Masa mula-mula doktor beritahu baby ada G6PD, mesti ibu terkejut dan terus panik, kan? Mana taknya, nak makan apa-apa pun rasa serba salah bila fikir pasal breastfeeding. Risau kalau terlepas pandang, tak sengaja makan benda yang buat sel darah merah anak senang pecah.

Sebenarnya, ibu tak perlu lah stres sangat. Walaupun baby G6PD ni ekstra sensitif, ibu masih boleh menyusu bayi macam biasa cuma kena tahu sikit pantang larangnya.

Jom, kita semak apa yang boleh, apa kena elak, sampai ke cadangan menu harian yang selamat untuk ibu dan anak!

Bayi G6PD Ini Apa Sebenarnya?

Apa maksud g6pd baby?

Bila doktor cakap baby ada G6PD, maksudnya badan dia kurang satu jenis enzim yang tugasnya jaga sel darah merah daripada cepat “rosak” atau pecah (hemolisis).

Kebanyakannya dikesan masa ujian darah sejurus lepas bayi lahir. Benda ni biasa sangat kat Malaysia, terutamanya baby lelaki. Jangan risau, baby g6pd tetap sihat cuma darah mereka cepat sensitif sikit.

Punca Bayi Boleh Dapat G6PD?

pantang larang ibu menyusu bayi g6pd
Bayi lelaki lebih kerap mengalami G6PD berbanding bayi perempuan.

Jangan salahkan diri sendiri! Bayi g6pd bukan sebab ibu tak jaga makan masa pregnant tau. Punca utamanya memang faktor genetik yang turun ikut kromosom X. Sebab tu lah anak lelaki lebih senang dapat g6pd.

Bila enzim ni kurang, sel darah merah bayi boleh kacau-bilau kalau terdedah pada trigger (pencetus) seperti:

  • Kacang parang (fava beans) – ni musuh utama!
  • Ubat gegat atau bahan kimia berbau tajam.
  • Ubat-ubatan tertentu (contohnya ubat demam/malaria spesifik).

Untuk yang tengah breastfeeding, ingat tau… apa yang masuk dalam mulut mak, sikit sebanyak boleh sampai pada baby melalui susu. Jadi, bab makan untuk ibu menyusu kena waspada sikit!

Sebab itu penting untuk ibu faham tentang pantang larang ibu menyusu bayi g6pd.

G6PD pada Bayi Perempuan

Walaupun kes ni jarang, tapi bayi perempuan juga boleh menghidap G6PD.

Bezanya, mereka mungkin lebih “mild” sebab ada dua kromosom X. Jadi kalau satu ada mutasi, yang satu lagi boleh cover sikit.

Tapi jangan ambil ringan, kerana bayi perempuan dengan G6PD pun tetap berisiko alami hemolisis jika terdedah pada pencetus.

Kelebihan G6PD pada Bayi

Menariknya, ada juga kelebihan kalau bayi ada G6PD.

Kajian menunjukkan individu dengan G6PD deficiency lebih kebal terhadap malaria.

Sebab itulah penyakit ini lebih banyak berlaku di kawasan Asia, Afrika, dan Mediterranean. Ia seperti satu bentuk perlindungan semula jadi terhadap malaria.

Pantang Larang Ibu Menyusu Bayi G6PD

pantang larang ibu menyusu bayi g6pd
Pantang larang ibu menyusu bayi G6PD.

Bahagian paling penting, apa yang ibu kena elakkan bila menyusu bayi G6PD?

Antara pantang larang yang perlu diberi perhatian:

  1. Elakkan kacang parang (fava beans). Ini pencetus paling kuat hemolisis.
  2. Jangan ambil ubat tanpa rujuk doktor, walaupun sekadar ubat demam atau selesema.
  3. Hindari herba atau jamu tidak jelas kandungan. Sesetengahnya ada bahan aktif yang boleh jadi pencetus.
  4. Jangan guna ubat gegat atau bahan kimia kuat di rumah. Baunya boleh beri kesan pada bayi.
  5. Kurangkan makanan tinggi pewarna dan bahan pengawet, lebih selamat kalau pilih makanan semula jadi.

Ingat, pantang larang ibu menyusu bayi g6pd ini bukan sekadar untuk kesihatan ibu, tapi untuk keselamatan bayi yang menyusu susu badan.

Makanan & Ubat Dilarang vs Selamat untuk Bayi G6PD

KategoriDilarang / BerisikoSelamat / Disyorkan
MakananKacang parang (fava beans), makanan berpewarna tiruan, makanan bergasBuah-buahan segar, sayur-sayuran, nasi, ayam, ikan segar
UbatAspirin, ubat malaria (chloroquine, primaquine), sulfonamides, dapsone, nitrofurantoinParacetamol (untuk demam/sakit ringan), ubat yang diluluskan doktor
Bahan KimiaUbat gegat, bahan pencuci kuat berklorinSabun bayi lembut, pencuci tanpa bahan kimia keras
MinumanMinuman berkafein tinggi, minuman berkarbonatAir kosong, susu ibu, susu formula yang sesuai
Susu FormulaSusu mengandungi soya berlebihan tanpa nasihat doktorSusu lembu biasa, susu hypoallergenic, susu bebas laktosa (ikut nasihat doktor)

Contoh Menu Harian Selamat untuk Ibu Menyusu Bayi G6PD

Berikut cadangan menu ringkas yang selamat dan seimbang untuk ibu menyusu bayi G6PD:

  • Sarapan: Nasi lemak versi sihat (nasi putih, ikan bilis goreng tanpa MSG, timun, telur rebus)
  • Snek pagi: Buah potong segar (pisang, betik, epal)
  • Makan tengah hari: Nasi, ikan stim halia, sayur sawi tumis bawang putih, sup ayam
  • Snek petang: Roti gandum dengan sapuan mentega kacang tanpa fava beans atau keju
  • Makan malam: Nasi putih, ayam bakar kunyit, ulam timun, sambal belacan sederhana
  • Minuman harian: Air kosong, susu ibu/ susu formula sesuai, teh herba tanpa kafein

Menu ini bukan saja selamat untuk bayi G6PD, malah bantu ibu kekal bertenaga untuk menyusukan bayi.

Risikonya Kalau Terlepas Pandang Pantang Larang

Tiba-tiba terlepas makan kacang atau terguna ubat yang tak sepatutnya? Ibu jangan lekas panik, tapi sebaiknya ibu kena cepat-cepat peka dengan respon badan bayi. Bila pencetus ni masuk dalam badan baby, sel darah merah mereka boleh pecah secara mendadak.

Antara tanda atau kesan yang biasa jadi kalau “terlanggar” pantang:

  • Kuning naik mendadak (Jaundis) – Bacaan bilirubin tiba-tiba melonjak tinggi, sampai kulit dan putih mata baby nampak makin kuning.
  • Muka pucat & lesu – Baby nampak tak bermaya dan kurang aktif sebab badan kekurangan sel darah merah (anemia).
  • Kencing warna gelap – Warna air kencing boleh jadi macam air teh pekat atau ‘cola’.
  • Komplikasi organ – Kalau biar berlarutan tanpa rawatan hospital, ia boleh beri tekanan teruk pada buah pinggang bayi.

Sebab tu doktor memang pesan sangat-sangat kat mak-mak menyusu supaya extra berhati-hati. Kalau perasan baby mula lain macam, terus bawa jumpa doktor ya!

Awas! Ubat Alahan & Antibiotik untuk Ibu Menyusu

pantang larang ibu menyusu bayi g6pd
Dapatkan nasihat doktor sebelum ibu menyusu mengambil sebarangan ubat jika bayi ada G6PD.

Berikut antara senarai ubat alahan G6PD yang biasa dikaitkan dengan risiko untuk bayi G6PD:

  • Aspirin.
  • Ubat malaria (chloroquine, primaquine).
  • Sulfonamides (ubat antibiotik tertentu).
  • Dapsone.
  • Nitrofurantoin.

Tips penting: Setiap kali nak beli ubat kat klinik atau farmasi, ayat pertama kena cakap kat pharmacist tu: “Saya menyusukan baby G6PD ya!”. Jadi, mereka akan tapis ubat yang betul-betul selamat untuk ibu menyusu bayi g6pd.

Pilihan Susu Formula Selamat untuk Baby G6PD

Tak semua ibu dapat menyusu badan sepenuhnya atas pelbagai faktor. Jadi, untuk ibu yang berikan susu formula buat bayi g6pd, ini pantang larang yang perlu dipatuhi. Bab pilih susu formula untuk baby G6PD ni, ibu kena extra rajin sikit baca label belakang tin.

Susu lembu biasa sebenarnya tak ada masalah untuk anak g6pd, tapi ada beberapa jenis yang kena perhati betul-betul:

  • Susu Berasaskan Lembu Biasa. Secara umumnya selamat, cuma elakkan yang ada campuran soya berlebihan.
  • Susu Bebas Laktosa (Lactose-Free). Sesuai kalau baby ada masalah perut kembung atau cirit-birit.
  • Formula Hypoallergenic. Biasanya dipreskripsi kalau baby ada alahan teruk pada protein susu lembu.

Peringatan mesra: Elakkan bagi susu kambing segar atau susu lembu segar biasa terus kat baby ya. Seeloknya, tanya dulu pada pakar pediatrik sebelum decide nak tukar atau beli susu formula baru. Kesihatan perut si manja anda tetap nombor satu!

Kesimpulan

Pantang larang ibu menyusu bayi g6pd mungkin nampak rumit pada awalnya, tapi sebenarnya ia lebih kepada gaya hidup sihat dan berhati-hati.

Kuncinya ialah elak makanan dan ubat berisiko, pilih menu harian yang seimbang, serta dapatkan nasihat doktor bila perlu.

Dengan penjagaan betul, bayi G6PD boleh membesar sihat dan aktif sama seperti bayi lain.

Jika anda ibu baru dengan bayi G6PD, jangan risau berlebihan. Catat senarai pantang larang, ikut menu selamat, dan sentiasa berbincang dengan doktor.

Kesedaran dan disiplin anda ialah perlindungan terbaik untuk si manja.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

10 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. G6PD Deficiency
  2. G6PD Deficiency & Breastfeeding
  3. G6PD deficiency
  4. Glucose-6-phosphate dehydrogenase deficiency
  5. Choosing the right milk for children with g6pd deficiency
  6. Fava Beans
  7. G6PD Deficiency (Children)
  8. Masalah G6PD Dikalangan Bayi
  9. MANAGEMENT OF NEONATAL JAUNDICE
  10. Kekurangan G6PD

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.