Pernah dengar mengenai kehamilan ektopik?
Ini merupakan antara komplikasi kehamilan yang digeruni para ibu.
Kehamilan ektopik adalah satu keadaan di mana telur yang telah disenyawakan tidak tertanam di dalam rahim seperti biasa, tetapi berkembang di luar rahim, pada kebiasaannya di tiub falopio.
Situasi ini boleh membahayakan nyawa ibu jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera.
Meskipun kes ini agak jarang berlaku, namun ia adalah salah satu punca utama kematian ibu hamil pada peringkat awal kehamilan.
Oleh itu, pengetahuan tentang kehamilan ektopik atau mengandung luar rahim ini sangat penting bagi setiap wanita, terutamanya ibu hamil.
Artikel ini akan menerangkan secara terperinci apa itu kehamilan ektopik, punca, tanda-tanda awal, komplikasi, kaedah rawatan dan langkah pencegahan.
Dengan mengetahui maklumat ini, anda boleh lebih bersedia dan mengambil tindakan pantas sekiranya mengalami gejala kehamilan yang mencurigakan.
Apa Itu Kehamilan Ektopik?
Kehamilan ektopik maksud merujuk kepada keadaan di mana telur yang telah disenyawakan berkembang di luar rahim.
Bahagian paling biasa berlakunya kehamilan ektopik ialah di dalam tiub falopio (lebih 90% kes), namun ia juga boleh berlaku di ovari, serviks atau rongga abdomen.
Keadaan ini tidak boleh disokong oleh tubuh wanita kerana ruang di luar rahim tidak sesuai untuk perkembangan janin.
Oleh itu, kehamilan luar rahim ini tidak boleh diteruskan dan mesti dihentikan bagi mengelakkan komplikasi serius.
Jenis-jenis Kandungan Luar Rahim:
- Ektopik Tiub Falopio (Tubal Pregnancy) – paling lazim.
- Ektopik Ovari – janin tertanam dalam ovari.
- Ektopik Abdominal – janin berkembang dalam rongga perut.
- Ektopik Serviks – janin tertanam dalam leher rahim.
Punca dan Faktor Risiko Kehamilan Ektopik

Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan tidak tertanam di dalam rahim, tetapi di lokasi lain seperti tiub falopio.
Berikut ialah beberapa faktor risiko dan punca mengandung luar rahim yang dikenal pasti:
- Jangkitan Pelvis (PID).
Penyakit radang pelvis akibat jangkitan bakteria boleh merosakkan tiub falopio dan menghalang perjalanan telur ke rahim. - Sejarah Kehamilan Ektopik.
Risiko meningkat jika wanita pernah mengalami mengandung luar rahim sebelum ini. - Pembedahan Tiub Falopio.
Pembedahan seperti penyingkiran sista atau pembedahan akibat kehamilan luar rahim boleh menyebabkan parut pada tiub. - Penggunaan Alat Pencegah Kehamilan (IUD).
Kehamilan sangat jarang berlaku semasa menggunakan IUD, tetapi jika berlaku, ia lebih cenderung menjadi ektopik. - Rawatan Kesuburan (seperti IVF).
Wanita yang menjalani rawatan kesuburan mempunyai risiko lebih tinggi kerana telur mungkin tidak bergerak secara normal ke rahim. - Merokok.
Nikotin mengganggu fungsi silia dalam tiub falopio, yang penting untuk menolak telur ke rahim. - Masalah Struktur Reproduktif.
Kecacatan sejak lahir atau endometriosis yang menjejaskan bentuk dan fungsi tiub falopio.
Mengetahui faktor-faktor ini membolehkan wanita lebih peka terhadap risiko dan membuat pemeriksaan awal semasa kehamilan.
Namun, perlu diingat bahawa kandungan luar rahim juga boleh berlaku kepada wanita yang tiada sebarang faktor risiko yang dikenalpasti.
Tanda-tanda Awal Kehamilan Ektopik
Kehamilan ektopik sering disalah anggap sebagai kehamilan biasa pada peringkat awal kerana simptomnya yang mirip.
Namun, terdapat beberapa tanda khas yang boleh memberi amaran awal seseorang wanita itu mengandung luar rahim.
Antara tanda tanda mengandung luar rahim:
- Sakit perut yang tajam atau berterusan, biasanya di sebelah bahagian bawah perut.
- Pendarahan faraj yang luar biasa, lebih ringan atau berbeza daripada haid biasa.
- Sakit bahu, terutamanya jika tiub falopio telah pecah dan menyebabkan darah meresap ke rongga perut. Malahan, rasa sakit di bahagian hujung bahu akan bertambah teruk semasa dalam keadaan berbaring.
- Rasa pening atau pengsan akibat kehilangan darah dalaman.
- Kerap kencing atau sakit semasa kencing, jika lokasi janin memberi tekanan pada pundi kencing.
- Rasa tekanan atau tidak selesa di kawasan pelvik.
- Keletihan melampau atau rasa lemah.
Jika anda sedang hamil dan mengalami gejala-gejala ini, terutamanya sakit perut yang tidak normal atau pendarahan luar biasa, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.
Diagnosis awal boleh mengelakkan komplikasi serius seterusnya, menyelamatkan nyawa.
Tanda Kehamilan Ektopik Pecah

Sekiranya kandungan luar rahim tidak dikesan awal, ia boleh menyebabkan tiub falopio pecah.
Ini adalah satu kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.
Antara tanda-tanda kehamilan ektopik pecah:
- Sakit perut yang tiba-tiba, sangat kuat dan menusuk.
- Pendarahan faraj yang berat.
- Sakit bahu, disebabkan oleh darah yang mengganggu saraf diafragma.
- Pengsan atau hampir pengsan, tanda kehilangan darah dalaman.
- Kulit pucat, nadi laju dan tekanan darah rendah – tanda kejutan akibat pendarahan dalaman.
Jika anda mengalami simptom ini, dapatkan bantuan kecemasan dengan segera. Penangguhan boleh mengancam nyawa.
Baca juga:
Komplikasi Kehamilan Ektopik
Sekiranya tidak dirawat, kehamilan ektopik boleh menyebabkan komplikasi yang sangat serius.
Apabila embrio berkembang dalam kawasan yang tidak sesuai, seperti tiub falopio, ia akan menyebabkan organ tersebut pecah.
Komplikasi lain termasuk:
- Pendarahan dalaman yang teruk – boleh mengancam nyawa.
- Kerosakan pada tiub falopio – mungkin perlu dibuang melalui pembedahan.
- Kesukaran untuk hamil semula di masa hadapan.
- Kejutan akibat kehilangan darah (hypovolemic shock).
Mereka yang pernah mengandung luar rahim juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalaminya semula pada kehamilan berikutnya.
Kaedah Diagnosis dan Rawatan
Diagnosis awal kandungan luar rahim sangat penting untuk mengelakkan komplikasi.
Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi mengenalpasti lokasi janin dan menilai tahap kehamilan.
Kaedah diagnosis yang akan dijalankan oleh pakar perubatan adalah:
- Ujian darah beta-hCG – hormon kehamilan, tahapnya akan diperiksa secara berkala.
- Imbasan ultrabunyi transvaginal – untuk melihat sama ada janin berada dalam rahim.
- Pemeriksaan fizikal oleh doktor pakar.
Cara merawat kandungan luar rahim pula bergantung kepada tahap kehamilan dan kesihatan pesakit:
- Ubat Methotrexate – diberi melalui suntikan untuk menghentikan perkembangan janin sekiranya tiub falopio belum pecah.
- Pembedahan Laparoskopi – untuk membuang janin ektopik dan memperbaiki atau membuang tiub falopio yang rosak.
- Pembedahan kecemasan laparotomi – dilakukan sekiranya berlaku pendarahan dalaman yang serius.
Rawatan kehamilan ektopik tidak membolehkan kehamilan itu diteruskan.
Oleh itu, sokongan emosi juga amat diperlukan buat ibu yang mengalaminya.
Rawatan Kehamilan Ektopik Pecah
Apabila kehamilan ektopik telah pecah, rawatan perlu dilakukan segera untuk menghentikan pendarahan dan menyelamatkan nyawa pesakit.
Kaedah rawatan termasuk:
- Pembedahan kecemasan (laparotomi) – dilakukan untuk membuang tiub falopio yang pecah dan menghentikan pendarahan.
- Pemindahan darah – mungkin diperlukan jika kehilangan darah banyak berlaku.
- Penjagaan selepas pembedahan – termasuk pemerhatian ketat di hospital dan sokongan emosi.
Rawatan segera dapat mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang seperti kemandulan atau trauma emosi.
Pemulihan dan Sokongan Emosi

Selepas rawatan kehamilan ektopik, tubuh dan emosi wanita memerlukan masa untuk pulih.
Ia bukan sahaja melibatkan proses fizikal, malah tekanan emosi akibat kehilangan kehamilan juga perlu diberi perhatian.
Berikut beberapa perkara yang boleh membantu pemulihan emosi ibu:
- Rehat secukupnya dan elakkan aktiviti berat.
- Sokongan ahli keluarga atau pasangan sangat penting.
- Kaunseling atau terapi psikologi boleh membantu menangani kesedihan dan trauma.
- Perancangan kehamilan semula – biasanya doktor menyarankan untuk menunggu 3 hingga 6 bulan sebelum mencuba hamil semula.
Jangan malu untuk bercakap dengan doktor atau pakar kesihatan mental jika anda mengalami tekanan, kemurungan atau kebimbangan selepas melalui pengalaman ini.
Langkah Pencegahan
Walaupun tidak semua kes kehamilan ektopik dapat dielakkan, namun terdapat beberapa langkah yang boleh mengurangkan risikonya.
Tips pencegahan:
- Amalkan hubungan seks selamat untuk mencegah jangkitan penyakit kelamin.
- Rawat segera sebarang jangkitan pelvis atau masalah reproduktif.
- Berhenti merokok, kerana rokok boleh menjejaskan fungsi tiub falopio.
- Rujuk doktor jika ada sejarah kehamilan ektopik, sebelum merancang kehamilan semula.
Pemeriksaan kesihatan berkala juga membantu mengesan masalah awal pada sistem pembiakan.
Mengandung Luar Rahim Boleh Mengandung Lagi ke?
Ramai wanita yang pernah mengalami kehamilan ektopik tertanya-tanya tentang peluang untuk hamil semula.
Jawapannya: YA! Anda masih boleh mengandung lagi, walaupun terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.
Fakta penting:
- Jika salah satu tiub falopio masih sihat, kemungkinan untuk hamil secara semula jadi masih ada.
- Wanita digalakkan untuk menunggu 3 hingga 6 bulan selepas rawatan sebelum mencuba hamil semula.
- Mereka yang menerima rawatan methotrexate perlu menunggu lebih lama agar ubat tersebut tidak menjejaskan janin akan datang.
- Rundingan bersama pakar kesuburan atau pakar sakit puan amat disarankan sebelum merancang kehamilan baru.
Penting untuk menjalani pemeriksaan awal kehamilan seterusnya bagi memastikan janin tertanam di tempat yang betul iaitu di dalam rahim.
Jangan Ambil Ringan Kehamilan Ektopik
Kehamilan ektopik adalah keadaan perubatan yang serius dan memerlukan tindakan segera.
Walaupun jarang berlaku, namun risikonya tetap tinggi jika tidak dikenalpasti dari awal.
Menyedari tanda-tanda, memahami risiko dan mendapatkan rawatan segera adalah kunci utama untuk mencegah komplikasi dan menyelamatkan nyawa ibu.
Jika anda atau orang terdekat menunjukkan tanda-tanda kehamilan ektopik, jangan berlengah!
Rujuk pakar kesihatan dengan segera.
Pengetahuan ini bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa, tetapi juga membuka peluang untuk hamil semula dengan lebih selamat pada masa hadapan.




