Contoh Lendir Nak Bersalin Yang Normal & Bila Perlu Ke Hospital Untuk Bersalin

Contoh Lendir Nak Bersalin Yang Normal & Bila Perlu Ke Hospital Untuk Bersalin

Contoh lendir nak bersalin adalah antara tanda awal yang sering dialami oleh ibu hamil, tetapi ramai masih keliru sama ada ia normal atau perlu risau.

Ada yang panik bila nampak lendir bercampur darah, ada juga yang tak perasan langsung perubahan ini.

Sebenarnya, perubahan lendir ini adalah proses semula jadi badan apabila serviks mula membuka sebagai persediaan untuk bersalin.

Ia boleh berlaku beberapa hari sebelum bersalin, atau beberapa jam sahaja sebelum kontraksi bermula.

Dalam artikel ini, kita akan kupas tentang contoh lendir, jenis-jenis lendir yang normal, tanda tambahan yang perlu diberi perhatian, serta jawapan kepada persoalan popular ibu hamil.

Apa Itu Lendir Nak Bersalin?

Sepanjang kehamilan, serviks menghasilkan lendir tebal yang dipanggil mucus plug.

Lendir ini bertindak sebagai “penutup” untuk melindungi rahim daripada bakteria dan jangkitan luar.

Ia biasanya melekat di bahagian serviks sepanjang tempoh kehamilan dan tidak disedari oleh ibu.

Bila Lendir Mula Keluar

Apabila menghampiri waktu bersalin, serviks akan mula menipis (effacement) dan membuka (dilation).

Proses ini menyebabkan lendir tersebut tertanggal dan keluar.

Inilah yang dipanggil sebagai lendir nak bersalin iaitu tanda awal bahawa badan sedang bersedia untuk kelahiran bayi.

contoh lendir nak bersalin
Contoh lendir darah nak bersalin biasanya berwarna pink atau coklat cair.

Contoh Lendir Nak Bersalin Yang Normal

Setiap ibu mungkin mengalami keadaan yang berbeza.

Berikut adalah beberapa contoh lendir nak bersalin yang biasa:

Lendir Jernih atau Putih Pekat

Ini adalah contoh lendir bersalin yang paling biasa.

Teksturnya likat, kenyal dan kadang-kadang seperti putih telur mentah.

Biasanya tidak berbau dan keluar sedikit demi sedikit.

Ia boleh berlaku beberapa hari sebelum bersalin tanpa sebarang tanda lain.

Contoh Lendir Nak Bersalin Bercampur Darah (Bloody Show)

Ini adalah contoh lendir darah nak bersalin yang sering membuat ibu risau.

Warna boleh jadi merah jambu, coklat atau sedikit merah terang.

Ia berlaku kerana salur darah kecil di serviks pecah apabila serviks mula membuka.

Jika jumlahnya sedikit, ia normal dan dipanggil bloody show.

Contoh Lendir Nak Bersalin Berwarna Kekuningan

Ada juga ibu yang mengalami warna lendir kekuningan.

Ini masih dianggap normal selagi tidak berbau busuk atau disertai rasa gatal.

Ia juga termasuk dalam kategori contoh lendir tanda nak bersalin yang tidak berbahaya.

Contoh Lendir Nak Bersalin Keluar Sekaligus

Sesetengah ibu akan nampak lendir keluar dalam jumlah yang agak banyak sekali gus seperti segumpal.

Ini bermaksud mucus plug telah keluar sepenuhnya, dan ini adalah contoh lendir nak bersalin yang menunjukkan badan semakin hampir ke fasa aktif bersalin.

Lendir Keluar Sedikit Demi Sedikit

Ada juga ibu yang mengalami lendir keluar secara berperingkat selama beberapa hari.

Ini juga normal dan menunjukkan proses pembukaan serviks berlaku secara perlahan.

contoh lendir nak bersalin
Contoh lendir bersalin menandakan serviks mula membuka perlahan.

Perbezaan Lendir Bersalin vs Keputihan Biasa

Ramai ibu keliru antara lendir bersalin dan keputihan biasa.

Ini perbezaannya:

Dari Segi Tekstur

Keputihan biasa lebih cair dan tidak melekit, manakala contoh lendir bersalin lebih pekat dan kenyal.

Dari Segi Warna

Keputihan biasanya putih susu, manakala contoh lendir nak bersalin boleh jadi jernih, kekuningan atau bercampur darah.

Dari Segi Kekerapan

Keputihan berlaku setiap hari, tetapi lendir bersalin biasanya keluar sekali atau beberapa kali sahaja.

Dari Segi Bau

Keputihan normal tidak berbau kuat.

Jika ada bau busuk pada lendir, ia mungkin tanda jangkitan.

Baca juga:

Ibu, Dah Ada 12 Petanda Ini? Itu Tanda Bersalin Semakin Hampir!

Tanda Tanda Bersalin Perut Mengeras & Beza Kontraksi Palsu vs Sebenar

Tempoh Berpantang Selepas Bersalin 40 Hari, 60 Hari Atau 100 Hari?

Tanda-Tanda Lain Yang Datang Bersama Lendir Nak Bersalin

Selain contoh lendir nak bersalin, ibu juga mungkin mengalami tanda lain:

1. Kontraksi Yang Semakin Kerap

Kontraksi awal mungkin tidak teratur, tetapi lama-kelamaan akan menjadi lebih kerap dan kuat.

Ini tanda badan sudah memasuki fasa bersalin.

2. Sakit Pinggang dan Tekanan Bawah Perut

Ramai ibu rasa sakit belakang seperti senggugut atau tekanan di bahagian pelvis.

Ini berlaku kerana bayi semakin turun ke laluan kelahiran.

3. Perut Rasa Ringan (Baby Drop)

Apabila bayi turun, ibu akan rasa lebih senang bernafas tetapi tekanan pada pundi kencing meningkat.

4. Cirit-Birit Sebelum Bersalin

Ramai tertanya, Adakah cirit birit tanda nak bersalin?

Ya, ia boleh berlaku.

Ini kerana hormon yang merangsang kontraksi juga boleh memberi kesan kepada sistem pencernaan.

Berapa Minggu Boleh Bersalin?

Soalan yang memang selalu bermain di fikiran ibu hamil: Berapa minggu boleh bersalin?

Secara umumnya, kehamilan penuh mengambil masa sekitar 40 minggu (dikira dari hari pertama haid terakhir).

Tapi sebenarnya, waktu bersalin boleh berlaku dalam beberapa fasa yang berbeza dan semuanya ada maksud tersendiri.

37 Minggu Sudah Cukup Bulan (Early Term)

Pada usia kandungan 37 minggu, bayi dianggap cukup bulan.

Ini bermaksud organ penting seperti paru-paru, otak dan jantung sudah berkembang dengan baik.

Namun begitu, bayi masih dalam fasa “final touch”, contohnya:

  • Lemak badan masih bertambah.
  • Sistem imun sedang matang.
  • Pernafasan semakin stabil.

Kalau bersalin pada minggu ini, biasanya selamat, tetapi doktor tetap akan pantau keadaan bayi dengan teliti.

38–40 Minggu Waktu Paling Ideal Bersalin (Full Term)

Ini adalah tempoh paling “cantik” untuk bersalin.

Kebanyakan ibu akan mula mengalami tanda-tanda seperti:

Pada waktu ini:

  • Bayi sudah benar-benar matang.
  • Risiko komplikasi lebih rendah.
  • Proses kelahiran biasanya lebih lancar.

Sebab itu ramai doktor sasarkan bersalin dalam tempoh ini, sesetengah ibu akan mengalami beberapa tanda dan contoh lendir nak bersalin.

41 Minggu Perlu Pemantauan Rapi (Late Term)

Jika kandungan sudah mencecah 41 minggu tetapi belum bersalin, ibu tidak perlu panik.

Ini masih dalam kategori normal, tetapi perlu pemantauan lebih rapi.

Doktor mungkin akan:

  • Periksa jumlah air ketuban.
  • Pantau degupan jantung bayi.
  • Cadangkan induce (cepatkan bersalin) jika perlu.

Ini kerana risiko seperti air ketuban berkurang atau plasenta mula kurang fungsi boleh berlaku jika terlalu lama.

Sebelum 37 Minggu Risiko Bersalin Pramatang

Jika tanda seperti contoh lendir nak bersalin muncul sebelum 37 minggu, ini mungkin petanda kelahiran pramatang (preterm labour).

Antara tanda yang perlu diberi perhatian:

  • Keluar lendir bercampur darah terlalu awal.
  • Sakit perut seperti kontraksi.
  • Air ketuban bocor atau pecah.

Dalam situasi ini, ibu perlu terus ke hospital untuk pemeriksaan.

Rawatan awal boleh membantu:

  • Mengurangkan risiko komplikasi pada bayi.
  • Melambatkan proses bersalin.
  • Memberi peluang paru-paru bayi matang.
contoh lendir nak bersalin
Bila perlu ke hospital untuk bersalin?

Bila Perlu Ke Hospital Untuk Bersalin?

Ramai ibu tunggu terlalu lama kerana fikir lendir sahaja tidak cukup untuk ke hospital.

Jadi, Bila perlu ke hospital untuk bersalin?

1. Lendir Bercampur Darah Banyak

Jika contoh lendir nak bersalin keluar dalam jumlah banyak dan merah terang, ini mungkin tanda tidak normal.

2. Air Ketuban Pecah

Walaupun ait ketuban pecah tapi tidak sakit, ini tanda penting untuk terus ke hospital.

3. Kontraksi Konsisten

Jika kontraksi berlaku setiap 5 minit selama 1 jam, itu tanda bersalin aktif.

4. Bayi Kurang Bergerak

Jika pergerakan bayi berkurang, jangan tunggu dan terus ke hospital.

5. Rasa Tidak Sedap Hati

Kadang-kadang naluri ibu sangat tepat.

Jika rasa tak sedap hati, lebih baik periksa.

Tips Untuk Ibu Bila Lendir Dah Keluar

Berikut beberapa tips untuk ibu bila lendir dah keluar:

1. Kekal Tenang

Walaupun nampak pelik, contoh lendir nak bersalin adalah perkara normal.

2. Gunakan Pad atau Pantyliner

Untuk pantau jumlah lendir dan elakkan rasa tidak selesa.

3. Elakkan Hubungan Seks Jika Perlu

Jika lendir sudah keluar sepenuhnya, risiko jangkitan meningkat dan sebaiknya rujuk doktor.

4. Sediakan Beg Hospital

Pastikan semua barang ibu dan bayi sudah siap.

5. Pantau Tanda Lain

Perhatikan sakit kontraksi, air ketuban dan pergerakan bayi.

Kesimpulan

Contoh lendir nak bersalin adalah salah satu tanda paling awal bahawa badan ibu sedang bersedia untuk proses kelahiran.

Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti jernih, pekat, atau bercampur darah dan kebanyakannya adalah normal.

Namun, ibu perlu peka dengan perubahan badan dan tahu bila masa yang sesuai untuk mendapatkan rawatan. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

Buku Pink hanya menggunakan sumber yang berkualiti tinggi, termasuk kajian yang disemak oleh pakar, untuk menyokong fakta dalam setiap artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui bagaimana kami menyemak fakta dan memastikan kandungan kami tepat, boleh dipercayai dan sahih.

BACA INI SETERUSNYA

Tag artikel