Sampai satu tahap, memang ibu kena terima hakikat yang fasa menyusukan anak ni akan berakhir juga. Ada ibu yang terpaksa ‘wean-off’ anak sebab tuntutan kerja, anak dah makin membesar, atau masalah kesihatan diri sendiri. Tapi percaya lah, nak stop susu badan tak semudah “hari ni cakap nak stop, esok terus tak bagi”.

Kalau buat cara mengejut, memang naya diri. Silap-silap boleh bentan, bengkak susu sampai demam, atau kena jangkitan mastitis yang sakitnya tuhan je yang tahu. Emosi kita dan anak pun boleh rapuh kalau tak kena caranya.

Sebab tu dalam artikel kali ni, kami nak kongsi tip penting untuk stop susu secara selamat. Bukan setakat petua tradisional dan ubat farmasi yang boleh bantu, tapi kami ada juga selitkan panduan khusus buat ibu-ibu hebat yang terpaksa lalui proses keringkan susu selepas keguguran. Jom kita sembang lanjut!

Penafian: Kandungan ini disediakan untuk tujuan maklumat dan perkongsian sahaja, dan tidak bertujuan untuk menggantikan nasihat, diagnosis, atau rawatan perubatan profesional.

Kenapa Ada Ibu Nak Hentikan Susu Badan?

Setiap ibu ada sebab tersendiri kenapa mereka nak berhenti menyusukan anak.

Antara sebab paling biasa termasuk:

  • Anak dah mencapai usia 2 tahun.
  • Ibu perlu kembali bekerja dan sukar pam di tempat kerja.
  • Susu semakin berkurang secara semula jadi.
  • Masalah kesihatan yang perlukan ubat tertentu.
  • Kehamilan semula dan perlu fokus pada kandungan baru.

Apa pun sebabnya, proses cara hentikan susu badan mesti dilakukan dengan sabar.

Jangan berhenti secara mengejut sebab itu boleh menyebabkan rasa sakit, bengkak, atau tekanan emosi pada ibu. Selain tu, anak pun akan rasa kesannya.

Langkah Berperingkat Cara Hentikan Susu Badan Naturally

cara hentikan susu badan
Gunakan pakaian yang menutup dada sepenuhnya jika ibu bercadang untuk wean-off.

Jangan sekali-kali paksa berhenti secara mengejut kalau tak nak pening kepala. Cara terbaik adalah buat slow-slow, bagi masa untuk badan kita dan emosi anak bersedia.

Nah, ini antara langkah yang ibu boleh cuba:

  1. Kurangkan sesi penyusuan secara berperingkat setiap hari.
    Jangan terus ‘cut’ semua. Kalau baby biasa menyusu lima kali sehari, cuba kurangkan jadi empat kali dulu untuk beberapa hari. Bila nampak anak okay, baru kurangkan lagi dan lagi.
  2. Alih perhatian bila anak mula ‘minta’.
    Bila dia start merengek nak susu, cepat-cepat ajak dia main mainan kegemaran, bagi biskut, atau peluk dia erat-erat. Kadang-kadang budak cuma rindu nak bermanja dengan mak je.
  3. Fokus sesi siang dulu.
    Sesi malam atau sebelum tidur selalunya paling susah nak lepas sebab anak dah terbiasa jadikan susu sebagai ‘umpan’ untuk tidur. Jadi, setelkan skip penyusuan untuk sesi siang dulu.
  4. Pakai baju yang menutup dada sepenuhnya.
    Cuba pakai baju leher tinggi atau yang tiada butang depan. Bila ‘sumber’ terlindung, anak pun kurang teringat nak menyusu.

Proses ni memang makan masa berminggu-minggu, tapi cara ni paling kurang stres untuk kita dan anak.

Tips Survive Cerai Susu Waktu Malam

Tanya lah mana-mana ibu pun, fasa paling mengheret emosi mesti waktu nak stop susu time malam (night weaning). Masa ni lah anak paling sensitif, asyik nak berkepit, dan susah sangat nak lelap tanpa ‘nenen’.

Tapi jangan risau, ibu boleh cuba taktik ni:

  • Minta bantuan pasangan.
    Bila anak terjaga tengah malam, minta papa yang tolong dodoi atau tepuk dahi anak. Kalau bau ibu ada dekat sebelah, memang makin kuatlah dia melalak nak susu.
  • Tukar rutin tidur.
    Cuba ubah suasana bilik. Buka lampu tidur yang malap, pasang zikir atau lullaby tenang, dan peluk anak rapat-rapat. Biar dia tahu yang dia masih boleh tidur lena walau tanpa menyusu.
  • Beri minuman suam sebelum tidur.
    Sebelum masuk bilik, bagi anak minum susu formula dalam botol/cawan atau air suam sikit. Bila perut dia dah penuh, kuranglah sikit episod terjaga tengah malam sebab lapar.
  • Kena kental dan konsisten.
    Minggu pertama memang mencabar. Tapi percayalah, masuk minggu kedua, anak akan mula faham yang ‘kilang’ dah tutup waktu malam. Ibu kena kuat ya!

Ubat Keringkan Susu Badan Di Farmasi

Kalau susu masih keluar walaupun dah berhenti menyusu, ibu boleh pertimbangkan ambil ubat keringkan susu sebagai cara hentikan susu badan ibu.

Ada beberapa jenis ubat stop susu badan di farmasi yang boleh bantu, tapi elakkan ambil tanpa nasihat doktor.

Antara contoh ubat yang biasa digunakan (atas preskripsi doktor) ialah:

  • Cabergoline – bantu kurangkan hormon prolaktin yang hasilkan susu.
  • Bromocriptine – ubat lama tapi masih digunakan dalam kes tertentu.

Selain ubat moden, ibu juga boleh cuba cara semula jadi hentikan susu badan:

  • Minum air suam dengan kerap.
    Jangan kurangkan air terlalu drastik sebab boleh sebabkan dehidrasi.
  • Letak ais atau tuala sejuk pada payudara.
    Ini bantu kurangkan bengkak dan aliran susu.
  • Pakai bra yang menyokong tapi tidak terlalu ketat.
    Sokongan yang betul bantu kurangkan ketidakselesaan.

Kalau masih sakit atau bengkak berpanjangan, segera jumpa doktor.

Kadang-kadang ada jangkitan atau mastitis yang perlukan rawatan.

Petua Tradisional Keringkan Susu Badan

cara hentikan susu badan
Cara tradisional hentikan susu badan.

Selain cari ubat di klinik, ramai ibu sebenarnya lebih selesa amalkan petua orang tua-tua untuk surutkan susu. Bahan pun jenis yang mudah cari dekat dapur je.

Kalau payudara dah mula rasa tegang dan berdenyut, boleh cuba helah tradisional ni:

  • Tekap daun kubis sejuk.
    Ni antara petua paling popular dan menjadi. Ambil daun kubis, simpan dalam peti ais kejap, kemudian tekap pada payudara sampai daun tu layu. Rasa sejuk tu memang best sangat buat reda bengkak susu.
  • Minum air rebusan herba.
    Ada ibu yang serasi minum air rebusan jintan manis atau pegaga untuk bantu surutkan susu dari dalam. Tapi ingat, minum sikit-sikit saja dan jangan amalkan selalu. Takut kalau ibu dah ‘lekat’ lagi.
  • Elakkan makanan ‘penggalak susu’.
    Buat sementara waktu ni, tolong ‘puasa’ dulu daripada makan oat, kurma, halba, atau minum susu soya. Makanan ni semua ejen penghasilan susu, nanti lambat pula ‘kilang’ nak tutup.
  • Urutan lembut.
    Kalau rasa dada terlalu padat, urut lembut secara membulat arah ke ketiak untuk kurangkan rasa ketat. Jangan sesekali picit atau perah kuat-kuat, nanti badan ingat anak tengah menyusu dan susu akan makin rancak keluar.

Petua tradisional ni boleh dicuba bersama kaedah moden, asalkan tidak memudaratkan si ibu dan anak.

Selingan: Ibu ini meminta pandangan untuk bercerai susu badan di sosial medianya, Threads:

https://www.threads.com/@szrinaaasuria/post/DOD0tXxE54o/tolong-bagi-tips-nak-wean-off-soon-anak-da-2-yrs-da-mcm-mana-nak-bgithu-dia-tak-?hl=en

Makanan Keringkan Susu Badan

Selain ubat dan petua, pemakanan juga main peranan penting.

Beberapa jenis makanan keringkan susu badan boleh bantu kurangkan pengeluaran susu secara semula jadi.

Antara makanan yang boleh dimasukkan dalam diet termasuk:

  • Daun pudina & sage – dipercayai boleh kurangkan hormon prolaktin.
  • Parsley dan kubis – bantu keringkan susu.
  • Makanan tinggi garam (secara sederhana) – bantu kurangkan cecair badan.
  • Kopi & teh – kafein kadang-kadang boleh bantu keringkan susu, tapi jangan berlebihan.

Walau begitu, pastikan ibu tetap makan makanan berkhasiat supaya badan kekal bertenaga sepanjang proses ni.

Cara Hentikan Susu Badan Selepas Keguguran

cara hentikan susu badan
Daun kubis sejuk dikatakan boleh membantu hentikan susu badan dan melegakan bengkak payudara.

Topik ni agak sensitif, tapi penting untuk disentuh.

Bila berlakunya keguguran, ada ibu yang masih mengalami pengeluaran susu walaupun janin sudah tiada.

Situasi ni boleh jadi menyedihkan dan menyakitkan emosi ibu.

Berikut cara menghentikan susu badan selepas keguguran yang boleh bantu ibu:

  • Elakkan pam atau perah susu.
    Ini boleh merangsang lebih banyak susu keluar.
  • Gunakan ubat keringkan susu badan dengan nasihat doktor.
    Doktor mungkin cadangkan ubat seperti Cabergoline.
  • Gunakan daun kubis sejuk.
    Letakkan pada payudara untuk kurangkan rasa sakit dan bengkak.
  • Sokongan emosi sangat penting.
    Ibu perlu masa untuk pulih, jadi berbual dengan pasangan, ahli keluarga, atau kaunselor boleh membantu proses ni.

Ingat, proses ini akan mengambil masa, jadi beri ruang pada diri sendiri untuk sembuh fizikal dan mental.

Tanda Susu Dah Kering Sepenuhnya

Ramai ibu tertanya-tanya, “Macam mana nak tahu susu dah kering betul?”

Berikut tanda-tanda yang boleh diperhatikan:

  • Payudara tak rasa penuh atau berat lagi.
  • Tiada lagi kebocoran susu.
  • Anak dah tak mencari atau tak minta menyusu.
  • Emosi ibu lebih stabil dan tidak rasa ‘let down reflex’ bila dengar bayi menangis.

Biasanya, proses pengeringan susu sepenuhnya boleh ambil masa antara 1 hingga 3 minggu, bergantung pada badan masing-masing.

Kesimpulan

Nak wean off anak ni memang kena banyak sabar. Tak payah rushing nak keringkan susu dalam sehari dua, biar badan kita berhenti slow-slow. Ibu boleh gabungkan petua kubis sejuk, jaga makan, atau guna bantuan ubat ikut mana yang serasi. Yang penting, buat secara berperingkat biar emosi kita dan anak tak terganggu.

Perjalanan setiap ibu tak sama, jadi tak perlu rasa bersalah kalau fasa menyusu ibu kena berakhir sekarang. Dengar kata badan sendiri, dan kalau ada bengkak teruk sampai demam, terus jumpa doktor ya.

Rasa artikel ni membantu? Jom share dekat grup WhatsApp ibu-ibu yang tengah struggle nak ceraikan susu anak!

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. How to stop breastfeeding
  2. Weaning: A guide for how to stop breastfeeding
  3. Weaning From Breastfeeding
  4. Breastfeeding - deciding when to stop
  5. Weaning
  6. HOW DO I WEAN MY BABY?
  7. Panduan Penyusuan Susu Ibu

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.