Pernah tak tengah leka bagi anak menyusu, tiba-tiba rasa ada ketulan keras kat payudara yang sakitnya tuhan saja tahu? Nak tekan sakit, tapi kalau dibiarkan makin berdenyut.
Masa ni, fikiran dah mula ligat memikir “Kenapa pulak ni? Boleh teruskan pump atau bagi anak menyusu lagi tak?”
Masalah saluran susu tersumbat ni memang selalu sangat menyerang ibu baharu, lebih-lebih lagi bila jadual penyusuan terabai atau anak tiba-tiba makin kurang menyusu. Kalau dibiarkan, silap-silap boleh bawa ke masalah mastitis atau radang.
Jangan cemas dulu. Mari kita tengok punca sebenar serta langkah praktikal yang mak-mak boleh cuba sendiri kat rumah untuk redakan rasa sakit ni.
Kenapa Saluran Susu Boleh Tersumbat?
Ibu mana yang tak risau bila tiba-tiba terasa ketulan keras kat payudara, kan? Sebelum rasa cemas, elok kita faham dulu apa sebenarnya yang jadi.
Secara mudahnya, dalam payudara kita ada jalinan saluran kecil yang mengalirkan susu terus ke puting. Tapi bila ada bahagian susu yang tak habis dikeluarkan, aliran tu boleh ‘tersekat’. Milk fat atau sisa susu yang tertinggal akan mengeras lalu berketul dan mula membengkak.
Sebab tu bila ditekan, rasanya berdenyut dan agak panas. Saluran susu tersumbat ni biasanya berlaku sebelah bahagian payudara saja. Tapi kalau dibiarkan berlarutan tanpa diurut atau dikeluarkan, kuman boleh mula membiak dan membawa kepada masalah bengkak susu dan mastitis (jangkitan pada tisu payudara).
Ada beberapa perkara harian yang selalu jadi punca saluran susu tersumbat tanpa ibu-ibu sedar:
- Pelekapan (latch) bayi kurang kemas. Bila hisapan mulut bayi tak melekap dengan betul, susu kat bahagian belakang tak dapat dikeluarkan sepenuhnya.
- Masa pam yang kerap terlepas. Bila jadual penyusuan terganggu, payudara jadi terlalu penuh dan tepu.
- Tekanan fizikal. Memakai bra berdawai atau terlampau ketat boleh menekan saluran susu secara tak sengaja.
- Tubuh ibu terlalu letih. Kurang rehat dan stres secara tak langsung menjejaskan refleks pengeluaran susu (let-down reflex).
- Penghasilan susu terlampau pekat atau banyak. Kadang-kadang aliran tak sempat mengikut kadar pengeluaran susu.
Bagaimana Nak Tahu Tanda Payudara Tersumbat?
Kadang-kadang kita ingat rasa tak selesa kat payudara tu cuma bengkak biasa sebab susu penuh. Tapi kalau ada simptom yang ‘lain macam’, itu signal tubuh nak beritahu ada saluran susu yang dah tersumbat.
Antara tanda biasa yang mak-mak patut beri perhatian:
- Bonjolan keras waktu disentuh. Rasa macam ada ketulan kecil kat kawasan tertentu dan bahagian tu selalunya rasa lebih tegang atau sedikit panas dari biasa.
- Rasa berdenyut bila menyusu. Bila anak mula menghisap atau waktu sedang pam susu, bahagian yang tersumbat tu akan rasa lebih ngilu sebab susu tertekan nak keluar.
- Aliran susu makin perlahan. Susu keluar merecik setitik-setitik saja dari puting, tak macam biasa. Kadang-kadang ada bintik putih kecil (milk blister) kat hujung puting.
- Payudara nampak kemerah-merahan. Tisu kat kawasan berketul tu mula nampak membenjol atau merah bila disuluh cahaya.
- Badan mula rasa tak sedap. Kadang-kadang ibu rasa badan seram sejuk macam nak demam, tapi suhu badan belum sampai tahap demam tinggi.
Kalau rasa tanda-tanda ni dah makin melarat atau ketulan tu makin keras, terus jumpa kaunselor laktasi atau doktor. Jangan tunggu sampai timbul jangkitan atau bengkak bernanah baru nak cari penawar. Masa tu nak urut pun sakitnya tak boleh bawa bincang!
Cara Hilangkan Bengkak Susu Tersumbat Secara Semula Jadi

Berita baiknya, cara hilangkan bengkak susu tersumbat tak semestinya perlukan ubat. Banyak cara semula jadi dan mudah yang ibu boleh cuba di rumah. Berikut antara langkah yang boleh bantu buka saluran tersumbat dan legakan sakit payudara:
- Kerapkan penyusuan
Susu yang mengalir dengan kerap boleh bantu buka sumbatan. Susukan bayi setiap 2-3 jam, walaupun payudara terasa sakit. Cuba mulakan penyusuan dari bahagian yang tersumbat dulu. - Urutan saluran susu tersumbat
Gunakan tuala suam, letak pada payudara selama 10-15 minit, kemudian urut perlahan ke arah puting. Gerakkan jari dari bahagian dalam ke luar macam ‘tolak’ susu keluar. - Pam selepas menyusu
Kalau bayi tak kosongkan payudara sepenuhnya, pam susu selepas sesi menyusu untuk elak susu bertakung. - Gunakan posisi berbeza semasa menyusu
Contohnya, posisi bayi di bawah payudara (dikenali sebagai posisi “dangling feed”) boleh bantu tekanan graviti keluarkan susu lebih lancar. - Tuam panas & sejuk bergilir
Tuam panas bantu buka saluran, tuam sejuk pula kurangkan bengkak dan sakit. Boleh guna pek ais yang dibalut kain lembut.
Cara Hilangkan Ketulan Susu di Payudara Dengan Cepat

Ketulan susu ni memang menyakitkan, tapi jangan panik. Dengan rawatan yang betul, ia boleh hilang dalam masa 1 ke 2 hari. Berikut cara hilangkan ketulan susu di payudara dengan berkesan:
- Minum air secukupnya. Susu pekat dan mudah tersumbat bila badan kurang air.
- Jangan biar payudara terlalu penuh. Susu yang lama tak dipam boleh beku dalam saluran.
- Elak tekanan luar. Bra terlalu ketat atau tidur meniarap boleh sekat aliran susu.
- Gunakan urutan dalam bilik mandi. Waktu mandi air suam, urut payudara dengan sabun lembut sambil arahkan tekanan ke puting.
- Pam dengan tekanan perlahan. Elak pam kuat sebab boleh tambah bengkak.
Kalau ketulan tak hilang lepas 48 jam atau makin besar, segera jumpa doktor. Mungkin ibu perlukan antibiotik atau pemeriksaan lanjut.
Bila Ibu Perlu Ambil Ubat Untuk Susu Badan Tersumbat?
Jujurnya, tak semua masalah saluran susu tersumbat ni perlu diselesaikan dengan ubat. Kebanyakannya boleh reda sendiri kalau kita rajin demah dan betulkan lekapan anak. Tapi kalau rasa sakit tu dah mula mengganggu tidur atau buat badan rasa longlai, rawatan perubatan memang amat membantu.
Selalunya, ini antara rawatan yang doktor akan pertimbangkan:
- Ubat tahan sakit & radang: Pengambilan paracetamol atau ibuprofen (yang selamat untuk ibu menyusu) bantu melegakan rasa berdenyut dan surutkan bengkak pada tisu payudara.
- Ubat antibiotik: Hanya diberi jika doktor sahkan ada jangkitan mastitis. Ini terutamanya bila badan mula demam menggigil, kulit payudara makin merah atau ada rasa tidak selesa yang melampau.
- Krim atau salap puting (nipple cream): Sangat membantu melembapkan kulit jika ada luka pada puting (crack nipple) akibat anak tersilap hisap sewaktu saluran tersumbat.
Paling penting, jangan sesekali beli atau makan ubat sembarangan tanpa rundingan profesional. Sesetengah ubat boleh meresap ke dalam susu badan atau berisiko mengurangkan supply susu anda tanpa disedari.
Urutan Saluran Susu Tersumbat

Ramai ibu rasa takut nak urut sebab risau sakit makin teruk. Sebenarnya, urutan saluran susu tersumbat boleh bantu banyak kalau dibuat dengan lembut dan teknik betul. Langkah-langkah urutan:
- Sapukan sedikit minyak bayi atau minyak kelapa dara pada tapak tangan.
- Letakkan tuala suam di payudara selama 5-10 minit.
- Urut lembut dari pangkal payudara ke arah puting dalam gerakan bulat.
- Fokus pada bahagian terasa keras atau berketul.
- Susukan bayi terus selepas urutan atau pam susu untuk bantu kosongkan payudara.
Urutan ni bukan saja buka sumbatan tapi juga bantu lancarkan aliran darah dan legakan rasa tegang di dada.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Kalau ibu dah cuba semua cara tapi saluran susu tersumbat masih tak hilang dalam 2 ke 3 hari, itu tandanya mungkin dah jadi mastitis. Segera jumpa doktor kalau:
- Payudara rasa panas sangat atau merah menyala.
- Keluar nanah atau cecair pelik dari puting.
- Sakit badan dan demam tinggi.
- Bayi enggan menyusu sebab susu dah berubah rasa.
Jangan tunggu sampai teruk. Rawatan awal boleh cegah jangkitan daripada merebak.
Pengalaman Ibu Alami Masalah Susu Tersumbat
Realiti penyusuan ini selalunya lebih dekat bila kita dengar sendiri perkongsian daripada ibu-ibu lain. Dalam satu perkongsian di kumpulan Facebook Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) , seorang ibu muda (first-time mom) ada meluahkan dilema yang dialaminya:
“Assalamualaikum. Siapa ada pengalaman payudara rasa penuh, tapi bila dipam susu tak keluar sangat? Bila cuba perah guna tangan (marmet) pun alirannya sangat perlahan, kadang-kadang tak keluar langsung. Rasa sakit sangat sebab payudara penuh tapi susu tak boleh keluar. Kenapa jadi macam tu ya? Untuk makluman, bayi saya berumur 2 bulan, tidak mahu minum susu botol dan hanya menyusu terus (direct feed).”
Bagi menjawab persoalan ini, ramai ibu dalam komuniti berkenaan tampil berkongsi pandangan serta petua yang pernah membantu mereka:
- Fahami tanda awal & teknik urutan yang betul. “Itu tanda-tanda saluran susu tersumbat. Boleh cuba tuam sejuk, buat urutan saliran limfa (lymphatic drainage massage), urutan lembut dan perah guna tangan (marmet). Masa marmet, kena tekan pada titik yang betul. Kalau masih tak menjadi, sebaiknya dapatkan bantuan kaunselor laktasi berdekatan untuk urutan pelepasan saluran tersumbat (release clogged ducts) atau urutan laktasi. Elakkan mengepam semasa payudara tengah sakit, seeloknya utamakan perahan tangan.”
- Langkah penjagaan asas & elak culas jadual. “Cuba tuam sejuk dulu untuk hilangkan rasa sakit, selepas itu baru tuam panas untuk lancarkan aliran susu. Bila kena saluran tersumbat, ini antara perkara kena jaga:
- Jaga waktu pam. Sekali kita culas atau culas jadual, memang senang kena tersumbat.Jangan pam masa tengah tersumbat. Perbanyakkan penyusuan terus (direct feed) sebab hisapan bayi paling membantu.Kalau nampak kawasan payudara bengkak dan kemerahan, terus ke klinik sebab takut ada jangkitan.Boleh cuba rendaman garam Epsom untuk bantu keluarkan susu yang tersumbat.
- Gunakan khidmat pakar laktasi. “Kemungkinan besar memang masalah saluran tersumbat (clogged duct). Cuba cari kaunselor laktasi (LC) yang berdekatan untuk bantu rawat dengan betul.”
Rawat Awal, Susu Pun Lancar Kembali!
Masalah saluran susu tersumbat memang boleh buat ibu tertekan tapi ia bukan pengakhiran perjalanan penyusuan. Dengan penjagaan betul, urutan lembut dan penyusuan kerap, aliran susu boleh kembali normal dalam masa singkat.
Ingat, kunci utama ialah jangan biar payudara terlalu penuh dan jangan berhenti menyusu walaupun sakit. Bila saluran susu terbuka semula, rasa lega tu memang tak boleh digambarkan! Kalau ibu sekarang tengah alami saluran susu tersumbat, jangan biar sampai melarat.
Cuba langkah-langkah di atas hari ni juga dan dapatkan bantuan daripada kaunselor laktasi jika perlu. Susu ibu sangat berharga! Jaga diri, jaga aliran susu dan teruskan perjuangan penyusuan dengan penuh sabar dan kasih sayang!
8 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.