Nampak bintik merah dekat punggung si kecil? Kasar, melecet, sampai anak serba tak kena dan meragam sepanjang hari? Tenang ibu ayah, anda bukan bersendirian. Ruam lampin bayi memang biasa sangat berlaku, lebih-lebih lagi pada tahun pertama bayi.

Walaupun nampak macam isu biasa, tapi kalau dibiarkan lama-lama tanpa rawatan betul, kulit sensitif tu boleh kena jangkitan kulat atau bakteria. Jom fahami punca sebenar ruam lampin dan cara atasi dengan selamat di rumah.

Punca Ruam Lampin & Kenapa Kulit Bayi Mudah Merah?

Ruam lampin sebenarnya keradangan kulit kat kawasan tertutup lampin macam punggung, celah paha dan alat sulit bayi. Disebabkan bahagian kulit ni selalu panas, lembap dan kerap bergesel, jadi kulit bayi memang mudah sangat naik bintik merah.

Antara punca biasa yang selalu jadi:

  • Lampin tidak ditukar lama. Air kencing atau najis yang terbiar lama merengsa kulit bayi yang masih nipis dan sensitif.
  • Ketat sangat sampai bergesel. Lampin salah saiz atau ketat sangat akan bergesel dengan kulit, seterusnya buat bahagian tu melecet.
  • Kulit tak tahan bahan kimia. Sesetengah bayi cepat bereaksi pada pewangi, bahan pencuci atau jenis tisu basah tertentu.
  • Jangkitan kuman. Biar ruam tanpa rawatan awal boleh sebabkan kulat atau bakteria membiak dengan cepat.

Ingat ya ibu ayah, bila anak kena ruam, tak bermakna anda cuai jaga si kecil. Benda ni memang biasa berlaku walaupun kita dah jaga sebersih mungkin.

ruam lampin bayi
Bintik merah pada peha bayi.

Jenis Ruam Bayi Yang Ibu Ayah Perlu Kenal

Tidak semua ruam di punggung bayi adalah sama. Jadi, penting untuk parents mengenal pasti jenis ruam bayi supaya rawatan yang digunakan tepat dan berkesan.

a) Ruam Lampin Bayi Biasa

Ruam jenis ini biasanya berwarna merah, sedikit kasar dan muncul di kawasan yang sering bergesel dengan lampin. Ia adalah jenis paling kerap berlaku dan mudah sembuh jika dijaga dengan baik.

b) Ruam Kulat (Candida)

Ruam ini kelihatan merah terang dengan bintik-bintik kecil di sekelilingnya. Selalunya berlaku selepas ruam biasa dibiarkan terlalu lama tanpa rawatan.

c) Ruam Lampin Bayi Bakteria

Lebih jarang berlaku tetapi lebih serius. Kulit boleh menjadi bernanah, berair atau berkeruping.

d) Ruam Susu Bayi

Ruam susu bayi selalunya dikaitkan dengan alahan atau sensitiviti terhadap susu formula atau pemakanan ibu (jika bayi menyusu badan). Ruam ini boleh muncul bukan sahaja di punggung, tetapi juga di pipi dan badan.

Membezakan jenis ruam bayi penting supaya ibu ayah tidak tersalah rawat.

Cara Merawat Ruam Lampin Bayi Supaya Cepat Sembuh

Bila nampak je kulit punggung baby mula merah, rawatan awal memang kena buat cepat-cepat. Petua merawat ruam lampin bayi ni sebenarnya tak susah mana, cuma ibu ayah kena rajin dan konsisten sikit.

Antara langkah praktikal ibu ayah boleh cuba:

  • Kerap tukar lampin anak. Jangan tunggu penuh baru nak tukar. Ada sikit je najis atau kencing, terus bersihkan.
  • Guna air suam. Bilas kawasan terjejas guna air bersih suam. Elak tisu basah yang ada pewangi atau alkohol sebab boleh pedihkan kulit baby.
  • Lap lembut. Selepas basuh, tepuk-tepuk manja kawasan tu guna tuala bersih. Jangan sesekali gosok kasar.
  • Anginkan kulit bayi. Biarkan si kecil bertelanjang atau tanpa lampin buat seketika. Udara segar memang bantu kulit sembuh cepat.

Satu lagi, jangan lupa sapu krim diaper rash yang ada zink oksida. Krim ni bertindak macam benteng pelindung dari kelembapan supaya kulit cepat pulih.

Boleh dapatkan krim nappy rash di sini.

Perlu Ke Sapu Krim Ruam Lampin Bayi di Punggung?

ruam lampin bayi
Krim ruam bayi.

Penggunaan krim ruam bayi di punggung sangat membantu untuk melindungi kulit daripada kelembapan berlebihan. Krim ini bertindak sebagai lapisan pelindung antara kulit bayi dan lampin.

Antara bahan yang biasanya berkesan:

  • Zinc oxide.
  • Petroleum jelly.
  • Panthenol.
  • Shea butter atau minyak semula jadi.

Sapukan lapisan nipis setiap kali menukar lampin, terutamanya jika bayi sudah mula menunjukkan tanda-tanda ruam. Namun, elakkan krim yang mengandungi pewangi atau bahan keras kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

@dradlihidayat

Nappy rash cream power, kuat elakkan rash, kuat sembuhkan rash. Tapi ada dua disclaimer: 1. Harga M40-T20 (tp beli satu boleh pakai 2 3 bulan) 2. Benda benda sapu kulit ni mmg try n error ye. Belajar cuci kemaluan baby, belajar tukar pampers baby dan banyak lg dalam Kelas Jaga Newborn Paling Lengkap di profi|e saya #baby #newborn #kelas #barang #recommend

♬ original sound – Dr Adli Hidayat – Dr Adli Hidayat

Petua Hilangkan Ruam Lampin Bayi & Cara Tradisional

Selain rawatan moden, ramai ibu ayah juga mengamalkan petua hilangkan ruam lampin bayi secara semula jadi. Cara tradisional merawat ruam lampin bayi ini biasanya menggunakan bahan semula jadi yang lembut pada kulit.

Antara petua yang sering diamalkan:

  • Minyak kelapa dara
    Bersifat antibakteria dan melembapkan kulit.
  • Bedak sejuk
    Membantu menyejukkan kulit yang meradang.
  • Mandian air suam tanpa sabun
    Mengurangkan iritasi kulit.
  • Daun sirih (air rebusan)
    Digunakan oleh sesetengah ibu sebagai pembersih semula jadi.

Walaupun petua ini membantu, pastikan kulit bayi dipantau. Jika ruam semakin teruk, rawatan perubatan tetap diperlukan.

Cara Hilangkan Ruam di Punggung Bayi Dengan Lebih Cepat

ruam lampin bayi
Cara hilangkan ruam di punggung bayi.

Untuk mempercepatkan penyembuhan, ibu ayah boleh gabungkan beberapa langkah berikut:

  • Pastikan lampin bersaiz betul dan menyerap dengan baik.
  • Elakkan lampin berpewangi.
  • Gunakan krim pelindung secara konsisten.
  • Elakkan bayi duduk terlalu lama dalam lampin basah.

Gabungan penjagaan harian yang betul akan membantu ruam pulih dalam masa beberapa hari sahaja.

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Walaupun kebanyakan kes ruam lampin boleh dirawat di rumah, ibu ayah perlu berjumpa doktor jika:

  • Ruam tidak berkurang selepas 3 ke 5 hari.
  • Kulit bernanah atau berair.
  • Bayi demam.
  • Bayi kelihatan sangat sakit dan tidak selesa.

Doktor mungkin akan memberikan krim antikulat atau antibiotik jika perlu.

Anak Ada Ruam Merah Dekat Celah Paha, Perlu Sapu Krim Tak?

Kesian tengok kulit anak kemerahan. Jadi, ibu yang mengalami masalah anak nappy rash ni bertanyakan kepada Dr Zubaidi dalam laman sesawangnya untuk mengetahui kekerapan penggunaan krim ruam lampin.

“Doktor, anak saya 8 bulan mengalami ruam merah di celah paha. Saya dah sapu dengan krim, tapi ruam merah tu berulang. Soalan saya, adakah saya perlu sapu krim pada waktu bila muncul ruam merah atau sapu pada setiap masa?”

Ini ulasan daripada jawapan yang diberikan oleh Dr Zubaidi:

Menurut Dr Zubaidi Ahmad, ruam lampin atau nappy rash ni berpunca daripada kelembapan terperangkap serta tindak balas kulit bayi yang masih sensitif bila kerap bersentuhan dengan air kencing atau najis.

Bagi soalan berkaitan penggunaan krim, Dr Zubaidi menjelaskan bahawa ibu ayah tak semestinya perlu terus guna krim ubat atau antibiotik tanpa preskripsi. Kunci utama untuk merawat dan mencegah ruam ini sebenarnya kembali kepada asas penjagaan harian:

  • Tukar lampin secara berjadual. Selalu periksa dan tukar segera, jangan biar terbiar basah lama-lama.
  • Bersihkan dengan lembut. Gunakan air suam dan elak menggosok kasar pada kawasan yang merah.
  • Biar kulit ‘bernafas’. Biarkan bayi tanpa lampin seketika untuk bagi pengudaraan terus pada kulit.
  • Guna krim penghalang (barrier cream). Cukup sekadar sapuan nipis krim seperti zinc oxide untuk lindungi kulit daripada kelembapan.

Namun, Dr Zubaidi turut mengingatkan jika ruam makin merebak, melepuh atau anak nampak terlalu pedih, bawa anak berjumpa doktor.

Kesimpulan

Kesimpulannya, ruam lampin adalah masalah biasa yang hampir semua bayi alami, tetapi ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Dengan penjagaan yang betul, pemilihan lampin yang sesuai dan rawatan awal, masalah ini boleh dicegah dan dirawat dengan berkesan.

Yang paling penting, ibu ayah perlu peka dengan perubahan pada kulit bayi dan bertindak awal sebelum ruam menjadi lebih teruk.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Diaper rash
  2. Diaper Rash (Diaper Dermatitis)
  3. Diaper Dermatitis
  4. Common Diaper Rashes & Treatments
  5. How to Heal Your Baby’s Diaper Rash
  6. Diaper rash
  7. Ruam Lampin pada Bayi
  8. Pengurusan Ruam Lampin pada Bayi

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.