Bila anak asyik menangis lepas menyusu, mulalah kita stres. “Susu aku ni cukup ke tak?” Persoalan ni selalu sangat buat ibu-ibu yang baru pertama kali menyusu rasa gelisah. Takut sangat tumbesaran baby terjejas kan?
Sebenarnya, normal sangat kalau ada fasa susu rasa macam “drop”. Sebelum ibu buat keputusan untuk cuba ambil suplemen atau milk booster, apa kata tengok dulu barang kat dapur rumah tu. Banyak je galactagogue atau bahan penggalak susu semula jadi yang murah dan senang nak dapat.
Daripada lobak merah, kurma sampai ke sup lobak putih, semuanya boleh bantu merangsang semula penghasilan susu badan. Yang penting, ibu kena konsisten dan jangan stres-stres.
Kenapa Susu Ibu Penting?
Susu ibu dikenali sebagai “emas cair” kerana khasiatnya terlalu banyak. Ia lengkap dengan antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan, penuh dengan vitamin dan mineral serta sesuai dengan perut bayi yang masih kecil dan sensitif.
Bayangkan, setiap kali ibu menyusukan anak, bukan sahaja bayi dapat zat terbaik malah hubungan emosi antara ibu dan anak juga semakin erat. Bila susu badan terasa kurang, ibu biasanya akan cepat risau. Jangan sedih, ini perkara biasa.
Selain faktor hormon dan kekerapan menyusu, pemakanan juga memainkan peranan besar. Pemilihan makanan untuk banyakkan susu badan semasa berpantang boleh menjadi game changer. Dengan makanan yang betul, susu lebih lancar, bayi lebih kenyang, ibu pun rasa lebih yakin.
Makanan Banyakkan Susu Badan
Berikut beberapa jenis makanan banyakkan susu badan yang boleh ibu amalkan ketika berpantang:
1. Kurma & Kismis
Kaya dengan gula semula jadi (fructose) yang cepat diserap untuk memberi tenaga segera apabila ibu keletihan. Pengambilan kurma sebagai pilihan makanan banyakkan susu badan amat berkesan kerana ia merangsang rembesan hormon prolaktin dan sarat dengan zat besi untuk mencegah masalah anemia.
2. Oat / Oatmeal
Makanan banyakkan susu badan ini mengandungi zat besi, serat dan beta-glucan (sejenis serat larut) yang tinggi. Zat besi mengelakkan kelesuan, manakala beta-glucan membantu meningkatkan kepekatan hormon penyusuan dalam darah secara semula jadi.
3. Halba (Fenugreek) & Habbatus Sauda
Halba kaya dengan phytoestrogen yang merangsang kelenjar mamari menghasilkan lebih banyak susu. Habbatus sauda pula melancarkan kitaran darah dan menguatkan imuniti ibu.
4. Lobak Putih
Bahan utama dalam sup tradisi penyusuan masyarakat Asia. Ia mempunyai sifat diuretik ringan yang membantu melancarkan kitaran cecair dalam badan sekali gus mempercepat aliran susu yang tersumbat.
5. Lobak Merah
Lobak merah juga antara makanan banyakkan susu badan semasa berpantang. Ia sarat dengan beta-carotene dan Vitamin A yang penting untuk imuniti serta penglihatan bayi. Mengambil lobak merah atau jusnya secara rutin membantu meningkatkan kualiti serta pekatkan susu.
6. Sayur Bayam & Pegaga
Sayuran hijau ini kaya dengan kalsium, zat besi, asid folik dan phytoestrogen. Kalsium amat penting supaya badan tidak menyerap kalsium daripada tulang ibu sendiri untuk disalurkan ke dalam susu.
7. Kacang Badam
Tinggi protein, kalsium dan asid lemak Omega-3. Lemak sihat daripada badam membantu menambah kalori berkhasiat dalam susu badan sekali gus membuatkan bayi rasa lebih kenyang dan tidur lebih tenang.
8. Bawang Putih
Makanan banyakkan susu badan semasa berpantang yang lain adalah bawang putih. Ia membantu meluaskan saluran darah dan menguatkan imuniti. Aroma dan rasa bawang putih dalam jumlah sederhana menerusi masakan harian merangsang bayi untuk menyusu lebih lama.
9. Ikan Bilis & Salmon
Sumber terbaik protein dan asid lemak Omega-3 (DHA/EPA) yang kritikal untuk perkembangan otak dan saraf bayi. Protein cukup pula memastikan tisu payudara kekal sihat semasa fasa penyusuan.
10. Air Kosong/ Air Kelapa
Hampir 90% komponen susu badan terdiri daripada air. Dehidrasi akan menyebabkan penghasilan susu merosot drastik. Air kelapa membekalkan elektrolit semula jadi seperti kalium untuk menyegarkan semula badan ibu yang letih.

Makanan Yang Boleh Banyakkan Susu Badan Dengan Cepat
Selain makanan tradisional, ada juga makanan yang boleh banyakkan susu badan dengan cepat dan mudah ibu cuba setiap hari. Contoh makanan yang boleh banyakkan susu badan dengan cepat:
- Almond dan kekacang lain: tinggi protein, lemak sihat dan kalsium.Senang dimakan sebagai snek.
- Buah betik, mangga dan oren: kaya vitamin C untuk kuatkan imun ibu dan bayi.
- Bawang putih: digunakan dalam banyak masakan, dipercayai mampu merangsang susu.
- Susu rendah lemak: bantu tambahkan kalsium yang diperlukan untuk penghasilan susu.
Menu Ibu Menyusu
Nak lebih jelas? Ini contoh menu harian yang ringkas tapi membantu banyakkan susu badan:
- Sarapan: Overnight oats dengan susu segar, hirisan kurma dan buah pisang.
- Snek pagi: Segenggam almond dan segelas air kosong.
- Makan tengah hari: Nasi putih, ikan haruan masak sup halia, sayur bayam bening dan lobak putih.
- Minum petang: Smoothie betik campur susu rendah lemak.
- Makan malam: Ikan salmon bakar dengan brokoli kukus dan kentang rebus.
- Sebelum tidur: Segelas susu panas dengan 2 biji kurma.
Dengan menu begini, ibu bukan sahaja kenyang, malah bekalan susu pun lebih stabil.

Cara Tradisional Tambah Susu Badan
Selain makan dan minum, ada juga cara tradisional tambah susu badan yang dilakukan secara luaran. Petua ini lebih kepada rangsangan fizikal yang membantu mengurangkan masalah bengkak susu, melancarkan aliran dan memberi signal pada tubuh supaya hasilkan lebih banyak susu.
Antara cara tradisional tambah susu badan adalah:
1. Air Rendaman Halba
Biji halba direndam semalaman, diminum paginya. Rasanya agak pahit tapi ramai percaya ia bantu tambah susu.
2. Sup Lobak Putih
Cara tradisional tambah susu badan seterusnya adalah makan sup lobak putih. Menu berpantang yang dipercayai lancarkan susu. Ia lebih sedap dimasak dengan ikan bilis atau ayam kampung.
3. Air Longan Kering Dengan Kurma Merah
Amalan masyarakat Cina. Minuman manis semula jadi ini dikatakan mampu tingkatkan susu badan.
4. Tuam Daun Sirih
Sejak dulu, orang Melayu percaya bahawa daun sirih yang dipanaskan boleh membantu ibu yang mengalami susu tersumbat. Caranya mudah iaitu ambil beberapa helai daun sirih, panaskan seketika atas api kecil atau direndam dalam air panas, kemudian diletakkan di sekitar payudara.
Haba panas dari daun sirih membantu:
- Melancarkan peredaran darah pada bahagian payudara.
- Melegakan rasa sakit atau bengkak.
- Membantu membuka saluran susu yang tersumbat.
Walaupun nampak sederhana, tuam daun sirih ini memberi keselesaan pada ibu dan boleh diamalkan bila-bila masa di rumah.
5. Urutan Payudara
Urutan payudara juga merupakan cara tradisional tambah susu badan yang sering diamalkan. Minyak kelapa dara dipilih kerana ia semula jadi, lembut pada kulit dan tidak berbahaya untuk bayi.
Urutan biasanya dibuat dengan gerakan perlahan dari arah ketiak ke puting untuk:
- Mengurangkan bengkak susu.
- Membantu mengalirkan susu yang terkumpul.
- Merangsang kelenjar susu untuk hasilkan lebih banyak susu.
Selain manfaat pada susu, urutan ini juga bantu ibu lebih relaks dan tenang. Ia penting kerana stres boleh mengurangkan penghasilan susu.
6. Skin-to-Skin Dengan Bayi
Ini adalah cara semula jadi yang sudah lama diamalkan ibu-ibu. Apabila kulit ibu bersentuhan dengan kulit bayi, tubuh ibu secara automatik menghasilkan hormon oksitosin.
Hormon inilah yang memberi signal kepada payudara untuk menghasilkan lebih banyak susu. Manfaat skin-to-skin:
- Bayi rasa lebih selamat dan tenang.
- Merangsang refleks hisapan bayi jadi lebih mudah menyusu.
- Membantu hubungan emosi yang erat antara ibu dan anak.
Kaedah ini boleh dilakukan sejak bayi baru lahir, contohnya dengan meletakkan bayi di dada ibu tanpa baju sejurus selepas bersalin.

Penyusuan Anak 2 Tahun
Menurut Dr Nisa Khalil, apabila anak sudah masuk umur 2 tahun ibu tidak semestinya sambung susu formula sehingga usianya 6 tahun.

KKM memang galakkan susu ibu sampai 2 tahun. Tapi untuk anak sihat yang sudah lebih 1 tahun, susu formula bukanlah suatu kewajipan.
”Yang saya lebih pentingkan adalah tumbesaran anak, apa yang dia makan dan diet keseluruhannya. Susu formula bukan syarat wajib.
Kalau berat anak tak naik seperti biasa, jangan terus panik fikir sebab kurang susu. Saya lebih nak tengok corak tumbesaran, tinggi, pemakanan dan kesihatan umum dia bersama doktor yang memantau.”
”Anak yang underweight juga tak semestinya perlu dipaksa minum susu formula semula. Untuk anak umur 4 tahun, saya lebih teliti pada carta berat, tinggi, BMI dan diet keseluruhannya. Rujuk doktor dahulu sebelum ambil sebarang suplemen,” jelasnya.
Manfaat Penyusuan Susu Ibu
Menurut Dr Imelda Balchin, penyusuan susu ibu bukan sekadar bagus untuk kesihatan dan tumbesaran bayi semata-mata, malah ia membawa pelbagai kelebihan luar biasa untuk kesihatan dalaman dan jangka panjang si ibu.

Antara kelebihan utamanya termasuklah:
- Kesihatan Fizikal Ibu: Membantu proses penurunan berat badan selepas bersalin, bertindak sebagai perancang kehamilan semula jadi dan membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.
- Perlindungan Jangka Panjang: Mengurangkan risiko ibu daripada pelbagai jenis penyakit kronik seperti kanser (rahim, ovari,dan payudara), penyakit jantung, kencing manis jenis 2 serta membantu mengawal sindrom metabolik dan endometriosis.
- Ganjaran Pahala: Menjadi sumber pahala yang melimpah-ruah dalam perjalanan seorang ibu menuju ke syurga.
Kesimpulan
Perjalanan menyusu memang perlukan kesabaran. Jangan cepat stres bila susu kurang, fokus pada pemakanan harian ibu. Amalkan makanan banyakkan susu badan yang sesuai dengan anda.
Masa awal bersalin, utamakan makanan untuk banyakkan susu badan semasa berpantang untuk bantu pulihkan luka dan tambah tenaga. Setiap ibu berbeza, jadi kalau satu bahan tak berkesan, cuba pilihan lain dan dapatkan sokongan suami. Kalau masih berterusan, cepat-cepat jumpa pakar laktasi.
Jangan lupa kongsi artikel ini dengan ibu-ibu lain yang memerlukan.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.