati dalam beberapa minit.

Inilah sebab kenapa waktu subur wanita sangat penting dalam menentukan peluang hamil. Sperma perlukan persekitaran yang betul untuk terus hidup dan berenang menuju ovum.

Berapa Lama Sperma Hidup di Rahim?

Ini soalan paling popular yang ramai wanita selalu tanya, terutamanya bila tengah gigih kira waktu subur (ovulation). Nak tahu tak, perjalanan sperma nak sampai ke rahim ni ibarat larian marathon yang sangat sengit!

Secara puratanya, ini ketahanan sperma selepas ‘dilepaskan’:

  • Bila waktu subur: Dalam persekitaran yang mesra sperma, benih suami boleh bertahan 3 hingga 5 hari, malah kadang-kadang sampai 7 hari kalau cecair serviks wanita betul-betul subur dan berkualiti!
  • Bila luar waktu subur: Kalau persekitaran rahim agak berasid atau tak ada lendir subur, sperma boleh tewas dan mati dalam masa beberapa jam sahaja.

Uniknya, walaupun berjuta-juta sperma yang masuk ‘berlumba’, akhirnya hanya 1 sperma bertuah sahaja yang akan berjaya tembus dan selesaikan misi persenyawaan dengan ovum. Yang lain? Semua tewas di tengah jalan sepanjang laluan rahim tu!

Berapa Lama Sperma Berjalan Menuju Rahim?

Selepas ejakulasi, berjuta-juta sperma dilepaskan ke dalam faraj.

Daripada situ, mereka mula perjalanan menuju serviks, masuk ke rahim, dan akhirnya ke tiub fallopio tempat ovum menunggu.

Yang luar biasanya, sperma boleh sampai ke rahim seawal 5 hingga 10 minit selepas ejakulasi!

Tapi, tak semua sperma mampu “survive” perjalanan ini.

Asid dalam faraj dan halangan di serviks menyebabkan banyak sperma mati sebelum sampai ke rahim.

Sebab itu, lendir serviks waktu subur memainkan peranan penting untuk menjadikan “jalan licin” dan pelindung bagi sperma untuk berenang lebih jauh tanpa mati cepat.

Berapa Lama Sperma Hidup di Udara Terbuka?

Bagi yang tertanya, berapa lama sperma hidup di udara terbuka?

Jawapannya sangat sekejap!

Sperma tak boleh hidup lama di luar tubuh kerana ia memerlukan suhu dan kelembapan tertentu.

Bila terkena udara, air mani cepat kering dan sperma akan mati dalam beberapa minit sahaja.

Contohnya:

  • Di atas kulit atau tangan: sperma mati sebaik air mani kering.
  • Di dalam air (mandi atau kolam): sperma mati kerana suhu dan bahan kimia seperti klorin.

Maknanya, peluang untuk hamil melalui sperma yang terdedah di luar badan hampir mustahil.

Jangka Hayat Sperma XY

Setiap sperma membawa kromosom sama ada X (perempuan) atau Y (lelaki).

Menariknya, sperma Y (lelaki) lebih laju tapi lebih cepat mati, manakala sperma X (perempuan) lebih lambat tapi lebih tahan lama.

  • Sperma Y: Bergerak laju tapi jangka hayat lebih pendek (1–2 hari).
  • Sperma X: Bergerak perlahan tapi boleh hidup lebih lama (hingga 5 hari).

Sebab itu, teori lama mengatakan kalau nak anak lelaki, hubungan intim sebaiknya dilakukan dekat hari ovulasi (supaya sperma Y sempat sampai).

Kalau nak anak perempuan, hubungan dilakukan beberapa hari sebelum ovulasi (bagi peluang sperma X bertahan).

Sel Telur Wanita Bertahan Berapa Hari?

berapa lama sperma hidup di rahim
Sel telur wanita bertahan berapa hari?

Selain jangka hayat sperma dan berapa lama sperma hidup di rahim, ramai juga tertanya sel telur wanita bertahan berapa hari?

Selepas ovulasi (telur dilepaskan dari ovari), ovum hanya mampu bertahan 12 hingga 24 jam sahaja.

Kalau dalam masa itu tiada sperma yang berjaya menembusi, ovum akan mati dan haid akan datang selepas dua minggu.

Jadi, untuk peluang kehamilan terbaik, hubungan sebaiknya dilakukan 1-2 hari sebelum ovulasi, sebab sperma masih boleh “menunggu” ovum yang baru dilepaskan.

Percantuman Sperma dan Ovum Membentuk Apa?

Bila satu sperma berjaya menembusi ovum, berlakulah proses persenyawaan atau dalam bahasa biologi disebut fertilisasi.

Hasil percantuman sperma dan ovum membentuk zigot, iaitu sel pertama yang mengandungi gabungan DNA ibu dan ayah.

Zigot inilah yang akan membahagi dan bergerak ke rahim untuk menempel pada dinding rahim dan dari situlah bermulanya kehamilan.

Jangka Hayat Sperma dan Ovum

Kalau dibandingkan, jangka hayat sperma dan ovum memang sangat berbeza.

Sperma boleh hidup antara 3 hingga 5 hari, manakala ovum cuma 12-24 jam.

Itulah sebabnya, waktu subur wanita memainkan peranan penting dalam menentukan peluang hamil.

Kalau ovum dikeluarkan pada masa yang sama sperma masih hidup, peluang kehamilan sangat tinggi.

Contoh mudah:

  • Jika bersama 2 hari sebelum ovulasi, sperma masih hidup dan menunggu ovum.
  • Jika bersama selepas ovulasi (lebih 24 jam), peluang kehamilan menurun kerana ovum sudah mati.

Kesimpulan

berapa lama sperma hidup di rahim
Jika anda dan pasangan tertanya-tanya berapa lama sperma hidup di rahim untuk hamil, jangan stres, sebaliknya rujuk terus ke doktor.

Secara keseluruhan, berapa lama sperma hidup di rahim bergantung pada banyak faktor: daripada kesihatan sperma, persekitaran rahim, hingga waktu subur wanita.

Rata-rata sperma mampu bertahan 3 hingga 5 hari, dan ada yang boleh hidup hingga seminggu dalam keadaan optimum.

Sementara itu, ovum hanya bertahan 24 jam, jadi pemahaman tentang masa ovulasi sangat penting untuk meningkatkan peluang kehamilan.

Jika anda dan pasangan sedang berusaha mendapatkan zuriat, jangan stres.

Amalkan gaya hidup sihat, kawal emosi, jaga berat badan, dan lakukan hubungan mengikut kitaran subur.

Nak tahu bila waktu subur terbaik untuk bersama dan cara semula jadi tingkatkan peluang kehamilan?

Ikuti laman kami untuk tip kesuburan, panduan wanita & fakta menarik tentang tubuh anda.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. How long do sperm live after ejaculation?
  2. Sperm
  3. Conception: How It Works
  4. Pregnancy - identifying fertile days
  5. Here’s how long it takes sperm to reach the egg after sex
  6. How Long Does Sperm Live in a Woman’s Body After Intercourse?
  7. Masalah Kesuburan dalam Kalangan Suami
  8. Kesuburan Suami

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.