Bila payudara mula rasa tegang, panas dan berdenyut sakit, hanya ibu menyusu saja yang faham perasaan sakit tu macam mana! Sakitnya tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. Nak pangku bayi pun susah, apatah lagi bila si kecil mula nak ‘latch’ menyusu. Masalah saluran susu tersumbat ini selalunya jadi bila aliran susu terhalang dan tak keluar habis, hingga rasa macam ada gumpalan keras kat dada.
Jangan terus cemas sampai terfikir nak berhenti menyusu ya, Mama! Ada beberapa cara selamat dan berkesan yang boleh bantu lancarkan semula aliran susu ibu.
Jom kita tengok cara hilangkan bengkak susu tersumbat satu persatu.
Punca Saluran Susu Badan Tersumbat
Kadang-kadang, benda kecil macam terlepas masa pam susu atau pakai bra ketat sikit pun boleh jadi punca payudara rasa sakit. Bila penyusuan tak dikosongkan sepenuhnya, sisa susu akan mula bertakung, mengeras dan akhirnya menyekat laluan susu ibu. Sakitnya cuma ibu menyusu yang pernah rasa saja tahu!
Antara punca biasa kenapa saluran susu boleh tersumbat ialah:
- Lekapan bayi kurang kemas. Bila latch si kecil tak betul, susu yang dihisap tak dapat keluar habis.
- Masa penyusuan atau pam tak menentu. Bila payudara dibiarkan terlalu lama penuh, tekanan dalam saluran susu makin tinggi.
- Coli terlampau ketat. Bra berdawai atau ketat boleh menekan dan melecetkan saluran susu dari luar.
- Ibu terlalu letih atau stres. Faktor emosi dan kurang tidur secara tak langsung mengganggu let-down reflex untuk keluarkan susu badan.
Bila ibu rasa bahagian payudara terasa keras, panas dan berdenyut, jangan tunggu lama. Tindakan awal sangat penting supaya masalah bengkak susu tak melarat sampai demam.
Bahaya Bengkak Susu

Pada awalnya, bengkak susu tersumbat bukanlah masalah yang boleh mengancam nyawa. Tapi kalau kita biarkan berhari-hari tanpa rawatan, ia boleh melarat jadi mastitis. Mastitis ialah jangkitan pada tisu payudara yang buat badan rasa nak demam.
Perhatikan tanda-tanda bengkak susu mula jadi serius:
- Kulit payudara bertukar merah dan panas. Saluran susu yang tersumbat buat payudara rasa tegang dan berdenyut teruk.
- Badan mula demam dan menggigil. Rasa seram sejuk macam nak demam, siap sengal-sengal badan.
- Susu makin susah nak keluar. Bahagian payudara makin mengeras tapi bila pam atau perah, susu cuma keluar beberapa titik saja.
Bila dah ada tanda-tanda demam macam ni, jangan bertangguh lagi untuk jumpa doktor. Ada kalanya ibu perlukan bantuan antibiotik untuk redakan jangkitan. Namun, kalau keadaan masih baru dan belum demam, ada pelbagai petua selamat yang ibu boleh cuba sendiri di rumah.
Cara Hilangkan Bengkak Susu Tersumbat dengan Cepat dan Selamat
Ada beberapa cara hilangkan bengkak susu dengan cepat yang boleh ibu cuba di rumah. Paling penting jangan berhenti menyusu! Ramai ibu silap langkah bila rasa sakit, mereka berhenti menyusukan bayi, padahal itu lah cara terbaik untuk kosongkan payudara.
Berikut cara-cara berkesan untuk bantu lancarkan semula susu dan kurangkan bengkak:
Cara hilangkan bengkak susu tersumbat 1. Teruskan menyusu atau pam dengan kerap
Setiap kali bayi menyusu, saluran susu akan terbuka semula dan bantu keluarkan ketulan yang tersumbat. Cuba mulakan penyusuan dari payudara yang bengkak dulu. Kalau bayi enggan, anda boleh pam susu secara lembut hingga payudara terasa lega.
2. Gunakan tuam panas sebelum menyusu
Tuam menggunakan tuala suam selama 10 ke 15 minit sebelum menyusu dapat bantu melonggarkan saluran susu. Ia juga kurangkan rasa sakit dan ketegangan pada payudara.
Ramai ibu guna cara ni sebagai cara hilangkan bengkak susu di ketiak sebab kawasan tu juga boleh tersumbat bila saluran susu meluas ke bahagian bawah lengan.
3. Tuam sejuk selepas menyusu
Cara hilangkan bengkak susu tersumbat adalah dengan tuam selepas menyusu. Selepas sesi menyusu atau pam, tuam ais selama 10 minit untuk kurangkan bengkak. Kaedah panas-sejuk ni bantu lancarkan aliran darah dan kurangkan keradangan.
Cara hilangkan bengkak susu tersumbat 4. Urut payudara dengan lembut
Urutan memainkan peranan penting untuk pecahkan ketulan susu di payudara. Gunakan jari untuk buat gerakan membulat dari bahagian luar ke arah puting. Anda boleh guna minyak kelapa atau minyak zaitun sebagai pelincir semasa urutan.
Ini salah satu cara hilangkan ketulan susu di payudara yang ramai ibu suka sebab cepat memberi kelegaan.
5. Pastikan pakaian dalam tidak ketat
Bra yang ketat boleh sekat aliran susu dan menyebabkan kawasan tertentu tersumbat semula. Pilih bra menyusu yang longgar dan selesa, terutamanya masa tidur sebagai cara hilangkan bengkak susu tersumbat.
Cara hilangkan bengkak susu tersumbat 6. Jaga rehat & elak stres
Stres boleh ganggu hormon oksitosin yang bantu pengaliran susu. Jadi cuba rehatkan badan, tarik nafas dalam-dalam atau minta bantuan pasangan untuk urusan rumah sementara ibu pulihkan diri.
Dengan gabungan semua langkah ni, kebanyakan ibu akan rasa lega dalam masa 24 ke 48 jam. Kalau ketulan masih tak hilang atau makin membesar, elok terus jumpa pakar laktasi atau doktor.
Berapa Lama Bengkak Susu Surut?
Tempoh untuk bengkak susu surut berbeza bagi setiap ibu bergantung pada tahap ia tersumbat. Biasanya bengkak susu boleh surut dalam 1 hingga 3 hari kalau ibu rajin menyusu, pam dan urut dengan betul. Namun kalau ibu baru lepas bersalin dan masih menyesuaikan diri dengan jadual penyusuan, mungkin ambil masa sedikit lama.
Kuncinya ialah konsisten dan jangan tunggu sampai payudara keras baru nak pam.
Selain itu, cuba perhatikan kalau ada tanda payudara tersumbat yang berulang di tempat sama. Itu mungkin petanda ibu perlu ubah posisi menyusu atau teknik pam. Boleh juga cuba pelbagai posisi seperti cross cradle hold atau side-lying supaya setiap bahagian payudara dikosongkan dengan seimbang.
Petua dan Cara Hilangkan Bengkak Susu Cara Tradisional

Selain rawatan moden, ramai ibu di Malaysia masih mengamalkan cara hilangkan bengkak susu tradisional sebab lebih lembut dan mudah dilakukan di rumah. Tapi pastikan kaedah ni sesuai dengan keadaan badan ibu dan tidak menyebabkan iritasi ya! Antara petua popular termasuk:
1. Daun kubis
Letakkan daun kubis yang telah disejukkan di dalam peti ais pada payudara selama 20 minit. Ia bantu kurangkan bengkak dan rasa panas. Kaedah ni dah lama diamalkan sebab daun kubis mengandungi bahan antiradang semula jadi.
2. Minyak kelapa dara
Sapu minyak kelapa dara dan urut perlahan-lahan ke arah puting. Ia bukan sahaja lembut pada kulit malah membantu mengurangkan ketegangan pada payudara.
3. Campuran air suam dan garam
Rendam tuala kecil dalam air suam bercampur garam, kemudian tuam pada payudara. Garam bantu kurangkan bengkak dan tarik keluar lebihan cecair dari tisu.
4. Urutan tradisional
Kalau ibu selesa, boleh minta bidan atau tukang urut yang berpengalaman buat urut payudara selepas bersalin. Tapi pastikan urutan dibuat dengan lembut dan bersih, bukan secara kasar kerana boleh menyebabkan radang.
Petua-petua ni memang membantu ramai ibu yang nak cara semula jadi tanpa ubat. Namun kalau keadaan semakin teruk atau bengkak tak surut lebih dari 3 hari, lebih baik dapatkan rawatan doktor.
Pengalaman Ibu Alami Bengkak Susu
Ibu menyusu tidak keseorangan dalam menghadapi masalah ini. Hakikatnya, ramai ibu lain yang turut berdepan dengan situasi getir yang sama.
Sebagai contoh, satu hantaran daripada ahli ahli komuniti Facebook Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) pernah meluahkan rasa buntu dan kesakitan yang dialaminya:
“Siapa ada pengalaman susu bengkak sebelah sahaja? Sudah tuam, sudah urut dan sudah pam susu pun, tetap tidak mahu keluar. Adakah keadaan akan jadi lebih serius? Sakit sangat sampai tak boleh disentuh. Apa penyelesaiannya ya?”
Luahan tersebut mendapat pelbagai maklum balas serta cadangan petua daripada ibu-ibu lain yang pernah melaluinya:
- Ubah Posisi Penyusuan:“Saya pernah kena. Rasa macam membawa batu. Tuam apa semua tak menjadi. Kena berikan susu kepada bayi dalam posisi kita duduk, jangan baring atau mengiring. Paksa baby betul-betul hisap susu kita, selepas itu baru surut dan rasa lega.”
- Lakukan Perahan Tangan (Marmet):“Cuba lakukan kaedah marmet. Jangan guna pam lagi kalau sudah bengkak teruk begini. Saya pun pernah jadi begini sebelum ini, bila saya marmet terus rasa lega.”
- Gabungan Tuam Sejuk, Tuam Panas dan Ubat Tahan Sakit:“Hari itu jururawat laktasi pernah mengajar, mulanya kena lakukan marmet dahulu. Selepas itu tuam sejuk dan akhir sekali tuam panas. Kalau tak tahan sakit sangat, makan panadol untuk tahan sakit. Seperti saya hari itu bengkak juga, tetapi terus berikan sahaja bayi hisap sampai hilang bengkak itu.”
Kesimpulan

Masalah bengkak susu tersumbat memang boleh buat ibu menyusu rasa tak selesa. Tapi ini bukan penghalang untuk para ibu baharu teruskan perjalanan penyusuan. Dengan cara yang betul seperti menyusu kerap, urutan lembut, tuam panas-sejuk dan penjagaan diri yang cukup, payudara ibu akan kembali lega dalam masa singkat.
Kalau ibu lebih suka cara semula jadi, cubalah cara hilangkan bengkak susu cara tradisional seperti daun kubis atau minyak kelapa dara. Tapi kalau bengkak tak surut juga, jangan tunggu lama! Terus jumpa doktor atau pakar laktasi.
Paling penting, jangan salah anggap bengkak susu sebagai tanda gagal menyusu. Ia cuma salah satu cabaran kecil dalam dunia penyusuan yang boleh diatasi dengan ilmu dan kesabaran.
Kalau ibu sedang alami masalah bengkak susu atau ketulan di payudara, jangan tunggu sampai sakit makin teruk. Cuba langkah-langkah yang dikongsi tadi dan teruskan menyusu dengan tenang. Untuk panduan lebih lanjut tentang penjagaan payudara semasa menyusu, dapatkan nasihat dari pakar laktasi berhampiran anda.
8 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
- Busting Breastfeeding Myths
- Clogged Milk Duct
- Standard of Care: Physical Therapy Treatment of Blocked Milk Ducts
- Management of Clogged/Plugged Ducts
- Managing plugged ducts, mastitis when breastfeeding
- Breastfeeding and Massage
- Punca Payudara Bengkak dan Cara untuk Melegakan
- Pembengkakan Payudara: Punca dan Kaedah Melegakan
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.