Bercakap pasal penyusuan susu ibu ni, tipulah kalau tak ada rasa risau. Tambah-tambah lagi untuk ibu yang baru pertama kali timang cahaya mata.

Mesti bermacam soalan berlegar-legar dalam kepala, “Susu aku ni cukup ke untuk bayi?” atau “Kenapa rasa pedih sikit bila menyusu, normal ke?”

Pecayalah, anda tak keseorangan. Hampir semua ibu pernah lalu fasa serabut dan musykil yang sama. Perjalanan menyusu ni memang unik. Ada hari rasa lancar sangat, ada hari rasa nak menangis sebab cabaran datang bertimpa.

Penyusuan Susu Ibu Secara Eksklusif

Bila sebut pasal penyusuan susu ibu secara eksklusif, maksudnya bayi cuma diberikan susu ibu sahaja tanpa sebarang cecair atau makanan tambahan lain.

Ini termasuklah air masak, susu formula, jus, mahupun nestum. Memang 100% susu ibu semata-mata, sekurang-kurangnya untuk 6 bulan pertama usia bayi.

Bukan sekadar kenyangkan perut comel si manja, susu ibu ni sebenarnya penuh dengan antibodi semula jadi. Dia macam pelindung terus dari dalam untuk lawan kuman dan tingkatkan imun badan bayi.

Uniknya lagi, kandungan nutrisinya automatik berubah mengikut umur dan keperluan si manja.

penyusuan susu ibu
Penyusuan susu ibu secara eksklusif amat istimewa untuk ikatan ibu dan bayi.

Bilakah Susu Badan Akan Terhasil?

Ramai ibu baru risau bila tengok susu macam tak ada atau sikit sangat lepas bersalin. Tapi tahukah anda, cecair emas ni sebenarnya dah mula diproses seawal trimester kedua atau ketiga kehamilan lagi?

Masa mengandung tu, badan ibu dah mula hasilkan kolostrum. Susu awal berwarna kekuningan yang agak pekat. Walaupun nampak sikit bila keluar lepas bersalin, kolostrum ni tersangatlah padat dengan antibodi dan nutrisi.

Perut bayi baru lahir kan comel dan kecil sangat, jadi sukatan yang sikit tu memang dah cukup sangat untuk mereka.

Bila masuk hari ke-2 hingga ke-5, barulah susu matang yang lebih banyak akan mula keluar. Semua ni dikawal oleh hormon prolaktin dan oksitosin. Pendek kata lagi kerap bayi menyusu, lagi makin banyak susu diproses.

Bila Payudara Mula Keluar Susu?

Bila payudara mula rasa tegang, suam-suam atau berdenyut sikit lepas 2 hingga 4 hari bersalin, itu tandanya susu matang dah mula ‘masuk’! Ada sesetengah ibu akan rasa macam jarum mencucuk halus dekat dada.

Ha, itulah let-down reflex, tindak balas semula jadi bila susu mula mengalir keluar.

Pengeluaran susu ni sebenarnya sangat responsif. Kalau bayi kerap menyusu dari awal, penghasilan susu badan akan jadi makin cepat dan stabil. Tapi kalau lekapan (latching) tak berapa betul atau anak jarang menyusu, badan mungkin ambil masa sikit nak hasilkan jumlah susu yang mencukupi.

Peringatan mesra untuk ibu:

  • Elak biar terlalu penuh: Payudara yang dibiar terlalu lama tanpa dikosongkan boleh bawa kepada masalah bengkak susu (engorgement).
  • Kosongkan sekerapnya: Rajin-rajin susukan si comel mengikut kehendaknya (on demand) atau guna pam susu jika perlu.

Jangan tunggu sampai dada rasa keras macam batu baharu nak bertindak ya!

Apa Yang Disarankan Oleh KKM?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya amat menitikberatkan isu penyusuan badan ni. Sebab tu garis panduan KKM jelas menyarankan supaya bayi diberi susu ibu secara eksklusif untuk 6 bulan pertama.

Maksudnya langsung tak perlu tambah air masak mahupun makanan lain. Bila anak dah masuk 6 bulan, ibu digalakkan teruskan penyusuan sehingga umur anak 2 tahun, cuma perlulah selang-selikan dengan makanan pejal yang berkhasiat.

Tapi, KKM pun tahu perjalanan menyusu ni bukannya tanggungjawab ibu seorang diri. Sebab tu sokongan sekeliling sangat memainkan peranan:

  • Di rumah: Suami dan keluarga kena bantu ringankan beban ibu, sekurang-kurangnya tolong jaga anak atau urus rumah.
  • Di tempat kerja: Majikan disaran sediakan bilik khas yang selesa untuk ibu mengepam atau menyusukan anak.
penyusuan susu ibu
Bilakah susu badan akan terhasil?

Berapa Lamakah Tempoh Penyusuan Susu Ibu

Tempoh penyusuan susu ibu yang disyorkan oleh pakar kesihatan (termasuk KKM dan Pertubuhan Kesihatan Dunia / WHO) adalah seperti berikut:

  • 6 Bulan Pertama (Eksklusif): Bayi disyorkan menerima susu ibu sahaja tanpa sebarang makanan atau minuman tambahan (termasuk air masak).
  • Sehingga 2 Tahun (atau Lebih): Selepas usia 6 bulan, bayi mula diberi makanan pelengkap (solid food), tetapi penyusuan susu ibu diteruskan sehingga anak berumur 2 tahun atau selagi ibu dan anak selesa.

Boleh Ke Menyusu Lebih atau Kurang Dari 2 Tahun?

Secara praktikalnya, tempoh penyusuan sebenarnya sangat fleksibel dan bergantung kepada situasi serta rezeki masing-masing:

  • Jika kurang dari 6 bulan/2 tahun: Ada ibu yang perlu berhenti awal atas faktor kesihatan, kerjaya, atau cabaran pengeluaran susu. Jangan rasa bersalah! Setiap titik susu ibu yang sempat diberi tetap memberi khasiat yang sangat berharga untuk anak.
  • Jika lebih dari 2 tahun (Extended Breastfeeding): Tiada masalah jika nak teruskan lebih dari 2 tahun selagi anak dan ibu selesa. Susu ibu masih tetap mengandungi nutrisi dan antibodi, disamping memberi rasa selamat kepada si kecil.

Berapa Lama Bayi Menyusu?

Soalan pasal berapa lama baby menyusu ni memang selalu buat ibu-ibu pening kepala, kan? Hakikatnya, jawapan untuk soalan ni agak fleksibel sebab setiap baby ada ‘stail’ dan ragam menyusu yang tersendiri.

Biasanya perjalanan sesi penyusuan bayi 0 hingga 6 bulan:

  • Kekerapan: Biasanya baby akan minta menyusu setiap 2 hingga 3 jam, atau sekitar 8 hingga 12 kali sehari.
  • Masa satu sesi: Kebiasaannya mengambil masa antara 10 hingga 30 minit.

Masa ni sebenarnya bergantung sangat pada kemahiran lekapan (latching), laju atau lambat aliran susu ibu, dan sejauh mana baby tengah lapar.

Ada baby yang jenis fast eater, sedut sekejap dah kenyang. Ada pula yang jenis santai, suka menyusu lama-lama sebab rasa selamat dan selesa dalam pelukan ibu.

Ibu tak perlu stres sangat nak kena timing jam setiap kali menyusu. Yang penting, tengok tanda-tanda kecukupan ni:

  • Baby nampak rileks: Lepas menyusu, dia nampak tenang, puas, atau terus lena terlena.
  • Lampin basah: Ada sekurang-kurangnya 6 hingga 8 kali lampin basah dalam sehari.
  • Tumbesaran cantik: Berat badan naik dengan konsisten ikut graf pertumbuhan.

Pengalaman Menyusu Kali Pertama

Menguruskan bayi baru lahir buat kali pertama memang tak mudah. Segalanya rasa janggal, tak biasa dan tiada ilmu yang cukup. Selepas bersalin, saya menerima jahitan bersalin yang agak banyak.

Pergerakan agak terbatas, ditambah pula bayi perlu tahan di wad selama 3 hari.

Pada mulanya saya rasa sedih dan biarkan sahaja bengkak susu sehingga bawah ketiak bengkak. Dengan bantuan ibu dan kakak, mereka tolong buat urutan lancarkan susu. Saya rasa sangat lega dan mula pam.

Sakitnya tidak boleh digambarkan. Sampai saya menangis dan sapu nipple cream sentiasa.

Apabila anak keluar wad, saya usahakan untuk direct feeding tapi tak berjaya sebab anak saya xpandai menghisap. Jadi saya hanya pam sahaja. Setiap hari rutin makan saya:

  • Sarapan (7.00 pagi): Susu suam bersama biskut dan kurma, atau kuih apam beras.
  • Makan Tengah Hari (11.00 pagi): Nasi, sup lobak putih dengan ayam organik, dan limau Sunkist.
  • Minum Petang: Sup sayur campur yang ringkas.
  • Makan Malam: Ulang menu tengah hari saja, jimat tenaga tak perlu masak banyak kali.

Setiap kali sesi mengepam, saya cuba buang rasa letih jauh-jauh. Untuk tenangkan diri, saya selalunya sediakan susu kotak bersama coklat atau makan biskut oat kalau perut rasa lapar.

Alhamdulillah, berkat sabar, yakin dengan diri, dan tak putus asa, perjalanan menyusu ni berjaya diteruskan sampai anak genap umur 2 tahun.

penyusuan susu ibu
14 langkah penyusuan susu ibu mengikut KKM.

Tips Menyusu Dengan Selesa

Bagi mengelakkan lenguh badan atau sakit puting, amalkan langkah ini:

  • Posisi Betul: Bawa bayi ke dada, bukan membongkok ke arah bayi. Gunakan bantal penyusuan (nursing pillow) untuk menyokong lengan.
  • Lekapan Kemas (Latching): Pastikan mulut bayi buka luas dan melekap pada kawasan gelap (areola), bukan pada puting sahaja.
  • Elak Bengkak Susu: Susukan secara on-demand atau pam jika payudara rasa terlalu penuh.
  • Sedia Bekalan: Letak botol air dan snek sihat berdekatan tempat menyusu kerana ibu mudah rasa dahaga dan lapar.

Kesimpulan

Penyusuan susu ibu bukan sekadar tentang memberi makan, tetapi satu perjalanan kasih sayang dan ikatan emosi antara ibu dan anak.

Walaupun cabaran di fasa awal seperti rasa janggal, bengkak susu, atau letih itu perkara biasa, pemahaman tentang asas penyusuan dan teknik yang betul amat membantu mempermudahkan proses ini.

Kunci utama kejayaan penyusuan terletak pada kekerapan, kesabaran, dan sokongan padu daripada pasangan serta keluarga. Ingatlah, perjalanan setiap ibu adalah unik, sama ada anda direct feeding mahupun exclusive pumping, setiap titis cecair emas yang diberikan itu tersangatlah berharga buat si kecil.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Breastfeeding
  2. Breastfeeding
  3. Breastfeeding
  4. Breastfeeding nutrition: Tips for moms
  5. Breastfeeding FAQs: How Much and How Often
  6. Panduan Penyusuan Susu Ibu
  7. Teknik Penyusuan yang Betul

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.