Ramai ingat haid ni pasal pendarahan, senggugut dan tukar tuala wanita je setiap bulan. Tapi sebenarnya, kitaran haid mencerminkan kesihatan dalaman merangkumi tahap hormon sampailah bab kesuburan.
Hakikatnya, ramai wanita cuma mula ambil perhatian bila haid mula tak teratur atau masa mula merancang untuk hamil (TTC). Padahal mengambil tahu corak haid sejak awal sangat penting untuk kesihatan jangka panjang.
Kalau tengah ikhtiar hamil, memang kena faham betul-betul kitaran ni. Senang sikit nak anggar bila waktu subur. Kitaran yang sekejap singkat, sekejap terlalu panjang ni selalunya tanda ada gangguan pada sistem reproduktif.
Apa Itu Kitaran Haid Normal?
Kitaran haid normal adalah perubahan semula jadi yang berlaku setiap bulan dalam tubuh wanita. Ia bermula dari hari pertama darah haid keluar sehingga ke hari sebelum haid seterusnya.
Kitaran haid normal berapa hari? Secara amnya, kitaran haid yang normal untuk seseorang wanita adalah antara 21 hingga 35 hari dengan purata kebiasaannya sekitar 28 hari.
Kitaran ini dikira bermula dari hari pertama darah haid keluar sehingga sehari sebelum haid yang berikutnya, manakala tempoh pendarahan itu sendiri biasanya berlangsung selama 3 hingga 7 hari.
Sepanjang kitaran ini badan wanita melalui beberapa fasa penting iaitu:
Hari 1-5: Fasa Haid
Ini masa darah haid keluar. Lapisan dinding rahim yang tidak digunakan akan luruh. Biasanya berlangsung 3 hingga 7 hari.
Kitaran Haid Normal Hari 6-14: Fasa Folikel
Hormon estrogen meningkat, rahim mula bina semula lapisan dinding baru. Pada masa yang sama, telur dalam ovari mula berkembang.
Hari 14: Ovulasi
Telur matang dilepaskan. Inilah waktu paling subur. Kalau bersama dengan pasangan tanpa perlindungan pada ketika ini, peluang untuk hamil sangat tinggi.
Hari 15-28: Fasa Luteal
Rahim bersedia untuk terima janin. Kalau tiada persenyawaan berlaku, lapisan rahim akan luruh dan bermulalah haid seterusnya.
Jadi kitaran haid normal wanita bukan sekadar darah haid keluar tiap bulan tapi perjalanan hormon dan tubuh yang saling bekerjasama.

Tempoh Kitaran Haid Normal Wanita
Bila bercakap pasal kitaran haid normal, ia sebenarnya bergantung pada dua benda: panjang kitaran penuh dan berapa hari darah keluar.
- Panjang Kitaran (Cycle Length). Julat biasa selalunya antara 21 hingga 35 hari. Contohnya, kalau hari pertama haid anda adalah 1 Januari, period seterusnya dijangka antara 22 Januari hingga 4 Februari. Selagi masih dalam frame ni, kira okay lagi.
- Tempoh Darah Keluar (Period Length). Kebiasaannya darah haid keluar dalam 3 ke 7 hari. Tapi kalau jenis yang keluar 2 hari je setiap bulan, itu dikira agak singkat. Sebaliknya kalau berlanjutan lebih 10 hari, mungkin ada petanda yang tak kena.
Variasi Yang Masih Normal
- Ada wanita yang kitaran dia memang sharp 28 hari tiap bulan.
- Ada yang bulan ni 30 hari, bulan depan 27 hari. Yang ini pun masih normal.
- Yang penting, jarak dia tak terlalu jauh dari kebiasaan.
Kitaran Haid Normal Dalam Islam
Dalam Mazhab Syafi’i, penetapan tempoh haid dan kitaran suci adalah berdasarkan kajian (istiqra’) yang dilakukan oleh Imam Syafi’i. Standard tempoh haid dan kitaran normal mengikut fiqh Islam:
1. Tempoh Pendarahan Haid (Muddah al-Haid)
- Minimum (Paling Sedikit): 1 hari 1 malam (24 jam). Darah mestilah keluar secara berterusan atau berkala yang jika dicampur jumlah jamnya mencukupi sekurang-kurangnya 24 jam dalam tempoh 15 hari. Jika kurang daripada 24 jam, ia dikira darah Istihadhah (darah penyakit).
- Kebiasaan (Normal): 6 hingga 7 hari.
- Maksimum (Paling Lama): 15 hari 15 malam. Jika darah keluar melebihi 15 hari, pendarahan selepas hari ke-15 dikira Istihadhah.
2. Tempoh Suci Antara Dua Haid (Muddah al-Tuhr)
- Minimum (Paling Sedikit): 15 hari 15 malam. Jarak antara hari terakhir haid terdahulu dan hari pertama haid berikutnya mestilah sekurang-kurangnya 15 hari penuh.
- Kebiasaan (Normal): 23 hingga 24 hari (mengikut baki hari dalam sebulan selepas ditolak 6-7 hari haid).
- Maksimum (Paling Lama): Tiada had. Sesetengah wanita mungkin tidak datang haid berbulan-bulan atau bertahun-tahun (seperti ketika hamil, menyusu atau putus haid/ menopause).
Bagaimana Nak Tahu Kitaran Haid Normal?
Tidak semua wanita sama. Namun ada beberapa ciri penting yang biasanya menunjukkan haid normal.
1. Tempoh Kitaran Teratur
Normalnya antara 21 hingga 35 hari. Kalau kitaran anda sentiasa pendek sangat atau terlalu panjang mungkin ada gangguan hormon.
2. Jumlah Darah Keluar
Secara purata darah haid yang keluar adalah sekitar 2 hingga 5 pad penuh sehari (bersamaan 30-80 ml sepanjang tempoh haid). Jika darah keluar terlalu sedikit atau terlalu banyak hingga kerap bocor sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor.
3. Tempoh Pendarahan Kitaran Haid Normal
Kebanyakan wanita alami 3 hingga 7 hari. Kalau lebih daripada itu secara konsisten ia mungkin tanda ada masalah kesihatan.
4. Simptom Biasa Yang Masih Normal
Senggugut ringan, payudara tegang atau perubahan mood adalah biasa. Tapi kalau sakit melampau sampai tak boleh buat kerja harian itu tak lagi dianggap normal.
Memahami ciri kitaran haid normal penting supaya kita dapat bezakan antara yang normal dan yang perlu diberi perhatian.

Faktor Yang Mempengaruhi Kitaran Haid Wanita
Kitaran haid boleh dipengaruhi banyak perkara. Kadang-kadang bukan sebab penyakit pun tapi kerana gaya hidup.
1. Hormon Tidak Stabil
Remaja baru baligh dan wanita menghampiri menopaus biasanya alami hormon tak stabil. Itu sebab haid mereka kadang-kadang tak tetap.
2. Tekanan & Stres
Stres boleh ganggu otak yang kawal hormon. Bila terlalu tertekan, kitaran haid boleh jadi tak teratur.
3. Berat Badan & Pemakanan
Obesiti atau terlalu kurus sama-sama boleh ganggu ovulasi. Diet tinggi gula atau kurang nutrisi juga beri kesan pada kitaran.
4. Ubat & Kontraseptif
Pil perancang, suntikan hormon atau ubat tertentu boleh buat haid datang awal, lambat atau lebih sedikit.
5. Masalah Kesihatan
Keadaan seperti PCOS (Polycystic Ovary Syndrome), fibroid atau masalah tiroid boleh mengganggu kitaran haid normal wanita.
Simptom Haid Yang Bahaya
Dr. Norul Asyiqin berkongsi 3 tanda amaran haid berbahaya yang wajib setiap wanita ambil tahu iaitu:

1. Senggugut Terlalu Sakit: Senggugut terasa sangat teruk. Ubat tahan sakit pun tidak berkesan. Masalah ini berlarutan lebih daripada 2 hingga 3 hari yang menyebabkan anda tidak boleh buat kerja harian.
2. Darah Keluar Sangat Banyak: Pendarahan terlalu banyak hingga anda perlu tukar pad setiap 2 jam. Masalah pendarahan banyak ini juga berlanjutan melebihi 7 hari.
3. Tempoh Haid Terlalu Panjang: Tempoh haid berlanjutan melebihi 15 hari. Malah, ada yang berlarutan sehingga sebulan.
Jika anda atau orang terdekat mengalami tanda-tanda ini, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Normalkah Cirit Birit Ketika Haid?
Pernah rasa kerap buang air besar atau cirit-birit waktu haid? Dr. Muhammad Izzat menjelaskan fenomena ini yang dikenali sebagai period poops.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh prostaglandin. Bahan ini meluruhkan dinding rahim tetapi dalam masa sama membuatkan usus bergerak lebih laju. Sebab itulah wanita yang kerap sembelit pun boleh jadi lawas sewaktu haid.
Namun ia tidak normal jika senggugut terlampau sakit hingga terpaksa mengambil cuti sakit (MC). Rasa sakit melampau semasa membuang air besar juga merupakan tanda amaran yang tidak boleh diabaikan.
Gejala ini mungkin menandakan risiko endometriosis. Sekiranya anda mengalaminya, segeralah berjumpa doktor pakar sakit puan (gynae) untuk pemeriksaan lanjut.
Cara Menjaga Kitaran Haid
Tubuh wanita sangat responsif dengan gaya hidup. Jadi ada beberapa perkara mudah yang boleh dilakukan untuk bantu mengekalkan kitaran haid normal.
1. Amalkan Pemakanan Seimbang
Ambil banyak sayur, buah, protein sihat seperti ikan dan ayam. Kurangkan makanan bergula dan berlemak tinggi. Zat besi sangat penting untuk ganti darah yang hilang.
2. Jaga Berat Badan Ideal
Obesiti dan terlalu kurus boleh ganggu keseimbangan hormon. Cuba kekalkan berat badan pada paras sihat.
3. Kawal Stres
Stres kronik boleh menyebabkan haid tak teratur. Cuba teknik relaksasi seperti yoga, meditasi atau sekadar luangkan masa untuk diri sendiri.
4. Tidur Cukup
Tidur 7-8 jam sehari membantu tubuh menghasilkan hormon dengan lebih seimbang.
5. Catat Kitaran Haid
Gunakan aplikasi period tracker atau kalendar manual. Bila anda tahu pola kitaran sendiri lebih mudah kesan perubahan.

Kitaran Haid Tidak Normal
Kitaran haid tidak normal merujuk kepada corak pendarahan yang lari daripada julat biasa. Contohnya, tempoh kitaran kurang 21 hari atau melebihi 35 hari. Ia juga termasuk pendarahan yang melebihi 15 hari.
Malah darah yang terlalu sedikit atau terlalu banyak hingga kerap bocor turut dikira tidak normal. Masalah ini kerap berpunca daripada ketidakseimbangan hormon.
Selain itu, ia boleh berpunca daripada masalah PCOS, fibroid atau masalah tiroid. Faktor gaya hidup juga memainkan peranan. Antaranya termasuklah tekanan emosi dan perubahan berat badan yang mendadak.
Dari sudut Mazhab Syafi’i, pendarahan melebihi 15 hari 15 malam dikira darah Istihadhah. Darah ini dianggap sebagai darah penyakit. Wanita yang mengalaminya wajib terus bersolat dan berpuasa.
Anda hanya perlu bersuci dan mengambil wuduk baharu setiap kali masuk waktu solat fardu
Kesimpulan
Secara ringkas, kitaran haid normal biasanya 21 hingga 35 hari dengan darah keluar 3 sehingga 7 hari. Ia dipengaruhi hormon, stres, gaya hidup dan kesihatan dalaman.
Fahami tubuh anda, catat pola kitaran dan jangan teragak-agak jumpa doktor jika ada tanda pelik. Ingat, setiap wanita berbeza tapi menjaga kesihatan boleh bantu memastikan kitaran haid normal wanita lebih stabil.
Jangan ambil ringan soal haid. Kalau anda rasa kitaran haid anda sering berubah atau ada masalah, dapatkan pemeriksaan doktor lebih awal.
Kongsi artikel ini dengan kawan-kawan wanita anda, biar semua lebih peka tentang kesihatan reproduktif!
8 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.