Kalau sebut tempoh berpantang, antara menu yang selalu jadi kegemaran ramai ialah ikan untuk ibu berpantang.
Selain sedap dan mudah dimasak, ikan penuh dengan protein, omega-3, dan pelbagai nutrien yang membantu badan ibu cepat pulih selepas bersalin.
Tapi bukan semua ikan sesuai diambil untuk ibu selepas bersalin.
Ada yang memang bagus untuk tenaga dan penyembuhan luka, tapi ada juga ikan yang perlu dielakkan.
Malah, keperluan ibu czer, ibu berpantang selepas keguguran, atau ibu yang sensitif terhadap jenis ikan tertentu mungkin berbeza.
Dalam artikel ini, kita akan kongsikan kenapa penting ibu berpantang makan ikan, ikan mana yang sesuai, dan perlu dielakkan serta resipi mudah untuk ibu baru.
Jom baca!
Manfaat Ikan Untuk Ibu Berpantang
Badan ibu selepas bersalin ibarat “mesin” yang baru lepas buat kerja berat.
Kita perlukan makanan pantang bersalin yang berkhasiat bagi membantu tubuh ibu pulih dengan cepat.
Ikan adalah pilihan terbaik kerana:
- Cepat sembuhkan luka – Kandungan albumin dalam ikan seperti haruan memang terkenal mempercepatkan pemulihan luka bersalin.
- Kaya omega-3 – Lemak sihat ini bukan saja bagus untuk jantung ibu, tapi juga untuk perkembangan otak bayi yang menyusu.
- Mudah dihadam – Tak berat di perut dan tidak menyebabkan kembung jika dimasak dengan cara betul.
- Tinggi protein – Protein adalah bahan bina tisu, jadi sangat penting untuk penyembuhan.
Tak hairanlah kenapa orang dulu-dulu sampai buat pantang khas dengan ikan ibu berpantang sebagai menu wajib.

Jenis Ikan Yang Sesuai Untuk Ibu Berpantang
Berikut beberapa jenis ikan ibu berpantang yang sesuai untuk anda ambil:
1. Ikan Haruan
Dari dulu sampai sekarang, ikan haruan memang terkenal sebagai “ubat” luka semula jadi.
Tinggi protein, kaya albumin, dan rasanya sedap bila dimasak sup halia.
2. Ikan Selar Kuning
Sesuai untuk ibu yang suka ikan kecil, mudah dihadam, dan rasa segar.
Paling sedap bila dimasak singgang kunyit.
Ikan Untuk Ibu Berpantang 3. Ikan Siakap
Ikan siakap bukan saja mudah dimasak, tapi sesuai untuk semua jenis berpantang termasuk ikan untuk ibu bersalin czer kerana teksturnya lembut dan tidak menyebabkan perut “berangin”.
4. Ikan Kerapu
Sesuai dimasak stim herba, memberi rasa ringan dan wangi.
5. Ikan Tenggiri
Selain tak banyak tulang, ikan tenggiri kaya omega-3 untuk tenaga dan kesihatan saraf.
Ikan Ibu Berpantang Czer
Bagi ibu yang melalui pembedahan caesarean, luka pada perut memerlukan masa lebih lama untuk sembuh.
Dalam hal ini, anda perlu berhati-hati dengan pengambilan makanan pantang czer.
Pengambilan ikan untuk ibu berpantang czer yang sesuai adalah yang lembut, kaya protein, dan rendah lemak.
Pilihan terbaik:
- Ikan haruan – untuk penyembuhan luka pembedahan.
- Ikan siakap – mudah dihadam, sesuai untuk perut sensitif.
- Ikan selar kuning – ringkas tapi penuh khasiat.
Cara masak: kukus, rebus, atau sup herba.
Elakkan masakan pedas atau banyak minyak supaya jahitan tidak mudah bengkak.
Ikan Ibu Berpantang Gugur
Walaupun keguguran tidak melibatkan proses bersalin sepenuhnya, tapi badan ibu tetap melalui perubahan besar dan kehilangan darah.
Ikan untuk ibu keguguran sebaiknya tinggi zat besi dan protein.
Pilihan sesuai:
- Ikan tenggiri – menambah tenaga dan baik untuk otak.
- Ikan kerapu – lembut dan ringan di perut.
- Ikan haruan – mempercepatkan penyembuhan rahim.
Kaedah masak: singgang kunyit, stim halia, atau rebus bersama sayur bayam untuk tambahan zat besi.

Ikan Yang Dilarang Untuk Ibu Berpantang
Tak semua ikan sesuai dimakan masa pantang.
Antara ikan yang dilarang untuk ibu berpantang termasuk:
- Ikan tinggi merkuri – seperti yu, todak, dan mackerel besar.
- Ikan masin/kering – tinggi garam, melambatkan penyembuhan.
- Ikan yang boleh sebabkan gatal – pari, bawal hitam (bergantung pada alahan).
Kalau nak selamat, pilih ikan segar, rendah merkuri, dan bebas pengawet.
Ikan Tongkol Untuk Ibu Berpantang
Ramai ibu tanya, “Boleh tak makan ikan tongkol masa pantang?”
Jawapannya, boleh, tapi tidak begitu digalakkan, terutamanya pada minggu-minggu awal pantang.
Berikut sebabnya:
1. Rasa & Sifat “Tajam”
Ikan tongkol dikatakan mempunyai sifat “tajam” yang boleh menyebabkan luka lambat sembuh atau terasa pedih, terutamanya bagi ibu berpantang czer.
Orang lama juga percaya ia boleh membuatkan badan terasa bisa atau sakit sendi.
2. Berpotensi Tinggi Histamin
Tongkol mudah menghasilkan histamin jika tidak segar atau disimpan terlalu lama.
Histamin berlebihan boleh menyebabkan reaksi alahan seperti gatal-gatal atau ruam, dan badan ibu berpantang lebih sensitif terhadap alahan.
3. Sukar Dihadam
Daging tongkol lebih padat dan liat berbanding ikan seperti siakap atau haruan.
Ini membuatkan ia agak berat di perut, terutamanya untuk ibu yang sistem pencernaannya masih perlahan selepas bersalin.
4. Kandungan Purina Tinggi
Ikan tongkol mengandungi purina yang boleh meningkatkan asid urik.
Bagi ibu yang ada sejarah gout atau sakit sendi, ini mungkin menyebabkan rasa tidak selesa atau sakit sendi.
Bila Boleh Makan Ikan Tongkol?
Sebaiknya tunggu sehingga 4–6 minggu selepas bersalin apabila luka dalaman sudah sembuh.
Pilih ikan tongkol yang segar dan masak dengan cara sihat seperti singgang kunyit atau rebus halia.

Resepi Ikan Siakap Untuk Ibu Berpantang
Antara resepi ikan siakap untuk ibu berpantang yang boleh anda cuba di rumah adalah:
1. Siakap Stim Halia Limau
Resepi paling popular untuk ikan siakap untuk ibu berpantang kerana ia segar, wangi, dan membantu pencernaan.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap segar.
- 5 hiris halia muda.
- 2 ulas bawang putih, hiris nipis.
- 2 hiris limau nipis.
- 1 batang daun sup.
- 1 sudu kecil lada hitam tumbuk.
- Sedikit garam bukit.
Cara memasak:
- Bersihkan ikan dan buat hirisan pada badannya.
- Letak halia, bawang putih, dan daun sup di atas ikan.
- Tabur lada hitam dan garam.
- Kukus selama 12–15 minit hingga masak.
- Perah limau nipis sebelum dihidang.
2. Siakap Sup Singgang Kunyit
Sup singgang ringan ini sesuai untuk ibu pantang yang nak kuah masam-masam segar.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap.
- 3 hiris kunyit hidup.
- 2 ulas bawang putih.
- 3 biji bawang merah.
- 2 keping asam gelugur/asam keping.
- Air secukupnya.
- Garam bukit.
Cara memasak:
- Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali ikan.
- Didihkan air bersama kunyit, bawang, dan asam keping.
- Masukkan ikan siakap dan masak hingga isi lembut.
- Hidang panas-panas.
3. Siakap Rebus Bayam
Gabungan protein ikan dengan zat besi daripada bayam sangat sesuai untuk ibu pantang yang kurang darah.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap.
- 1 ikat bayam (cuci bersih).
- 3 hiris halia.
- 2 ulas bawang putih.
- Garam bukit secukupnya.
Cara memasak:
- Rebus air bersama halia dan bawang putih.
- Masukkan ikan siakap, masak hingga separuh masak.
- Masukkan bayam, perasakan dengan garam, dan masak sebentar.
4. Siakap Stim Herba
Menu ini menggunakan aroma herba untuk meningkatkan selera ibu berpantang.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap.
- 2 batang serai (dititik).
- 3 helai daun limau purut.
- 5 hiris halia.
- 2 ulas bawang putih.
- Garam bukit dan lada hitam secukupnya.
Cara memasak:
- Letak semua bahan herba di atas ikan.
- Kukus selama 12–15 minit sehingga masak.
- Hidangkan panas-panas bersama nasi putih.
5. Siakap Kukus Daun Sup & Lada Hitam
Menu ini sesuai untuk ibu yang suka rasa sedikit pedas dari lada hitam tetapi tetap selamat untuk pantang.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap.
- Segenggam daun sup (hiris).
- 1 sudu besar lada hitam tumbuk kasar.
- 3 hiris halia.
- 2 ulas bawang putih.
- Garam bukit secukupnya.
Cara memasak:
- Susun daun sup, halia, dan bawang putih di atas ikan.
- Tabur lada hitam dan garam.
- Kukus selama 12–15 minit hingga masak.
Kesimpulan
Tak kira bersalin normal, czer, atau selepas keguguran, ikan untuk ibu berpantang adalah pilihan terbaik untuk mempercepatkan pemulihan.
Yang penting, pilih ikan segar, elakkan jenis yang dilarang, dan masak dengan cara sihat seperti kukus atau rebus.
Dengan menu ikan yang betul, ibu bukan saja cepat sembuh, tapi lebih bertenaga dan ceria untuk jaga si kecil.
Kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan wanita anda agar mereka juga faham tentang jenis ikan ibu berpantang dengan lebih jelas.