Nampak je ada kesan lendir bercampur darah dekat seluar dalam, terus rasa terkejut dan risau. Mana taknya, tarikh period lambat lagi. Mesti terus terfikir bukan-bukan adakah tanda awal mengandung atau masalah rahim.

Situasi macam ni sebenarnya biasa sangat berlaku kat wanita. Selalunya ia cuma respon normal badan bila berlaku perubahan hormon singkat, contohnya waktu anda tengah ovulasi. Kadang-kadang kalau badan terlebih penat, stres, atau baru lepas ‘bersama’ pun boleh buat ada sikit titisan darah keluar sekali dengan cecair serviks.

Apa Sebenarnya Lendir Darah Ini?

Lendir yang keluar dari faraj (cecair serviks) sebenarnya ialah cara semula jadi badan anda membersihkan dan melembapkan kawasan kewanitaan. Secara normal, cecair ini berwarna jernih atau sedikit keputihan, tidak berbau busuk, dan tidak menyebabkan kegatalan.

Namun, apabila cecair ini bercampur dengan sedikit titisan darah, sama ada darah segar berwarna merah terang, merah jambu, atau darah lama berwarna coklat gelap. Ia akan kelihatan seperti lendir bercampur darah.

Secara umumnya, pendarahan kecil ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada lapisan dinding rahim (endometrium) atau iritasi pada kawasan serviks (pangkal rahim).

Keluar Lendir Darah Tapi Bukan Haid

Sebenarnya ada beberapa benda yang selalu jadi punca. Paling kerap, hormon kita tengah ‘weng’ sikit sebab stres, kurang tidur, atau berat badan mendadak naik turun. Selain tu, benda ni biasa berlaku bila:

  • Fasa Ovulasi (Waktu Subur): Penurunan mendadak hormon estrogen sewaktu kilang telur melepaskan telur matang boleh menyebabkan lapisan rahim terlucut sedikit, lalu keluar sebagai lendir bercampur darah ringan.
  • Pendarahan Penempelan (Awal Kehamilan): Apabila telur yang telah disenyawakan bertapak (implantasi) pada dinding rahim, proses ini boleh menyebabkan sedikit titisan darah keluar bersama lendir serviks.
  • Ketidakstabilan Hormon: Stres melampau, kurang tidur, keletihan, atau perubahan berat badan yang mendadak boleh mengganggu keseimbangan hormon wanita dan memicu spotting.
  • Iritasi atau Luka Pada Serviks: Geseran sewaktu hubungan intim bersama suami, ujian pap smear, atau penggunaan pembersih kewanitaan yang terlalu keras boleh melukakan pangkal rahim yang sensitif.
  • Kesan Perancang Keluarga: Penggunaan kaedah kontraseptif seperti pil perancang, suntikan, atau pemasangan alat dalam rahim (IUD) kerap menyebabkan pendarahan ringan di luar kitaran haid sewaktu badan menyesuaikan diri.

Boleh Ke Solat Jika Keluar Lendir Darah?

Bila timbul isu lendir darah di luar tarikh period ni, bab solat memang paling buat kita serba salah. Yelah, nak solat takut tak sah, nak tinggalkan solat pulak takut berdosa.

Kalau yang keluar tu setakat cecair bercampur sikit tumpahan darah (merah cair/coklat), keluar sekejap je lepas tu hilang, contohnya sebab ovulasi, luka, atau pembentukan janin, ia dipanggil darah istihadah (darah penyakit/gangguan).

Hukumnya wajib solat macam biasa. Anda cuma perlu bersihkan kawasan tu, tukar panty liner, ambil wuduk baru setiap kali masuk waktu, dan terus solat.

Lain cerita kalau cecair tu makin lama makin pekat, warna merah gelap, berlarutan berhari-hari, siap pakej rasa sengugut. Yang tu jelas sifat darah haid, jadi memang dilarang solat.

Keluar Lendir Darah Saat Kencing

Nampak je ada lendir darah keluar masa tengah kencing, terus terdetik ”Eh, kenapa pulak ni?” Jangan cepat sangat suspek rahim atau period, sebab kekadang darah tu sebenarnya datang dari laluan kencing anda sendiri.

Antara punca biasa yang selalu buat hal:

  • Batu karang atau polip: Ketulan halus ni boleh bergesel pada dinding pundi kencing, buatkan ada sikit darah terkeluar sekali.
  • Jangkitan Saluran Kencing (UTI): Ini memang juara. Selalunya dia datang sekali dengan rasa pedih atau menyengat bila buang air, rasa tak puas kencing, dan air kencing bau berlainan.
  • Luka atau iritasi kecil: Boleh jadi sebab geseran, atau kesan pakai sabun pencuci kewanitaan yang ada bahan kimia agak keras kat kawasan uretra.
keluar lendir darah tapi bukan haid
Keluar lendir darah saat kencing tapi bukan haid sering dikaitkan dengan jangkitan saluran kencing.

Ciri Lendir Tanda Ovulasi

Ramai sebenarnya yang terkejut bila tahu waktu subur pun boleh buat seluar dalam ada kesan darah. Yelah, ingatkan bila ovulasi ni cuma keluar cecair jernih biasa, kan?

Nak kenal lendir ovulasi ni senang je:

  • Warna cerah iaitu merah jambu cair atau keperangan (light brown).
  • Tekstur berlendir, licin, dan memanjang bila ditarik, sebiji macam putih telur mentah.
  • Keluar sekejap sangat, dalam 1 hingga 2 hari.
  • Langsung tak berbau busuk dan tak ada rasa sakit memulas.

Kalau anda memang tengah TTC (mencuba untuk hamil), nampak je lendir macam ni terus green light untuk ‘bersama’ suami sebab inilah kemuncak waktu paling subur!

Perbezaan Darah Ovulasi, Mengandung Atau Haid

Bagi mengelakkan anda keliru, mari lihat perbezaan ringkas menerusi jadual perbandingan di bawah:

Ciri-CiriPendarahan OvulasiPendarahan Penempelan (Hamil)Haid Normal
Masa BerlakuPertengahan kitaran (Hari ke-12 hingga 16)Beberapa hari sebelum tarikh periodMengikut tarikh kitaran haid
Warna DarahMerah jambu / Coklat cairMerah jambu / Coklat gelapMerah terang ke gelap
Aliran CecairSangat sikit, bercampur lendir licinTitisan kecil (spotting), tiada ketulDeras, bertali, ada ketulan darah
Tempoh1 – 2 hari sahaja1 – 3 hari sahaja3 – 7 hari
Simptom LainSakit sengugut ringan sebelah perut (Mittelschmerz)Mual, dada tegang, cepat letihSengugut, bloating, perubahan emosi
keluar lendir darah tapi bukan haid
Adakah keluar darah tanda hamil?

Tanda Masalah Kesihatan

Walaupun kebanyakan kes keluar lendir darah ni benda biasa, ada masanya badan kita sengaja hantar ‘signal’ yang ada sesuatu tak kena kat dalam. Lagi-lagi kalau benda ni kerap sangat berlaku atau datang dengan pakej rasa sakit.

Antara masalah kesihatan yang selalu dikaitkan dengan pendarahan abnormal ni termasuklah:

  • Jangkitan Kelamin (STI): Contohnya macam Chlamydia, Gonorrhea, atau jangkitan kulat yang teruk. Biasanya lendir akan bertukar warna jadi kekuningan/kehijauan, berbau hanyir atau busuk, dan rasa gatal merenyam.
  • Penyakit Radang Pelvik (PID): Ini berlaku bila jangkitan kuman dah merebak masuk ke rahim, tiub fallopio, atau ovari. Tanda paling ketara ialah sakit memulas yang teruk kat bahagian bawah perut serta rasa pedih bila kencing atau ‘bersama’ suami.
  • Ketumbuhan Tak Berbahaya (Polip / Fibroid): Dinding rahim atau pangkal rahim (serviks) anda mungkin ada polip atau fibroid. Ketumbuhan halus ni penuh dengan salur darah, jadi bila tergesel sikit, contohnya lepas penetrasian, ia senang sangat berdarah.
  • Sindrom Ovari Polikistik (PCOS): Hormon yang tak stabil buatkan kilang telur payah nak lepaskan telur secara teratur. Kesannya, lapisan rahim jadi tak menentu dan kerap berdarah sikit-sikit (spotting) di luar tarikh period.
  • Isu Pangkal Rahim (Serviks): Sama ada keradangan serviks (cervicitis), atau dalam kes yang lebih serius, petanda awal kanser serviks. Biasanya darah akan selalu keluar sejurus selepas hubungan intim.

Bila Perlu Jumpa Doktor

Kalau anda alami perkara berikut, jangan tunggu lama:

  • Keluar lendir darah lebih dari 5 hari.
  • Sakit kuat bahagian bawah perut.
  • Keluar darah selepas bersama suami.
  • Bau busuk, gatal, atau keputihan luar biasa.
  • Berlaku selepas menopause.

Lebih cepat dapatkan rawatan, lebih senang untuk dirawat sebelum jadi lebih serius.

Kesimpulan

Badan seorang wanita ini sangat unik dan kompleks. Lendir bercampur darah yang keluar tiba-tiba selalunya hanyalah ‘pesanan ringkas’ daripada badan anda bahawa ada sedikit perubahan hormon atau keletihan yang sedang berlaku.

Tubuh wanita ni unik. dia bagi tanda bila ada perubahan. Jadi, dengarlah “bahasa tubuh” anda sendiri.

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan kawan atau ahli keluarga yang pernah alami pengalaman keluar lendir darah tapi bukan haid ini agar mereka tidak berasa risau yang berpanjangan.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Bleeding between periods
  2. Vaginal Bleeding
  3. Jelly-like discharge, but no period: What does it mean?
  4. Vaginal bleeding between periods or after sex
  5. Bloody Cervical Mucus: Meaning and Interpretation
  6. Vaginal or uterine bleeding - overview
  7. LENDIRAN FARAJ BERCAMPUR DARAH, SEDIKIT DAN HANYA BEBERAPA HARI

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.